Saturday, January 28, 2012

SMART Di Felda Bukit Bading

Biro IT

Hulu Terengganu, 27 Jan 2012 - Hari ini PAPISMA Terengganu telah berkhidmat jauh di pedalaman iaitu di Felda Bukit Bading, Hulu Terengganu, kira-kira 50 km dari Bandaraya Kuala Terengganu.

Pemilihan tempat di kawasan ini adalah kerana kerjasama masyarakatnya yang baik dan bersungguh-sungguh. Meskipun taraf kehidupan di sini agak memuaskan dengan sistem masyarakatnya yang teratur, kemudahan-kemudahan awam yang baik dari segi jalan perhubungan, pengangkutan, bekalan air, elektrik, telefon dan lain-lain lagi, namun kemudahan kesihatan masih agak sukar kerana kedudukannya yang jauh. Klinik Kesihatan terdekat dari kawasan ini adalah di Pekan Ajil yang terletak kira-kira 20 km dan di Bandar Kuala Berang kira-kira 25 km. Klinik-klinik swasta pula hanya bertumpu di Bandar Kuala Berang.

Oleh itu, adalah sangat wajar pihak SMART PAPISMA mengadakan program untuk memberikan khidmat saringan dan pemeriksaan kesihatan serta memberikan kesedaran kesihatan melalui Kempen Kesedaran Kesihatan (2K) ini.

Seawal pukul 8.30 pagi, team SMART PAPISMA telah sampai di tempat program yang terletak di tapak pasar minggu, Felda Bukit Bading. Suasana pagi yang masih terasa kedinginannya dengan cuaca yang redup dan tiupan angin perbukitan cukup menyegarkan. Sesampainya kami di sana 2 buah khemah telahpun didirikan (Gambar kiri: Program belum bermula). Para petugas pula sedang membuat persiapan terakhir dengan menyusun kerusi, memasang alas meja dan memasang pembesar suara.

Para penduduk yang telah sampai awal masing-masing berkumpul di pondok menunggu bas di seberang jalan sambil berbual-bual dan menghisap rokok. Suatu kebiasaan masyarakat Melayu.

Kami segera membuat persiapan kerana masa terus berjalan. Kelewatan akan menyebabkan program berakhir lewat dan kami mungkin terpaksa bersembahyang Jumaat di dalam perjalanan pulang.

Setelah semuanya selesai, meja pendaftaran terus dibuka bagi mendaftarkan mereka yang ingin mendapatkan pemeriksaan dan saringan darah tinggi dan kencing manis. Para penduduk datang secara beransur-ansur dari pelbagai peringkat usia. Mereka disambut mesra dan dibawa ke meja para petugas SMART PAPISMA yang sedia memberikan khidmat kepada mereka. Kali ini seramai 11 orang petugas SMART PAPISMA telah meluangkan masa dan menginfakkan tenaga bagi menjayakan program ini. Sehingga pendaftaran ditutup kira-kira pada pukul 11.50 pagi, seramai 77 orang lelaki dan 44 orang perempuan telah mendapat khidmat pemeriksaan dan rawatan percuma.

Sebagaimana biasa, sesi pemeriksaan dihentikan kira-kira pada pukul 10 - 11 pagi bagi sesi ceramah 2K. Seterusnya team SMART PAPISMA di bahagikan kepada 5 kumpulan untuk sesi Lawatan Bakti ke 22 buah rumah pesakit dan kurang upaya. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan program berakhir kira-kira pukul 12.00 tengahari. Kemudiannya kami semua dijamu oleh tuan rumah sebelum pulang ke rumah masing-masing.

Sibuk. Para petugas pendaftaran di bahagian lelaki begitu sibuk kali ini yang kebetulannya menerima kehadiran yang melebihi dari bahagian perempuan.

Dr. Suhazeli kelihatan begitu serius membuat persediaan bagi ceramah 2K sebentar lagi. Kelihatan juga Dr. Zaihan yang cukup selesa bertugas di bahagian farmasi sedang menjalankan tugas.

"Encik ni ada kencing manis tak sebelum ini?" Dr. Arif sedang memeriksa seorang penduduk.

"Tekanan darah pakcik ni tinggi sikit ya. Ada makan ubat ke?" Mungkin itulah yang ditanyakan oleh Dr. Nor Haizi kepada pesakitnya.

"Seronok jugak jaga bahagian ni. Tak payah mmikir..." Dr. Zaihan sedang menyediakan ubat seorang penduduk yang telah diperiksa.

"Tinggilah pulak darah pakcik ye..." Seorang pesakit darah tinggi sedang diperiksa oleh Dr. Roslan kerana mengalami masalah pening kepala.

"Dulu pakcik pernah masuk hospital...." Begitu serius sekali Dr. Suhazeli mendengar cerita seorang penduduk sambil membuat pemeriksaan.

Dr. Che Faridah (kanan) sedang dikerumuni oleh orang ramai yang menunggu giliran mereka.

"Kita tengok pulak kandungan gula dalam darah kakak ya..." Dr. Norhasimah sedang melakukan pemeriksaan saringan gula dalam darah.

"Abang ambik ubat ni ya..." Mr. Husain sedang mempreskripsi ubat kepada pesakitnya yang memerlukan ubat.

"Sebelum ni encik ada apa-apa penyakit tak?" Dr. Mohd Ilham sedang menemuramah seorang penduduk sebelum melakukan pemeriksaan.

"Tuan-tuan dan puan-puan, kita berhenti sekejap untuk mendengar ceramah kesihatan ya..." Kira-kira pukul 10 pagi, Dr. Md Arif mempengerusikan sesi ceramah 2K.

Seterusnya Ust. Maliaman seorang penduduk yang gigih dalam masyarakat sedang menyampaikan ucapan dan tazkirah pada pagi ini.

Sebahagian penduduk yang datang sedang memberikan tumpuan kepada tazkirah yang disampaikan.

Akhirnya Dr. Suhazeli memberikan ceramah 2K yang bertajuk Penyakit-Penyakit Kronik Dalam Masyarakat dengan cara yang cukup menarik dan diselang-seli dengan jenaka. Banyak perkara yang disentuh. Bukan semata-mata masalah kesihatan, tetapi masalah gejala sosial, rasuah, meninggalkan perintah agama dan lain-lain.

Selamat berjuang... Dr. Fadilah sedang bersiap sedia untuk Lawatan Bakti.

Baru kembali berjuang... Dr. Nazian (kanan) yang baru kembali dari Lawatan Bakti disambut oleh Dr. Norhasimah.

Setelah semuanya selesai, para petugas SMART PAPISMA menjamu selera di rumah seorang penduduk yang ditugaskan menyediakan hidangan tengahari itu.
(Gambar kiri: Hidangan yang penuh di atas meja)
(Gambar bawah: Mr. Husain (kiri) dan Dr. Suhazeli bersedia menjamu selera). Beberapa orang penduduk yang ditemui mengucapkan ribuan terima kasih di atas usaha yang dilakukan oleh PAPISMA. Meskipun mereka tidak pernah mendengar nama PAPISMA, tetapi selepas ini mereka tidak akan melupakan NGO ini kerana keprihatinannya kepada masyarakat tanpa sedikitpun habuan dunia yang dicari.

Mudah-mudahan dengan sokongan para petugas yang ikhlas, kerjasama penduduk setempat, serta kesungguhan wakil-wakil mereka, PAPISMA Terengganu dapat terus menabur bakti demi melihat peningkatan kesedaran kesihatan bagi meningkatkan tahap kesihatan mereka dan membendung gejala yang tidak sihat dan negatif dalam masyarakat. Pencegahan awal adalah bermula dari diri, keluarga dan masyarakat. Hanya keprihatinan dan kesedaran yang akan mengubah masyarakat ke arah negara yang makmur dan sejahtera.

1 comment:

Zeen said...

Tahniah PAPISMA Terengganu. Moga usaha kalian diberkati-Nya, Insya Allah

Push-Up Arrow