(Biro IT)
"Dalam diri kamu terdapat tanda-tanda kebesaran Allah, mengapa kamu tidak memperhatikan". Itulah muqaddimah liqa' yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ust. Mokhtar Salleh malam itu.
Bagaimana jika sistem darah yang berlari deras dalam tubuh manusia tanpa henti selama 24jam sehari itu jika ianya terganggu? Katakan jantung berhenti sebentar, ataupun darah membeku di mana-mana, apa akan terjadi kepada manusia itu? Sudah tentu dia akan mati.
Begitu juga dengan sistem pernafasan kita yang berlaku tanpa kita sedari selama 24 jam sehari. Bagaimana jika ianya berhenti sebentar dalam lima atau sepuluh minit. Apa akan berlaku? Sudah tentu manusia itu akan mati.
Kalau kita melihat sel-sel yang lebih kecil dalam tubuh yang berlaku seolah-olah seperti tugas seorang manusia. Contohnya sel-sel di dalam mata yang bertugas menyeimbangkan tekanan dalam mata. Apabila kandungan cecair dalam mata berlebihan, sel-sel ini akan mengangkut cecair itu untuk dibuangkannya ke saluran keluar. Jika sedikit saja sistem ini rosak, maka tekanan dalam mata akan menjadi tinggi (Glaucoma) dan manusia itu akan buta dalam masa yang singkat.
Subhanallah... Apakah semua sistem ini berlaku dengan sendiri? Secara kebetulan? Bagaimana mungkin sesuatu yang kebetulan itu boleh terjadi kepada seluruh manusia yang jumlahnya berbilion hingga bertrilion orang itu? Sudah tentu ia ada yang menciptanya malah ada yang menjaganya. Umpama enjin kereta. Bolehkah ia terjadi dengan sendiri secara kebetulan? Bagaimana jika tangki minyak itu kita isi dengan air atau tangki selinder itu kita isi dengan petrol? Kereta itu akan mati serta merta. Sebab sistem yang dicipta itu tidak dipatuhi. Semua ini sudah pasti ada yang menciptanya.
Jadi, sebagai orang beriman, kita yakin bahawa pencipta sistem yang unggul dalam diri manusia itu adalah Allah SWT. Untuk menjadi sihat, sistem itu tidak boleh diubah. Tidak ada manusia yang boleh mengubahnya kecuali sedikit saja perubahan itu akan membawa kerosakan dan kematian.
Setelah Allah menciptakan semuanya, maka Allah juga menciptakan panduannya agar kehidupan itu menjadi harmoni. Ia dipanggil syariat. Ia merupakan manual kepada kehidupan untuk diikuti. Ia merupakan undang-undang. Semua itu di bawa oleh para Nabi dan Rasul yang dipilih oleh Allah. Terdapat kira-kira 125000 orang Nabi dan 25 orang Rasul. Rasul yang terakhir adalah Muhammad Sallallahu'alaihi wasallam (SAW) yang membawa Al-Quran sebagai manual untuk keharmonian hidup sehingga hari ahirat.
Namun, setelah kita mengakui bahawa pencipta sistem tubuh yang kompleks dan sempurna itu ialah Allah, kita tidak menuruti manual kehidupan yang diturunkan oleh Allah melalui Muhammad SAW iaitu Al-Quran. Kita mengikut manual-manual kehidupan yang lain yang diciptakan oleh manusia. Mengapa?
Kereta Proton kita menggunakan manual Perodua, kereta Honda kita menggunakan manual Toyota dan sebagainya. Apakah kita menganggap manual kehidupan yang dicipta selain dari yang diturunkan oleh Allah itu lebih baik? Sesungguhnya telah berlaku dalam sejarah dan sejarah itu pula terus berulang bahawa sedikit saja manusia lari dari sistem Allah, pasti kerosakan dan kemusnahan akan berlaku.
Marilah kita memikirkannya...