Showing posts with label Wabak - H1N1. Show all posts
Showing posts with label Wabak - H1N1. Show all posts

Saturday, May 16, 2009

H1N1: Kes Kedua Dikesan, Dua Lagi Dikuarantin

(Biro IT)

Berita terbaru yang diambil dari Mstar Online petang ini yang semakin menggemparkan dan mencemaskan. Apakah ini merupakan bala Allah akibat dari kelemahan pihak-pihak berwajib dalam menjalankan langkah pencegahan? Sama-sama fikirkannya. Akibat terlalu longgar dalam mengawal 'pintu masuk' kepada virus H1N1 itu menyebabkan dalam sekelip mata virus ini telah merentasi Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Semalam di Ibu Negara, hari ini di Pulau Pinang.

Sebagai umat Islam, kita perlu menjaga akidah kita. Kita tidak boleh terikut dengan jeritan dan laungan orang lain dalam melihat isu jangkitan ini. Meskipun kita diminta berjaga-jaga seoptima mungkin, tetapi jangkitan hanya akan berlaku mengikut kehendak Allah SWT. Klik sini untuk artikel tersebut. Marilah kita sama-sama berdoa semoga kita dan orang-orang yang kita sayangi dapat terhindar dari ujian ini.

Berikut adalah berita tersebut:


TAHAP KESELAMATAN DIPERKETATKAN....Beberapa kakitangan Hospital Pulau Pinang mengawal pintu masuk ward 16 yang menempatkan mangsa kedua yang dijangkiti virus Influenza A, H1N1. Foto THE STAR Oleh: ZAINUDIN AHAD.


PUTRAJAYA: Kes kedua influenza A (H1N1) dikesan di Pulau Pinang dan disahkan pagi ini, yang melibatkan rakan kepada pesakit pertama yang dikesan semalam, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Ramlee Rahmat hari ini.

"Pesakit ini adalah rakan kepada pesakit pertama dan sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang. Beliau kini berada dalam keadaan stabil dan tidak lagi demam," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Katanya anggota keluarga pesakit berkenaan juga telah dikuarantin di kediaman mereka untuk tempoh tujuh hari bagi memastikan mereka bebas daripada jangkitan virus tersebut.

"Setakat ini mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya. Mengulas lanjut, Dr Ramlee berkata kementerian telah mengenal pasti kesemua kontak yang berada dalam penerbangan yang sama dengan pesakit pertama dan kedua. Penerbangan MH091 yang merupakan destinasi terakhir pesawat terlibat, membawa 192 penumpang dan 15 anak kapal pada tarikh berkenaan, katanya.

"Daripada 192 penumpang, seramai 119 masih berada di negara ini, melibatkan 81 warganegara Malaysia dan 38 bukan warganenegara. Baki 73 penumpang lagi telah meneruskan penerbangan masing-masing ke luar negara pada tarikh yang sama, 13 Mei," katanya.

Kementerian juga, katanya telah menerima panggilan daripada 35 penumpang yang menaiki penerbangan tersebut untuk tujuan pengesahan.

"Selain menerima panggilan terus, kami juga edarkan senarai penumpang yang masih berada di negara ini kepada semua Jabatan Kesihatan negeri bagi tindakan segera," katanya.

Di bawah langkah yang sama, Dr Ramlee berkata tiga penumpang yang transit di negara ini pada 13 Mei lepas sebelum menaiki penerbangan seterusnya ke destinasi mereka semalam telah dikuarantin di Hospital Sungai Buloh untuk tujuan pemerhatian.

"Mereka akan dikuarantin sehingga 20 Mei ini dan kita akan aturkan penerbangan mereka selepas itu," katanya.

Sementara itu, Dr Ramlee berkata kementerian juga akan mengeluarkan laporan harian berhubung penularan wabak meningitis yang dilaporkan berlaku di Negeri Sembilan dan Melaka serta wabak leptospirosis di Pulau Pinang.

"Orang ramai tidak perlu panik kerana apabila ada wabak baru yang dikesan, ini menunjukkan sistem kesihatan negara kita berada pada tahap yang sangat baik.

Kementerian akan memastikan semua langkah-langkah yang perlu dilaksanakan dengan serius untuk menangani perkara ini," katanya.

Di ALOR SETAR, Jabatan Kesihatan Kedah meminta dua individu dari negeri ini yang menaiki pesawat Penerbangan Malaysia MH091 dari New York yang tiba di KLIA pada 7.15 pagi 13 Mei lepas, segera menghubungi Kementerian Kesihatan atau terus membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Hasnah Ismail dalam satu kenyataan hari ini berkata tiga individu itu yang berasal dari negeri ini disenaraikan menaiki pesawat tersebut.

Beliau berkata salah seorang daripada mereka iaitu lelaki berusia 33 tahun, telah datang ke Bahagian Kecemasan HSB pada 6 petang semalam dan selepas menjalani pemeriksaan, dia didapati sihat dan diarahkan menjalani kuarantin di rumah.

Difahamkan dua lagi individu tidak dapat dihubungi kerana alamat mereka kurang jelas.

Dalam pada itu, di Kangar pula, seorang lelaki berusia 43 tahun dan seorang kanak-kanak berumur empat tahun yang dikesan mempunyai simptom Influenza A (H1NI) dikuarantin di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini semalam dan awal hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kesihatan Perlis Ahmad Bakri Ali berkata lelaki yang berasal dari Padang Besar itu adalah seorang peniaga yang kerap berulang alik ke Thailand kerana urusan perniagaan tetapi beliau tidak dapat menyatakan jantina kanakkanak berusia empat tahun yang berasal dari Mata Ayer dekat sini.

Ahmad Bakri berkata lelaki itu dikuarantin sejak semalam manakala kanakkanak itu pukul 1 pagi tadi dan mereka akan dikuarantin sehingga memperoleh keputusan ujian darah.

"Sampel darah mereka telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan di Kuala Lumpur dan difahamkan keputusannya akan diketahui dalam tempoh dua hari," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Cabaran Eko Paintball Malaysia (MEPC) di Gua Kelam dekat sini hari ini.

Beliau berkata lelaki itu yang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Padang Besar kerana masalah kesihatan telah dirujuk kesnya ke HTF selepas terdapat simptom penyakit itu.

Ahmad Bakri berharap penduduk Perlis tidak panik dengan perkara itu kerana tindakan kuarantin berkenaan adalah prosedur biasa apabila terdapat kes yang mempunyai simptom itu. BERNAMA

Friday, May 15, 2009

Mangsa Pertama Influenza H1N1 Stabil

(Biro IT)

Berita ini diambil dari Mstar Online hari ini. Satu berita yang cukup menggemparkan setakat ini. Kita sebagai rakyat Malaysia, telahpun terdedah dengan virus yang sangat cepat merebak dan berupaya membunuh (dengan izin Allah). Sudah tentulah orang yang sangat terdedah kepada virus ini ialah mereka yang ada direct contact dengan mangsa jangkitan, iaitu para doktor dan petugas-petugas kesihatan. Kita berharap agar Allah SWT akan melindungi sahabat-sahabat kita di seluruh Malaysia khasnya dan seluruh dunia amnya. Berikut disertakan doa pencegah wabak yang sangat sesuai diamalkan oleh kita semua. Mudah-mudahan kita terhindar dari musibah yang tidak diingini. Menurut bekas Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Dato Hj Mohd Murtadza Hj Ahmad, bacalah doa ini sebanyak 3 kali waktu pagi dan petang.

"Kami berlindung dengan-Mu ya Allah, Tuhan yang memiliki keagungan dan kekuasaan, kami berpaut pada-Mu ya Allah, Tuhan pemilik sekelian alam yang ghaib dan kami bertawakal kepada-Mu ya Allah, Tuhan yang Hidup lagi tidak Mati. Wahai Tuhan kami, jauhkanlah kami daripada wabak ini, lindungilah kami dari kebinasaan yang dahsyat dan peliharalah kami dari segala penyakit berjangkit, taun dan bala bencana, dengan Ihsan-Mu wahai Tuhan yang Maha Lembut lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya Engkau ya Allah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Selawat dan salam ke atas junjungan penghulu kami nabi Muhammad SAW, ahli keluarganya serta sahabat-sahabatnya. Segala pujian bagi-Mu ya Allah Tuhan Pemilik sekalian alam."

Berikut adalah beritanya:


LANGKAH BERJAGA-JAGA..Pegawai Kesihatan di Hospital Sungai Buloh mula mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng apabila seorang pelajar berusia 21 tahun yang dirawat di hospital berkenaan dijangkiti virus Influenza H1N1.

KUALA LUMPUR: Mangsa pertama kes influenza A(H1N1) di Malaysia kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil di Hospital Sungai Buloh dekat sini.

Pelajar lelaki berusia 21 tahun itu, yang pulang dari Amerika Syarikat dua hari lepas, kini dikuarantin di wad khas, yang terletak di tingkat empat hospital berkenaan.

Para pegawai hospital berkata pemerhatian menyeluruh akan dilakukan sepanjang masa di wad pesakit itu.

Sekatan diletakkan di tingkat empat iaitu lokasi wad berkenaan, dengan anggota polis dan kakitangan keselamatan hospital turut mengadakan pengawasan rapi.

Tiada siapa pun melainkan pihak berkuasa hospital dibenarkan berada berhampiran wad itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata pesakit terbabit mula mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan semalam, dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 6.45 petang hari yang sama.

Ismail juga berkata mangsa telah pun diberikan rawatan antiviral.

Di perkarangan hospital, tiga buah khemah didirikan untuk mengendalikan saringan dan ujian ke atas penumpang pesawat MH091, yang menaiki penerbangan yang sama dengan pesakit terbabit dari Newark, Amerika Syarikat.

Setakat 6 petang ini, tiada tandatanda penumpang dari pesawat MH091 itu yang tampil untuk menjalani saringan.

Kumpulan media tempatan dan asing, yang lengkap memakai topeng muka, berkumpul di Hospital Sungai Buloh sejak 3 petang bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung pesakit berkenaan.

Pegawai hospital berkata anggota keluarga pesakit dikuarantin di rumah mereka.Pihak berkuasa hospital mungkin "menahan" mereka tidak lama lagi untuk menjalani beberapa ujian.

BERITA TERDAHULU

Malaysia rekod kes pertama H1N1

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan kes pertama wabak influenza H1N1 di negara ini melibatkan seorang pelajar yang baru pulang dari Amerika Syarikat.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican berkata, pelajar berusia 21 tahun itu kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Katanya, pelajar yang pulang ke tanah air pada 13 Mei lalu itu mula mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan pada keesokan harinya dan dibawa ke hospital pada hari yang sama kira-kira pukul 6.45 petang.

"Beliau telah pun diberi rawatan antiviral dan berada dalam keadaan stabil," katanya.

Dr Ismail berkata, pihaknya telah mengambil tindakan pencegahan dan kawalan termasuk penyiasatan kontak ke atas kes.

"Ini termasuklah menghubungi ahli keluarga beliau yang ada sejarah kontak dengan beliau dan penumpang serta anak kapal yang menaiki kapal terbang yang sama," katanya.

Beliau berkata, kementerian juga menasihatkan semua penumpang penerbangan MH 091 dari Newark, USA dan tiba di KLIApada 13 Mei 2009 jam 7.15 pagi supaya menghubungi talian 03-88810200/03-88810300 untuk tindakan susulan.




Push-Up Arrow