(Dr. Md. Arif b. Ibrahim- Pengerusi PAPISMA Terengganu)
Assalamualaikum. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, yang dengan rahmatNya telah menurunkan Al Quran kepada hambaNya Muhammad SAW pada bulan Ramadhan, untuk disampaikan kepada manusia, sebagai panduan terbaik dan lengkap…sebagai pengemudi di dunia untuk selamat sampai ke negeri akhirat, InsyaAllah.
Marilah juga kita sama-sama bersyukur kerana Allah telah memberikan kita semua peluang untuk terus bersama dengan bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat…bulan yang mesti diisi dengan amalan-amalan kebajikan, sebagai latihan intensif kepada kita semua untuk bersikap ringan tangan dan ringan tulang, berusaha sehabis mungkin untuk mengikis sifat-sifat mazmumah dan kejahatan bisikan hawa nafsu kita sendiri.
Ringkasnya, ia merupakan bulan tarbiyah, samada tarbiyah untuk mendidik diri sendiri, juga tarbiyah untuk melakukan sumbangan dan pengorbanan untuk orang lain. Ia juga adalah bulan jihad, samada jihad melawan hawa nafsu sendiri atau jihad dalam meninggikan kalimah Allah.
Mari kita melihat beberapa persepsi atau mentaliti buruk setiap kali tibanya bulan Ramadhan:
1. Bulan untuk banyak berehat kerana keletihan berpuasa, sehinggalah tibanya waktu berbuka…banyak tidur dan tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan. Juga bulan yang kerap dijadikan alasan untuk bersikap tidak produktif. Jika begitu, bukankah beberapa peperangan yang besar dalam Islam seperti Perang Badar berlaku dalam bulan ini!!!
2. Bulan untuk memperbanyakkan juadah atau hidangan ketika makan, samada ketika berbuka, more atau bersahur. Maka matlamat untuk mengekang hawa nafsu itu tentunya mengalami kegagalan…pembaziran juga tidak dapat dielakkan lagi.
Alangkah baiknya jika pada bulan kurniaan Allah ini, kita boleh melakukan perkara-perkara seperti berikut:
1. Melipatgandakan kerja-kerja kebajikan, termasuklah meningkatkan mutu kerja masing- masing…kerana bukankah kerja baik yang kita lakukan itu juga merupakan ibadah, yang tentunya akan dilipat gandakan balasannya pada bulan ini.
2. Sikap berjimat-cermat…apa yang kita hidangkan sebagai makanan di bulan puasa sepatutnya sama atau mungkin boleh dikurangkan lagi berbanding dengan bulan-bulan yang lain…kerana sumbangan sepatutnya diberi kepada mereka yang lebih berhak supaya ni’mat berbuka dapat dirasai oleh semua.
3. Berusaha untuk tidak meninggalkan solat tahajjud…yang boleh dilakukan seketika sebelumbersahur atau selepasnya, kerana tidak boleh tidak kebanyakan kita mesti bangun bersahur. Jadi jika boleh bangun untuk makan, maka mestilah kita boleh pula bangun untuk bersolat.
4. Berusaha untuk khatam Al Quran selama sebulan bulan Ramadhan. Adalah lebih baik dengan terjemahannya sekali…kerana dalam banyak-banyak bulan, bulan inilah kebanyakan orang lebih bersemangat untuk membaca Al Quran, jadilah berusahalah bersungguh-sungguh untuk mengkhatamkannya.
5. Bersikap dan berfikir dengan lebih kreatif... khususnya kita dalam PAPISMA. Mungkin akan timbul idea atau perancangan yang lebih baik untuk menyerlahkan peranan dan tanggungjawab PAPISMA dalam masyarakat. Biasanya perut yang lapar akan menambahkan kemahuan dan keaktifan berfikir, cuma janganlah kemahuan dan keaktifan itu dihalakan kearah memenuhi keinginan perut sendiri sahaja, tapi sebaiknya diarahkan untuk perkara-perkara yang lebih besar yang melibatkan kepentingan umum, Insya Allah.
Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa mudah-mudahan Allah mengurniakan kekuatan untuk mengisi sepenuhnya bulan ini dengan perancangan dan keazaman yang telah dibina sebelumnya. Mudah-mudahan matlamat ibadah agung ini akan dapat kita capai…iaitu peningkatan TAQWA dan UBUDIYAH, supaya akhir hayat kita dalam keadaan tenang menuju syurgaNya... Amin.
Wassalam
2 comments:
I would like to exchange links with your site papismatrg.blogspot.com
Is this possible?
Sure! You're wellcome.
Post a Comment