Tuesday, August 5, 2008

Curi Tulang Ke?

(Jannatun Naim)

"Boleh ke kita keluar minum masa bekerja ni?" Tanya Normah, seorang kerani yang baru seminggu masuk bekerja di sebuah syarikat swasta.
"Tak pe... kita dah punch card kan?" Balas Zuriah selamba sambil berjalan keluar pejabat.
"Kalau boss tau macamana?" Normah bertanya lagi inginkan kepastian. Hatinya agak risau.
"Apalah engkau ni, boss datang pukul 9.30. Sekarang baru pukul 8.40. Mana boss tahu. Lagipun mana ada kerja pagi-pagi macam ni." Sampuk Nani, kawan sepejabat yang agak rapat dengan Zuriah. Beliau merupakan staf yang agak senior di syarikat itu.

Normah mengangguk-angguk sambil berjalan keluar mengikuti kedua rakannya itu untuk bersarapan pagi. Mulai hari itu, Normah tidak pernah bertanya lagi soalan yang sama sebelum keluar minum setelah punch card.

Adakah ini suatu fenomena biasa? Adakah ianya hanya hanya berlaku di syarikat swasta sahaja? Benarkah anggapan bahawa bila tak ada kerja, atau boss tak nampak, mereka boleh keluar minum-minum?

Ini satu perkara yang harus disentuh apabila menyebut soal 'makan gaji'. Saya pernah mengutip pengalaman seperti ini sehingga ke Sabah. Dalam sebuah jabatan kerajaan yang diketuai oleh seorang datuk. Si Datuk ni tak pernah datang awal bekerja. Waktu bekerjanya ialah dari pukul 8 pagi sehingga 4.30 petang, tetapi paling awal dia akan sampai ke pejabat ialah pada pukul 10 pagi selepas bermain golf dari pukul 7 pagi lagi. Maklumlah di Sabah pukul 7 tu dah seperti pukul 8.30 di Semenanjung. Sesampainya di pejabat, Si Datuk ni akan baca semua surat khabar menantikan mesyuarat pukul 10.30 pagi. Semua kerja pejabatnya akan diselesaikan melalui telefon. Bagaimana caranya? Beliau akan menelefon executive officer-nya (EO) untuk membuat arahan-arahan yang sangat simple agar semua surat-menyurat yang tidak berkaitan dengan Putrajaya, diselesaikan oleh EO-nya sahaja. Begitulah kerjanya sehingga beliau pencen. Pihak Putrajaya mungkin tidak pernah tahu kerjanya seperti itu kerana di peringkat jabatan semuanya beres. Ya... setelah diselesaikan oleh EO-nya sehingga EO-nya pernah dikejarkan ke IJN kerana 'menanggung tugas' ketua jabatan tanpa elaun tambahan. Ini mungkin satu dari banyak kes yang telah berlaku.

Bagaimana dengan kes pekerja atau pegawai yang lebih rendah? Semasa saya berada di jabatan kerajaan dahulu, saya dapati kedai makan di depan Klinik Kesihatan tu sentiasa penuh tak mengira masa. Doktor ditinggalkan bersendirian merawat pesakit. MA (Pembantu Perubatan) ada 3 orang, tetapi mereka seperti berganti-ganti meninggalkan bilik rawatan untuk berada di kedai makan. Begitu juga dengan Atendan. Sekarang saya bekerja dengan swasta yang waktu bekerja bermula 9.30 pagi sehingga 5.00 petang. Jadi saya selalu keluar untuk bersarapan pada pukul 8.30 pagi dan saya dapati pada waktu inilah kedai-kedai makan dipenuhi oleh staf kerajaan dan swasta. Ada pegawai tinggi dan ada pegawai atau kakitangan rendah. Pendek kata tidak mengira pangkat, semua meninggalkan kerja untuk keluar minum setelah punch card.

Di sini saya tidak bermaksud membincangkan tentang kualiti perkhidmatan jabatan atau disiplin pekerja dalam pekerjaan atau tindakan sewajarnya yang patut dikenakan, tetapi yang jauh lebih penting daripada itu iaitu persoalan curi tulang dan halal dan haramnya menurut kacamata Islam.

Di sini saya melihat tentang kewajipan kita menunaikan janji kita sebagai pekerja, tidak kira siapa asalkan kita makan gaji, kita adalah pekerja. Dalam hal pekerjaan yang kita lakukan sudah tentu janji kita adalah kontrak pekerjaan itu sendiri (dalam Islam disebut sebagai perjanjian/akad). Dalam Al-Quran Allah berfirman yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. " (Al-Maidah :1)

Jelas di sini menunjukkan barangsiapa yang mengingkarinya maka mereka telah melakukan dosa di sisi syarak. Sebab itu sebagai umat Islam, kita perlu berhati-hati dalam perkara yang melibatkan rezeki, ini kerana sesuap harta yang haram yang masuk ke dalam rongga anak adam, hanya neraka sahajalah tempat yang layak baginya. Allah S.W.T telah berfirman yang bermasksud:

“Wahai orang – orang yang beriman, makanlah dari segala yang baik (halal) yang telah kami berikan kepada kamu” (Al-Baqarah : 172).

Ingatlah bahawa kerja-kerja kita adalah ibadat, dan ianya perlu dilakukan agar diterima oleh Allah S.W.T. Oleh itu perbuatan curi tulang merupakan perbuatan haram yang wajib ditinggalkan. Ini selaras dengan hadith Rasulullah S.A.W :

“Barangsiapa yang menipu bukanlah dari kalanganku". (H.R Muslim)

Walaubagaimanapun, apa yang saya kongsikan tidaklah ingin mengatakan bahawa makan minum di luar pada waktu bekerja merupakan curi tulang keseluruhannya. Bagi mereka yang berehat kerana penat bekerja, sudah tentu ia merupakan kewajipan majikan untuk membenarkannya. Tetapi bagi yang bersarapan atau keluar minum pada waktu yang tidak sepatutnya, maka inilah yang saya bimbangkan terjadi kepada kita semua.

No comments:

Push-Up Arrow