Showing posts with label Menyambut Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Menyambut Ramadhan. Show all posts

Tuesday, July 9, 2013

RAMADHAN BULAN PERJUANGAN

Dr. Md Arif Ibrahim
(Pengerusi PAPISMA Terengganu)

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Rabb semesta alam. Salawat dan salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat Baginda SAW serta para tabi’in dan para pejuang risalah Rasul di sepanjang zaman.

Saat tulisan ringkas ini ditulis, Ramadhan sudah dirasai ketibaannya. Khutbah Jumaat dan kuliah-kuliah agama selepas Maghrib kebanyakannya membicarakan soal puasa di bulan Ramadhan, kelebihan-kelebihan dan hikmah-hikmahnya yang besar yang sepatutnya direbut secara bersungguh-sungguh oleh setiap mu’min yang berkesempatan untuk bersama Ramadhan kali ini. Amatlah rugi sekiranya kita terlepas dari jaminan-jaminan serta janji-janji Allah untuk diberi kepada hambaNya yang menunaikan puasa secara bersungguh-sungguh.

Jika boleh diibaratkan Ramadhan sebagai sebuah universiti, maka ianya mempunyai sukatan pendidikan yang sangat rapi tetapi memberi markah yang cukup tinggi walaupun dengan praktikal yang sedikit yang dilakukan oleh para siswazah universiti Ramadhan. Universiti Ramadhan menawarkan tiga sijil yang tidak ternilai ketinggiannya. Sijil pertama iaitu rahmat Allah akan diberi kepada para siswazah yang lulus di peringkat awalnya. Sijil yang kedua pula iaitu keampunan yang akan diberi kepada para siswazah yang lulus cemerlang di peringkat pertengahannya, sementara sijil ketiga iaitu pembebasan dari Neraka akan dikurniakan kepada para siswazah yang lulus cemerlang hingga ke akhir semester pengajian.

Akhirnya, ijazah yang ditungu-tunggu oleh para siswazah di Universiti Ramadhan iaitu Ijazah TAQWA yang hanya akan dimiliki oleh siswazah yang benar-benar berjaya dengan menguasai dan mempraktikkan silibus atau sukatan pendidikan di universiti ini.

Ramadhan juga merupakan bulan perjuangan. Sejarah Islam membuktikan kejayaan-kejayaan yang besar dalam menyebarkan dan memperjuangkan Islam berlaku di bulan Ramadhan. Peperangan Badar berlaku pada hari Jumaat, 2 Ramadhan di tahun kedua Hijrah sementara Fathul Makkah berlaku pada 10 Ramadhan tahun kelapan Hijrah yang disusuli dengan peristiwa Khalid Al Walid r.a. meruntuhkan berhala Al Uzza yang berlaku 5 hari sebelum berakhir Ramadhan di tahun ke sembilan hijrah.

Peristiwa perjalanan Rasulullah SAW ke Tabuk yang memberi kegerunan kepada kerajaan Rom ketika itu, juga berlaku di bulan Ramadhan, di mana Baginda telah sampai ke Tabuk pada 26 Ramadhan tahun ke sembilan Hijrah. Di bulan Ramadhan jugalah Islam sampai ke Yaman. Bahkan di bulan inilah berlakunya penyerahan kota Taif kepada Islam, di samping peristiwa pembukaan Andalus, peperangan Zallaqah dimana Sultan Dinasti Murabit, Yusuf bin Tasyifin berjaya mengalahkan tentera Kristian pimpinan Al Fonso IV dan peperangan Yakhliz yang menjadi kebanggaan umat Islam tatkala tentera Islam Daulah Uthmaniyah berjaya mengalahkan tentera Rusia yang mengancam kerajaan Islam.

Kita juga jangan lupa dengan peristiwa perang Yom Kippur yang berlaku pada 10 Ramadhan 1390 Hijrah bersamaan 6 – 22 atau 24 Oktober 1973 bilamana tentera Islam pakatan Mesir dan Syria telah berjaya menawan Garis Bar Lev yang dibina Israel dengan peruntukan yang besar setelah mereka memenangi perang enam hari itu pada tahun 1967, dalam keadaan kubu tersebut didakwa kebal dan mustahil untuk ditawan, tetapi ianya berlaku di bulan Ramadhan juga.

Apabila memahami rentetan kejayaan perjuangan Islam yang telah berlaku di dalam bulan yang mulia ini, maka mungkin inilah hikmah di sebalik isu yang sedang berlaku di Mesir sekarang ini, yang bermula di ambang Ramadhan sehingga masuk ke bulan Ramadhan.  Adakah akan berlaku sekali lagi kejayaan perjuangan Islam di Mesir yang memang sentiasa digeruni oleh musuh-musuh Islam terutamanya Israel? Marilah kita sama-sama berdoa dan berqunut nazilah mudah-mudahan Allah menjadikan bulan ini sebagai bulan kemenangan kepada masa depan Islam di Mesir.

Melihat kepada sejarah yang telah disebutkan itu juga sekaligus menolak dakwaan sesetengah individu yang menganggap bahawa tidak harus berlaku sebarang bentuk pemilihan kepimpinan pada bulan Ramadhan dengan alasan menghormati bulan ibadah ini, bahkan sepatutnya umat Islam lebih cenderung dan yakin untuk memilih pemimpin yang lebih baik untuk membentuk kepimpinan yang bertaqwa, selaras dengan matlamat puasa yang terbesar iaitu untuk mencapai darjat Taqwa.

Akhir sekali, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa dan mudah-mudahan Allah memberikan kekuatan kepada kita semua untuk melakukan yang terbaik dalam semua perkara. Mudah-mudahan kita semua berjaya merebut natijah akhir dari puasa sebulan ini iaitu TAQWA. Amin.

Monday, September 22, 2008

Peristiwa-Peristiwa Di Bulan Ramadhan

(wartawan Bebas)

Selain turunnya wahyu Allah yang pertama di bulan Ramadhan, terdapat beberapa peristiwa besar yang juga berlaku dibulan yang penuh dengan barakah ini. Ketika dahulu, umat Islam yang merupakan umat yang disanjung tinggi dari timur ke barat, kerana terlimpahnya rahmat Allah kesan dari penerapan Islam dalam kehidupan mereka. Namun begitu, pada masa sekarang, setelah runtuhnya entiti penyatuan umat Islam, iaitu Khilafah pada 27 Rejab 1342H (3 Mac 1924), umat Islam dirundung penyakit yang semakin parah. Semoga Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan terakhir bagi umat Islam berpuasa tanpa Khilafah.

Berikut merupakan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadhan:

17 Ramadhan 2H

Perang Badar Al-Kubra

Rasulullah SAW berangkat dari Madinah pada 8 Ramadhan. Ibnu Hisyam menyatakan bahawa perang ini merupakan kemenangan pertama yang menentukan kedudukan umat Islam dalam menghadapi kekuatan kemusyrikan dan kebatilan. Allah SWT telah mengutuskan segerombolan malaikat untuk membantu pasukan muslimin menghancurkan pasukan musyrik. Perang ini berlaku pada pagi Jumaat, 17 Ramadhan 2H di Badar. Kemenangan lebih kurang 300 orang tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah ini yang telah megalahkan lebih kurang 1000 orang tentera musyrikin Mekah.

Ramadhan 5H

Persiapan Perang Khandaq

Persiapan dilakukan dengan mengali parit (khandaq) sekeliling kota Madinah. Tipu muslihat ini tidak pernah digunakan oleh bangsa Arab. Ia diusulkan oleh Salman Al-Farisy. Peperangan ini terjadi pada bulan Syawal dan berakhir pada bulan Dzulkaedah setelah pasukan muslimin berjaya memecahkan belahkan pasukan musuh.

20 Ramadhan 8H

Futuhul Makkah (Pembukaan Kota Mekah) dan Penghancuran Berhala

Rasulullah SAW keluar dari Madinah pada 10 Ramadhan dan berpuasa, lalu diikuti para sahabat. Baginda berbuka di suatu tempat yang dipanggil Mukadid (antara Asfan dengan Amjad). Mekah jatuh ke tangan kaum muslimin tanpa pertumpahan darah. Setelah penaklukan Mekah, Rasulullah tinggal di kota itu selama 15 malam dengan melakukan sembahyang qasar. Menurut Ibnu Ishaq, penaklukan itu terjadi pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Rasulullah mengutuskan Khalid al-Walid untuk menghancurkan berhala Uzza, Amr bin Ash merobohkan Suwa’, dan Saad bin Zaid Al-Asyhaly menumbangkan Manat.

Ramadhan 9H

Perang Tabuk

Rasulullah SAW tidak mendapati tentera Rom lalu kembali ke Madinah.

Utusan Thaif

Utusan Thaif datang ke Madinah untuk masuk Islam dan pada ketika itu juga mereka terus melaksanakan kewajiban-kewajiban dan melaksanakan puasa disana.

Utusan Raja Himyar

Utusan Raja Himyar datang ke Madinah untuk menyatakan kemasukan Islam. Rombongan tersebut diterima dan dimuliakan oleh Rasulullah SAW. Beliau kemudian menulis batas-batas hak dan kewajiban mereka dalam bentuk dokumen bertulis.

Ramadhan 10H

Rasulullah SAW mengutuskan sepasukan tentera dibawah pimpinan Saidina Ali Karamallahu wajhah ke Yaman dengan membawa surat Nabi. Satu suku kaum yang berpengaruh di Yaman terus menerima Islam dan masuk Islam pada hari itu juga. Mereka bersembahyang berjamaah bersama Imam Ali ra. pada hari itu.

Ramadhan 53H

Kemenangan tentera Islam di pulau Rhodes.

Ramadhan 92H

Islam telah tersebar dan membuka kawasan- kawasan baru sehingga ke Afrika Utara, Iran, Afghanistan, Yemen dan Syria. Spanyol di bawah kekuasaan Raja Frederic of the Visigoths. Musa ibn Husair, Wali Khilafah Ummayyah di Utara Afrika, bersama-sama dengan Paglima tentera Islam, Tariq Ziyad yang megetuai 12 000 tentera Islam berdepan dengan tentera kuffar seramai 90 000 yang diketuai sendiri oleh Raja Frederick. Antara peristiwa yang memotivasikan tentera- tentera Allah ini semasa perang ini ialah, apabila Tariq bin Ziyad mengarahkan tenteranya membakarkan kapal- kapal perang mereka sebelum bertempur dengan tentera Raja Frederick. Beliau berkata, ”Sesungguhnya, syurga Allah terbentang luas di hadapan kita, dan dibelakang kita terbentangnya laut. Kamu semua hanya ada dua pilihan, sama ada mati lemas, ataupun syahid”. Pasukan tentera ini bukan sahaja telah mengalahkan tentera-tentera kuffar pimpinan Raja Frederick, malah telah mampu membebaskan keseluruhan Spanyol, Sicily dan sebahagian Perancis. Di sini, bermulanya zaman keemasan Islam di Andalus, dengan Islam menguasainya selama 700 tahun.

Ramadhan 129H

Kemenangan dakwah Bani Abbas di Khurasan dibawah pimpinan Abu Muslim Al-Khurasany.

Ramadhan 584H

Panglima tentera Islam, Salahuddin Al-Ayyubi mendapat kemenangan besar ke atas tentera Salib. Tentera Islam menguasai daerah-daerah yang sebelumnya dikuasai oleh tentera Salib. Ketika bulan Ramadhan, penasihat-penasihat Salahuddin menyarankan agar dia berehat kerana risau ajalnya tiba. Tetapi Salahuddin menjawab "Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam". Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas Benteng Shafad yang kuat. Peristiwa ini berlaku pada pertengahan bulan Ramadhan.

Ramadhan 658H

Semasa kemasukan tentera tartar di Baghdad, yang merupakan pusat pemerintahan Islam pada masa tersebut, tentera Tartar telah membunuh 1.8 juta kaum Muslimin. Selain itu, mereka mengarahkan penduduk Kristian supaya makan babi dan meminum arak secara terbuka dijalanan dan memaksa kaum muslimin turut serta. Azan turut dilarang daripada dilaungkan dan masjid- masjid disirami dengan arak oleh tentera- tentera Tartar yang biadap ini. Kecelakaan ini disambut oleh Saifudin Qutuz, pemerintah Mesir ketika itu dengan mengumpulkan semula kekuatan kaum muslimin untuk meghancurkan tentera Tartar dan bertembung dengan mereka pada Jumaat, 25 Ramadhan 658H (6 September 1260M) di Ain Jalut. Peperangan ini turut disertai oleh isteri Sultan Saifudin Qutuz, Jullanar yang akhirnya syahid di medan pertempuran. Semasa beliau nazak, Saifudin Qutuz memapahnya dan berkata ”Wahai Kekasihku”. Ini dibalas oleh Jullanah dengan mengatakan, ”Janganlah kamu berkata demikian. Kasih lagilah kamu terhadap Islam”. Setelah itu, tentera- tentera ini terus berjihad, dan kemenangan di raih oleh Islam di depan pintu gerbang Mesir di Kota Ain Jalut.

Wednesday, September 3, 2008

BERSAHUR CARA RASULULLAH SAW

(Dari emel)

Setelah kita mengikuti siri-siri kuliah 'copy paste' dari mereka yang berilmu dan ringan tulang untuk berkongsi dengan kita semua, marilah sekali lagi kita baca 'hidangan' ilmu seterusnya berkaitan bersahur pula. Mudah-mudahan ilmu iniakan memberikan keberkatan kepada kita semua dalam usaha mencari redha Allah dan kejayaan di akhirat.

Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Rasulullah s.a.w amat menganjurkan umatnya agar bersahur kerana terdapat keberkatan pada waktu itu. Sabda baginda s.a.w:

"Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan." - Hadis riwayat al-Bukhari no: 1923.

Maksud kerberkatan di sini ialah wujudnya ganjaran serta pahala yang besar di dalam ibadah sahur tersebut. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h: "Keberkatan sahur itu diperolehi melalui beberapa segi, iaitu mengikuti sunnah, menyelisihi ahli kitab, menambah kekuatan dan semangat untuk beribadah, menghindari tabiat buruk yang timbul akibat lapar, menjadi sebab untuk bersedekah kepada orang yang meminta saat itu, menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu yang mustajab dan memberi kesempatan untuk berniat bagi mereka yang belum sempat berniat puasa sebelum tidur." – Rujuk Fathul Baari, Jil. 11, ms. 120.

Antara hikmah disyariatkan bersahur adalah untuk membezakan antara ibadah puasa orang Islam dengan ibadah puasa orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab). Sabda Rasulullah s.a.w:

"Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasaahli kitab ialah makan sahur." - Hadis riwayat al-Tirmizi. no: 643

Ibadah sahur adalah ibadah yang begitu agung sehinggakan Allah melimpahkan rahmat dan malaikat-Nya memohon keampunan bagi orang-orang yang makan sahur.Oleh itu, Nabi s.a.w amat menitik beratkan umatnya untuk bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air. Sabda baginda s.a.w :

"Makan sahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur." - Hadis riwayat Ahmad. no: 10664.

Sebenarnya, kita dibenarkan bersahur sehingga fajar terbit, iaitu sehingga azan solat Subuh dilaungkan. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Kamu semua boleh makan dan minum sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan kerana sesungguhnya dia tidak akan melaungkan azan (melainkan) hingga fajar sodiq benar-benar telah terbit." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1919.

Hadis ini secara tidak langsung membantah pendapat sesetengah pihak yang tidak membenarkan makan dan minum apabila telah masuk waktu imsak. Apatah lagi Allah sendiri telah menegaskan bahawa dibenarkan makan dan minum sehingga terbit fajar, iaitu apabila azan Subuh dilaungkan. Firman Allah S.W.T:

"Makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)." - Surah al-Baqarah: 187

Adalah disunnahkan juga untuk dilewatkan sahur sehingga hampir terbit fajar. Sahal bin Sa’ad r.a berkata:

"Aku makan sahur bersama keluargaku, kemudian akupun tergesa-gesa untuk mendapatkan sujud bersama Rasulullah s.a.w ." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1920.

Qadi Iyadh r.h berkata: "Tujuan Sahal terburu-buru makan sahur adalah kerana waktunya sangat dekat dengan terbitnya fajar." - Dinukil dari Fathul Baari, jil. 11, ms. 114.

Waktu yang terbaik untuk makan sahur adalah lebih kurang sama dengan kadar waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sebelum azan solat subuh dikumandangkan. Menurut Anas r.a, Zaid bin Thabit r.a berkata:

"Kami makan sahur bersama Nabi s.a.w , kemudian baginda berdiri untuk solat. Aku berkata: Berapa lama antara azan dan sahur?” Beliau menjawab: “Kira-kira (membaca) lima puluh ayat." - Hadis riwayat al-Bukhari no: 1921.

Hadis ini telah digunakan oleh mereka yang berpendapat bahawa waktu imsak itu adalah sepuluh minit sebelum terbit fajar. Apabila masuk waktu imsak maka seseorang tidak lagi diperbolehkan makan dan minum. Namun tafsiran yang benar terhadap hadis tersebut adalah Rasulullah s.a.w langsung mendirikan solat subuh setelah baginda makan sahur. Kadar membaca 50 ayat al-Quran antara azan subuh dan sahur bukan waktu imsak seperti yang disangka oleh mereka, tetapi ia adalah kadar waktu Nabi s.a.w memulakan dan mengakhirkan sahur baginda.

Antara hikmah mengakhirkan sahur adalah:

1. Sekiranya seseorang bangun awal untuk sahur, tentu sekali setelah selesai bersahur dia akan kembali ke tempat tidur. Hal ini memungkinkan seseorang itu meninggalkan solat Subuh.

2. Mengakhirkan sahur juga boleh menambahkan kekuatan bagi orang yang berpuasa. Sekiranya seseorang bersahur terlalu awal maka ia akan menyebabkan seseorang itu cepat merasa lapar, dahaga dan keletihan pada siang harinya.

Ikutilah Sunah Dalam Berbuka Puasa

(Dari Emel)

Berbuka puasa bagi orang yang berpuasa adalah wajib. Dalam beramal dengan ibadat ini, seringkali kita lupa untuk mencari dan membongkar bagaimanakah ibadat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Kita hanya ikut sahaja apa yang orang ramai lakukan atau orang tua kita lakukan. Sebagai orang yang berilmu, lebih-lebih lagi golongan profesional, sudah tentu kita tidak mahu puasa kita hanya sekadar puasa orang awam. Tetapi kita mahukan puasa yang terbaik. Untuk mendapatkan yang terbaik adalah mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Berikut adalah panduan berbuka puasa yang boleh sama-sama kita ikuti. Mudah-mudahan ibadat kita pada Ramadhan kali ini adalah ibadat puasa yang terbaik, InsyaAllah.

Oleh : Mohd Yaakub bin Mohd Yunus


Rasulullah s.a.w telah mengajar umatnya beberapa adab yang perlu diberi perhatian ketika berbuka puasa. Antara adab-adab itu ialah:
a. Membaca doa yang thabit daripada Nabi s.a.w.

Ibn 'Umar r.a berkata: "Apabila berbuka puasa, Nabi s.a.w akan membaca: Hilanglah segala kehausan, segala urat-urat telah basah dan semoga tetaplah beroleh pahala.

ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتْ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
(Dzahabaz zhoma u wabtallatil 'uruuqu wa thabatal ajru insyaallah)
– Hadis riwayat Abu Dawud, no: 2010.

Abdullah Ibn 'Umar r.a berkata: "Apabila berbuka puasa bacalah: Ya Allah! sesungguhnya aku memohon rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampunkan aku.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي
(Allahumma inni as aluka birahmatikal lati wasi'ta kulla syai in an taghfirali)"
- Hadis riwayat Ibn Majah, no: 1743.

Di samping doa-doa di atas, kita juga boleh berdoa apa sahaja yang dihajati kerana di antara waktu yang mustajab (makbul) untuk berdoa adalah ketika berbuka puasa. Sabda Rasulullah s.a.w :
"Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka." – Hadis riwayat Ibn Majah, hadis no: 1743.

b. Menyegerakan Berbuka Puasa.
Disunnahkan juga kita menyegerakan berbuka puasa. Waktu paling afdal ialah ketika matahari mula terbenam atau dilaungkan azan Maghrib. Utamakan berbuka dari sibuk berzikir, membaca al-Quran atau ibadah lain kerana perintah Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w bersabda:
"Manusia akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan berbuka puasa." – Hadis riwayat al-Bukhari. no: 1957.

Di dalam sebuah hadis qudsi, Allah S.W.T telah berfirman:
"Sebaik-baik hamba-ku menurut pandangan-Ku ialah orang yang menyegerakan berbuka puasa." - Hadis riwayat al-Tirmizi. no: 636.

c. Berbuka Puasa Dengan Buah Rutab, Tamar Atau Air.
Rutab adalah buah kurma yang masak dan tidak dikeringkan. Ia lembut dan manis. Tamar pula adalah buah kurma yang telah dikeringkan sebagaimana yang banyak terjual di pasaran. Berbuka puasa dengan buah rutab, tamar atau air merupakan sunnah Nabi s.a.w. Anas bin Malik r.a berkata:
"Rasulullah s.a.w berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab. Jika tiada rutab, baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, baginda akan meneguk beberapa teguk air." - Hadis riwayat Imam al-Tirmizi, no: 632.

d. Bersegera Mengerjakan Solat Maghrib.
Hadis di atas tidak menafikan bahawa Rasulullah s.a.w juga menyegerakan solat Maghrib setelah berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air. Namun, sekiranya makanan malam telah terhidang disunnahkan menjamah makan malam terlebih dahulu walaupun solat telah didirikan. Setelah selesai menikmati hidangan, bersegeralah mengerjakan solat Maghrib. Sabda Rasulullah s.a.w:
"Apabila seseorang dihidangkan makan malam sedangkan solat (jemaah) telah didirikan, utamakan makan malam. Janganlah seseorang itu tergopoh-gapah menghabiskan makanan itu sehinggalah dia selesai dalam keadaantenang." - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 674.

Menurut Imam al-Nawawi r.h di dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim, jilid 4, muka surat 208: "Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk."

e. Berbuka Puasa Secara Sederhana.
Firman Allah S.W.T:
"Wahai Bani Adam! Pakailah pakaian kamu yang indahsetiap kali kamu ingin ke tempat ibadat (mengerjakan solat) dan makan minumlah serta janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas." – Surah al-A'raaf : 31

Perlu diingatkan bahawa janganlah waktu berbuka puasa dijadikan medan untuk kita melepas geram kerana sehari suntuk tidak menjamah makanan atau minuman. Sewajarnya, ibadah puasa dijadikan medan untuk melatih jiwa seorang muslim yang bertakwa lagi penyabar direalisasikan ketika berbuka puasa dengan memakan makanan pada kadar yang tidak berlebihan. Sabda Nabi s.a.w:
"Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak mustahail (boleh dilakukan), suaplah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan." - Hadis riwayat al-Tirmizi no: 2302.

f. Menjamu Makanan Untuk Berbuka Bagi Orang Berpuasa.
Sesungguhnya Islam menganjurkan umatnya mengadakan majlis berbuka puasa untuk menjamu makan bagi mereka yang berpuasa terutamanya kepada orang-orang miskin,anak-anak yatim dan mereka yang ditimpa musibah. Firman Allah S.W.T:
"Mereka juga memberi makan sebarang makanan yang dihajati dan disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan (sambil berkata dengan lidah atau hati): Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu semata-mata kerana Allah dan kami langsung tidak inginkan sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih." - Surah al-Insaan: 8-9.

Menjamu makan untuk berbuka puasa telah dijanjikan dengan ganjaran pahala yang begitu besar. Semakin ramai jumlah orang yang dijamu makan, semakin tinggilah jumlah gandaan pahalanya. Sabda baginda s.a.w:
"Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang yang berpuasa, iaitu pahala orang yang berpuasa yang tidak dikurangkan walau sedikit." - Hadis riwayat al-Tirmizi no: 735.

Monday, September 1, 2008

KEISTIMEWAAN BULAN RAMADAHAN

(Dari Emel)

Kehadiran Ramadhan benar-benar suatu nikmat Allah yang besar. Ada yang belum bersedia, ada yang tak bersedia dan ada yang telah bersedia untuk menerima kehadiran bulan yang sangat mahal buat umat Muhammad SAW ini. Tidak kira dalam keadaan apapun kita, Ramadahan telah muncul. Untuk lebih menghayati Ramadhan ini, marilah kita ketahui serba sedikit tentang keistimewaan Ramadhan yang telah dinukilkan oleh penulis di bawah.

Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Kehadiran bulan ramadan merupakan satu rahmat daripada ALLAH. Ia merupakan bulan di mana ALLAH melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-hamba-NYA. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya golongan yang benar-benar beriman dan bertakwa sentiasa menantikan kehadiran bulan Ramadan ini seraya menyambut kedatangannya dengan penuh kegembiraan dan menanggung perasaan yang amat sedih apabila berakhirnya bulan yang penuh berkat ini. Bulan Ramadan telah dimuliakan oleh ALLAH dengan pelbagai keistimewaan berbanding bulan-bulan ALLAH yang lain. Antara keistimewaan yang terdapat pada bulan Ramadan ialah:

1. Disyariatkan Ibadah Puasa

Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan yang mana pada bulan ini disyariatkan ibadah yang amat mulia di sisi ALLAH, iaitu puasa. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Telah tiba kepada kamu bulan Ramadan, iaitu bulan yang penuh keberkatan. ALLAH telah mewajibkan ke atas kamu agar berpuasa pada bulan itu." ­- Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya , hadis no: 9133.

2. Bulan Diturunkan Al-Quran

Kalamullah al-Quran telah diturunkan pada bulan ini. Seluruh umat Islam beriman bahawa al-Quran merupakan kitab yang menjadi petunjuk bagi sekalian hamba ALLAH untuk membezakan di antara kebenaran dan kebatilan. Firman ALLAH S.W.T:

"(Kamu diwajibkan berpuasa) pada bulan Ramadan yang mana diturunkan al-Quran pada bulan itu. (Al-Quran itu) menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan juga membawa keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah." - Surah al-Baqarah: 185.

3. Pintu Syurga Terbuka Luas

Pada bulan Ramadan yang penuh berkat ini juga dibuka seluas-luasnya pintu syurga bagi mereka yang beriman dan taat kepada perintah ALLAH. Bahkan, di bulan yang mulia ini jugalah ALLAH melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-NYA yang menjadi penyebab memudahkan mereka masuk ke syurga. Sabda Rasulullah s.a.w :

"Apabila datang bulan Ramadan, pintu-pintu syurga akan dibuka." - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 1898.

4. Pintu Rahmat (Belas Kasihan Terhadap Hamba-NYA) Terbuka Luas

Pada bulan Ramadan pintu-pintu Rahmat dibuka. ALLAH meluaskan rahmat-NYA agar menaungi seluruh hamba-hamba-NYA yang tekun beribadah dan taat kepada-NYA dengan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Sabda Rasulullah s.a.w :

"Apabila tiba bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu rahmat." ­- Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 1079.

5. Pintu Langit Terbuka Luas

ALLAH membuka pintu langit seluas-luasnya pada bulan Ramadan yang mulia ini untuk menurunkan limpahan rahmat-NYA kepada sekalian hamba-hamba-NYA serta segala amalan-amalan berbentuk ketaatan kepada-NYA akan naik secara terus kepada-NYA. Sabda Rasulullah s.a.w :

"Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu langit dibuka." - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 1899.

6. Pintu-Pintu Neraka Tertutup Rapat

Pintu-pintu neraka pula ditutup serapat-rapatnya pada bulan Ramadan. Ia menunjukkan bahawa pada bulan Ramadan yang mulia ini hamba-hamba ALLAH yang tekun beribadah dan menurut segala perintah-NYA terlindung daripada dorongan untuk melakukan perbuatan-perbuatan terlarang yang boleh menjadi penyebab untuk mereka dicampakkan ke dalam api neraka. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu neraka jahanam ditutup." - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, hadis no: 1899.

7. Syaitan Dan Jin Dirantai

Pada bulan Ramadan syaitan dan jin dirantai untuk menghindari mereka dari mengganggu atau menghasut orang-orang yang beriman. Ada juga ulama mentafsirkan maksud syaitan dibelenggu ialah syaitan tidak dapat merosakkan ibadah manusia pada bulan Ramadan kerana ketekunan manusia melakukan ibadah puasa serta ibadah-ibadah lain. Ini kerana, ibadah puasa itu dapat mengawal nafsu mereka dari terdorong melakukan perkara mungkar.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Apabila tibanya malam pertama bulan Ramadan dibelenggu syaitan-syaitan dan jin yang derhaka." - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan al-Tirmizi, Kitab al-Shaum, hadis no: 618.

Namun, persoalan yang timbul di sini bahawa sekiranya syaitan dan jin dibelenggu pada bulan Ramadan mengapa manusia masih melakukan kemungkaran pada bulan ini? Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, Imam al-Qurthubi r.h telah berkata:

"Apabila semua syaitan terbelenggu tidak bermakna langsung tidak akan berlaku kejahatan dan kemaksiatan. Ini kerana, punca berlakunya kemaksiatan mungkin berpunca daripada faktor selain (hasutan) syaitan seperti diri manusia itu yang sememangnya berperangai buruk, sentiasa melakukan perbuatan mungkar serta manusia yang nafsunya masih terdorong mengikut hasutan syaitan." - Rujuk Fath al-Baari Syarh Sahih al-Bukhari, Tahqiq oleh Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, edisi terjemahan oleh Amiruddin, Pustaka Azzam, Jakarta (1997), jil. 11, ms. 43.

Mungkin ada yang akan tertanya-tanya tentang kebenaran fakta kewujudan syaitan mahupun jin dari jenis manusia. Sebenarnya ALLAH sendiri telah memerintahkan kita agar berwaspada dan memohon perlindungan kepada-NYA dari hasutan kelompok seperti ini.

Firman ALLAH S.W.T:

"Katakanlah (wahai Muhammad): AKU berlindung kepada (ALLAH) Pemelihara sekalian manusia, yang Menguasai sekalian manusia, TUHAN yang berhak disembah oleh sekalian manusia, dari kejahatan pembisik yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (iaitu pembisik) dari kalangan jin dan manusia." – Surah al-Nas: 1-6.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya maksiat dan kemungkaran masih wujud pada bulan Ramadan yang mulia ini. Malah, pada bulan ini kita sebenarnya berkesempatan untuk berkenalan dengan spesis syaitan atau jin dari kalangan kaum manusia. Ya! kita dapat mengenali spesies ini melalui sikap mereka yang enggan mentaati perintah ALLAH. Semoga kita semua terhindar dari tergolong dalam kelompok yang hina ini.

8. Pada Bulan Ini Terdapat Lailatul Qadar

Pada bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding 1000 bulan, iaitu lailatulqadar.

Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadar itu? Lailatulqadar ialah malam yang paling baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin TUHAN mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar." – Surah al-Qadr: 1-5.

Oleh itu, sesiapa yang beribadah pada bulan Ramadan dan menepati malam lailatulqadar, ganjaran pahala amalannya itu melebihi ibadah yang dilakukannya selama 1000 bulan.

Apakah itu Lailatulqadar?

Tentang makna al-Qadr, sebahagian ulama berpendapat ia bermaksud pengagungan. Dari sini dapat kita fahami bahawa lailatulqadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana diturunkan al-Quran pada malam tersebut, turunnya para malaikat, melimpahnya rahmat dan keampunan ALLAH serta ALLAH akan menganugerahkan keagungan (kemuliaan) kepada mereka yang beribadah pada malam itu. Selain itu, apa sahaja yang ditakdirkan untuk kita pada tahun berikutnya ditetapkan oleh ALLAH pada malam itu.

Al-Qadr juga bermaksud penetapan. Oleh itu, lailatulqadar juga bermaksud malam penetapan segala urusan yang bakal berlaku pada tahun berikutnya. Ini jelas bertentangan dengan tanggapan kebanyakan umat Islam di Malaysia yang beranggapan bahawa malam Nisfu Sya’ban merupakan malam ALLAH menetapkan apa yang ditakdirkan untuk kita pada tahun berikutnya. Disebabkan oleh kekeliruan ini, mereka telah menciptakan pelbagai ibadah yang khusus seperti membaca surah Yasin sebanyak tiga kali diselang-selikan dengan doa-doa yang tertentu agar tahun yang mendatang bakal lebih baik dari tahun itu. Ternyata amal ibadah itu termasuk bid’ah paling mungkar kerana tidak ada contoh daripada Rasulullah s.a.w dan wajib ditinggalkan. Rasulullah s.a.w telah mencela amalan bid’ah melalui sabdanya:

"Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (sunnah) serta seburuk-buruk perkara adalah sesuatu yang diada-adakan dalam agama dan setiap yang diada-adakan termasuk kategori bid’ah dan semua bid'ah itu menyesatkan." - Hadis riwayat Muslim dalam Sahihnya, hadis no: 867.

Keistimewaan malam yang penuh berkat ini diperjelaskan lagi oleh ALLAH melalui firman-NYA:

"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang penuh berkat. (KAMI berbuat demikian) kerana sesungguhnya KAMI sentiasa memberi peringatan dan amaran (agar hamba-hamba Kami tidak ditimpa azab). (KAMI menurunkan al-Quran) pada malam yang berkat itu, di samping menjelaskan (kepada malaikat) semua perkara yang mengandungi hikmah serta takdir yang akan berlaku." – Surah al-Dukhaan: 3-4.

Bilakah Berlakunya Lalitaulqadar?

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Carilah lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, hadis no: 2017.

Sabda Rasulullah s.a.w :

"Carilah (lailatulqadar) pada sepuluh malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 1165.

Kombinasi dari kedua-dua hadis di atas dapatlah kita simpulkan bahawa kita sepatutnya menggandakan ibadah pada malam yang ganjil bermula sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan terutamanya pada malam ke 23, 25, 27 dan 29. Ini kerana, pada sepuluh malam terkahir inilah Rasulullah s.a.w mempergiatkan ibadahnya.

Aisyah r.a berkata:

"Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh melakukan ibadah pada sepuluh hari terakhir yang tidak pernah dilakukannya pada waktu lain." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 1174.

Ibadah yang amat dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w ketika berada di bulan Ramadan, antaranya mempergiatkan ibadah qiamullail (solat malam), memperbanyakkan doa, berzikir, membaca al-Quran dan amal soleh yang lain. Doa yang amat dianjurkan dibaca pada malam lailatulqadar selepas membaca tasyahhud adalah sebagaimana hadis yang telah diriwayatkan oleh Ali bin Abu Talib r.a:

"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w membaca pada solat witirnya (selepas tahiyat):

"Ya ALLAH! Sesungguhnya AKU berlindung dengan keredhaan-MU daripada segala kemurkaan-MU. AKU juga berlindung dengan kemaafan-MU daripada segala balasan yang bakal ditimpakan. AKU juga berlindung dengan Zat-MU yang tidak terhitung segala nimat dan belas kasihan yang telah ENGKAU berikan, kami hanya mampu berusaha memuji-MU seperti mana pujian yang layak bagi Zat-MU." – Hadis sahih riwayat al-Tirmizi, al-Nasaai, Abu Daud, Ahmad dan selainnya.

Sunday, August 31, 2008

Semak Semula Perkara-Perkara yang membatalkan Puasa

(Dari emel)

Bagi masyrakat Melayu, terlalu banyak perkara-perkara yang membatalkan puasa. Semasa saya kecik-kecik dulu, memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka adalah batal. Tidak ada yang menerangkan berdasarkan hadis yang sahih. Akhirnya korek hidungpun batal, korek teningapun batal. Punyalah susah bila telinga gatal dan hidung penuh 'serawang' masa tu. Kemudian, seluruh Malaysia riuh bila Tuan Guru Nik Abdul Aziz membuat kenyataan dalam Harakah bahawa korek telinga tidak membatalkan puasa. Tapi, hari ini secara beransur-ansur masyarakat mula memahami dengan lebih baik tuntutan ibadat terutama bab puasa ini apabila ramai ulama' yang kembali dari pengajian mereka di Mesir, Jordan, Madinah, Syria, Patani dan sebagainya yang secara berterusan memberikan penerangan dan penjelasan. Barulah terlihat indahnya Islam dan mudahnya Islam.

Berikut adalah antara apa yang dapat dinukilkan untuk tatapan kita bersama.

(Susunan: Nawawi Subandi)

Terdapat beberapa perbuatan yang wajib dijauhi oleh orang yang puasa, kerana sekiranya perbuatan-perbuatan tersebut dilakukan pada siang hari di bulan Ramadhan, ianya akan membatalkan puasa dan mungkin akan menjadikan ia berdosa. Perkara-perkara tersebut adalah sebagaimana berikut:

1. Makan dan Minum Dengan Sengaja

Allah Subhabahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan makan serta minumlah sehingga terang bagimu benang putih dan benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga (datangnya) malam.” (al-Baqarah, 2: 187)

Dengan demikian, dapat difahami bahawa puasa itu adalah menahan diri dari makan dan minum. Ini kerana sekiranya orang berpuasa sengaja makan dan minum bererti ia telah berbuka (tidak berpuasa). Jika orang yang sedang berpuasa melakukannya atas sebab lupa, salah atau dipaksa, maka ianya tidak membatalkan puasanya. Perkara ini adalah berdasarkan dalil-dalil sebagaimana berikut:

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

“Jika seseorang itu terlupa sehingga dia makan dan minum, hendaklah dia menyempurnakan puasanya, kerana sesungguhnya Allah yang memberinya makan dan minum.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/135) dan Muslim (1155))

“Sesungguhnya Allah memberi maaf kepada umatku kerana salah atau lupa dan kerana dipaksa.” (Hadis Riwayat at-Thahawi di dalam Syarhu Ma’anil Atsar (2/56), al-Hakim (2/198) Ibnu Hazm di dalam al-Ihkam (5/149) ad-Daruquthni (4/171) melalui dua jalan dari al-Auza’i, dari ‘Atha’ bin Abi Rabah, dari Ubaid bin ‘Umair, dari Ibnu ‘Abbas)

2. Muntah Dengan Sengaja

Barangsiapa yang muntah kerana terpaksa atau tidak sengaja, maka tidak membatalkan puasanya. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

“Barangsiapa yang terpaksa muntah, maka tidak wajib baginya untuk meng-qadha puasanya, dan barangsiapa muntah dengan sengaja, maka wajib baginya mengqadhakan puasanya.” (Hadis Riwayat Abu Dawud (3/310), at-Tirmidzi (3/79), Ibnu Majah (1/536) Ahmad (2/498) melalui jalan Hisyam bin Hassan, dari Muhammad bin Siren, dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu. Sanadnya sahih, sebagaimana yang disampaikan oleh Syaikhul Islam di dalam kitab Haqiiqatush Shiyaam, m/s. 14))

3. Haidh dan Nifas

Jika seseorang wanita haidh atau nifas, pada suatu bahagian siang tertentu (di bulan Ramadhan), sama ada di awal atau pun di akhir waktu, maka mereka harus berbuka dan mengqadhakannya. Jika mereka tetap berpuasa, maka puasa tidaklah sah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Bukankah jika haid dia tidak solat dan puasa?” Kami katakan, “Ya.” Beliau berkata, “Demikianlah kekurangan agamanya.”

Dalam riwayat lain disebutkan:

“Beberapa malam dia diam tidak mengerjakan solat dan tidak juga berpuasa pada bulan Ramadhan. Jadi, inilah kekurangan agamanya.” (Hadis Riwayat Muslim (79) dan (80) dari Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu)

Perintah mengqadhakan puasa juga terdapat di dalam riwayat Mu’adzah, dia berkata:

“Aku pernah bertanya kepada ‘Aisyah, “Mengapa orang haid mengqadha puasa tetapi tidak meng-qadha solat?” 'Aisyah berkata, “Apakah engkau wanita Haruri” (Haruri dinisbahkan kepada Harura’ (iaitu) negeri yang jaraknya 2 batu dari Kufah. Mereka yang memiliki sikap membantah dinisbahkan kepada kelompok tersebut (kelompok khawarij)) Aku menjawab, “Aku bukan Haruri, tetapi hanya (sekadar) bertanya.” ‘Aisyah berkata, “Kami pun haid ketika puasa, tetapi kami hanya diperintahkan untuk mengqadha puasa, tidak diperintahkan untuk mengqadha solat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/429) dan Muslim (335))

4. Suntikan Yang Mengandung Makanan

Iaitu menyalurkan zat makanan ke perut dengan maksud memberi makanan bagi orang yang sakit. Suntikan seperti ini membatalkan puasa, kerana memasukkan makanan kepada orang yang sedang berpuasa. Adapun jika suntikan tersebut tidak sampai kepada perut tetapi hanya ke darah, maka inipun juga membatalkan puasa, kerana kandungan cecair tersebut kedudukannya menggantikan kedudukan makanan dan minuman. Kebanyakan orang yang pengsan dalam jangka waktu yang lama diberikan makanan dengan cara seperti ini, seperti jauluz (glukosa) dan salayin (garam/Sodium) , demikian pula zat-zat yang diberikan kepada sebahagian orang-orang yang sakit asma, maka inipun membatalkan puasa.

5. Jima’ (Bersetubuh)

Imam asy-Syaukani berkata (Dararil Mudhiyyah (2/22)): “Jima’ dengan sengaja, tidak ada ikhtilaf (perbezaan pendapat) padanya bahawa perkara tersebut membatalkan puasa, adapun jika jima’ tersebut terjadi kerana lupa, maka sebagian ulama menganggapnya sama dengan orang yang makan dan minum dengan tidak sengaja.”

Ibnul Qayyim berkata (Zaadul Ma'ad (2/66)), “al-Qur-an menunjukkan bahawa jima’ membatalkan puasa sebagaimana halnya makan dan minum, tidak ada perbezaan pendapat dalam perkara ini.”

Dalilnya adalah firman Allah:

“Sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang telah ditetapkan Allah untuk kalian.” (al-Baqarah, 2: 187)

Diizinkan bergaul (dengan isterinya) di malam hari, maka dapat kita fahami bahawa puasa itu dari makan, minum dan jima'. Barangsiapa yang membatalkan puasanya dengan jima’, maka dia harus mengqadhanya dan membayar kafarat. Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, (dia berkata):

“Pernah datang seseorang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kemudian berkata, “Ya Rasulullah, binasalah aku!” Rasulullah bertanya, “Apakah yang membuatmu binasa?” Orang itu menjawab, “Aku menjima’i isteriku di bulan Ramadhan.” Rasulullah bersabda, “Apakah kamu mampu memerdekakan seorang budak?” Orang itu menjawab, “Tidak.” Rasulullah bersabda, “Apakah engkau mampu memberi makan enam puluh orang miskin?” Orang itu menjawab, “Tidak.” Rasulullah bersabda, “Duduklah.” Dia pun duduk. Kemudian ada yang mengirimkan (membawakan) satu wadah kurma kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Rasulullah bersabda, “Bersedekahlah dengan kurma ini.” Orang itu berkata “Tidak ada di antara dua kampung ini keluarga yang lebih miskin dari kami.” Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam pun tertawa hingga terlihat gigi serinya, lalu beliau bersabda, “Ambillah, berilah makan kepada keluargamu.” (Hadis sahih dengan berbagai lafadz yang berbeza dari al-Bukhari (11/516), Muslim (1111), at-Tirmidzi (724), al-Baghawi (6/288), Abu Dawud (2390) ad-Darimi (2/11), Ibnu majah (1671) Ibnu Abi Syaibah (2/183-184) Ibnu Khuzaimah (3/216) Ibnul Jarud (139) asy-Syafi’i (299) Malik (1/297) dan Abdur Razzaq (4/196). Sebahagian mereka memursalkannya dan sebahagian yang lainnya menyambungkannya. Lihat juga di dalam Fathul Bari oleh al-Hafiz Ibnu Hajar (11/516)

Saturday, August 30, 2008

Perjumpaan Ke-3 : Tazkirah Ramadhan

(Wartawan Buletin)

Alhamdulillah, saya sempat bersama-sama sahabat-sahabiat Papisma Terengganu dalam Perjumpaan ke-3. Meskipun tarikh perjumpaan kali ini dan waktunya yang ditukar ke selepas solat Maghrib merupakan ujian berat buat saya, namun Alhamdulillah tekad yang kuat untuk bersama menyebabkan saya menggagahkan diri juga untuk hadir. Maklumlah, cuti 3 hari (sekali dengan cuti Kemerdekaan) mampu memberikan alasan yang kuat untuk balik kampung dan sebagainya.

Apa yang menjadi daya tarikan saya adalah pengisian Ramadhan yang akan disampaikan oleh penceramah jemputan. Maklumlah, kita akan menyambut bulan yang sangat penting iaitu Ramadhan, pastinya kita inginkan yang terbaik. Tapi bagaimanakah mendapatkan yang terbaik itu sebab selama inipun telah mencuba, tetapi sama saja keadaan saya selepas bulan Ramadhan. Saya membuat kesimpulan bahawa saya belum lagi mendapatkan yang terbaik semasa Ramadhan. Jadi, kali ini saya ingin mencari sesuatu tips yang mampu diamalkan bagi mendapatkan Ramadhan yang terbaik dari seorang ustaz yang memang terkenal di Kuala Terengganu ini iaitu Ust. Halias Abu Bakar.

Selepas mendengar apa yang disampaikan, saya merasa bersyukur di atas apa yang saya perolehi dan saya ingin kongsikan dengan semua sahabat/sahabiat kupasan yang telah dibuat oleh penceramah itu.

Persiapan Ramadhan
Doa yang selalu Rasulullah SAW amalkan dan ajarkan apabila menjelang Sya'aban ialah sebagaimana berikut:
"Allahumma baariklanaa fi rajab wa sya'aban, wa baalighnaa Ramadhaan" (Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rajab (yang kami tinggalkan), dan pada bulan Sya'aban (yang sedang kami lalui) dan sampaikanlah kami kepada Ramadhan.)

Rasulullah SAW mengajarkan doa ini agar Allah menyampaikan kita kepada Ramadhan. Mengapa? Kerana sangat bernilai dan mahalnya Ramadhan pada pandangan Rasulullah SAW untuk kita umatnya. Apabila kita berjaya sampai kepada Ramadhan bermakna kita telah mendapat nikmat yang sangat besar kerana berpeluang untuk mendapat rahmat, keampunan dan kebebasan dari api neraka.

Sebab itulah apabila kita diberi peluang untuk bertemu dengan Ramadhan ini maka perlulah bagi kita membuat persediaan agar kita dapat melakukan yang terbaik untuk dipersembahkan kepada Allah SWT. Bukankah dalam bidang kedoktoran ini kita berpengalaman bagaimana persiapan yang perlu dilakukan semasa mahu melakukan pembedahan pesakit? Tujuannya apa? Agar hasilnya adalah yang terbaik. Begitulah dengan Ramadhan ini. Jadi dalam masa hanya 30 hari sahaja nanti, mudah-mudahan dengan persiapan ini akan membolehkan kita melakukan yang terbaik untuk diri kita sendiri.

Apakah hasil yang terbaik yang ingin kita perolehi daripada puasa ini? Hasil yang terbaik ialah TAQWA. Yang bermaksud perisai yang akan menghalang kita dari api neraka. Subhanallah... Bila sebut api neraka, maka Rasulullah SAW menerangkan bahawa api ini mempunyai kepanasan 70 kali ganda dari api dunia. Allah menjadikan api ini dengan membakarnya selama 3000 tahun sehingga menjadi hitam! Ituah neraka yang sangat ditakuti dan ingin dijauhi oleh kita semua.

Sesunggunya tidak ada profesion di dunia ini yang dapat menjamin kejayaan di dunia dan akhirat kecuali taqwa. Tanpanya, manusia akan mudah melakukan kemungkaran, kerosakan dan penyelewengan apatah lagi bila mereka berjawatan besar.

Berikut adalah beberapa tips yang dipetik dari Al-Azkar karangan Imam Nawawi untuk kita jadikan panduan dalam menyambut dan menjalani Ramadhan agar menghasilkan yang terbaik.

1. Bersyukur dengan melakukan sujud syukur sebaik sahaja masuknya Ramadhan.
Ust. Halias menerangkan bahawa sujud syukur adalah perlu kita lazimkan apabila kita mendapat nikmat atau terhindar dari bala sebagai menyatakan kesyukuran dan kegembiraan kita atas kurnia Allah. Sesetengah mazhab tidak mensyaratkan kita berada dalam wudhu' untuk melakukannya malah di tengah-tengah padang semasa bermain bolapun kita boleh melakukannya.

2.Uruskan masa.
Oleh kerana Ramadhan merupakan masa yang sangat singkat (sebulan), sedangkan banyak perkara yang perlu kita lakukan terutama bagi yang sibuk dengan bekerja ini, maka kita perlu menguruskan masa dengan betul. Kita perlu merancang apa yang akan kita lakukan dan apakah target yang perlu kita capai. Sebagai contohnya:
- Tadarus - berapa banyak yang perlu dicapai/khatam.
- Tarawikh - di mana kita nak lakukannya.
- Majlis ilmu - berapa kali kita nak hadiri.
- Menderma - ke mana dan berapa banyak kita nak sumbangkannya.
- etc.

3. Perlu memahami tuntutan Ramadhan.
Kita perlu keluar dari fikiran kebanyakan masyarakat kita yang biasanya menganggap bahawa perkara sunat itu itu perkara yang "tak buat tak apa". Apa yang perlu kita fahami ialah perkara wajib itu umpama perkara yang menentukan hidup dan mati seperti jantung dan kepala kepada jasad jasad kita. Sedangkan perkara sunat itu pula sebagai pelengkap diri kita umpama tangan, kaki, hidung, mulut, telinga dan lain-lain. Bukankah tanpa pelengkap ini hidup kita menjadi tidak sempurna? Seperti OKU? Apakah kita suka begitu? Begitu juga dengan membaca Al-Quran. Ramadhan menuntut kita menghidupkan Al-Quran. Al-Quran menjadi sinonim dengan Ramadhan kerana ia diturunkan dalam bulan Ramadhan. Meskipun membacanya sunat, tetapi tuntutan untuk menghidupkan Al-Quran dan membacanya dalam bulan Ramadhan ini sangat besar. Kita tidak boleh menjadikan Al-Quran untuk 'mengambil berkat' semata-mata.

4. Tadabbur.
Selain membaca Al-Quran, kalau boleh kita ambil satu ayat kita fahami ayat tersebut dan ambil panduan dan tauladan daripadanya. Selepas itu kita ambil ayat yang lain pula. Inilah caranya untuk kita memahami pengajaran dari Al-Quran kerana Al-Quran itu diturunkan adalah menjadi petunjuk kepada manusia.

5. Mendalami ilmu.
Hari ini, kita dihidangkan dengan sumber ilmu dan maklumat yang sangat canggih iaitu internet. Di dalam internet ini penuh dengan ilmu. Apa saja yang kita cari dengan mudah akan kita temui melalui internet. Oleh itu, di dalam bulan Ramadhan ini tambahkanlah ilmu pengetahuan kita melalui majlis ilmu, internet dan sebagainya.

6. Pembinaan rohaniyah insaniyah.
Sabda Rasulullah SAW "Kullu mauludin yuuladun 'alal fitrah" (Setiap bayi itu lahir dalam keadaan fitrah/bersih). Kalau kita umpamakan sebuah kereta. Semasa keluar dari kilang, ianya cukup sempurna. Antara fitrahnya ialah apabila tekan brek, ia akan berhenti. Apabila telah digunakan beberapa lama, ianya akan mengalami kerosakan di sana sini. Tekan brek dah tak berapa nak berhenti kerana brek telah mengalami kerosakan. Kerosakan itu pula perlu ditukar atau diganti untuk membolehkan brek kereta itu berfungsi dengan baik semula. Begitu juga manusia, ketika lahir cukup sempurna. Fitrahnya adalah perlukan Tuhan. Sebagai contohnya, lihatlah ketika sakit. Dengan sendiri mereka akan menyebut "Ya Allah...sakitnya". Namun setelah melalui kehidupan, terdedah dengan berbagai ragam kehidupan, maka manusia telah lari dari fitrahnya. Tak begitu ingat kepada Allah. Kalau kereta masuk ke bengkel untuk dibaiki, maka Ramadhan merupakan bengkel kepada manusia untuk dibaiki semula rohaniyahnya agar kembali kepada fitrah. Alangkah bertuahnya kita dapat menemui Ramadhan kerana kita dapat berpeluang membaiki diri kita. Agar kembali kepada Allah dalam keadaan bersih kerana sebagaimana tidak ada boss yang sukakan pemberian hadiah yang tidak elok dan kotor, begitu juga dengan Allah SWT. Mudah-mudahan kita akan kembali kepada-Nya dalam keadaan fitrah mendapat keredhaan-Nya.

Thursday, August 14, 2008

Persediaan Menyambut Ramadhan

(Prof Madya Maznah Daud)

RAMADAN yang kita tangisi pemergiannya hampir setahun lalu kini bertandang lagi. Kita yang beriman dan yakin pada janji Allah menanti kehadiran bulan penuh berkat ini dengan pelbagai perasaan. Seronok dan bimbang. Seronok kerana diberi peluang berjumpa dan beramal di dalam bulan yang penuh berkat. Bimbang kerana kurang yakin ibadat maksimum akan dapat dilaksanakan. Risau, takut amal tidak membuahkan takwa yang diharapkan.

Sesungguhnya kelebihan dan keistimewaan Ramadan bukan lagi satu rahsia. Allah sudah memilih daripada bulan ini satu detik paling bersejarah dalam kehidupan umat sejagat, iaitu detik turunnya kitab suci paling agung. Kitab yang diturunkan khusus untuk memimpin tangan manusia ke jalan yang benar. Ramadan juga mencatat sejarah gemilang kemenangan golongan yang membawa panji kebenaran ke atas golongan mustakbirin yang mempunyai kekuatan material tiga kali ganda dalam Ghazwah Badar al-Kubra. Ketibaan bulan mulia penuh sejarah ini sewajarnya disambut dan diraikan dengan acara gilang-gemilang. Oleh itu, ketibaannya perlu disambut dengan beberapa persediaan yang cukup selain mengikhlaskan pengabdian kepada Pencipta Yang Maha Esa. Ketibaan sekali lagi Ramadan, untuk kita memperbetulkan diri, meningkatkan iman dan mempersiapkan kekuatan serta bekalan. Seperti doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita. Apabila Rasulullah SAW melihat anak bulan Rejab, Baginda berdoa yang bermaksud:
“Ya Allah, rahmatilah kami dengan Rejab dan Syaaban, dan sampaikan kepada kami Ramadan.” (Hadis riwayat at-Tabrani dan Ahmad)

Betapa besar kurniaan Allah kepada kita pada bulan Ramadan, di mana Rasulullah SAW sudah mengajarkan kita berdoa supaya kita dihidupkan hingga sampai Ramadan, supaya bulan itu dimanfaatkan untuk kita menjadi seorang hamba yang patuh kepada-Nya. Bagi pejuang Islam, peluang mengecapi Ramadan sememangnya ditunggu-tunggu. Apabila tamat Ramadan tahun lepas, kita iringi pemergiannya dengan tangisan penuh ketakwaan dan air mata keinsafan. Bulan itu bukan sekadar nikmat, tetapi penuh ujian serta peluang melipat gandakan amal dakwah mendekatkan kita pada jalan Allah. Persediaan dan perancangan perlu dilakukan untuk memaksimakan segala peluang pada Ramadan ini. Kita maklum, sebarang amal kebajikan yang dilakukan akan diberi balasan berganda. Martabat pahalanya lebih tinggi jika ia dilakukan pada Ramadan. Sunat diberikan pahala wajib, yang wajib digandakan dengan gandaan berdasar keredaan kurniaan Allah. Ketika Ramadan menjelang, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Wahai manusia, menjelang tiba bulan agung lagi berkat. Bulan yang di dalamnya ada satu malam lebih baik daripada 1,000 bulan. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan mengerjakan amalan fardu, seolah-olah dia sudah mendapat 70 pahala fardu pada bulan lain. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan amalan sunat, seolah-olah dia mendapat pahala amalan fardu pada bulan yang lain. Ia adalah bulan sabar iaitu bulan yang awalnya rahmat, tengahnya keampunan dan akhirnya selamat dari neraka.” (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah)

Antara persiapan yang perlu dilakukan menjelang Ramadan ialah :
-Persediaan diri untuk berpuasa. Seminggu sebelum berpuasa kita dikehendaki mengurangkan kadar makanan kita dan lebihkan makan buah-buahan serta sayur-sayuran. Pastikan pembuangan air besar lawas.
-Memahirkan diri dengan segala rukun, sunat, harus, makruh yang berkaitan dengan puasa pada Ramadan, sunat tarawih dan lain-lain lagi.
-Membiasakan diri bangun pada sepertiga malam untuk bertahajud, mendekatkan diri pada Allah. Sebagai persediaan membiasakan tarawih dan tahajud pada Ramadan. Ramadan adalah bulan rukuk dan sujud.
-Memperuntukkan beberapa jumlah wang untuk dijadikan sedekah jariah dan zakat fitrah. Bagi mereka yang sudah akil baligh, maka belajarlah membayar zakat fitrah sendiri. Rancang strategi tersusun untuk memperbanyakkan hafalan, bacaan, tadabbur dan tadarrus al-Quran.
-Melatih dan membentuk diri bersifat mahmudah, sifat terpuji seperti sabar, membanyakkan senyuman kepada sahabat dan kerabat.
-Merendam sifat mazmumah, sifat keji seperti memfitnah, mengumpat dan mengata orang. Kurang bercakap lagha (tidak bermanfaat), tidak berbahasa lucah, kotor dan keji.

Oleh itu, dengan persediaan ini kita sematkan azam dalam untuk mencantikkan dan menyempurnakan amalan fardu yang wajib dan memperbanyakkan amalan sunat pada bulan Ramadan yang akan kita sambut kehadirannya.
Push-Up Arrow