Sunday, September 26, 2010

Tingkatkan Kualiti Diri Ahli PAPISMA

(Biro IT)

(Dipetik dari Kolum Presiden PAPISMA - KPP4)

Tingkatkan Kualiti Diri Ahli PAPISMA

Sahabat-sahabiah yang dihormati dan dikasihi sekalian,
Sempena bulan Syaaban yang mulia ini, hanya tinggal beberapa hari lagi sebelum kita menyambut Ramadhan al-Mubarak, marilah sama-sama kita memerhatikan dan mengambil pengajaran dari 2 peristiwa peperangan yang terkenal dalam sejarah Islam...

1. Perang Badar...yang merupakan peperangan pertama dalam Islam. Tentera Islam yang berjumlah hanya seramai 313 orang telah menentang tentera Musyrikin berjumlah 900-1000 orang yang berakhir dengan kemenangan gilang-gemilang tentera Islam. Peristiwa ini diabadikan dalam Al Quran, mafhumnya: “Dan (Ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu dari 2 angkatan, menjadi untuk (menghadapinya), sedang kamu suka kiranya (angkatan perniagaan) bukan angkatan (perang) yang mempunyai kekuatan itu yang dijadikan kamu (menghadapinya) . Padahal Allah menghendaki untuk menetapkan yang benar (agama Islam) dengan kalimah-kalimahNya dan untuk membinasakan kaum Kafir seluruhnya” (Surah 8:7)

2. Perang Hunain..Peperangan yang disertai oleh seramai 12 000 tentera Islam, 10 000 dari Madinah dan 2 000 dari Mekah, menghadapi Suku Hawazin dan Thaqif. Peristiwa ini diabadikan seperti mafhum FirmanNya: “ Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai para Mukmin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) Peperangan Hunain, iaitu kamu menjadi bongkak kerana ramainya jumlah kamu, maka jumlah yang ramai itu tidak memberi manafaat kepada kamu sedikit pun, dan bumi yang luas ini telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dan bercerai-berai”.(Surah Al Qasas:85)

Peristiwa yang bersejarah itu memberi peringatan kepada kita tentang punca sebenar kepada kekuatan dan kemenangan dalam perjuangan. Jelasnya, bilangan yang ramai tidak semestinya berakhir dengan kemenangan jika tidak melengkapi syarat-syaratnya.

Jika kita boleh mengumpamakan persatuan kita seperti sebuah pasukan tentera, maka kita sudah mempunyai seramai lebih dari 500 tentera... tetapi sejujurnya KolumPresiden ini masih merasa ragu adakah kita akan mampu untuk menghadapi pasukan lawan yang jumlahnya lebihnya besar daripada kita, atau kita akan hanya mampu menghadapi pasukan lawan yang jauh lebih kecil daripada kita atau bahkan lebih teruk daripada itu kita tidak mampu melawan pasukan yang jauh lebih kecil daripada pasukan kita pun..

Sahabat-sahabiah semua,
Marilah kita muhasabah diri, dan marilah kita mengukur baju di badan kita sendiri kerana diri kita sendiri sebenarnya mampu untuk mengukur nilai iman, nilai pengorbanan, nilai komitmen, nilai mujahadah dan lain-lain nilai yang mampu meningkatkan kualiti diri kita sebagai seorang mukmin.

Kuantiti vs Kualiti

Perkara darihal kuantiti dan kualiti ini telah banyak kali diperkatakan... telah banyak juga diberi peringatan oleh sahabat-sahabat kita. Kolum ini memilih untuk meringkaskannya dalam bentuk kitaran yang wajib dipecahkan, dan ianya adalah seperti berikut:

Hangatkan Kedingingan Tarbiyah

Kolum ini ingin menegaskan sekali lagi, supaya semua ahli memberi penekanan kepada usrah dan tarbiyyah demi mencapai matlamat yang kita semua inginkan.

Kolum ini menyeru agar setiap cawangan Papisma di setiap negeri mengambil langkah-langkah seperti berikut:

1. Semua negeri mesti mengemaskini senarai ahli terkini di negeri masing-masing... biarlah lengkap dengan nombor telefon dan email.

2. Meningkatkan ukhuwwah sesama ahli... mesti memperbanyakkan program atau aktiviti mengikut kreativiti untuk merapatkan hubungan sesama ahli di negeri masing-masing.

3. Usrah di semua negeri mestilah lebih diperkasakan... ianya mesti dilakukan secara berkala, mempunyai silibus, dengan dipimpin oleh seorang naqib atau murabbi. Jika berlaku peningkatan ahli baru, mereka juga mesti mengikuti usrah yang boleh dijalankan oleh naqib yang berlainan sesuai dengan tahap mereka.

4. Meningkatkan aktiviti kemasyarakatan, yang boleh dirancang sendiri oleh negeri masing-masing mengikut kreativiti... yang bermatlamatkan menjadikan kesihatan sebagai medium dakwah.

5. Mengikis sifat-sifat mazmumah, sentiasa bersangka baik, bersikap ‘cakna’ antara satu sama lain, membina cara perhubungan yang lebih berkesan antara sesama ahli.

Natijah yang Baik dari Usaha yang Baik

Saya berkeyakinan dengan usaha yang baik dan berterusan yang dilaksanakan, hasil-hasil yang baik insya Allah akan dapat dicapai:

1. Mengurangkan bilangan ahli-ahli PAPISMA yang agak ‘berjauhan’ dari PAPISMA dan aktiviti-aktivitinya.

2. Meningkatkan bilangan ahli yang berkualiti dan komited termasuklah peningkatan yuran tahunan.

3. Menjadikan PAPISMA sebagai wadah perjuangan yang penuh dengan keberkatan dan kasih sayang.

Penutup

Kadang-kadang nostalgia lama menggamit diri, kenangan semasa di kampus sangat segar terasa... betapa rapatnya ukhuwwah, hangatnya tarbiyyah, kentalnya jiwa pengorbanan. ..hati terasa tenang dan senyuman terukir... saya berdoa mudah-mudahan nostalgia itu dapat kita jelmakan kembali, walaupun dalam bentuk dan cara yang berlainan disebabkan keterbatasan waktu dan kesibukan tugasan harian.

Amin..Wassalam.


A.I Ghazali
Presiden Papisma 2010-2012

No comments:

Push-Up Arrow