Wednesday, July 1, 2009

Antara Kesetiaan, Kerjasama Dan Meminta Bantuan Dengan Bukan Islam

(Biro IT)
-Ditulis oleh - Abu Afnain

Melihat kepada perkembangan semasa sekarang, terdetik hati saya untuk sama-sama berkongsi pengetahuan dan pendapat setakat yang termampu, terutamanya berhubung dengan persoalan wala’, tahalluf dan isti’anah. Mudah-mudahan dengan perkongsian ini dapat membantu kita semua, supaya kita tidak “terlajak” dalam perkara-perkara tersebut.

Berikut adalah kupasan berhubung dengan wala’, tahalluf, isti’anah dan masalah perlantikan orang bukan Islam dalam sesuatu jawatan dalam negara. Huraian ini berdasarkan kupasan dari buku Muqaddimah Aqidah Muslimin dalam bab perkara-perkara yang membatalkan Syahadah, berdasarkan kuliah dari TG Haji Abdul Hadi dengan sedikit olahan dan penambahan dari saya sendiri.
More...
Perkara ke 9: Di antara perkara yang membatalkan syahadah itu adalah mempercayai wala’ (kepimpinan) orang kafir dan munafiq.
Firman Allah SWT, mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil jadi pemimpin kamu orang-orang yang menjadikan agama kamu ejekan dan mainan dikalangan orang-orang yang telah diberi Kitab sebelum kamu dan orang-orang kafir dan bertawakkallah kepada Allah jika kamu benar-benar orang yang beriman”.(al-Maidah: 57)
Firman Allah SWT, mafhumnya: “Beritahulah kepada orang-orang munafiq itu bahawa mereka akan mendapat seksa yang pedih. Iaitu orang-orang yang mengambil orang-orang yang kafir sebagai teman penolong dengan meninggalkan orang-orang mukmin, apakah mereka mencari kemuliaan disisi orang-orang kafir itu?, maka sesungguhnya semua kemuliaan itu adalah milik Allah”. (An-Nisa’ 138-139)
Firman Allah SWT, mafhumnya:”Janganlah orang-orang mukmin menjadikan orang-orang kafir sebagai Wali(pemimpin, pelindung, penolong, teman akrab) dengan meninggalkan orang-orang mukmin, barang siapa berbuat demikian, maka lepaslah ia dari Allah, kecuali kerana Taqiyah( helah memelihara diri) dari sesuatu yang ditakuti dari mereka dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri(seksaNya) dan hanya kepada Allah tempat kembali”. ( Ali Imran: 28)

Jelaslah bahawa ayat-ayat tersebut diatas tidak mambenarkan orang-orang beriman meredhai kepimpinan orang-orang kafir menguasai negeri Islam, tetapi kebenaran yang bertujuan memelihara diri tersebut hanya pada lahirnya sahaja dan sesungguhnya terbatallah syahadahnya kalau sekiranya hatinya redha walaupun dalam keadaan takut. Menurut riwayat Ibnu Abbas RA, bahawa Taqiyah itu hanya pada lahirnya sahaja, tapi hatinya tidak redha.

Persoalan Wala’
Wala’ yang dimaksudkan dalam perkara di atas ialah kesetiaan, kercayaan secara mendalam kepada orang-orang bukan Islam , redha dengan kekufurannya, sehingga melantik mereka menjadi pemimpin yang boleh dipercayai untuk menyelamat dan memimpin orang Islam, sama ada mereka itu terdiri dari orang-orang kafir, ahli kitab, musyrikin atau munafiq. Golongan munafiq itu adalah golongan yang pada zahirnya Islam, tetapi hati mereka tidak beriman, dengan menunjukkkan tanda-tanda yang tidak percaya kepada Islam.

Memberi wala’ kepada golongan tersebut bukan sahaja diharamkan oleh Islam, tetapi boleh membatalkan dua kalimah syahadah jikalau disertai dengan hati yang redha, kecuali dalam keadaan taqiyah, iaitu untuk memelihara diri apabila dipaksa. Didalam taqiyah ini, dibenarkan kita memilih rukhsah, iaitu satu kemudahan yang dibenarkan oleh Islam, iaitu mengaku dengan lidah apabila dipaksa dalam keadaan hatinya tidak sekali-kali meredhainya. Harus diingat, jikalau hatinya redha pada waktu itu, walaupun dalam keadaan takut, maka batallah dua kalimah syahadahnya.

Para ulama’ Islam Islam menjelaskan terdapat dua pilihan yang dibenarkan dalam keadaan paksaan tersebut:
i . Azimah: memilih untuk mati syahid walaupun dipaksa, dan pilihan ini adalah lebih afdhal
ii.Taqiyah: iaitu memilih rukhsah(yang dibenarkan oleh syara’)
Contoh peristiwa yang menjelaskan pemilihan “azimah” ialah peristiwa Ashabul Ukhdud. Peristiwa ini mengisahkan seorang pemuda yang beriman yang berhadapan dengan raja yang kafir, memuja ilmu sihir dan mengaku sebagai Tuhan. Pemuda ini pada mulanya menyembunyikan keimanannya, tetapi akhirnya mengaku beriman. Apabila pemuda ini mahu dibunuh, segala cara yang dilakukan untuk tujuan tersebut telah gagal. Akhirnya pemuda itu menawarkan cara bagaimana dia boleh dibunuh, iaitu dengan menyebut nama Allah, lalu dia pun berjaya dibunuh dengan cara tersebut. Melihat peristiwa itu, maka orang ramai pun menjadi yakin dan beriman dengan Allah, yang berakhir dengan pembunuhan beramai-ramai yang dahsyat dan zalim itu.

Maslahatnya adalah, dia secara bijaksana telah memilih cara azimah kerana orang akan bertambah yakin dan beriman apabila dia dibunuh. Namun jika sekiranya dengan cara dia dibunuh menyebabkan orang ramai menjadi semakin rosak keyakinan dan Islam berada di kedudukan yang lebih bahaya, maka lebih afdhal dia memilih rukhsah.

Contoh peristiwa yang menjelaskan rukhsah ialah berdasarkan peristiwa yang berlaku ke atas keluarga Ammar bin Yasir radiallahu’anhuma di zaman Rasulullah SAW. Mereka telah dipaksa secara kejam oleh pemimpin musyrik Mekah pada ketika itu untuk berucap memuji berhala Hubal. Dalam peristiwa ini, ayahnya, Yasir dan ibunya Sumayyah telah memilih cara azimah, lalu keduanya telah dibunuh dan mati syahid. Namun Yasir akhirnya telah berucap dengan memuji berhala menurut paksaan pemimpin musyrik tersebut, lalu dia pun dibebaskan.

Selepas itu beliau pun mengadap Nabi SAW menceritakan peristiwa yang berlaku…lalu Allah SWT menurunkan wahyuNya (mafhumnya), “…melainkan orang yang dipaksa, dan hatinya tenang dalam keadaan beriman..”

Peristiwa ini menunjukkan bahawa orang yang dipaksa adalah dimaafkan oleh Allah SWT, tetapi memilih mati syahid adalah lebih afdhal. Walaupun begitu pemilihan ini juga haruslah mengikut keadaan mana yang lebih maslahat. Jika lebih maslahat memilih azimah seperti dalam kisah Ashabul Ukhdud, maka pilihlah mati syahid, namun jika sekiranya lebih maslahat memilih rukhsah, maka sayugialah kita memilih rukhsah..Wallahu A’lam.

Perkara azimah dan rukhsah ini juga diambil dari peristiwa yang berlaku dizaman Rasulullah SAW, ketika berhadapan dengan Musailamah Al-Kazzab yang mengaku menjadi nabi. Musailamah Al Kazzab mempunyai puluhan ribu pengikut dan bala tentera, yang memaksa pengikutnya untuk mengakuinya sebagai seorang nabi.

Beliau telah menulis surat kepada Rasulullah SAW, yang berbunyi, “ Dari Musailamah Rasulullah, kepada Muhammad Rasulullah, bagi aku separuh bumi, dan bagi kamu separuh bumi”. Lalu Rasullullah SAW meminta sahabatnya menjawab surat berkenaan:” Dari Muhammad Rasulullah kepada Musailamah Al-Kazzab (pembohong), sesungguhnya bumi diwarisi oleh hamba-hambaNya yang soleh”. Baginda SAW mengarahkan dua orang sahabat membawa surat itu kepada Musailamah Al Kazzab.

Musailamah membaca surat dari baginda SAW lantas mempersendakannya. Lalu dia pun bertanya kepada salah seorang sahabat Nabi: “Adakah kamu percaya bahawa Muhammad itu Rasulullah?”, sahabat Nabi tadi menjawab: “Ya”. Adakah kamu percaya yang aku ini Rasulullah?”. Sahabat tadi menjawab: ”Ya”. Musailamah Al Kazzab begitu berpuas hati dengan jawapan tersebut, lalu sahabat tadi dilepaskan. Musailamah lantas mengajukan soalan yang sama kepada seorang lagi sahabat Baginda SAW. “Adakah kamu percaya yang Muhammad itu Rasulullah?. “Ya”. “Adakah kamu percaya bahawa aku ini Rasulullah?”. “Aku pekak ( tidak mendengar soalan itu)”. Jawapan ini telah membangkitkan kemarahan Musailamah lalu bertindak membunuhnya.

Sahabat yang dilepaskan tadi kemudiannya mengadap Rasulullah SAW, menceritakan peristiwa yang berlaku. Rasulullah SAW lantas menegaskan bahawa yang dibunuh itu telah mati syahid, sementara yang mengiyakan itu telah memilih rukhsah, imannya tidak rosak kerana hatinya tetap tidak redha dengan kekufuran.

Tahalluf
Tahalluf ialah persefahaman di antara orang Islam dengan orang bukan Islam dalam menentang perkara kejahatan, kezaliman dan kemungkaran, di mana di sana ada golongan yang bukan Islam, mereka tidak beriman, tetapi perangainya baik, mereka juga tidak suka kepada kezaliman dan kejahatan. Inilah golongan yang dibolehkan kita bertahalluf.

Tahalluf ini tidak ada khilaf, dibenarkan oleh Islam. Firman Allah SWT, mafhumnya:”“Allah SWT tidak melarang kamu terhadap orang kafir yang tidak memerangi kamu dan tidak menghalau kamu dari tanahair kamu, bahawa kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap mereka”.

Nabi Muhammad SAW juga telah mengadakan tahalluf dengan golongan yang bukan Islam. Baginda bersabda menceritakan bahawa Baginda SAW pernah bersama-sama dengan bapa saudaranya Abu Talib dan bapa saudara yang lain, mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Mekah yang lain, bersama-sama berjanji setia untuk menentang kezaliman dan membantu sesiapa yang dizalimi.

Nabi SAW menyatakan bahawa sekiranya perjanjian seumpama itu dibawa ke masa Islam, nescaya Baginda SAW akan menerimanya. Oleh kerana itulah kedapatan kabilah-kabilah Arab seperti Kabilah Huza’ah yang bertahalluf dengan Nabi SAW. Kabilah Bani Huza’ah adalah kabilah Arab Mekah yang memilih untuk bergabung (bertahalluf) dengan Nabi SAW kerana mereka mengenali Nabi SAW sejak kecil lagi sebagai seorang yang amanah.

Di Mekah juga terdapat satu kabilah iaitu Bani Bakar yang bergabung dengan musyrikin Quraisy, yang menyimpan dendam kepada bani Huza’ah, dimana akhirnya berakhir dengan serangan dari Bani Bakar dengan bantuan dari musyrikin Quraisy ke atas Bani Huza’ah. Serangan yang dilakukan pada waktu malam itu telah mengorbankan 20 orang keluarga Bani Huza’ah. Peristiwa ini juga ini merupakan pencabulan kepada perjanjian damai Hudaibiyah yang telah termeterai sebelumnya.
Ekoran dari peristiwa tersebut, Bani Huza’ah telah menghantar 40 orang untuk mengadap Rasulullah SAW mengadu tentang serangan tersebut. Baginda berasa sangat sedih dan bangun bersabda: ”Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menolong aku jika aku tidak menolong kamu wahai Bani Kaab. Aku akan menolong kamu sebagaimana aku menolong kaum keluarga aku sendiri. Langit akan turun hujan sekiranya aku menolong Bani Kaab (Bani Huza’ah juga dikenali sebagai Bani Kaab).

Peristiwa tersebut adalah antara rentetan yang membawa kepada berlakunya pembukaan Kota Mekah. Begitulah antara intisari tahalluf, saling berjanji setia, tolong menolong dalam menentang kezaliman, kejahatan dan kemungkaran.

Isti’anah
Isti’anah bererti meminta bantuan dari orang bukan Islam. Dalam perkara ini, terdapat khilaf di kalangan para ulama’ yang melahirkan tiga pendapat:
i. Harus
ii. Haram
iii. Berdasarkan kepada keputusan pemimpin Islam, mengikut maslahat
Pendapat yang mengatakan haram berdalilkan kepada satu peristiwa yang berlaku semasa Peperangan Badar. Satu ketika, Baginda SAW telah didatangi oleh seorang tentera kafir yang musyrik, yang handal bermain senjata, lalu menawarkan dirinya untuk membantu Nabi SAW. “ Adakah kamu bersedia untuk menerima pertolongan saya?”. Baginda SAW lantas bertanya semula kepada tentera musyrik tersebut, “Adakah kamu beriman (memeluk) Islam?”. “Tidak…”, lalu Baginda bersabda ”Aku tidak minta pertolongan dari orang yang musyrik”.

Baginda SAW meneruskan perjalanannya, sehinggalah tentera musyrik tadi datang buat kali yang kedua, menawarkan dirinya untuk bersama-sama Rasulullah SAW. “ Adakah kamu bersedia untuk menerima pertolongan dari saya?”. “ Adakah kamu telah beriman (masuk Islam)?”. “Tidak…”. Sekali lagi Baginda SAW menegaskan “Aku tidak minta pertolongan dari orang yang musyrik”.

Rasulullah SAW meneruskan perjalanannya sehingga tentera tadi datang buat kali yang ketiga, bersungguh-sungguh ingin membantu Nabi SAW. “Adakah kamu bersedia untuk menerima pertolongan saya?”. “ Adakah kamu beriman (masuk Islam)?”. “Ya”. Lalu Baginda bersabda,”Silalah, mari bersama-sama denganku”.

Peristiwa tersebut merupakan dalil bahawa Nabi SAW tidak pernah meminta pertolongan dari orang yang kafir dan dijadikan hujah untuk mengharamkannya.

Adapun ulama’ yang mengharuskan Isti’anah itu berdalilkan kepada beberapa peristiwa yang berlaku di zaman Rasulullah SAW juga.
Ketika berlakunya peristiwa Hijrah, Nabi telah memberi keizinan kepada Saidina Abu Bakar RA untuk meminta pertolongan dari seorang musyrik sebagai penunjuk jalan bernama Abdullah bin Uraiqit. Abdullah bin Uraiqit merupakan seorang yang tahu dan mahir tentang jalan yang selamat dan cepat untuk sampai ke Madinah, di mana walaupun dia memang seorang yang musyrik, tetapi dia tidak bersetuju dengan kejahatan dan kezaliman yang telah dilakukan oleh pemimpin musyrik Mekah.

Dalil yang kedua untuk megharuskan isti’anah adalah merujuk kepada peristiwa Peperangan Hunain, yang berlaku selepas pembukaan Kota Mekah. Semasa pembukaan Kota Mekah, ramailah orang-orang musyrik yang akhirnya memeluk Islam, namun ada juga yang tidak memeluk Islam dan terus memusuhi Nabi SAW.

Rasulullah SAW telah mendapat berita yang kabilah Thaqif dan Hawazin sedang menghimpunkan bala tentera yang ramai untuk menentang Nabi SAW dan para sahabatnya. Lalu Nabi SAW telah bersedia untuk memimpin pasukan bala tentera Islam yang jumlahnya 12 ribu, iaitu 10 000 orang dari Madinah dan 2 000 dari Mekah. Sehubungan dengan itu , baginda SAW telah memanggil seorang penduduk Mekah yang masih kafir, yang diketahui mempunyai simpanan senjata yang banyak, bernama Shafwan bin Umayyah.

Baginda SAW bertanya kepada pemimpin musyrik itu, “Adakah kamu mempunyai simpanan senjata?”, “Tidak ada”, jawabnya . Namun sebenarnya Nabi SAW mengetahui yang si kafir itu memang mempunyai simpanan senjata yang banyak melalui mukjizat, sehingga baginda boleh memberitahu si kafir itu di bilik-bilik manakah tempat simpanannya. Itulah mukjizat yang hebat, sebagai bukti kerasulan baginda, yang berlaku di depan mata si kafir tadi.

Maka pemimpin kafir berkenaan tidak mempunyai pilihan lain melainkan memerintahkan khadamnya untuk mengambil simpanan senjata-senjata untuk diserahkan kepada Nabi SAW, seterusnya dibahagi-bahagikan kepada bala tentera Islam.“Adakah kamu pinjam atau rampas senjata ini?”, ”Aku hanya meminjamnya”, jelas Nabi SAW.

Kabilah Thaqif dan Hawazin rupa-rupanya telah menjalankan taktik peperangan yang telah memeranjatkan tentera Islam, dengan bersembunyi di bukit –bukit yang yang mengelilingi lembah Hunain dan membiarkan pasukan tentera Islam yang dipimpin oleh baginda SAW memasuki dahulu lembah tersebut. Apabila pasukan tentera Islam memasuki lembah tersebut, mereka telah diserang dari segenap penjuru bukit menyebabkan tentera Islam bertempiaran lari menyelamatkan diri. Para ulama’ sirah mengatakan, dari 12 ribu tentera Islam itu, akhirnya hanya seratus orang yang tinggal bersama Nabi, termasukAbu Sufyan dan pemimpin musyrik yang meminjamkan senjata kepada Nabi tadi.

Ketika inilah Rasulullah SAW menunjukkan sifat sebagai seorang pemimpin, yang tidak sekali-kali lari dari medan perang. Baginda lantas turun dari baghalnya lalu bersabda dengan penuh semangat: “Wahai hamba Allah, marilah datang kepadaku, Aku adalah nabi dari kalangan keluarga Abdul Mutalib”. Kata-kata yang dilontarkan baginda itu untuk menaikkan semangat tentera Islam, dengan membangkitkan yang keturunannya adalah dari Abdul Mutalib yang terkenal sebagai seorang pemimpin yang berani dan tegas, tambahan lagi baginda adalah seorang nabi yang dipilih oleh Allah, yang tentunya tidak akan berbohong.

Abu Sufyan, walaupun beliau telah memeluk Islam, namun beliau masih baru, masih banyak hukum-hukum yang belum diketahuinya. Lalu timbullah perasaan ragu-ragu dalam dirinya samada tentera Islam akan mendapat kemenangan atau kekalahan yang akan menyusul. Beliau mengambil keputusan untuk melakukan cabutan anak panah untuk bernujum, samada Nabi Muhammad SAW akan menang atau akan kalah.

Perbuatan ini dimarahi oleh pemimpin musyrik yang telah memberi pinjam senjata kepada Rasulullah SAW, yang ikut serta dalam peperangan itu. “ Apa ini, adakah kamu masih ragu-ragu, sesungguhnya Muhammad menang adalah lebih baik dari Muhammad kalah (aku mahu Muhammad yang menang, bukannya Hawazin dan Thaqif yang menang)”. Mengapakah dia mahu kemenangan berpihak kepada Nabi Muhammad SAW? Ini adalah kerana dia adalah dari kabilah Qyraisy, dan dari Mekah, sama dengan Rasulullah SAW, maka sudah tentulah dia lebih mahu kemenangan berpihak kepada Nabi Muhammad SAW.

Akhirnya, mengikut sejarah , tentera Islam telah dapat mengalahkan kabilah Thaqif dan Hawazin yang kafir itu melalui mukjizat dan semakin ramailah orang memeluk Islam termasuklah pemimpin musyrik tersebut.

Walaupun peristiwa Hijrah berlaku sebelum peperangan Badar, tetapi peristiwa di atas berlaku selepasnya (Peperangan Badar). Mengikut kaedah Usul Fiqh, hukum dari peristiwa yang berlaku kemudian adalah lebih kuat dan boleh menasahkan hukum dari peristiwa terdahulu
Pendapat ketiga merupakan pendapat yang lebih kuat, iaitu pemimpinlah yang akan membuat keputusan berdasarkan kemaslahatan. Jika pemimpin merasakan lebih maslahat perlu bersama dengan orang bukan Islam untuk menolong dalam perjuangan Islam, atau ketika orang Islam dalam keadaan lemah yang memerlukan kerjasama dari bukan Islam untuk menguatkan Islam, maka pemimpin bolehlah memilih untuk bekerjasama dengan bukan Islam.

Namun sekiranya kerjasama itu boleh merugikan Islam, maka pemimpin mestilah memilih untuk tidak bekerjasama dengan bukan Islam. Sebenarnya inilah bukti yang menunjukkan bahawa ajaran Islam ini mengcakupi segenap aspek kehidupan, tidak terbatas kepada bab sembahyang, puasa, zakat dan haji sahaja. Terkandung di dalamnya ajaran mengenai politik, peperangan, kenegaraan dan yang berkait dengan hal-hal keduniaan yang lain.

Apakah orang bukan Islam boleh menyertai kerajaan Islam?
Terdapat perbincangan di kalangan para ulama’, iaitu dalam keadaan Islam memerintah, adakah dibolehkan orang bukan Islam terlibat dalam kerajaan, seperti menjadi menteri..
Terdapat dua pendapat:
i : Haram
ii: Harus
Immamul Haramain, Imam Abu Malik Al Juwaini mengatakan haram, sementara Imam Al Mawardi mengatakan dibolehkan. Imam Al Mawardi membolehkan perlantikan orang bukan Islam dalam kementerian yang tidak terlibat dalam menentukan dasar atau polisi sesebuah negara, iaitu hanya kementerian yang melaksanakan polisi yang telah diputuskan oleh kerajaan dalam perkara-perkara tertentu. Mereka tidak boleh terlibat dalam urusan kementerian yang memutuskan polisi dan dasar utama negara.

Percangahan pendapat ini dipengaruhi oleh suasana persekitaran…contohnya Imamul Haramain hanya tinggal di Mekah dan Madinah yang memang diharamkan untuk orang bukan Islam memasukinya, manakala Imam Al Mawardi menetap di Baghdad, Iraq, yang mempunyai masyarakat majmuk terdiri dari Muslim, Kristian, Yahudi dan yang menganut pelbagai agama.

Mudah- mudaha huraian ini dapat menambahkan sedikit sebanyak pengetahuan kita dalam perkara tersebut. Adapun segala kelemahan dari huraian diatas adalah berpunca dari kelemahan diri saya sendiri. ASTAGHFIRULLAH… WALLAHUA”LAM

ABU AFNAIN

2 comments:

kelambuharimau said...

kerjasama macamana lagi kalu nak runtuhkan kandang babi pun tak boleh..macamana dak kerjasama dgn cina laknat ni

Ibnul Munzir said...

Itulah cabaran pemimpin dan pendakwah Islam. Perjuangan nak mendapatkan syurga Allah adalah perjuangan yang dipenuhi dengan keperitan sedangkan perjalanan untuk neraka-Nya dipenuhi dengan keindahan dan nikmat.

Kadangkala kita memang susah nak menerima yang hak kerana tidak kena dengan nafsu kita, sebab itu kita perlu selalu bersandarkan kepada Al-Quran dan hadis agar tidak tersesat jalan.

Push-Up Arrow