Monday, June 8, 2009

Jadilah Hawariyun Yang Berkualiti

(Abu Afnain)

Pengalaman pertama menghadiri Konvensyen dan AGM PAPISMA di D’ Rhu Resort baru-baru ini merupakan pengalaman yang paling berharga buat saya dan isteri. Jangan terkejut.. tapi itulah betu-betul pengalaman pertama saya menghadiri AGM anjuran PAPISMA… dan banyak yang saya baru pelajari dan amati, sehingga pening, akhirnya terpaksa keluar awal dan tak sempat nak dengar sesi penggulungan, bahkan saya sendiri pun tak pernah ada pengalaman dengar sebelum ni.

Tahniah kepada saudara-saudari yang telah kerapkali menghadiri AGM dan tentu telah banyak menyumbangkan idea untuk PAPISMA. Alhamdulillah, PAPISMA nampaknya terus berkembang, termasuk dari segi peningkatan bilangan ahli, yang sudah pasti menjadi kebanggaan kita bersama.

Namun disana ada perkara-perkara yang perlu kita titik beratkan juga untuk menjaga keutuhan organisasi ini. Bila kita sayang pada sesuatu, tentulah kita akan mengambil apa jua langkah atau terus mempelajari perkara baru untuk menjaga kesayangan kita itu… begitulah ghalibnya.

Prof. Dr. Yusuf Al Qardhawi didalam bukunya, Fiqh Al- Aulawiyyat, menyebut di antara fiqh keutamaan yang penting ialah KEUTAMAAN KUALITI KEATAS KUANTITI; kerana jumlah bilangan yang ramai dan besar bukanlah ukuran sebenar, tapi kebaikan itu terletak pada mutu dan kualitinya.

Banyak juga ayat-ayat Al-Quran yang menempelak golongan yang ramai dan memuji golongan yang sedikit. Contoh-contohnya adalah seperti berikut(mafhumnya):

i. “ Akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman”
(Surah Hud : 17)

ii. “ Tetapi, kebanyakan manusia tidak pandai menggunakan akal”
(Surah Al- Ankabut : 63)

iii. “…..kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan amat sedikitlah bilangan mereka itu”
(Surah Sad : 24)

iv. ‘….dan sangat sedikit dari kalangan hambaKu yang bersyukur”
(Surah Saba’ : 13)

Telitilah semula sejarah pertempuran di antara tentera Talut dan Jalut, yang dinukilkan di dalam Al-Quran, bila tentera Talut tinggal sedikit berdepan dengan jumlah tentera Jalut yang ramai.. namun mereka tetap yakin dengan janji Allah dan terus memberi thiqah kepada pemimpin mereka, akhirnya mereka diberikan kemenangan oleh Allah.

Marilah juga kita bandingkan sejarah dua peperangan besar yang masyhur dalam Islam, yang berlaku ketika Rasulullah (SAW) masih hidup, iaitu peperangan Badar dan Hunain. Allah telah memberi peringatan kepada umat Islam bersempena peristiwa Hunain itu dengan FirmanNya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai para mu’minin) di medan peperangan yang banyak, dan dalam peperangan Hunain, iaitu di waktu kamu merasa bongkak kerana ramainya bilangan kamu, maka bilangan yang banyak itu tidak memberikan manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan cerai-berai. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak melihatnya dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang kafir dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang yang kafir (Surah Al-Taubah : 25-26)

Kedua-dua peristiwa bersejarah itu mengajar kita bahawa kemenangan Islam akan dikurniakan Allah kepada golongan yang tinggi kualiti keimanan serta keikhlasannya, thiqah yang tidak berbelah bagi kepada kepimpinan Islam serta ukhuwah yang kuat.

Saya selalu percaya sesuatu program yang kita rancangkan pun hanya akan berjaya dilaksanakan jika terdapatnya ikatan ukhuwah yang kuat, yang memastikan berlakunya kerjasama yang erat antara satu sama lain. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada sahabat-sahabat di Kuantan yang telah berjaya menganjurkan program yang meninggalkan kesan yang positif ini, walaupun bilangan ahli PAPISMA di zon ini tidaklah begitu ramai (maksud saya, yang aktif)... dan inilah natijah dari ikatan ukhuwah yang saya sebutkan tadi.

Sesungguhnya pendidikan yang telah diberikan oleh Ar-Rasul (SAW) begitu sekali hebat sehingga berjaya melahirkan para sahabat yang mempunyai kualiti yang sangat tinggi, sehingga lahirnya apa yang dinamakan oleh As-Syahid Syed Qutb sebagai “ Generasi Al-Quran Yang Unik”, yang sanggup menyerahkan jiwa raga mereka untuk Islam.

Kesinambungan pentarbiyahan ini diteruskan oleh para sahabat Baginda (SAW), termasuklah di zaman Khulafa Al-Rasyidin, dan disambung oleh generasi yang seterusnya. Tumpuan pentarbiyahan untuk melahirkan insan yang berkualiti ini juga telah berjaya melahirkan ramai ulama yang muktabar, yang telah banyak memberikan sumbangan dalam beberapa disiplin ilmu walaupun dalam tempoh yang agak singkat. Contohnya, Imam Syafi’i dan Imam Nawawi meninggal ketika berusia 45 tahun, Imam Ghazali meninggal ketika berusia 55 tahun, dan begitu jugalah kebanyakan ulama muktabar yang lain… Tapi perhatikanlah sumbangan mereka kepada dunia Islam.

Mengimbas kembali fakta tersebut, terasa diri begitu kerdil, dalam usia yang menjangkau angka 4 di depan sekarang ini, diri merasakan seolah-olah tiada seberapa sumbangan kepada Islam... jadi kemanakah hilangnya kualiti diri ini!!!

Diantara kualiti yang mahu kita amalkan juga ialah melakukan sesuatu pekerjaan dengan sempurna, teliti dan terbaik. Fiman Allah, mafhumNya: “dan ikutilah yang terbaik dari apa–apa yang diturunkan Rabbmu” (Az-Zumar : 55). Firman Allah lagi yang mafhumnya: “Tidaklah sama antara kebaikan dan keburukan itu, maka cegahlah keburukan dengan cara yang terbaik (Al-Fussilat : 34). Sehinggalah keperingkat menyembelih binatang pun, Islam mengajar kita supaya melakukannya dengan cara yang terbaik (sehingga tidak menyeksa binatang)…apatah lagi dalam konteks dakwah ini…

Bendahari PAPISMA Pusat tentu tersenyum jika saya katakan di antara ciri-ciri ahli yang berkualiti itu adalah ahli-ahli yang tidak culas membayar yuran tahunan. Dengan jumlah ahli seramai lebih kurang 430 orang, tentulah jumlah kutipan yuran akan berjumlah sekitar RM26 000 setahun, tidak termasuk sumbangan dari individu-individu yang memberi sumbangan bulanan.. dari segi perkiraan matematik, begitulah..

Diantara Fiqh Al-Aulawiyyat yang perlu diberi keutamaan untuk melahirkan insan yang berkualiti juga ialah KEUTAMAAN ILMU KEATAS AMAL. Dalam sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abdul Barr dan selainnya dari Muaz Ibnu Jabal r.a, berkata: “IImu adalah pemimpin, amal adalah pengikut”.

Ilmu merupakan syarat sahnya satu-satu perkataan dan perbuatan, di mana kedua-duanya tidak akan bererti tanpa adanya ilmu yang bertindak sebagai pemandu, mengesahkan niat dan memperbetulkan amalan dan tindakan. Firman Allah, yang mafhumnya: “Hanya sanya, mereka yang takut kepada Allah dari hambaNya adalah orang-orang yang berilmu pengetahuan (ulama’) (Surah Al-Fatir : 78)

Ayat ini menjelaskan yang ilmu pengetahuanlah yang menyebabkan seseorang itu kenal Allah, seterusnya menyebabkan takut dan khusyu’ kepada Allah dan mendorong mereka untuk beramal. Saya pernah mendengar satu kuliah maghrib dari salah sebuah masjid hadhari di sini, yang menyebut, maksud ayat tersebut seolah-olah; sesiapa saja yang takut kepada Allah, maka dialah ulama’.

Persoalannya, mana mungkin perasaan itu boleh berlaku tanpa ada ilmu pengetahuan yang menyebabkan seseorang itu kenal diri dan kenal Allah, yang seterusnya menimbulkan rasa gerun di hati bila memikirkan kekuasaanNya…Sebagai contohnya, mana mungkin seseorang itu boleh takut kepada harimau jika dia tidak ada pengetahuan tentang harimau, dari segi rupanya dan sifatnya yang buas terhadap mangsanya.. atau mungkinkah orang yang tidak ada pengetahuan itu akan membayangkan seekor kucing yang jinak bila disebut perkataan harimau!!!

Bahkan ilmu merupakan syarat utama bagi segala perkara, dari yang sekecil-kecil hinggalah dari segi politik dan kepimpinan, kehakiman dan dalam memberi fatwa. Maka sudah tentulah ilmu sangat penting untuk para guru juga para pendakwah. Dengan ilmulah maka para pendakwah boleh melaksanakan tugas dakwahnya dengan lebih berkesan, boleh memahami kehendak mad’u dan mampu untuk berhujah dengan lebih baik.

Pada saya, ilmulah yang membawa kefahaman kepada seseorang. Walaupun mungkin kedapatan orang yang berilmu tapi dianggap tidak memahami, atau sengaja tidak mahu faham, maka orang yang jahil sudah pasti memang tidak akan faham. Sama juga jika ada yang mengatakan orang yang bersembahyang belum tentu masuk ke syurga, maka orang yang tidak bersembahyang sudah pasti akan ke neraka, Na’uzubillah.

Dengan ilmulah kita boleh memahami sesuatu keadaan. Saidina Ali R.A berkata, maksudnya: Bercakaplah kepada orang perkara yang boleh mereka mengerti, dan tinggalkanlah perkara-perkara yang tidak mereka fahami. Adakah anda ingin mereka memperbodohkan Allah dan RasulNya (SAW)…? (dengan menyampaikan perkara yang sangat pelik kepada mereka sehingga mereka menolak).

Contoh golongan yang mungkin mempunyai semangat, keikhlasan, ketaqwaan tanpa dipandu oleh ilmu dan kefahaman adalah golongan Khawarij, yang sanggup mengangkat pedang membunuh Saidina Ali R.A, dengan alasan untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah.

Prof. Dr. Amin Qudah menulis dalam bukunya ‘Sejarah Khalifah Rasulullah (S.A.W)’, menceritakan kembali detik-detik pembunuhan yang sangat menyayat hati itu. Peristiwa yang berlaku di waktu subuh, tatkala Saidina Ali keluar memanggil manusia untuk bersembahyang seperti kebiasaan baginda. Maka tatkala itulah kelibat pedang Ibnu Muljam mencederakan kepala Saidina Ali, sambil kedengaran berkata,”Hanya Allah memberi hukum wahai Ali, bukan kamu”. Bahkan beliau berkeinginan pula untuk membunuh Muawiyah selepas itu.

Betapa yakinnya golongan Khawarij, bahawa dengan membunuh Saidina Ali, sahabat besar Ar-Rasul (S.A.W) yang dijamin syurga itu, akan mendekatkan diri mereka kepada Allah dengan melaksanakan ketaatan kepadaNya.

Nah… itulah natijahnya jika amalan yang yang berasaskan semangat dan kefahaman yang tidak dipandu dengan ilmu yang betul. Bagi kita, sumber untuk mendapatkan ilmu itu adalah mudah dan banyak sekarang ini. Di antara sumber yang paling penting untuk mendapatkan ilmu dan kefahaman adalah melalui usrah dan tarbiyah. Bagi saya inilah perkara asas yang kita semua kena pastikan berjalan di setiap zon dan penting juga untuk mengelakkan dari berlakunya gejala keciciran. Amatlah tidak kena jika kedapatan ahli PAPISMA yang tidak terlibat dengan usrah dan tarbiyah di zon masing-masing.

Saya yakin disebabkan asas inilah maka kerajaan Kelantan boleh bertahan walaupun dengan kelebihan satu kerusi pada penggal yang lepas. Inilah kualiti yang kita mahu… dan bukankah ini adalah kelebihan dan rahmat berada di bawah kepimpinan ulama’…?

Saya mengingatkan diri saya dan diri saudara-saudari supaya memanafaatkan masa yang singkat kurniaan Allah ini dengan berusaha menjadi insan yang berkualiti dan seterusnya menjadi ‘hawariyyun’ yang berkualiti. Saya berdoa mudah-mudahan peringatan yang tidak seberapa ini dapat memberi kebaikan kepada kita semua…amin.

ABU AFNAIN
4.30pm, 4.06.09, Khamis.

No comments:

Push-Up Arrow