Wednesday, November 18, 2009

Gempa Bumi - Suatu Catatan Dari Sukarelawan

(Biro IT)
Berikut adalah catatan wakil Papisma yang sempat ke Padang Indonesia dalam misi kemanusiaan bagi membantu saudara seIslam yang dilanda musibah.

Catatan Di Padang, Indonesia
(Oleh Ibnu Amir)

Kejadian gempa bumi berskala 7.6 Mw berlaku pada pukul 5 petang waktu tempatan 30 eptember 2009 berhampiran Kota Padang, Sumatera Barat, Indonesia telah mengorbankan ramai nyawa dan harta benda. Menurut laporan,kerajaan mengesahkan 1,115 kematian, 1,214 cedera parah dan 1,688 cedera ringan.Manakala kira-kira 135,000 rumah rosak teruk,
65,000 sederhana rosak dan 79,000 rosak sedikit.

Walaupun di Malaysia, kesannya tidak begitu di rasai, namun sebagai orang islam, kesengsaraan dan penderitaan yang di alami oleh saudara seislam perlu sama-sama di hayati dan pertolongan yang termampu mesti di hulurkan bagi meringankan beban bahu yang memikul.

Sabda Rasulullah s.a.w : Perumpamaan orang yang beriman itu pada kasih sayang mereka seumpama satu tubuh, jika satu dari anggota tubuh itu mengalami kesakitan, ianya turut di rasai oleh seluruh anggota tubuh pada kesakitan dan berjaga malam kerananya.

PELUANG MEMBANTU

Saya berpeluang untuk pergi ke Padang,Indonesia bersama teman-teman dari Yayasan Amal Malaysia(YAM) pada 7hb November 2009 baru-baru ini. YAM telah menghantar sukarelawannya beberapa kali semenjak gempa bumi itu berlaku bagi membantu penduduk di sana membina kembali kehidupan mereka pasca gempa bumi.

CATATAN HARIAN

7hb November 2009

Hari ini,pukul 3 pagi lagi saya sudah terjaga. Bersiap-siap dan terus bertolak dari Shah Alam ke LCCT bersama isteri dan ibu mertua saya. Selesai solat subuh di surau,saya mencari-cari anggota rombongan,namun seorang pun daripada mereka tidak kelihatan. Langsung saya menyalami isteri dan ibu mertua dan terus masuk ke balai berlepas kerana khuatir saya sudah di tinggalkan oleh ahli rombongan. Rupa-rupanya, penerbangan di jadualkan pada pukul 8 pagi dan mereka semua masih di luar.

Saya berjumpa semua ahli rombongan dari YAM dan kami check in bersama-sama. Tepat pukul 8 pagi,kapal terbang Air Asia berlepas meninggalkan Malaysia menuju ke Sumatera Barat, Indonesia. Tak sampai 1 jam, kami sudah mendarat di Lapangan Terbang Internasional, Minangkabau.

Kami di sambut oleh 2 pemuda dari Partai Keadilan Sejahtera (PKS), Ahmad Syukrillah yang masih menuntut di Universiti Riau dalam fakulti Ilmu Pemerintahan dan Azimu yang merupakan AJK PKS daerah Padang Pariaman. Dari lapangan terbang, kami di bawa menaiki Kijang Innova (Jenama Toyota di Indonesia ) ke Posko Belinang ( Pos Koordinasi Bekasi
Peduli Minang ) yang terletak di Padang Pariaman. Sempat lagi kami singgah untuk makan Nasi Padang di Restoran Lamun Ombak yang menurut mereka ialah tempat wajib bagi pelancong ke Sumatera. Memang sedap lauk pauk di sana dan sehingga hari ini saya masih teringatkan Kepala Ikan Merah Masak Lemak Cili Padi dan Air Jus Avokado.

Di Malaysia,saya terbayangkan semua bangunan di Padang sudah runtuh dan kami yang datang terpaksa duduk di dalam khemah tanpa bekalan air dan elektrik. Mujurlah, penempatan kami ialah surau separa siap yang terselamat dari kesan gempa dengan sumber air dari bawah tanah yang di pam dengan dapur kecil di belakang surau untuk kami memasak. Syukur,
alhamdulillah.

Belum pun sempat saya merehatkan badan, Ustaz Arif dari PKS mengajak saya dan beberapa orang dari YAM untuk turut serta dengan program kesihatan gabungan 7 sekolah dengan Lembaga Perikanan Indonesia. ” Bolehlah pak doktor bercakap-cakap sama pelajar-pelajar tentang penjagaan kesihatan pasca gempa ” kata Ustaz Arif. ” Aduh,apa yang aku nak cakap nanti. Nak cakap Bahasa Malaysia, mesti budak-budak tu tak faham. Kalau cakap Indonesia, aku sendiri yang tak faham ” fikir aku di dalam hati.

Sampai di sana, Ustaz Wan Faizul dari YAM memulakan dengan motivasi dan nasyid-nasyid yang memberi semangat.Tiba masa untuk saya menyampaikan ceramah kesihatan, dan hasilnya, saya sendiri tidak faham apa yang saya ceramahkan gara-gara ingin meng’adjust’ kepada bahasa mereka.

Majlis selesai lebih kurang pukul 12.30 tengahari dengan pembahagian berus gigi,susu dan nasi berlauk ikan kepada semua pelajar. Kami balik ke Posko dan terus tertidur keletihan. Sedar-sedar,jam sudah menunjukkan jam 4 petang.

Saya mengambil kesempatan untuk meninjau sungai di belakang surau tersebut. Menurut cerita Ustaz Arif, ikan-ikan di dalam sungai itu di larang untuk di tangkap kecuali sehari dalam setahun iaitu semasa perayaan Maulidur Rasul. Itu kesepakatan ahli kampung dan sesiapa yang melanggar peraturan perlu membayar denda. Memang betul-betul menguji keimanan melihatkan ikan-ikan kelah yang harganya mencecah RM 80 seekor bermain-main di pinggir sungai seolah-olah tahu dengan peraturan yang menyelamatkan spesies mereka itu.

Lebih kurang pukul 5 petang, rombongan kedua YAM sampai dengan selamat menambahkan anggota sukarelawan seramai 12 orang ( 6 lelaki dan 6 perempuan ). Kami bersiap-siap untuk solat Maghrib dan selesai solat,kami bermesyuarat untuk gerak kerja kemanusiaan yang akan di
teruskan pada esok hari.

Kami di bahagikan kepada 3 kumpulan iaitu:

Kumpulan Pertama: Kumpulan yang membina rumah bagi menggantikan rumah yang telah runtuh.
Kumpulan Kedua: Kumpulan menggali perigi untuk sumber air yang bersih.
Kumpulan Ketiga: Kumpulan yang memberikan khidmat kesihatan di sekolah dan kampung.

Seperti yang di jangkakan, saya di tugaskan di dalam kumpulan ketiga bersama Ustaz Abu Bakar, Ustaz Wan Faizul dan 6 muslimat yang lain. Terus saya menyelongkar stor masjid yang menempatkan ubat-ubatan sumbangan NGO yang datang sebelum kami yang kelihatan belum di sentuh lagi.

Selesai semuanya lebih kurang pukul 10 malam, kami semua tidur dengan berhimpit-himpit antara satu sama lain dengan lena sekali.Semoga lebih bertenaga untuk berbakti kepada saudara seislam di Padang esok hari.

bersambung

No comments:

Push-Up Arrow