4 Jun 2010 - Bermula seawal 5.00 pagi, sebuah Serena meluncur laju membelah pagi yang hening dari Marang. Diikuti oleh sebuah lagi Serena dari Manir pada pukul 6.15 pagi dan Honda City dari Kuala Berang pada pukul 6.30 pagi. Ketiga-tiganya bertemu di Kg. Guntung Luar, Setiu untuk berserapan pagi dan meneruskan perjalanan sebelum bertemu sebuah lagi Serena di Kg. Padang Luas, Besut pada pukul 8.45 pagi. Kesemuanya merupakan konvoi perjalanan dari Terengganu untuk ke Sg. Petani, Kedah bagi menjalin silaturrahim, bertemu dan berpisah kerana Allah untuk berlumba-lumba menjadi 7 golongan yang akan mendapat naungan Arasy ketika tiada naungan kecuali naungan-Nya. (Mafhum hadis Bukhari & Muslim).
Hari ini juga, lebih dari 35 buah kenderaan menuju ke destinasi yang sama kerana menyahut seruan Rasulullah SAW bagi menyempurnakan aktiviti berjemaah iaitu bermesyuarat bagi memilih kepimpinan baru di samping berbincang bagi memperkasakan lagi PAPISMA dalam usaha melaksanakan visi dan misinya. Kesemuanya sedang berjuang dan berkorban... kesemuanya sedang berada di jalan Allah.
Sampai di Panglima Bayu, Tanah Merah, sebuah lagi kenderaan sedang menunggu iaitu sebuah Vios yang baru sehari dimiliki. 5 buah kenderaan itu kemudiannya tunda-menunda sambil berdoa dan mengharap agar perjalanan itu dirahmati Allah, selamat pergi dan selamat kembali.
Mereka berhenti sebentar di sebuah masjid di Daerah Kupang untuk menunaikan solat Jumaat bagi meraikan seorang sahabat yang wajib berjumaat. Seterusnya kami berhenti di perbatasan Kota Kuala Muda untuk makan tengahari kira-kira pukul 3 petang.
(Kiri) Dr. Md. Arif dan keluarga sedang menikmati hidangan tengahari.
(Kanan) Dr. Wan Mohd. Razin dan keluarga kelihatan sudah menghabiskan hidangan mereka.
(Kiri) "Banyaknya demo makan Che'. Bertumpuk-tumpuk pinggan tu ha!" Tuan Haji Che Rahim dan keluarga.
(Kanan) Dr. Suhazeli dan Keluarga. Mungkin sedang busy meneliti GPS.
(Kiri) "Berfikir dan merenung jauh..." Dr. Roslan dan keluarga.
Sesudah makan, kami meneruskan perjalanan untuk ke destinasi. Kami menggunakan jalan pintas dengan berpandukan GPS pada handphone Dr. Suhazeli. Bagi yang tak de GPS atau tak reti guna tu... ikut aje ler...
Akhirnya sampailah konvoi kami ke destinasi yang dituju iaitu Pantai Merdeka Beach Resort pada kira-kira pukul 5 petang, iaitu setelah hampir 12 jam perjalanan.
Orang pertama yang menyambut kami ialah Ketua JK Penganjur sendiri, Dr. Ahmad Rostam. Dengan segera kami mendaftar kerana muslimat di kalangan kami masih belum menunaikan solat jamak takhir.
"Mana pulok nama kawe ni?" Hj. Che Rahim sedang mencari namanya.
"Elok-elok pilih tu Abang Lie. Nanti termasuk bilik bibik kang naya!" Dr. Suhazeli sedang mendaftar.
"Elok-elok pilih tu Abang Lie. Nanti termasuk bilik bibik kang naya!" Dr. Suhazeli sedang mendaftar.
"Tak dapat tepi kolam pun tak apa... isteri saya belum lepas pantang.." Itulah barangkali yang dikatakan oleh Dr. Md. Arif.
Seterusnya, kami semua dijemput untuk membuat pengundian di meja bersebelahan dengan meja pendaftaran. Pengundian kali ini agak 'canggih'. Ianya menggunakan komputer. Tujuannya ialah untuk memberi peluang kepada para peserta masa yang mencukupi untuk mengundi. Kalau sebelum ini, ada yang merungut tak sempat nak angkat tangan, pengundian dah selesai... (mari lewatlah tu...) kali ini tidak ada alasan lagi. Kalau dulu pihak urusetia AGM terpaksa menunggu ahli untuk hadir hingga terpaksa memulakan mesyuarat lewat, kali ini tidak berlaku lagi. Meskipun diakui masih banyak kelemahan melalui sistem baru, namun serba sedikit ianya ada peningkatan. Semoga idea dan perlaksanaan baru seperti ini akan mendorong PAPISMA ke arah yang lebih profesional nanti.
Dr. Khatijah Musa (isteri Dr. Suhazeli) sedang mengundi. "Mujur suami ambe tadok. Kalau ada... payoh sikit nak pilih ni!"
"Guano namo ambo ado blako setiap jawate nih? Kekgi mene blako nok pege mano so?" Hj. Che Rahim sedang menunaikan tanggungjawabnya.
Proses pengundian ini ditetapkan sehingga pukul 10.30 malam. (Namun ianya telah dilanjutkan atas budibicara sehingga pukul 12 malam).
Sebaik saja mendaftar dan membuang undi, kami semua terus ke bilik masing-masing bagi menunaikan kewajipan dan urusan seterusnya.
Sesudah itu tiada acara yang diprogramkan. Maklumlah semua peserta masih penat. Bagi anak-anak yang tak sabar-sabar nak berenang, ibubapa mereka terpaksalah menemani mereka ke kolam yang disediakan.
Kira-kira pukul 9 malam, forum yang bertajuk "Wanita, Perubatan Dan Dakwah" dimulakan. Meskipun kehadiran peserta konvensyen masih belum sepenuhnya, namun forum tersebut tetap meriah dengan pengisian dan suntikan motivasi oleh penceramah jemputan iaitu YB Ustazah Siti Aisyah Ghazali dan YBhg. Dr. Najihatussolehah.
YB Ustazah Siti Aisyah, seorang aktivis masyarakat yang cukup cekal mengharungi cabaran selama berpuluh tahun dengan berbagai kekangan dan ancaman, akhirnya terpilih sebagai wakil rakyat bagi kawasannya. Amanah tersebut bukan untuk kemewahan dirinya, malah untuk terus membantu golongan masyarakat yang dhaif agar terus menikmati kemudahan dan bantuan secara adil dari pihak berwajib. Motivasinya hanyalah satu iaitu meyakini akan ganjaran pahala yang disediakan oleh Allah SWT. Segala kesusahan yang dilalui akan menjadi ringan dan tidak seberapa berbanding nikmat yang Allah janjikan di syurga nanti.
Bagi Dr. Najihatussolehah pula, meskipun beliau seorang pegawai perubatan yang sibuk, namun kesibukan tidak menghalangnya untuk terus menabur khidmat kepada masyarakat yang memerlukan. Dakwah tidak boleh ditinggalkan dengan alasan pekerjaan. Malah beliau yang mempunyai sembilan orang anak itu, menjadikan anak-anaknya sebagai dorongan dan motivasi untuk lebih bergiat aktif membantu dan menyebarkan dakwah seluas-luasnya agar masyarakat faham akan tanggungjawab mereka di dunia dan akhirat.
Banyak lagi nasihat dan panduan yang berguna telah dilontarkan bagi mendorong para isteri dan para suami bergerak tanpa menoleh ke belakang dalam bidang dakwah terutama di bidang perubatan.
Forum itu telah dipengerusikan oleh Dr. Azniza Mohd. Radzi, Timbalan Pengerusi JK Penganjur sendiri.
Setelah selesai majlis tersebut, Dr. Md. Arif Ibrahim, Pengerusi PAPISMA Terengganu telah mewakili PAPISMA Pusat untuk menyampaikan cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada panel-panel forum tersebut.
"Terima kasih tak terhingga atas perkongsian doktor. Balik Ipoh hati-hati ya..."
Tamatlah sudah hari pertama KKP-7. Bagi mereka yang berjaya menggarap manfaat yang disediakan, tahniah diucapkan. Program yang kalian sertai, bukan saja menambahkan ilmu dan pengalaman, tetapi ia juga sebagai majlis pengampunan yang dijanjikan oleh Allah SWT. Nama-nama mereka yang berada di majlis ilmu, disebut-sebut di kalangan malaikat untuk mendapat keampunan sepanjang berada dimajlis tersebut. Amin Ya Allah...
5 Jun 2010 - Seawal sebelum subuh, resort itu telah diserikan oleh mereka yang ruku' dan sujud berqiamullail mengharapkan keampunan Allah. Ada yang melakukannya di dewan solat dan ada juga yang melakukannya di bilik masing-masing. Sesudah solat subuh berjemaah di dewan solat, kuliah subuh telah diberikan.
Tamatlah sudah hari pertama KKP-7. Bagi mereka yang berjaya menggarap manfaat yang disediakan, tahniah diucapkan. Program yang kalian sertai, bukan saja menambahkan ilmu dan pengalaman, tetapi ia juga sebagai majlis pengampunan yang dijanjikan oleh Allah SWT. Nama-nama mereka yang berada di majlis ilmu, disebut-sebut di kalangan malaikat untuk mendapat keampunan sepanjang berada dimajlis tersebut. Amin Ya Allah...
5 Jun 2010 - Seawal sebelum subuh, resort itu telah diserikan oleh mereka yang ruku' dan sujud berqiamullail mengharapkan keampunan Allah. Ada yang melakukannya di dewan solat dan ada juga yang melakukannya di bilik masing-masing. Sesudah solat subuh berjemaah di dewan solat, kuliah subuh telah diberikan.
Dr. Suhazeli sedang menyampaikan tazkirah subuh sambil berkongsi maklumat dan pengalaman beliau berkenaan isu Marvi Marmara dan jihad di bumi Ghaza.
Selesai berkuliah subuh, para peserta dengan segera bersiap untuk bersarapan pagi sebelum majlis Mesyuarat Agung Tahunan bermula.
"Makan kena awal...hehe." Hj. Che Rahim cukup bersemangat sebagai antara yang terawal melangkahkan kaki ke dewan makan.
"Baru sampai ni... kenalah makan lebih!" Dr. Aman Fuad dan Dr. Rose Faiza bersama anak-anak.
"Kami dari Terengganu!" Dr. Md. Arif Ibrahim bersama isteri, Dr. Norhaizi dan anak-anak. Hari ini merupakan hari ke-26 Dr. Norhaizi melahirkan, namun tetap besama demi perjuangan.
"Hangpa ambik gambaq elok-elok naa..." dari kiri, Dr. Tun Kamsiah, Dr. Mohd. Hadhrami, Dr. Roslan dan Dr. Zaihan (Kak Han) bersama anak-anak mereka.
"Kami datang bawak tentera.." Dr. Awisul Islah, Dr. Narwani dan anak-anak mereka. Meskipun anak keduanya baru mengalami closed fracture one of tarsal bone, mereka tetap bersama.
Dr. Haslina... AJK Papisma 2008/10 yang jarang dikenali, namun berperanan besar dalam melestarikan pergerakan PAPISMA. Bersama suami, Ustaz Muhyidin dan anak-anak.
Dari kiri: Dr. Azrin, Ust. Syakir (Pembantu Tadbir PAPISMA Kelantan), Dr. Mohd. Najib dan Dr. Azaharim.
Setelah bersarapan pagi, kesemua peserta dikehendaki ke dewan mesyuarat untuk melaksanakan Mesyuarat Agung (AGM) PAPISMA kali ke-7. AGM merupakan agenda yang sangat penting dan menjadi salah satu agenda wajib bagi setiap KKP. Tahun ini merupakan tahun pemilihan. Kesemua peserta kali ini merupakan peserta yang Allah pilih untuk menentukan peneraju kepimpinan PAPISMA untuk dua tahun akan datang. InsyaAllah segala kerja amal yang dilakukan oleh kepimpinan PAPISMA kali ini akan menjadi saham akhirat kepada mereka yang telah menunaikan tanggungjawabnya.
Setelah bersarapan pagi, kesemua peserta dikehendaki ke dewan mesyuarat untuk melaksanakan Mesyuarat Agung (AGM) PAPISMA kali ke-7. AGM merupakan agenda yang sangat penting dan menjadi salah satu agenda wajib bagi setiap KKP. Tahun ini merupakan tahun pemilihan. Kesemua peserta kali ini merupakan peserta yang Allah pilih untuk menentukan peneraju kepimpinan PAPISMA untuk dua tahun akan datang. InsyaAllah segala kerja amal yang dilakukan oleh kepimpinan PAPISMA kali ini akan menjadi saham akhirat kepada mereka yang telah menunaikan tanggungjawabnya.
Hj. Che Rahim (tengah) Pengerusi Tetap PAPISMA sedang mempengerusikan AGM bersama Timbalannya, Dr. Roslan.
"Aktiviti PAPISMA dah banyak ni, tak payahlah soal banyak-banyak ye!" Dr. Awisul sebagai SU Agung PAPISMA 08/10 sdang membentangkan Minit Mesyuarat dan Laporan Aktiviti tahun lepas.
Dr. Md. Arif Ibrahim, Pengerusi PAPISMA Terengganu 10/12 sedang melontarkan pandangannya bagi memperkasakan PAPISMA. Banyak idea dan cadangan yang dinoktahkan untuk kepimpinan baru PAPISMA kali ini.
Presiden PAPISMA 08/10, Dr. Suhazeli sedang menyampaikan ucapan penggulungan sebelum mengisytiharkan pembubaran Jawatankuasa PAPISMA 08/10 bagi membolehkan Jawatankuasa Sesi 10/12 ditabalkan.
"Dengan ini, saya membubarkan Jawatankuasa PAPISMA Pusat Sesi 08/10 dengan rasminya..." Itulah sebahagian penutup ucapan Dr. Suhazeli di hadapan peserta AGM kali ini.
"Dengan ini saya mengumumkan... jeng jeng jeng..." Pengerusi Sekretariat Pilihanraya PAPISMA, Dr. Roslan sedang mengendalikan perlantikan Jawatankuasa baru Sesi 10/12 berdasarkan keputusan pemilihan yang dilakukan.
Penyerahan watikah perlantikan Jawatankuasa PAPISMA Pusat oleh Dr. Suhazeli kepada Presiden PAPISMA baru sesi 10/12, Dr. Awisul Islah. Dengan itu, Dr. Suhazeli secara automatik menjadi Mantan Presiden PAPISMA 10/12.
"Ku mencari seorang Al-Ghazali... rupa-rupanya ia adalah ayahku!" Dr. Awisul Islah menyampaikan ucapan sulungnya sebagai Presiden PAPISMA dengan penuh semangat. Beberapa objektif telah digariskan untuk dilaksanakan oleh kepimpinannya. Moto perjuangan PAPISMA tahun ini ialah MENGHANGATKAN KEDINGINAN TARBIYAH. Bukan menjadikan tarbiyah itu semakin dingin, tetapi kedinginan tarbiyah itu perlu dihangatkan.
Exco PAPISMA 10/12. Dari kiri: Dr. Nor Azri (Penolong Setiausaha), Dr. Hisyam (AJK), Dr. Abdul Kursi (AJK) dan Dr. Aman Fuad (Naib Presiden 2).
Exco PAPISMA 10/12. Dari kiri: Dr. Ahmad Rostam (Setiausaha Agung), Dr. Azrin (AJK) dan Dr. Syed Abdul Khaliq (AJK).
Dr. Tuan Mohd. Fairuz (kanan) juga terpilih sebagai AJK PAPISMA Pusat 10/12 bagi mengetuai Lajnah Generasi Muda Papisma (GMP) yang baru ditubuhkan.
En. Lizam Abd. Manap (SUK PAPISMA Pusat), tenaga dan tulang belakang penting dalam gerakerja PAPISMA Pusat, bersama alat-alat canggih seperti komputer, LCD, Wi-Fi broadband, iPhone dan sebagainya sedang menjalankan tugas. Beliau cukup berdedikasi dalam menjalankan kerjanya tidak mengira waktu sehingga program selesai.
Sementara itu, di bilik sebelah kanak-kanak dikumpulkan untuk menjalani aktiviti mereka seperti yang disusun seperti pertandingan Maths Genius, catur, jigsaw puzzle, bercerita dan mewarna.
Setelah penat bermesyuarat, para peserta dijamu dengan hidangan tengahari yang cukup menyelerakan. "Habis dah kami sapu atas meja VIP ni!" Hj. Che Rahim. Dr. Roslan, Dr. Md. Arif dan Dr. Suhazeli.
"Baru sampai ni. Haa.. licin dah pinggan kami!" Dr. Zakuan Zainy (tengah - Timbalan Pengerusi Tetap Sesi 10/12) baru sampai kerana anaknya kurang sihat. Beliau tidak dapat menyertai AGM pagi tadi.
Pada sebelah petangnya, pertandingan hafazan dan lukisan telah diadakan kerana tidak sempat dihabiskan pada program sebelah pagi.
"Baca betul-betul... Abang tolak markah kalau salah...!" Penuh konsentrasi Ust. Syakir meneliti bacaan para peserta.
Burung kegemaran Ust. Syakir... Inilah gambar pilihan pengadil pertandingan mewarna (Ust. Syakir) yang telah dipertandingkan.
"Boleh menang ni!" Kelihatan Dr. Harmy (menongkat dagu) sedang menumpukan sepenuh perhatian untuk memulakan permainan Sahiba yang baru pertama kali dilakukannya bersama dari kiri: Dr. Wan Mohd Razin, Dr. Mohd. Najib, Dr. Tuan Mohd. Fairuz (nampak kopiah) dan Dr. Roslan.
Sementara itu, barisan kepimpinan PAPISMA Pusat yang baru mengambil kesempatan untuk mengadakan mesyuarat pra-sesi yang pengerusikan oleh Dr. Awisul Islah.
Selepas solat Asar, para peserta KKP kali ini menjalani aktiviti bebas. Masing-masing mengambil kesempatan melakukan aktiviti kegemaran mereka. Ada yang meninjau-ninjau ke tepi laut, ada yang bersembang tepi kolam renang, ada yang berkenalan dan bertanya khabar dan sebagainya.
Bagi anak-anak, tempat yang paling digemari ialah kolam. Kalau tak ada kolam, nescaya percutian mereka tidak ada serinya. Sebab itulah kebanyakan resort sebegini pasti akan menyediakan kolam renang. Bagi ibubapa yang takutkan anak-anak mereka lemas, mereka akan menjadi penjaga setia sama ada di tepi kolam atau sama-sama masuk ke dalam kolam.
"Ini wakil Terengganu sedang bersembang. Isu semasa nampaknya tu... siap dengan surat khabar lagi haa..."
"... dengan emak-emaknya sekali"
Pada sebelah malamnya, jamuan barbeque diadakan. Majlis ini akan diserikan oleh kehadiran wakil kerajaan negeri Kedah. Sebelum itu beberapa acara diadakan untuk menghidupkan suasana. Beberapa peserta telah tampil ke hadapan untuk memperlihatkan bakat masing-masing. Seterusnya ucapan dari wakil kerajaan negeri Kedah dan penyampaian cenderahati.
"Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua" Exco negeri Kedah yang mewakili kerajaan negeri sedang menyampaikan ucapan.
Dengan promosi produk kesihatan (Hi Goat) yang berakhir kira-kira pukul 1 pagi itu, maka berakhirlah agenda hari kedua KKP-7 ini. Mereka yang mengikuti program dan pengisian tentunya merasakan masa yang dihabiskan cukup terisi dengan perkara yang bermanfaat. Tidak kira bagaimana pengisian itu, yang penting mereka menikmati setiap detik itu sebagaimana adanya.
6 Jun 2010 - Hari ketiga konvensyen berlangsung. Pagi ini akan berlangsung Mesyuarat Agung Koperasi Amal Medik Malaysia Berhad (KAMMB) kali pertama (AGM1). Suatu koperasi yang telah dibangunkan dengan keringat dan pengorbanan yang cukup banyak oleh jawatankuasa penajanya yang diketuai oleh Dr. Harmy Mohammed Yusof. Koperasi ini merupakan koperasi ekslusif untuk ahli-ahli PAPISMA. Bangunnya adalah untuk ahli-ahli, keuntungannya untuk ahli-ahli dan segala aktivitinya juga adalah untuk sekelian ahlinya. Sebahagian kuntungannya kelak, selain dibahagi-bahagikan untuk para pencarum, ia juga akan digunakan untuk menaja aktiviti ahli seperti KKP ini. Malah tawaran yang ada pada KAMMB melalui Kementerian Koperasi boleh menjadi sumber pendapatan tambahan kepada ahli-ahlinya juga.
"Baru sampai ni.." Dr. Jamsani (kanan) yang baru sampai begitu bersemangat untuk menghadiri mesyuarat KAMMB. Meskipun jauh dari Kota Bharu dan banyak halangan pekerjaan, namun menyempatkan diri juga untuk bersama.
Mesyuarat Agung KAMMB dimulakan dengan Al-Fatihah oleh Pengerusi Majlis, Prof. Madya Dr. Abd. Razak Sulaiman.
Kelihatan VIP jemputan Tn. Hj. Wan Sabri (kiri), Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Caw. Kelantan bersama Dr. Harmy, Pengerusi KAMMB.
Dr. Mohd. Najib, Setiausaha KAMMB sedang membentangkan minit mesyuarat Pra Penubuhan kepada peserta AGM 1 KAMMB.
Prof. Madya Dr. Abd Razak sedang menjawab persoalan peserta. Kelihatan Pengerusi SKM turut bersama-sama jawatankuasa KAMMB bagi melicinkan mesyuarat.
Mesyuarat berakhir dengan sedikit sumbangan untuk Pengerusi SKM dari KAMMB yang disampaikan oleh Pengerusinya.
Sebelum KKP-7 berakhir, majlis telah diserikan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan yang diadakan sepanjang hari kedua KKP-7 kelmarin.
Maths Genius dan Catur Kanak-Kanak : Tempat Pertama. Anak Dr. Wan Mohd. Razin. Beliau juga merupakan johan catur sekolah rendah peringkat negeri Terengganu.
Wakil anak... menerima hadiah untuk anak mereka kerana anak-anak dah balik kegembiraan bila terima hadiah yang pertama.
Begitulah berakhirnya KKP-7 yang memberi seribu kenangan, seribu peristiwa dan kemanisan bagi mengorak langkah ke alaf baru pasca The Way Forward. Bagi pihak PAPISMA Terengganu, kami mengucapkan tahniah di atas kejayaan KKP-7 ini di bawah kendalian Dr. Ahmad Rostam Mohd. Zain dan isteri Dr. Azniza Mohd. Radzi. Berbagai pelajaran boleh ditimba dan berbagai ilmu boleh digali dari KKP-7 ini. Semoga pertemuan kita yang penuh dengan kemanisan ini akan dapat dikekalkan dan dipertingkatkan untuk menjana semangat perjuangan yang berterusan demi dakwah di bidang perubatan ini.
Kami menjemput kalian semua untuk berkonvensyen pada KKP-8 tahun hadapan di Terengganu pula, InsyaAllah.
Sekian. Wassalam.
2 comments:
Terimakasih bebanyak di atas pengkesahan yang amat bermakna. Moga segala yang telah kita lakukan itu mendapat keberkatan dan keredhaan Allah s.w.t.
Insyaallah 2011, Terengganu jadi tuan rumah dan mudahan kita berjaya merealisasikan harapan presiden kita untuk 'menghangatkan lagi kedinginan tarbiyyah.
InsyaAllah... kita akan buat yang terbaik.
Post a Comment