Sunday, October 24, 2010

PAPISMA Terengganu Tidak Bersetuju Dengan Islamic Fashion Festival

(Biro IT)

PAPISMA Terengganu memandang berat terhadap Islamic Fashion Festival (IFF) yang dikatakan antara penganjurnya adalah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sendiri yang diadakan di Monte Carlo, Perancis pada bulan Ogos 2010 baru-baru ini. Acara ini telah banyak diperkatakan dan mengundang berbagai reaksi di kalangan umat Islam, sehingga banyak demonstrasi aman telah diadakan bagi membantah program yang dikatakan melampaui batas dan tidak menepati etika Islam itu.

Bagi pihak PAPISMA Terengganu setelah menonton video dan melihat gambar-gambar aksi yang diambil berpendapat bahawa acara ini merupakan suatu kekeliruan terhadap Islam kerana pakaian yang diperagakan adalah tidak menggambarkan pakaian menutup aurat sama sekali. Islam telah menggariskan cara menutup aurat yang mudah difahami melalui Al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW. Malah Akhbar Sinar Harian telah memaparkan panduan menutup aurat pada 1 Oktober 2010 di ruangan Rehal yang memberi fokus kepada Pakaian & Wanita Islam sebagaimana kami paparkan di bawah:
Sebagai sebuah NGO Islam, PAPISMA sentiasa menyeru masyarakat agar mengamalkan cara hidup Islam yang murni. Di antaranya ialah pakaian wanita Islam. Pakaian wanita Islam boleh menjaga keharmonian dan kesejahteraan di dalam masyarakat. Ia dapat mencegah pelbagai perkara negatif seperti rogol dan zina yang membawa kepada sindrom buang bayi, AIDS dan sebagainya.

Islam sangat mengambil berat akan umatnya. Malah terhadap seluruh manusia. Apabila Islam diikuti, masyarakat akan menjadi aman dan sejahtera. Hadis Nabi SAW ada menyebut yang bermaksud:
"Pasti Allah akan menyempurnakan urusan ini (dakwah Islam) sehingga pengendara kuda berjalan dari San’a ke Hadhramaut (di Yaman) tidak takut kecuali hanya kepada Allah dan terhadap serigala atas kambingnya" (HR Bukhari).

Umumnya perjalanan sejauh itu yang melalui padang pasir pula tentunya banyak penyamun dan perompak. Namun, dengan kesempurnaan Islam, golongan manusia tidak lagi menjadi gangguan dan ancaman kepada manusia lain.

Berpakaian Tapi Telanjang Tidak Masuk Syurga Dan Tidak Mencium Baunya

Bagi PAPISMA Terengganu, fesyen yang telah dipertontonkan itu tidak menepati cara menutup aurat dalam Islam kerana masih tidak menutup bahagian yang sepatutnya ditutup dan menampakkan susuk badan wanita. Oleh itu, dengan semangat persaudaraan sesama Islam PAPISMA Terengganu ingin memperingatkan pihak penganjur akan ancaman Rasulullah SAW berhubung pakaian yang tidak menutup aurat:


قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا

"Sabda Rasulullah SAW; dua golongan ahli neraka, saya tidak akan memandang mereka iaitu satu kaum bersama mereka cemeti seumpama ekor-ekor lembu mereka memukul orang ramai dengannya, dan wanita-wanita yang berpakaian tapi bertelanjang, meliuk-lintukkan (badan), menggoyangkan (bahu), kepala mereka seumpama bonggol-bonggol unta yang bergoyang. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium bau syurga sedangkan baunya dapat dicium dari jarak perjalanan yang sangat jauh.”(HR Muslim)

Mudah-mudahan kita semua akan lebih berhati-hati memilih tema bukan semata-mata untuk mendapatkan keuntungan, tetapi kesannya juga perlu diambil kira terhadap masyarakat, agama dan negara.

Sekian terima kasih.
PAPISMA Terengganu

Saturday, October 2, 2010

Reformasi Fatwa Rokok: Dulu Khilaf Kini Ijma’ - Siri 4 (Akhir)

Filed in Makluman on Sep.28, 2010

Kini, Islam Tiada Pilihan Kecuali Mengharamkan Rokok!

SEBELUM saya membentangkan senario reformasi fatwa semasa, setelah ulama dan umat Islam merentasi beberapa dekad yang mengelirukan, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana kesudian anda berdailog dengan tenang di sini, dan memberikan ruang buat saya mengupas konflik rokok yang masih entah bila akan selesai, walaupun hukumnya telah diijmakkan. Namun, sebagai orang-orang beriman janganlah putus asa atau buntu mencari titik-titik persefahaman dan kebaikan sesama kita. Moga-moga kita semua sentiasa mendapat hidayat dan taufiq-Nya.

Saudara/saudari ku yang dikasihi,
Kajian saya mendapati bahawa penemuan bahan-bahan racun rokok serta kesan kepada kesihatan manusia merentasi tiga tahap kematangan; tahap pemulaan, pertengahan dan pasca moden. Inilah faktor primer kepada latarbelakang yang secara langsung mempengaruhi reformasi hukum rokok dari kedudukan dulunya khilaf kepada muktamad atau ijmak.

Hasil perkembangan dunia yang canggih, ahli-ahli sains menemui satu demi satu kesan negatif rokok kepada kesihatan manusia secara ilmiah. Jika buku “Ensiklopedia Dunia”, yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, jilid 18 halaman 347 boleh diterima sebagai antara dokumentasi berautoriti, maka kita tiada pilihan lain kecuali menerima bahawa kemudaratan rokok secara saintifik mula ditemui oleh ahli sains pada pertengahan abad ke 19.

Catatan buku ini menyebut; “Mesin pembuat rokok yang pertama dicipta 1880-an sebelum itu semua rokok digulung dengan tangan. Pada tahun 1960-an ahli sains melaporkan bahawa bahan yang dikenali sebagai tar dan nikotina yang disedut semasa merokok boleh menyebabkan kanser paru-paru, penyakit jantung dan lain-lain. Sejak ini banyak negara meluluskan undang-undang yang menuntut pembuat rokok melabelkan kotak dan karton rokok dengan amaran kesihatan. Iklan rokok di radio dan televisyen juga diharamkan. Manakala Ustaz Zaharuddin Abd Rahman memindahkan kenyataan dari Mahmud Nazim, “al-Tibbun al-Nabawi Wa al-‘Ilmi al-Jadid” bahawa pada tahun 1962 Fakulti Perubatan Diraja Britain mengesahkan kesan buruk rokok terhadap kesihatan, pada tahun 1964 Fakulti Kedoktoran Amerika mengeluarkan satu kajian setebal 387 halaman dan diterbitkan kandungannya di akhbar yang menyebut “Merokok memudaratkan kesihatan secara pasti, ia juga menyebut “rokok menjadi penyebab pelbagai penyakit membunuh".

Rentetan itu, beberapa usaha mengurangkan kesan bahaya rokok telah diperkenalkan pada tahun 1970-an, rokok yang dikurangkan kandungan tar dan nikotina menjadi semakin popular. Pembuat rokok mengurangkan tar dan nikotina melalui perubahan bentuk rokok termasuklah penapis, penggunaan tembakau yang dibancuh, dan penggantian tembakau serta proses pengalihan udara yang melarutkan asap rokok.

Hari ini, pakar-pakar kesihatan dunia berjaya membuktikan secara ilmiah dalam rokok terkandung lebih 4000 jenis racun yang mengancam nyawa manusia. Antara racun paling bahaya ialah hydrogen cyanide (racun yang digunakan dalam bilik gas), toluidine, ammonia (pembersih lantai), urethane, toluene (bahan pelarut), arsenic (racun anai-anai), nickel, phenol (pembersih kuman dan jangkitan), butane (cecair pemetik api), polonium (-210), d.d.t. (racun serangga), acetone (pelekang cat), tar (minyak tar jalan), naphthalene (ubat gegat), cadmium (yang digunakan dalam bateri kereta), carbon manoxide (gas beracun dari ekzos kereta), benzopyrene, vinye chloride (bahan untuk membuat pvc).

Paling menyedihkan, sebelum itu pengeluar-pengeluar rokok menyembunyikan dan memalsukan hakikat kesan rokok kepada awam. Di Amerika Syarikat sebuah syarikat rokok terkenal, Liggett Group Incorporated telah membuat pengakuan dan akhirnya bersetuju untuk menyerahkan beberapa dokumen syarikat untuk diteliti oleh peguam-peguam anti-merokok. Dokumen-dokumen ini adalah penting sekali kerana ianya dianggap sulit dan dirahsiakan oleh syarikat tersebut buat hampir 30 tahun lamanya. Dokumen itu bukan sahaja menjelaskan kandungan racun-racun membunuh, malah nikotin yang terkandung di dalam tembakau terdiri daripada sejenis dadah yang boleh menyebabkan ketagihan.

Hakikatnya, setiap sedutan rokok, perokok memasukkan ke dalam tubuhnya sebanyak 4,000 bahan kimia yang dinyatakan di atas secara senyap. Racun itu terbukti melenyapkan manusia secara global dengan evolusi. Menurut Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. H. Nakajima bahawa setiap tahun lebih kurang 10 juta manusia akan mati akibat merokok, dan 70% daripada kematian ini berlaku di negara-negara membangun.

Dalam suasana sedemikian, umat Islam sepatutnya bertanya secara jujur apakah sikap dan pendirian Islam dalam isu rokok. Masyarakat bukan Islam seluruh dunia telah berusaha sungguh-sungguh dan bertegas menyatakan kejelikan rokok kepada diri, keluarga, masyarakat dan kehidupan. Apakah manusia yang tidak mentauhidkan Allah s.w.t itu begitu menonjol menunjukkan sikap anti rokok, sedangkan umat Muhammad s.a.w masih ragu-ragu, berpeluk tubuh dan memandang sepi akan hal-hal kemaslahatan hidup?

Apapun, senario di atas begitu kuat mempengaruhi reformasi fatwa rokok. Para ulama zaman ini tidak dapat menafikan lagi kemudaratan rokok setelah mendapat nasihat langsung dari pakar-pakar perubatan yang dipercayai.

Dalam pada itu, kecenderungan fatwa setelah memasuki pasca moden amat berbeza sekali. Kaedah mengeluarkan hukum, terutama isu kontemporari telah ditangani secara lebih profesional. Kecenderungan berhukum secara jemaah ulama diinstitusikan sehingga tertubuhnya majlis-majlis fatwa di semua peringkat negeri dan nasional. Paling membanggakan ialah tertubuhnya Akademik atau Majlis al-Fiqh al-Islami pada tahun 1981, berpusat di Jeddah yang dianggotai oleh negara-negara umat Islam (OIC). Akademik fatwa ini boleh disifatkan bertaraf internasional yang paling tinggi berasaskan penglibatan multi kepakaran. Penglibatan multi kepakaran menjadikan intitusi fatwa lebih simple, mantap, matang, komprehensif, sekaligus berjaya menyelesaikan dilema umat Islam semasa. Sehubungan itu Dr. Yusuf al-Qardawi mengatakan fatwa secara berjemaah atau organisasi lebih utama untuk diterima pakai oleh umat Islam zaman ini, terutama berkaitan isu-isu semasa kerana nisbah kemungkinan berlakunya kesilapan itu terlalu rendah. Beliau juga menyeru umat Islam menjadikan institusi fatwa sebagai alternatif kepada sumber hukum yang semasa.

Setakat maklumat di sisi saya, tidak ada lagi negara umat Islam yang tidak mengharamkan rokok. Institusi terbesar dalam organisasi kefatwaan ialah Akademik al-Fiqh al-Islam yang berpangkalan di Jeddah secara rasmi mengharamkan rokok. Fatwa Arab Saudi melalui “al-Lujnah al-Da’imah lil Buhtuh al-‘Ilmiyyah” bernombor 15143 memfatwakan “Semua jenis rokok adalah haram. Maka segala urusniaganya juga adalah haram kerana kemudaratan yang besar keatas agama, badan dan harta. Wajiblah sesiapa yang terlibat dengan perkara ini bertaubat segera”. Di Malaysia, pada 23 Mac 1995 fatwa pengharaman rokok telah dikeluarkan oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Ke-37. Begitu juga Mesir, Kuwait, Syria, Sudan, Qatar, Brunei, Singapura dan lain-lain telah mengharamkan rokok secara rasmi. Resolusi pengharaman dan kaedah menanganinya juga telah diputuskan pada peringkat hukum secara muktamad dan menyakinkan. Sama ada pihak pemerintah mahu menerima dan menguatkuasakan hukum itu atau tidak, hukum rokok tetap haram. Pada asasnya, para ulama melalui institusi fatwa telah menunaikan tanggungjawabnya di sisi Allah s.w.t.

Justeru itu, setakat pengkajian terhadap pendirian ulama kontemporari mengenai rokok, saya berani menegaskan bahawa hukum pengharaman rokok zaman ini adalah bersifat ijmak. Tidak ada lagi keraguan mahupun khilaf. Tidak ada satu negarapun dari negara umat Islam yang mengharuskan rokok waktu ini.

Begitu juga pengharaman rokok secara individu, saya mendapati ulama muktabar zaman ini telah muafakat mengharamkan rokok kecuali syeikh Atiyyah Saqar. Beliau termasuk senarai ulama terbilang dunia yang berasal dari Mesir yang masih berpegang kepada “makruh tahrim” dengan ikatan kepada 3 syarat, iaitu semata-mata menghisap rokok, terutama dalam suasana kawalan, tidak menjejaskan kesihatan secara nyata dan ketiga berkemampuan kewangan yang mencukupi dari perbelanjaan saraan dan tanggungan.

Saudara ku ! kita perlu faham “makruh tahrim” termasuk kumpulan haram juga cuma status dalil pensabitannya secara zann, iaitu tidak putus. Makruh tahrim bukan seperti kedudukan hukum makruh dalam mazhab Syafie yang bermaksud; sewajarnya ditinggalkan, manakala melakukannya tidak berdosa. Bukan dan tidak! Makruh tahrim ialah termasuk kumpulan haram, cuma dalilnya zann bukan qatie. Maka hukum rokok tetap haram dan berdosa. Sebab itu Atiyyah Saqar bertegas sebagai menolak salah faham kenyataannya dengan menyebut; “Makruh tahrim di sisi ku dalam soal ini (rokok) adalah haram tetapi dosa dan hukumannya tidak seberat dan sebesar haram mutlak”.

Penegasan Dr.Yusuf al-Qardawi merupakan fakta muktamad yang menjawab segala kekeliruan ijtihad dan mengakhiri perdebatan ini. Beliau menyebut; “kekhilafan yang terjadi di kalangan fuqaha sewaktu kemunculan rokok bukanlah kekhilafan pada dalil-dalil hukum, tetapi khilaf sekitar pensabitan kemudaratan atau tidak. Mengesahkan kemudaratan pada rokok bukan bidang kepakaran fuqaha, tetapi urusan ahli-ahli sains. Kini ahli sains telah mengesahkan kemudaratan rokok. Sehubungan itu, kekhilafan hukum rokok tidak wujud lagi dan sabitlah hukum rokok itu haram”.

Sejak mula lagi Islam menggariskan prinsip pemakanan yang khas, umum dan terbuka kerana ia berkaitan duniawi yang sangat asasi. Al-Bujairimi dalam kitabnya “Bujairimi ‘ala al-Khatib” mengemukakan firman Allah s.w.t, bermaksud; “Dihalalkan kepada kamu perkara-perkara yang baik-baik dan diharamkan keatas kamu perkara-perkara yang keji”. Rasulullah s.a.w pula menaskan “Tiada jenis memudaratkan (diri) dan memudaratkan (orang lain)”. Sehubungan itu ulama menetapkan kaedah pemakanan; “Setiap yang memudaratkan adalah haram”.

Oleh itu tiada syak lagi bidang pemakanan bukan autoriti ulama semata-mata dan dalam semua keadaan. Fungsi ulama hanya dimandatkan dalam skop nas-nas syarak sahaja. Manakala autoriti mengenal pasti zat, racun, toksik dan sebagainya dalam sesuatu makanan adalah bidang kepakaran ahli sains. Malah ulama yang merumuskan hukum tanpa merujuk kepada ahli sains dalam hal pemakanan telah melanggar etika hukum. Hukumnya tidak sah. Ulama wajib bertanya pakar kerana menjunjung arahan Allah s.w.t, bermaksud; “Kamu bertanyalah ahli zikr (pakar) jika kamu tidak mengetahui”.

Akhukum,
Ustaz Mohd Azhar bin Abdullah
Pensyarah KIAS
Nilam Puri, Kelantan.

Friday, October 1, 2010

Reformasi Fatwa Rokok: Dulu Khilaf Kini Ijma’ - Siri 3

Filed in Artikel - Makalah on Sep.28, 2010

Wahai Saudaraku! - Dulu khilaf Kini Ijmak

PADA suatu ketika dulu dunia umat Islam pernah gawat dengan isu perdebatan hukum rokok. Apapun, perdebatan yang berpanjangan itu tidak menokhtahkan resolusi muktamad sehingga timbul kecelaruan dalam fikiran saya apakah sesuai diistilahkan perdebatan rokok zaman dulu sebagai “kontroversi hukum rokok”! Namun diri saya cukup yakin bahawa perdebatan ulama didasari ketaqwaan dan dilatari etika bukan kedengkian. Mereka telah meninggalkan untuk kita warisan ilmu gemilang, moga Allah s.w.t merahmati ruh mereka- amin.

Kehangatan itu saya dapat dijiwai ketika menelaah kitab-kitab mazhab yang memperdebatkan hukum sigaret. Masing-masing mendirikan hujah, tetapi ternyata kesepakatan hukum tidak tercapai jua. Umat Islam terus dilema, asap rokok terus disedut dalam kekeliruan dan rokok terus dijual dalam kesangsian.

Namun, apakah pada saat ini yang sebegini canggih dengan penemuan atom, kanser, barah, pembedahan teknologi masih menyebabkan kita berada dalam kegelapan mencari-cari keputusan muktamad hukum sigaret seperti saudara kita yang hidup di zaman kapal layar. Sungguh malang! Oleh kerana Rasulullah s.a.w telah wafat, maka umat Islam barangkali menunggu turunnya nabi Isa a.s untuk memutuskan hukum rokok. Waktu itu barulah kita berpuashati dan menyakini bahawa rokok itu haram dan barulah segala usaha pembasmian dilaksanakan seikhlasnya.

Sebab itu saya pernah berhadapan dengan golongan yang tegar mempertahankan hukum rokok sebagai harus atau paling keras hukumnya makruh sahaja kerana diqiaskan dengan bauan yang kurang menyenangkan. Malah dalam situasi terganggunya konsentrasi dan terputusnya ilham menghisap rokok menjadi wajib. Saya percaya mereka juga terkeliru. Saya juga menyakini bahawa jika mereka diberi peluang melihat kesan rokok secara praktikal dan penunjukkan data-data kajian ilmiah nescaya mereka akan bersikap lebih bijaksana, profesional dan matang. Saya tetap bersabar menunggu detik-detik dimasukkan nur hidayat kebenaran Allah s.w.t ke dalam jiwa manusia.

Saudaraku yang budiman! apakah sebelum anda menanam tembakau atau membuka kilang tembakau atau menjual rokok atau menghisap rokok pernah membuat kajian nekad untuk mengetahui hukum rokok? Jika kajian hukum telah anda buat sudahkah anda pastikan kitab zaman mana yang anda rujuk dan sudahkan membuat perbandingan secara komprehensif? Jika belum membuat rujukan, bererti anda hanya bertanya ulama, tetapi ulama yang pakai kitab mana ia disandarkan. Ulama itu hisap rokok atau tidak! Jika semua di atas anda tidak lakukan maka anda terlibat dalam fenonema rokok berdasar ikut-ikutan atau terpengaruh dengan budaya yang membingungkan.

Sebelum saya membuka forum ini lebih jauh izinkan saya menyedut fatwa rokok negeri Kelantan zaman “Tok Kenali”. Alhamdulillah, keterlibatan langsung saya dalam pengeditan khazanah tak ternilai fatwa negeri Kelantan di bawah kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka menemukan saya fatwa rokok itu. Pertanyaan 202, jilid 1, berbunyi; “Tembakau jawa yang kelaziman orang melayu memakannya (menghisapnya) seperti dimasukkan dalam daun nipah (rokok daun nipah) atau sigaret dan cerut dan lainnya daripada daun tembakau itu. Adakah sekelian yang tersebut itu haram atau makruh atau harus?
Jawapan; “Masalah ini khilaf (berselisih) pendapat ulama. Kata setengah halal dan kata setengah haram. Zat tembakau itu suatu yang harus diisti’malkan dia (digunakan) bahkan sunat jika boleh jadi ubat. Jikalau tidak jadi makruh selama tidak jadi (mendatangkan) mudarat dengan dia pada akal atau badan. Adapun jika jadi mudarat dengan dia maka haram diisti’malkan dia (digunakan).

Jika kita mengkaji secara jujur necsaya kita menemui pangkal masalah yang kita perdebatkan ini. Hukum tembakau dan penggunaannya sebagai rokok bergantung kepada sejauh mana bencana kemudaratan pada akal dan badan manusia. Jika terbukti rokok mengancam kemaslahatan hidup maka hukumnya adalah haram. Dengan itu, saya ingin tegaskan bahawa ulama silam tidak menghalalkan rokok secara mutlak tetapi bersyarat bahawa tidak memudaratkan kemaslahatan hidup manusia. Maka sesiapa yang berhukum harus atau makruh merokok dengan menyandarkan pandangan ulama silam adalah sesuatu kekeliruan yang nyata.

Persoalannya, wajarkah sebagai seorang mukmin begitu rendah mutu penghayatan Islamnya dan tidak sudi memberikan kesungguhan mencari kebenaran. Tidakkah dihambat perasaan, dilingkungi ketakutan dan terasa sedikit bersalah sehingga mendorong kita nekad mencari sebuah kepastian. Soal halal haram makanan termasuk ibadat. Rasulullah s.a.w menyebut; “Tidak tumbuh suatu daging dari usaha yang haram melainkan neraka lah yang utama baginya” Dalam situasi yang lain, amalan dan doa kita tidak diterima oleh Allah s.w.t. Amalan itu walaupun sah kerana memenuhi rukun dan syaratnya tetapi tergantung-gantung tidak diangkat ke langit kerana beberapa asas lain tidak dipenuhi.

Saudaraku!, perdebatan dan perbincangan fatwa rokok mula dicatat dalam kitab-kitab Islam hanyalah selepas 1000 tahun Hijrah. Pada tahap itu ulama membincangkan hukumnya dibawa subjek “al-dukhan”, “al-tutun”, “al-tunbak” dan “al-tabgh.” Manakala perbuatan merokok seringkali diistilah sebagai “al-tadkhin”. Untuk rujukan saudara, sila rujuk dalam Mausu’ah al-Fiqh al-Islami, jilid 12, halaman 65-70. Karya ini berjaya mencatatkan pandangan fuqaha serta aliran mazhab Islam mengenai hukum rokok berserta dengan inti pati pendalilan. Justeru, ruangan ini terlalu sempit untuk membentangkan pandangan tersebut secara rinci. Maka izinkan saya dalam ruangan ini hanya membincangkan dalam suasana semi ilmiah dengan menumpukan mesej dan rumusan yang diperolehi.

Sebelum seseorang berpegang kepada hukum rokok, ia perlu memahami secara jelas 4 senario kematangan ijtihad rokok. Pertama; Dr. Abd al-Jalil Syalabi ahli badan penyelidikan Islam menyatakan menghisap rokok tidak wujud zaman Nabi s.a.w., juga zaman penyusunan teks fiqh para imam yang terawal, juga ketika munculnya mazhab-mazhab fiqh. Perbuatan merokok hanya muncul lebih kurang dalam kurun ke 16 Masihi.
Senario kedua ialah keupayaan fuqaha menyimpulkan hukum rokok amat terhad kepada perumusan dalil-dalil syarak yang umum. Adapun fakta sainstifik mengenai kebaikan atau keburukan rokok tidak diperolehi kecuali dari pemerhatian umum bukan pengkajian. Pada masa mereka itu, dengan tahap teknologi yang seadanya tidak kelihatan secara jelas akan bahayanya merokok itu kepada kehidupan tamadun manusia.
Senario ketiga ialah fokus ulama sewaktu meneliti hukum rokok adalah lebih tertumpu kepada orang yang menghisap itu sendiri bukan kepada bahan yang terkandung dihisap itu serta sejauh mana implikasinya kepada ekonomi dan sosial secara menyeluruh.

Berdasarkan 4 senario di atas, tabiat hukum rokok mengalami reformasi ijtihad kepada 3 peringkat perkembangannya. Peringkat pertama pada zaman permulaan kemasukan rokok ke bumi umat Islam pada tahun 1600. Peringkat kedua tercatat pada zaman pertengahan dan peringkat ketiga ialah zaman moden di mana alat-alat sains mula dicipta.

Sebagai pengetahuan, Dr. Abd al-Jalil Syalabi menjelaskan pada zaman permulaan ada ulama yang menganggap rokok sejenis minuman (syarb) yang hukumnya harus pada zatnya. Hukum ini semata-mata dinisbah kepada orang yang menghisapnya sahaja. Manakala hukumnya secara terperinci, ulama tidak bersepakat menurut kedudukan hukum taklifi yang lima sama ada harus bagi orang yang tidak mendatangkan apa-apa kesan atas hartanya dan kesihatannya, ia seperti kopi dan teh yang diminum. Makruh nisbah bagi orang sedikit hartanya, bila harga rokok itu tidak memberi kesan terhadap hartanya bagi keperluan dirinya, keluarga da orang di bawah tanggungannya serta tidak mendatangkan kesan buruk atas kesihatannya.

Haram nisbah bagi orang yang fakir yang memerlukan harga rokok itu untuk belanja hidup dan keperluannya, sebagaimana haram untuknya bila ada kesan buruk kepada kesihatannya. Sunat bagi orang yang mendapat kecergasan daripada menghisap rokok itu bagi setengah daripada kerja-kerjanya. Kedudukannya seperti kedudukan kopi yang menjadikan orang cergas dan tidak mengantuk. Wajib apabila sabit dengan merokok itu dapat menyembuhkan sesuatu penyakit yang dihidapinya. Kedudukan ini sama seperti ubat yang wajib ia gunakan untuk memulihkan kesihatannya.

Inilah beberapa senario ijtihad pada tahun 1600 tahun dahulu dalam isu rokok. Hakikatnya perbezaan hukum di atas bukan dari khilaf pemahaman nas-nas syarak, tetapi manifestasi kegagalan ulama mendapatkan maklumat sebenar. Al-Syeikh al-Akbar Jad al-Haq menegaskan ulama pada era itu berada dalam dilema antara kebaikan dan kemudaratan rokok. Hakikatnya ulama hanya melihat kepada zahir perbuatan merokok dari daun tembakau yang mengeluarkan asap. Mereka tidak mempunyai maklumat mengenai kandungan dalam tembakau yang membawa bahaya besar kepada paru-paru dan sistem tubuh badan manusia. Manakala pada peringkat pertengahan senario ijtihad mula menampakkan kematangan dengan penyokongan dalil dari saintifik. Namun secara umumnya metodologi penyimpulan hukum syarak masih bergerak secara peribadi. Seorang alim akan berijtihad bersendirian menurut keupayaan alat-alat ijtihad tanpa khidmat nasihat secara khusus dari pakar-pakar sains berkaitan. Contoh mantan Syeikh al-Azhar bernama Syaltut (1893-1963M) menghukum rokok pada kedudukan sama ada haram atau makruh. Beliau mengingatkan bahawa senario ijtihad rokok pada zaman permulaan kemunculannya sesuatu yang tidak jelas dan muktamad. Adapun hukum yang rajih pada zaman ini ialah sama ada haram atau makruh.

Kesedaran terhadap keterbatasan serta kesilapan hukum rokok mula menonjol setelah bukti demi bukti kemudaratan rokok secara saintifik dapat dibuktikan. Mufti Mesir, Dr. al-Syeikh Ahmad al-Tayyib menyebut perbincangan hukum rokok pada peringkat silam tidak sunyi sama ada haram, harus dan makruh bergantung sejauh mana kesan kemudaratan, pembaziran dan kejelekan baunya. Namun, mutakhir ini kajian ilmiah membuktikan kesan buruk, bahaya dan ancaman terhadap kesihatan dalam mana-mana jua keadaan. Persatuan Kesihatan Dunia dan Persatuan Kesihatan Islam telah menghantar dokumen kemudaratan rokok kepada Majlis Fatwa. Lantas, Majlis Fatwa al-Azhar mengeluarkan kenyataan bahawa jika sabit kemudaratan rokok keatas kesihatan dan kehidupannya maka hukum rokok adalah haram secara syarak.
Push-Up Arrow