Monday, July 23, 2018

Retreat 1.0 & Rehlah Tarbawi 2.0: Kenyir Damaimu Menagih Resolusi

Oleh: Unit Penerangan & IT

20 Julai 2018

(Untuk melihat keseluruhan gambar-gambar kenangan sila KLIK SINI.)

Pos istimewa - bergambar beramai-ramai di tepi Tasik Kenyir di
Pengkalan Lawit

Kenyir memang sinonim dengan kedamaian. Bagi yang pernah ke sini, mereka akan datang lagi dan lagi... kerana damainya yang mengujakan.

Mereka yang mencari ilham, kenyirlah destinasi terbaiknya ketika semuanya buntu. Mereka yang mencari solusi, kenyirlah tempat terbaik yang perlu dituju. Malah mereka yang ingin memperkemaskan ukhuwah, kenyir juga boleh menjadi tempat nombor satu.

Pemandangan Tasik Kenyir yang indah.
Kenapa kenyir begitu istimewa? Kerana anda akan berada di dunia perairan yang jernih, pemandangan yang alami, penuh kehijauan yang indah dan menenangkan... jauh dari suasana kebingitan, jauh dari suasana kelam kabut. Pendekata, di sini anda boleh melupakan segala risau dan runsing.

Panorama alam yang indah itu sangat berpengaruh, menyusup masuk jauh ke dalam kalbu lalu menghadirkan perasaan yang tenteram di jiwa... dan yg lebih utama ialah kenyir akan membebaskan anda dari kesibukan membelek gajet yang selama ini menjadi pencuri masa anda untuk berinteraksi. Maka di kenyir, anda tidak akan duduk berseorangan memegang telefon tanpa bercakap dengan rakan di sebelah. Atau anda duduk bersama keluarga dan teman-teman tetapi masing-masing hanya tunduk ke bawah memandang skrin dengan tangan mengetik keypad. Sebab itu kenyir sangat sesuai sebagai tempat untuk interaksi dan memulihkan silaturrahim.

Bergambar beramai-ramai sebelum bot bertolak.
Papisma Terengganu telah menjadikan Kenyir sebagai destinasi penting bagi membentuk halatuju dan gerakerja sejak dua tahun yang lalu. Rehlah Tarbawi 2.0 (2018) ini telah dirancang sejak kira-kira dua bulan yang lalu dengan Pengarahnya ialah Sdr. Mohd. Johari Yusof, Setiausaha PAPISMA Terengganu. Setelah bekerja secara konsisten bersama team brainstorming yang diketuai oleh Dr. Mujahid Fauzi, Pengerusi PAPISMA Terengganu, hari ini Alhamdulillah, dengan penyertaan seramai 18 orang 'ahli fikir' dari seluruh negeri Terengganu, Rehlah Tarbawi ini berjaya dilaksanakan. 2 orang menarik diri di saat akhir kerana masalah yang tak dapat dielakkan.

Ratu Kenyir - pilihan Rehlah Tarbawi 2.0
Kami menyewa house boat Ratu Kenyir yang berkapasiti 25 - 30 orang. Sewaan bot semalaman ialah RM1800 sahaja yang dikongsi bersama para peserta. Kali ini kami juga membawa team pancing dan tauk yang tugasnya mencari ikan segar bagi dijadikan menu utama atau menu tambahan. Selain itu segala persiapan seperti pakaian sukan untuk berenang, peralatan brainstorming seperti LCD projector dan komputer serta mobile speaker turut dibawa.

Santai berehat di atas bot menuju destinasi.
Kira-kira pukul 2.15 pm, selepas solat Jumaat di masjid Kg. Pasir Dula, iaitu masjid yang paling hampir dengan Tasik Kenyir, kami terus bertolak ke Pengkalan Lawit yang bersetentang dengan Kampung Gajah. Sebahagian kami meninggalkan kenderaan di Madrasah Al-Ansar, Kg. Basung dan menumpang kereta sahabat-sahabat lain agar meminimakan masalah parking. Rupa-rupanya di sini tidak seperti di Pengkalan Gawi yang congested. Di sini banyak tempat parking mungkin kerana di pengkalan ini tidak banyak house boat yang menggunakannya buat masa ini.

Kami segera menaiki house boat yang sedia menunggu. Namun, tukang masak dan masalah air masak telah menyebabkan masa memulakan perjalanan menjadi agak lewat. Kira-kira pukul 4.15 petang baru kami mula bertolak. Doa perjalanan dibacakan agar perjalanan ini mendapat rahmat, barakah dan perlindungan dari Allah SWT.

Menikmati pulut durian original Kg. Basung.
Sepanjang perjalanan kami hanya berehat dan berinterasksi sesama sendiri sambil menikmanti pemandangan indah yang sukar dilupakan. Kira-kira separuh perjalanan kami dijemput untuk menikmati pulut durian. Wow! dah lama tak makan pulut durian. Apatah lagi durian Basung yang terkenal sungguh lazat dan berbeza.

Mandok adalah salah satu lokasi dari beratus-ratus lokasi menarik di Tasik Kenyir. Ia menjadi destinasi Rehlah Tarbawi 2.0 ini. Perjalanan ke sini memakan masa kira-kira satu jam setengah.sahaja berbanding sebelum ini kira-kira 2 jam setengah. Lokasi ini adalah antara lokasi terdekat yang mempunyai ikan yang banyak. Suasananya cukup tenang dan pemandangannya cukup cantik. Ketika kami sampai, beberapa buah house boat telahpun berlabuh di sini.

Seronoknya dapat bermain dengan kejernihan air Kenyir.
Kira-kira pukul 6.15 petang, kami memulakan taaruf. Selesai taaruf kira-kira pukul 6.45 petang barulah kami memulakan aktiviti bebas. Apa lagi... inilah masa yang ditunggu-tunggu. Tidak ada yang melepaskan peluang ini. Semua peserta terjun ke dalam air Tasik Kenyir yang hangat.

Apabila waktu maghrib menjelang kira-kira pukul 7.30 malam, kami sudahpun berada ditikar sembahyang. Solat fardhu Maghrib dan Isyak secara jamak tamam telah diimamkan oleh Dr. Azhan Hamdan, Timbalan Pengerusi PAPISMA Terengganu dan selaku antara tulang belakang program ini. Beliau membawakan ayat-ayat dari surah Al-Baqarah dengan irama bacaan Sheikh Abdul Rahman As Sudais, imam Mekah yang sangat terkenal. Memang tak puas mendengar bacaannya.

Sesudah solat, tazkirah telah disampaikan oleh Dr. Suhazeli Abdullah yang menyentuh tentang nikmat dan istidraj. Bila Allah sayang, Allah akan gerakkan kita untuk membuat kebaikan dan kebajikan. Tidak meninggalkan solat dan kewajipan. Rezeki yang kita dapat menjadi suatu nikmat. Sebaliknya jika Allah benci, maka Allah akan biarkan kita lakukan apa yang Allah haramkan. Hati tidak merasa apa-apa bila melakukan maksiat dan meinggalkan kewajipan. Rezeki dan kekayaan Allah tetap berikan, namun pemberian Allah di kala itu seolah-olah Allah beri dalam keadaan marah. "Seperti seorang bapa membelikan anaknya Doraemon!" Katanya. Bapanya tak suka, tapi sebab anaknya menangis berguling-guling, maka dibelikannya juga dalam keadaan hati yang mencuka. Rezeki, kekayaan, pangkat dan lain-lain yang dicapai itu seolah-olah suatu nikmat, tetapi sebanarnya adalah istidraj yang akan semakin menjerumuskan lagi mereka ke dalam api neraka. Na'uzubillah.

Makan malam adalah acara yang sangat istimewa di atas bot.
Sesudah tazkirah, makan malam telahpun tersedia dengan lauk makanan kampung yang menyelerakan. Apatah lagi dikombinasikan dengan perut yang lapar, petai dan budu. Fuhh! Meleleh... Petai telahpun disumbangkan oleh Dr. Syuhaimi Zakaria. Beliu mengatakan petai itu hanya perlu kait saja kerana terdapat di halaman rumahnya. Fresh dari taman! 😃

Prof. Dr. Harmy sedang menyampaikan pembentangan.
Sesi pertama brainstorming dimulakan sesudah semua peserta menikmati makan malam kira-kira pukul 8.45 malam. Sesi dimulakan dengan pembentangan 'Brainstorming Guide' oleh Prof. Dr. Harmy Mohammed Yusoff dengan menggunakan LCD projector. Terasa seperti di dewan kuliah pula. Apatah lagi suasana sekeliling yang sunyi sepi. Seperti berada di dalam bilik yang kedap suara. Prof. Dr. Harmy pula merupakan Timbalan Dekan UNISZA yang tersohor dengan pelbagai pembentangannya. Suatu pembentangan yang komprehensif yang menyentuh peranan, halatuju dan strategi bagi mencapai matlamat PAPISMA sebagai sebuah NGO. Semua mata dan telinga tertumpu kepada butir bicara yang disampaikannya.

Perbincangan seterusnya berjalan begitu rancak melalui Kertas Cadangan yang disediakan oleh kepimpinan baru PAPISMA Terengganu. Hampir semua peserta mengeluarkan pendapat bagi mencari solusi terbaik dalam mendepani 'pasca Mei 2017' yang begitu mencabar!

Jemput-jemput menambahkan booster tenaga kepada peserta.
Sesi brainstorming berakhir kira-kira pukul 12.00 tengah malam. Tak terasa masa berlalu begitu pantas. Masing-masing masih bersemangat. Mata masih segar. Otak masih cergas... Apa taknya, sambil berbahas sambil menikmati jemput-jemput dan air kopi! 😃 Tapi Pengerusi PAPISMA Terengganu, Dr. Mujahid Fauzi terpaksa menghentikan perbahasan setelah tiga daripada enam task yang disediakan telah berjaya mendapat solusinya yang tuntas. "Esok pulak." Katanya santai...

Masing-masing tidur dengan nyenyaknya sehinggalah pukul 4 pagi apabila sebahagian peserta telah dikejutkan oleh bunyi alarm clock dari handphone yang tidak diketahui datang dari bilik mana. Bunyi muzik yang berterusan itu telah membangun awalkan sebahagian peserta. Mungkin Allah nak memberi peluang kepada mereka untuk melakukan solat tahajud dan memohon keampunan kepada-Nya. Itulah nikmat. Meskipun nampak seperti satu masalah.

Brainstorming dimulakan awal oleh Dr. Suhazeli
Sebaik azan subuh dikumandangkan, semua peserta bersiap sedia bagi menunaikan solat. Solat fardhu subuh itu telah diimamkan oleh Dr. Farizi yang membacakan surah An-Naba' dengan suara yang lunak mendayu. Mata yang mengantuk menjadi segar sambil menikmati ayat-ayat yang dilantunkan. Ahli-ahli PAPISMA sesungguhnya begitu ramai yang berbakat menjadi imam.

Terus bersemangat mengikuti perbincangan di awal pagi.
Selesai doa, tazkirah subuh disampaikan oleh Dr. Wan Zulkhalid, wakil Kemaman secara spontan. Beliau memulakan dengan ayat 78 surah Al-Baqarah yang bermaksud, “Dan di antara mereka ada yang buta huruf, tidak mengetahui Al Kitab (Taurat), kecuali dongengan bohong belaka dan mereka hanya menduga-duga.” Pengajaran dari ayat ini ialah agar kita mencari kefahaman berkaitan Al-Quran dan ilmu-ilmu Islam agar kita tidak hanya menduga-duga dalam beramal dan memberi hukum. Sedangkan kita tidak benar-benar memahaminya. Kemudian beliau mengaitkannya dengan dengan ayat 5 dari surah Al-Jumu'ah yang bermaksud, "Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya, adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang zalim."

Sarapan pagi.
Seterusnya Sdr. Muzani juga dengan sukarela memberikan tazkirah ringkas tentang "bismillah". Beliau berkongsi satu ilmu dari tazkiran almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nikmat tentang "bismillah'. Mengapa Allah menjadikan bismillah itu satu ayat yang seolah-olah tergantung. Jika satu ayat lengkap, ia mempunyai subjek dan predikat (cerita). Tetapi dalam konteks bismillah ini, ia hanya ada subjek sahaja. Di mana predikatnya? Predikatnya ialah setiap perbuatan kita sendiri. Contohnya bila kita makan, maka "dengan nama Allah" kita makan. Begitu juga "dengan nama Allah" kita bekerja, beribadat, menulis, membaca dan sebagainya. Maka setiap perbuatan muslim itu akan sentiasa ada Allah bersamanya.

Sungguh tazkirah-tazkirah itu adalah tazkirah yang menyentuh hati dan memberi motivasi tersendiri.

Semakin bersemangat - sesi akhir brainstorming.
Sesi brainstorming yang masih belum selesai malam tadi diteruskan sebaik saja selesai tazkirah subuh itu. Maka berlontaranlah pelbagai idea dan pendapat. Diselang-seli dengan senda gurau yang menjadikan sesi percambahan minda itu begitu santai dan menyeronokkan. Itulah kelebihan Kenyir... Segala stress hilang, malah topik-topik berat yang menyakitkan kepala juga menjadi topik ringan yang menarik. Dua task telah diselesaikan pagi subuh yang penuh barakah itu. Semuanya dicatitkan dengan penuh teliti oleh Dr. Farizi.

Kira-kira pukul 8 pagi, sarapan telah sedia untuk dijamah. Sesudah itu brainstorming diteruskan dengan satu lagi task yang perlu diselesaikan. Kira-kira pukul 12 tengahari selesailah task terakhir brainstorming Rehlah Tarbawi 2.0 ini.

Menikmati perjalanan dan pemandangan.
Ratu Kenyir diarahkan untuk mula bergerak menuju ke destinasi sebagaimana pakej yang ditawarkan iaitu Sungai Saok. Tempat itu merupakan tempat mandi manda kerana airnya yang sejuk dan pemandangan yang cantik. Perjalanan menuju ke Sungai Saok memakan masa selama kira-kira 2 jam 15 minit. Namun kedudukannya melintasi titik awal Pengkalan Lawit. Maka jika perjalanan itu dari pengkalan Lawit, ia hanya memakan masa kira-kira 45 minit sahaja. Kami menikmati makan tengahari dalam perjalanan ke Sg. Saok.

Menu makan tengahari itu sangat istimewa iaitu nasi putih berlaukkan ikan goreng dari tasik kenyit yang segar seperti ikan toman, ikan lampan dan sejenis ikan yang tidak dikenali serta ikan baung masak tempoyak. Budu dan petai juga tidak ketinggalan. Ikan-ikan itu adalah hasil tangkapan dari team kail dan tauk yang kami bawa.

Bilal tersohor sedang melaungkan
azan.
Waktu zohor telah masuk dalam perjalanan itu. Azan zohor telah dikumandangkan oleh bekas bilal dan imam terkenal semasa zaman pelajar 22 - 27 tahun yang lalu iaitu Dr. Suhazeli Abdullah. Maka berkumandanglah getaran azan yang merdu dan mendayu dari tingkat satu Ratu Kenyir yang gah membelah samudera Tasik Kenyir itu. Sungguh syahdu memori itu...

Pengalaman melakukan solat di atas bot yang sedang berjalan tidak kami lepaskan. Sebagaimana tertulis di dalam kitab-kitab fekah, arah kiblat yang akan bertukar tidak memudaratkan solat asalkan ketika takbir itu menghadap kiblat. Begitulah ajaran Islam yang dapat kami alami sepanjang perjalanan itu.

Apabila bot berlabuh di pinggiran Sungai Saok, semua peserta telah mengambil peluang itu dengan terjun ke dalam air sekali lagi kecuali Dr. Md Arif. Beliau hanya memerhati saja dari kejauhan sambil mencari ilham. 😄

Malangnya gambar-gambar memori di Air Terjun Sungai Saok tidak dapat dirakam kerana perjalanan ke sana terpaksa melalui air dan masing-masing meninggalkan kamera dan telefon di atas bot. Namun keindahan pemandangan dan suasana itu terpahat kukuh di dalam memori masing-masing.

Kira-kira pukul 3.30 petang, kami mula bergerak pulang menuju ke Pengkalan Lawit. Tiba di Pengkalan lawit kira-kira pukul 4.30 petang. Selamat tinggal Mandok, Selamat tinggal Saok... Jika ada rezeki kita bertemu lagi.

Rehlah Tarbawi 2.0 telah berjaya dilalui, namun kejayaan sebenarnya ialah apabila segala resolusinya dapat dilaksanakan. Doakan kami semua berjaya.

Jika anda ingin melihat lebih banyak gambar-gambar yang menggamit memori boleh klik di bawah ini.


Sila KLIK DI SINI.

No comments:

Push-Up Arrow