Tuesday, October 4, 2011

Di Mana Silap Tarbiyah PAPISMA?

(Biro IT)
-Dari Majalah Sejahtera 3

PAPISMA seharusnya sudah menjadi gerakan yang gah di persada massa tanahair. Meskipun bukan di semua sudut, namun di sudut tertentu yang menjadi profesionalismanya. Namun sehingga kini, ramai mempersoalkan apakah profesionalisma PAPISMA? Saya tidak mampu menjawabnya.

Ahli-ahli PAPISMA sememangnya orang-orang yang cukup ternama. Mempunyai lebih 30 orang pakar di bidang klinikal dan bukan klinikal, dengan status Prof Madya seramai 4 orang. Namun setelah sembilan tahun berada di gelanggang masyarakat, PAPISMA masih belum mampu menonjolkan dirinya dengan 'projek-projek' yang boleh dibanggakan. Setakat ini masih terlalu self centric dan gerakan yang berterusan bersifat membina diri sendiri. Apa sebenarnya yang PAPISMA cari?

Melihat kepada aktivitinya, seseorang mungkin menjangkakan bahawa PAPISMA sedang berusaha meneguhkan dirinya dari sudut ekonomi melalui kerja yang bersungguh-sungguh menubuhkan dan memajukan koperasi, agensi takaful, Perusahaan Kelapa Sawit Al-Iman dan memperkasa GMC ke arah sebuah Hospital Swasta yang maju. Benarkah? Dari sudut lain, PAPISMA dilihat sebagai sayap parti tertentu apabila selalu bekerjasama rapat dalam melakukan aktiviti kemasyarakatan. Di negeri tertentu pula PAPISMA dilihat lebih advance dengan menonjolkan dirinya sebagai sebuah pertubuhan amal dengan aktiviti terus ke dalam masyarakat untuk membawa message kesihatan dan Islam.Tidak pasti mana satu jatidiri PAPISMA yang sebenar.

Kelihatannya PAPISMA masih mencari identiti dirinya. Di peringkat Pusat, ia membina ekonomi, di peringkat negeri, ia sebagai pertubuhan amal. Ironinya, di mata masyarakat ianya masih serupa dengan Pertubuhan Syifa' yang membuat aktiviti percuma merawat penyakit, malah tidak sedikit yang menjadikan PAPISMA ini sebagai persatuan kebajikan yang hadirnya hanya diperlukan ketika ada yang memerlukan. Malah kerap kali terjadi program dibatalkan kerana penganjur memberi tumpuan kepada program yang lebih memberikan political mileage kepada mereka. Mereka hanya menjadikan PAPISMA ini sebagai bola yang boleh saja disepak ke sana ke mari dan ditinggal bila tidak diperlukan.

Bukankah kekuatan PAPISMA ini kerana kepakarannya di bidang perubatan? Kekuatannya kerana ilmu kesihatan? Kekuatannya kerana ahli-ahli profesionalnya yang ramai? Kekuatannya kerana ahli-ahlinya yang ditarbiyah di kampus? Masya Allah... kekuatan yang sangat menggerunkan musuh! PAPISMA umpama tentera badar yang dilengkapi dengan peralatan dan senjata elit. Bukan 313 vs 1000, malah 100,000 sekalipun seharusnya mampu dihadapi oleh 'tentera elit' PAPISMA.

Namun, kenyataannya ahli-ahli PAPISMA begitu takut ke hadapan. Lebih rela dan selesa bergerak di sebalik tabir. Lebih selesa untuk meletakkan belakangnya di tilam empuk dari lantai yang keras dan sejuk. Lebih selesa bekerja sehari-hari di hospital yang tidak perlu menanggung risiko dan cabaran yang besar. Lebih selesa menerima gaji bulanan yang berangkai-rangkai angkanya dan berangan-angan untuk membeli itu dan ini... Mengapa ya? Di manakah tarbiyah mereka? Tidak berkesankah tarbiyah PAPISMA selama ini?

Saya melihat beberapa perkara yang mungkin boleh dikongsikan. Sememangnya mengendalikan ahli yang ramai cukup mencabar. Namun, bukankah PAPISMA mempunyai objektif? Nah! Fokuskan kepada objektif yang ingin dicapai dan mulakan gerakerjanya dari sekarang! Kita tidak boleh seronok membiarkan ahli-ahli terbiar tanpa peranan sedangkan sebahagian besarnya mampu memikul tugas dan tanggungjawab. Kita tidak boleh selesa membiarkan negeri-negeri melakukan aktivitinya dengan sesuka hati sedangkan mereka boleh menjana 'projek' yang lebih besar dan bermanfaat kepada perjuangan. Kita tidak boleh membiarkan hanya exco-exco sahaja yang terpuntang-panting memikirkan apakah aktiviti yang perlu dilakukan sedangkan seharusnya exco sebagai pemudahcara dan pengendali sahaja. Saya percaya di bawah adalah beberapa perkara yang ingin dicapai oleh PAPISMA malah mampu dilakukan secara serentak jika penumpuan dan pembahagian tugas dilakukan dengan bersungguh-sungguh:
1. Hospital Islam
2. Ikon di media massa
3. Aktiviti ekonomi
4. Penulisan
5. Aktiviti Amal

Kita semua melihat bahawa PAPISMA mempunyai ramai orang yang berpotensi dan mempunyai kecenderungannya sendiri. Oleh itu kumpulkan mereka semua. Letakkan mereka di bawah penyeliaan seorang exco bagi setiap bidang. Mulakan kerja untuk mencapai objektif-objektif tersebut.

Tarbiyah Tunjang Keupayaan
Amat sedih bila melihat program-program yang terpaksa dibatalkan kerana kekurangan tenaga dari PAPISMA. Amat malu bila memikirkan bahawa PAPISMA ini pertubuhan yang dihormati dengan berbagai-bagai keupayaan, namun gagal menyediakan keupayaan dari sudut tenaga yang mungkin diperlukan hanya 2 - 3 jam sahaja. Amat kecewa bila muka yang sama saja kelihatan di program-program besar yang memerlukan kehadiran yang ramai... Tetapi, cukup teruja bila tiba musim menderma, RM20 ribu dapat dikumpul dalam sekelip mata... ganjaran akhirat ternyata cukup berjelira kepada ahli-ahli PAPISMA.

Namun, apakah keupayaan kita itu cukup dengan mewakilkan duit sahaja di medan perjuangan? Orang lainpun mampu menyediakan keupayaan itu. Mengapa tidak individu pakar PAPISMA yang ke depan bagi berhadapan dengan masyarakat yang memerlukan orang yang dapat mengubah minda dan persepsi mereka? Nah! di sinilah persoalannya. Apakah tarbiyah PAPISMA telah gagal? Apakah tarbiyah PAPISMA hanya menekankan jihad di bidang harta? Mengapa pakar-pakar PAPISMA menjadi takut lalu membiarkan kelompangan yang sememangnya kosong terbiar kosong?

Database Kepakaran
Setakat ini PAPISMA cukup berbangga dengan kepakaran yang cukup ramai. NGO yang paling ramai dianggotai oleh pakar-pakar perubatan di Malaysia. Tapi... untuk apa dan untuk siapa? Belum cukupkah bilangan itu untuk PAPISMA menggerakkan operasinya? Jika belum cukup sampai berapakah bilangannya diperlukan?

Hospital Islam Dan Ikon Media Massa
Saya melihat dengan bilangan pakar yang begitu ramai, tidak ada sebab mengapa Hospital Islam yang begitu sinonim dengan cita-cita perjuangan kita dulu tidak dapat ditubuhkan. Tidak ada sebab PAPISMA tidak mampu menyediakan individu untuk diketengahkan sebagai ikon media massa. Semua orang boleh mencipta seribu alasan. Namun, jika alasan itu menjadi penghalang perjuangan, usaha menambah kepakaran di dalam PAPISMA hanya seolah-olah sebagai data kebanggaan yang mati, tiada makna kepada perjuangan. Di sinilah tarbiyah PAPISMA perlu dipersoalkan dan dikaji semula.

(Tabib Mustaffa b. Abdurrahman Al-Maniri)

No comments:

Push-Up Arrow