Saturday, January 21, 2012

SMART di Bukit Payong

Biro IT

Jumaat, 20 Januari 2012 - PAPISMA Terengganu melalui SMART PAPISMA terus melangkah dengan cemerlang apabila berjaya menganjurkan program Kempen Kesedaran Kesihatan (2K) di Kg. Padang Kabar, Bukit Payong, Marang semalam. Ia terletak kira-kira 20 km dari Bandaraya Kuala Terengganu. Program kali ini telah berjaya menarik penduduk sekitar seramai lebih 135 orang bagi mendapatkan pemeriksaan dan kaunseling kesihatan secara percuma serta mendengar ceramah kesihatan yang disampaikan oleh Ketua Jabatan Bedah, Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu, Mr. Husain b. Mohamad. Selain itu seramai 22 buah rumah pesakit yang miskin dan uzur turut dilawati bagi membantu mereka dari sudut rawatan kesihatan.

Seramai 13 orang petugas SMART PAPISMA telah mencurahkan bakti mereka bermula pukul 8.15 pagi. Sebaik sahaja kaunter pendaftaran dibuka, para petugas SMART PAPISMA terus 'diserbu' para penduduk yang tidak sabar untuk mendapatkan pemeriksaan sehingga kira-kira pukul 11.50 pagi. Walaubagaimanapun, pemeriksaan kesihatan dihentikan selama sejam untuk ceramah kesihatan dari pukul 10 hingga pukul 11 pagi.

Serius! Dr. Md Arif Ibrahim, Pengerusi PAPISMA Terengganu sedang memberikan kaunseling kepada seorang pengunjung.

Dr. Tuan Norizan, Pakar Bius Hospital Sultanah Nur Zahirah juga turut hadir.

Dr. Suhazeli Abdullah, dari Kuala Berang, Pakar Perubatan Keluarga yang merupakan Penasihat PAPISMA Pusat turut hadir meskipun dalam kesibukan tugas.

Mr. Husain Mohamad, penceramah hari ini turut memeriksa pengunjung yang datang.

Kelihatan Dr. Zaihan Salleh (kanan) pegawai perubatan Klinik Ummi sedang memeriksa tekanan darah seorang pengunjung sementara Dr. Wan Mohamad Razin, Pakar Perubatan Sakit Dalam Hospital Nur Zahirah bertugas sebagai ahli farmasi hari ini.

Dr. Roslan Yusof, pegawai perubatan Klinik Ummi sedang memeriksa tahap gula seorang penduduk.

Kira-kira pukul 10.15 pagi, sebaik sahaja penceramah tiba, program pemeriksaan kesihatan dihentikan buat sementara bagi memberi laluan untuk ceramah 2K. Ceramah dimulakan dengan ucapan aluan pengerusi majlis iaitu Dr. Md. Arif Ibrahim. Seterusnya ucapan wakil penduduk yang sentiasa aktif dan cakna masyarakat iaitu Tuan Haji Yahya Ali. Akhirnya ceramah 2K yang bertajuk barah payudara disampaikan oleh Mr. Husain Mohamad. Ceramah berakhir kira-kira pukul 11.05 pagi. Sebaik ceramah berakhir program pemeriksaan kesihatan diteruskan sehingga 11.50 pagi.

Tuan Haji Yahya Ali sedang menyampaikan kata-kata nasihat kepada penduduk.

Mr. Husain Mohamad sedang menyampaikan ceramahnya dengan penuh semangat.

Kelihatan para penduduk kampung sedang memberikan tumpuan kepada ceramah yang disampaikan.

Ramai juga penduduk yang terpaksa berdiri kerana tidak cukup kerusi. Kelihatan Dr. Norhaizi (vest hitam) juga terpaksa berdiri sambil mengikuti ceramah yang disampaikan.

Ada juga yang duduk di bahagian belakang termasuk para petugas tempatan. Kelihatan juga Dr. Zaihan Salleh (vest hitam) dan Dr. Fadhilah (kanan) sedang berehat sambil mendengar ceramah.

Para petugas SMART PAPISMA juga tidak melepaskan peluang untuk mendengar ceramah yang disampaikan bagi menambahkan ilmu.

Sementara itu, Dr. Arif sibuk melakukan persiapan untuk program lawatan ke rumah-rumah pesakit sebagai khidmat PAPISMA kepada penduduk secara lebih menyeluruh.

Dr. Rosli (kiri) dan Dr. Wan Mohd Ashraf sedang memeriksa house-call bag bagi memastikan ubat-ubatan mencukupi bagi lawatan ke rumah.

"Kami telah bersedia!" Dr. Hazizul Helmy (kiri) dan Dr. Tengku Abd. Kadir antara petugas yang akan membuat lawatan ke rumah pesakit.

Hari ini juga PAPISMA Terengganu akan menyambut para tetamu iaitu sahabat-sahabat dan pimpinan PAPISMA seluruh negara untuk program Momento yang dijadualkan selepas solat Jumaat. Sebahagian daripada mereka mengambil kesempatan untuk melihat dari dekat aktiviti SMART PAPISMA hari ini. Mereka dijamu dengan makanan tengahari yang disediakan oleh penduduk kampung sebagai tanda syukur dan terima kasih atas usaha dan keprihatinan PAPISMA.

Kelihatan Dr. Azrin Omar (dua dari kanan) dari Hospital Selayang, Selangor, peserta Momento yang tiba paling awal disambut oleh Dr. Suhazeli (dua dari kiri) dan Dr. Wan Mohd Razin (kanan). Tuan Haji Yahya juga turut mengalu-alukan ketibaan para tetamu ini.

"Sedap hidangan ni!" Kelihatan para petugas SMART sedang mengambil hidangan.

Dari kiri: Mr. Husain dan tetamu dari Kelantan Dr. Harmy, Dr. Azaharim, Dr. Syed Khaliq, Dr. Tengku Damitri (Phd), Dr. Al Arifin (terlindung) dan Dr. Muhaimin.

Menjamu selera. Duduk dari kiri atas tikar buluh: Dr. Azaharim, Mr. Mazri (dari Hospital Pakar Johor), Dr. Azrin, Dr. Wan Mohd Razin dan Dr. Suhazeli (kopiah hitam).

Alhamdulillah, program hari ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. PAPISMA Terengganu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh jawatankuasa penduduk yang memberikan kerjasama yang cukup baik untuk program kali ini. Meskipun musim hujan masih belum berakhir, hari ini hanya sekejap sahaja hujan renyai-renyai turun, tetapi para pengunjung tidak berganjak untuk mengikuti perogram sehingga akhir.

PAPISMA Terengganu berharap agar program ini akan memberi manfaat yang berpanjangan untuk kesihatan dan kehidupan mereka seterusnya.

No comments:

Push-Up Arrow