Monday, August 2, 2010

LEBARKAN SAYAP, FOKUSKAN HALATUJU

Biro IT

(Dipetik dari Kolum Presiden PAPISMA - KPP3)

LEBARKAN SAYAP, FOKUSKAN HALATUJU

PERUBAHAN PAPISMA

PAPISMA telah memasuki era kedewasaan. Pada usia sebegini banyak perubahan yang berlaku dari segi imej dan penampilan. Banyak juga perubahan yang berlaku dari sudut mental. Sebagai pertubuhan yang meningkat dewasa, PAPISMA perlu sedar bahawa banyak lagi perubahan yang akan dan perlu dialaminya serta bersedia untuk perubahan-perubahan itu. Dalam hal ini, PAPISMA perlu mendewasakan sikap dan pemikiran agar ianya menjadi sebuah pertubuhan yang matang dan ke depan.

KEPIMPINAN YANG BERKESAN

Sejarah telah membuktikan sesuatu yang perlu diteladani iaitu kejayaan sebuah organisasi bergantung kepada kepimpinan yang berkesan yang mendapat sokongan padu ahli-ahlinya. Kepimpinan yang berkesan sudah tentu didahului oleh pemimpin yang berwawasan yang mana wawasannya itu mampu difahami dan dihadam oleh petugas-petugasnya yang merupakan barisan exco yang bertanggungjawab melaksanakan wawasan itu. Sebuah wawasan yang membangkitkan rasa semangat di kalangan ahli-ahlinya. Wawasan yang menjadi dominan dalam pemikiran ahli-ahlinya. Wawasan sebegini yang akan menjana kekuatan kepada organisasinya. Ia akan menjadi sebuah impian yang direalitikan. Nah kini wawasan jangka pendek yang digariskan oleh kepimpinan PAPISMA adalah ingin menjadikan ahli-ahli PAPISMA sebagai Generasi Tarbiyah, seharusnya seluruh ahli PAPISMA menyediakan diri dan bergerak ke arah itu.

WAWASAN PERLU DISATUKAN

Wawasan merupakan impian seorang pemimpin. Bukan setakat impian kecil-kecilan, tetapi sebuah impian yang besar. Ianya dapat disimpulkan dengan sebaris ayat yang menjadi MOTO. Wawasan besar ini perlu disatukan sehingga menjadi wehdatulfikri di kalangan barisan kepimpinan. Perlu diingat bahawa setiap pemimpin di bawahnya juga mempunyai impiannya sendiri. Impian-impian itu perlu digembleng dan disatukan. Kemudian diperturunkan kepada ahli sehingga menjadi sebuah gelombang pemikiran yang terarah kepada satu impian yang sama.
Ingatkah kita contoh wawasan yang dekat seperti Wawasan 2020? Wawasan ini telah banyak mengubah wajah Malaysia dengan drastik meskipun ianya terhalang atas ketidakseimbangan pembangunan material dan rohani serta sikap pemimpin yang mementingkan diri sendiri. Juga ingatkah kita kepada wawasan Negara Berkebajikan yang menumbangkan Barisan Nasional di Semenanjung Malaysia dalam PRU-12 yang lalu? Meskipun sebagai suatu moto yang cukup ringkas, namun seluruh ahli dan jentera parti dapat memahami impian pemimpin sehingga menghasilkan gelombang besar dalam politik negara. Begitulah halnya dengan wawasan PAPISMA yang harus menjadi nadi pergerakan ini.

PERLUNYA ASAS YANG KUKUH

Apabila PAPISMA telah menjadi suatu pertubuhan yang mempunyai wawasan yang jelas kepada ahli-ahlinya, dengan sendiri ia akan menjadi magnet untuk menarik kemasukan ahli dan melebarkan sayapnya. Ahli-ahli tahu apa yang akan dilakukannya. Ahli-ahli tahu apa yang akan diperolehi dari PAPISMA dan ahli-ahli juga tahu mengapa perlu thiqah dan wala' bersama PAPISMA. Umpama membina sebuah bangunan yang tinggi, kerja-kerja asasnya memang berat, kerja yang penuh dengan debu dan titisan keringat, kerja yang terdedah dengan panas mentari yang menyengat... namun ianya perlu menjadi tumpuan dan keutamaan. Jika asas bangunan itu lemah, maka bagunan itu akan mudah roboh meskipun tanpa dimakan oleh anai-anai. Kalau mengikut teori pembangunan, 70% bahan binaan bagi sebuah bangunan tinggi itu adalah pada asasnya yang berada di dalam tanah. Manakala mengikut asas pembinaan jemaah Islam oleh Nabi Muhammad SAW, 13 tahun (di Mekah) daripada 23 tahun perjuangan baginda adalah untuk pembinaan asasnya, sebelum Islam itu sempurna. Itu melibatkan 56% masa dakwah dan perjuangan baginda untuk mengukuhkan asas Islam. Ya... asas PAPISMA adalah tarbiyah. Tarbiyah ilmu, akhlak dan akidah perjuangan.

PERLUNYA MENAMBAHKAN KEAHLIAN PAPISMA

Setelah mengenalpasti bahawa tarbiyah adalah asas kepada pembangunan gerakan PAPISMA, kita juga memahami bahawa ahli yang ramai merupakan aset yang penting kepada perjuangan. Justeru itu, PAPISMA harus bersedia untuk menambahkan ahlinya dengan lebih cepat. Keputusan untuk menukar status keahlian dari ekslusif kepada inklusif merupakan keputusan yang tepat. Namun ramai yang masih terpinga-pinga apabila PAPISMA menukar status keahliannya dari eksklusif (hanya orang-orang tertentu boleh jadi ahli) kepada inklusif (semua orang boleh jadi ahli) termasuk sebahagian pimpinan PAPISMA Cawangan.

Penukaran status keahlian ini merupakan deklarasi yang membolehkan ahli-ahli yang tidak menyertai usrah di kampus menyertai PAPISMA. Bukankah ramai orang baik-baik sekarang asalnya bukan orang yang terlalu baik dahulunya? Oleh itu, PAPISMA juga harus meraikan mereka, sekiranya mereka mahu menganggotai PAPISMA. Pun begitu, Ini tidak bererti kemasukan mereka ke dalam PAPISMA tiada tapisan. Syarat kemasukan ke dalam PAPISMA masih kekal melalui pencadang dan penyokong. Jadi, pembukaan sedikit ruang untuk PAPISMA menerima ahli secara inklusif ini akan membantu PAPISMA menambahkan bilangan ahlinya dengan lebih cepat. Ahli yang kemudiannya perlu menjalani proses tarbiyah bagi menggilap ilmu, akhlak dan memantapkan akidah perjuangan mereka.

MENCARI TAPAK UNTUK MENYEMAI BENIH PAPISMA

Tugas seorang doktor dan profesional kesihatan yang menjadi teras keahlian PAPISMA adalah tugas yang terbatas waktu rehatnya. Banyak usaha-usaha usrah dan tarbiyah yang dilakukan di alam pekerjaan kurang memberikan kesan ekoran kehadiran mereka ke program tarbiyah yang tidak konsisten. Oleh itu, secara realitinya, program usrah dan tarbiyah di alam pekerjaan tidak boleh dijadikan asas pembinaan yang berkesan melainkan ianya sebagai penguat kepada asas yang dibina lebih awal di kampus-kampus, dalam dan luar negara. Itulah tempat paling sesuai untuk menyemai benih PAPISMA. Oleh itu PAPISMA tidak boleh membiarkan tapak ini terbiar tanpa diberi perhatian yang serius. Ia tidak boleh diserahkan kepada adik-adik semata-mata kerana kita ingin membina benih PAPISMA mengikut acuan kita.

Tarbiyah di peringkat ini perlulah diambil perhatian yang khusus dan diadun sedemikian rupa agar mereka yang melalui tarbiyah ini akan menjadi profesional kesihatan yang tidak lurut dipukul ribut dan tidak lemas dilambung ombak di lautan kehidupan yang cabarannya tidak dapat diukur dengan skala richter. Ya... jelas sekali bahawa universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi perlu dijadikan asas tapak pembentukan dan pengembangan benih-benih bakal penggiat NGO PAPISMA. Oleh itu, bukan setakat PAPISMA perlu menghulurkan tangannya ke dalam sistem tarbiyah kampus, malah perlu menceburkan diri ke dalamnya. Bina ilmu, bina akhlak dan bina akidah perjuangan yang kukuh. Nescaya PAPISMA mampu berkembang subur dan melebarkan sayapnya tanpa dapat disekat.

AKHLAK PEMANGKIN DAKWAH

PAPISMA telah membina wadah yang berfungsi sebagai pihak ketiga dalam pejuangan Islam di Malaysia. Ia mempunyai sasaran dakwah yang sangat luas. Pun begitu, kepadatan dan ketidaktentuan masa kerja menyebabkan masa yang dapat disumbangkan secara direct kepada perjuangan sangat terhad. Justeru, akhlak merupakan aset yang sangat besar peranannya dalam dakwah PAPISMA. Ia tidak memerlukan masa dan tempat yang khusus. Ia tidak memerlukan modal dan kebolehan berceramah. Namun kesannya mendalam terhadap orang yang dihadapi. Hadirnya terasa dan perginya dihargai. Sebab itulah juga Rasulullah SAW diutuskan ke dunia... bagi menyempurnakan akhlak.

Sebagai pertubuhan profesional kesihatan, inilah masanya PAPISMA melihat akan kekuatan di sudut ini. Akhlak merupakan pemangkin dakwah yang berkesan. Jadi, pembinaan akhlak merupakan satu tuntutan yang perlu PAPISMA utamakan, bina secara berterusan. Bermula dengan yang mudah. Memberi salam dan senyuman... Bercakap dengan sopan dan sabar dengan orang yang dihadapi. Bersimpati dengan kesakitan, sanggup mendengar segala luahan dan rintihan. Usrah dan perjumpaan boleh menjadi medan muhasabah. InsyaAllah kita mampu membina akhlak bersama.

HALATUJU

Fasa-fasa pembinaan yang berterusan, aktiviti yang dijalankan, harta dan tenaga yang dikorbankan sudah tentu mempunyai halatuju yang besar iaitu Islam mendapat kemenangan. Ingat, PAPISMA merupakan pertubuhan non-partisan. Untuk memenangkan Islam mengikuti jalan Ar-Rasul memerlukan kita berada di medannya. Zaman ini medannya adalah politik dan mediumnya adalah dakwah. Tanpa berada di medan ini kumpulan Islam dan suara Islam akan diperkotak-katikkan .

Oleh itu, di mana PAPISMA? Ya! PAPISMA adalah wadah yang mendokong perjuangan menegakkan Islam itu. Caranya? PAPISMA perlu melakukan segala aktivitinya dengan penuh berstrategi. Sasaran yang dihidangkan kepada PAPISMA cukup besar dan senjata yang dimiliki oleh PAPISMA sangat sukar ditangkis. Oleh itu, peluru-peluru PAPISMA perlu menepati sasaran bagi meraih manfaatnya. Jadi, jangan sia-siakan ruang yang diberi, jangan sia-siakan masa, tenaga dan kewangan yang dikorbankan. Fokuskan halatuju PAPISMA bagi membina kekuatan Jemaah Islam. Jadikan gerakan PAPISMA ini sebagai batu loncatan untuk kemenangan Islam. Namun perlu diingat, PAPISMA masih non-partisan, kita mahu ia dilihat begitu, namun hasilnya adalah untuk kemenangan Islam!! Islam yang memberi nikmat dan rahmat untuk semua makhluk, manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan segala isi muka bumi.

`HANGATKAN KEMBALI KEDINGINAN TARBIYYAH'


A.I. Ghazali
Presiden Papisma 2010-2012

No comments:

Push-Up Arrow