(Penulis Bebas)
Pukul 9.30 malam, 17 Januari 2009 aku sudah tidak tahan untuk menutup awal perniagaanku. Kalau mengikut berita, keputusan itu akan diumumkan pada pukul 10.30 malam. Aku mengira sudah tentu aku sempat untuk sampai ke Stadium Negeri dan mengikuti detik bersejarah itu.
Aku balik ke rumah dan mengambil motorsikal Yamaha SRX ku tanpa pengetahuan isteriku. Dalam perjalanan ke Stadium Negeri itu aku terlihat bunga api di udara. Aku juga melihat beberapa anak muda sedang 'posing' dan bergambar dengan menyelimuti tubuh-tubuh mereka dengan bendera kesayangan mereka seperti pelancong yang 'posing' berlatar belakangkan pemandangan yang akan diabadikan di dalam album kenangan lagaknya. Aku terus memandu dengan pecutan yang agak tinggi. Dalam pada itu beberapa sms masuk dan aku sempat mengeluarkan handsetku yang tersisip di talipinggangku dan membaca sambil tangan sebelah kanan memegang handle sambil meneruskan pemanduan. Ada sms yang masuk bertanyakan keputusan, ada yang inginkan kepastian dan majoritinya adalah yang mengucapkan tahniah atas kemenangan.
Aku mengambil jalan yang paling singkat. Tetapi setelah hampir sampai ke tempat tujuan, di traffic light terakhir itu terdapat sekatan jalan. Aku selekoh ke jalan Sultan Omar dan mengambil jalan belakang melalui perkuburan Cina di Jalan Pusara. Anehnya aku melihat kenderaan yang bertali arus itu ada yang pergi dan ada yang kembali. Jalan di celah-celah perkuburan itupun menjadi sesak juga. Akhirnya setelah aku sampai di belakang Stadium Negeri dengan bersusah payah, aku diberitahu bahawa majlis telahpun selesai dan Parti Islam mendapat kemenangan dengan majoriti 2631. Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Aku tak dapat menyembunyikan kegembiraanku dengan bertakbir beberapa kali meskipun tidak sempat mengikuti detik itu.
Aku kembali mendapatkan motorsikalku untuk balik ke rumah dengan hati yang riang berbunga. Dalam perjalanan kembali aku melalui jalan lain yang agak jauh untuk melihat-lihat suasana selepas kemenangan itu. Kenderaan begitu banyak sekali. Mujurlah aku naik motorsikal. Di sepanjang jalan aku melihat suasana yang cukup mengharukan. Anak-anak muda yang bermotor sama ada yang membonceng atau bersendirian mengibarkan bendera Parti Islam itu sambil memandu berderet-deret sambil membunyikan hon masing-masing dengan irama ceria. Kereta-kereta yang bersimpang siur itupun tidak mahu ketinggalan dengan menyambut bunyi-bunyi hon itu untuk menyatakan sokongan mereka. Tingkap-tingkap kereta dibuka dan bendera-bendera Parti Islam berkibaran dengan berbagai-bagai saiz.
Aku mengikuti arus perjalanan motorsikal-motorsikal anak-anak muda itu dengan rasa bangga dan gembira. Apabila tiba di persimpangan traffic light, mereka beramai-ramai melaungkan takbir berulang-ulang sambil mengangkat bendera Parti Islam itu tinggi-tinggi dan mengibar-ngibarkannya. Subhanallah! Hatiku tersentuh dengan gelagat itu. Suasana keriangan itu dihiasi dengan laungan yang membesarkan Allah.
Aku terus mengekori mereka kerana jalan laluan mereka juga menuju ke rumahku. Di tepi-tepi jalan aku melihat penduduk sekitar berdiri beramai-ramai di tepi jalan yang diterangi dengan lampu neon jalanraya itu sambil mengibar-ngibarkan bendera sambil tersenyum. Ada yang bertakbir penuh kepuasan. Terdapat juga penduduk yang membuka tingkap-tingkap rumah mereka di tingkat satu bagunan kedai yang berderetan sepanjang jalan itu sambil mengibarkan bendera. Sambutan seperti itu seolah-olah sedang menyambut wira-wira negara yang baru balik dari medan perjuangan.
Hatiku sungguh sayu! Perlahan-lahan kurasakan air jernih mengalir membasahi pipiku kerana rasa syahdu dan terharu.
Sesampainya di rumah, aku lantas mengajak isteriku untuk turut sama meraikan kemenangan rakyat itu dengan menaiki motorsikal. Tanpa berlengah lagi isteriku terus besetuju dan aku memboncengnya di belakangku. Aku mengikuti saja anak-anak remaja yang ramai itu menunggang motorsikal melalui jalan Cabang Tiga - Pulau Kambing - Kg. Cina - Masjid Putih - Tanjung - Jalan Sultan Zainal Abidin - Jalan Hospital - Jalan Kamaruddin - Jln. Gong Kapas dan kembali semula ke Jln Cabang Tiga.
Sepanjang perjalanan itu sesekali aku melihat anggota polis yang berdiri di tepi-tepi jalan hanya tersenyum-senyum seolah-olah mereka juga gembira dengan sambutan yang tidak dirancang itu. Ada juga yang buat-buat tak tahu sambil minum di warung-warung tepi jalan dan berbual-bual. Tidak ada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku dalam sambutan itu. Anak-anak remaja samada lelaki atau perempuan, tua atau muda semuanya tahu menjaga adab dan keharmonian.
Aku tidak tahu berapa kali mereka 'tawaf' mengelilingi Bandaraya Kuala Terengganu selepas itu. Dengan perasaan gembira dan puas, aku dan isteri balik ke rumah.
Dalam diam aku bermonolog. Indahnya perjuangan Islam ini apabila didokongi oleh anak-anak muda. Detik bersejarah ini akan menjadi titik tolak kepada kemenangan Islam di Malaysia Insya Allah. Namun begitu aku masih hairan, bagaimana golongan muda itu begitu gembira dengan kemenangan Parti Islam sedangkan mereka tidak mendapat upah. Ertinya kegembiraan mereka itu tulus dan ikhlas bukan ada udang di sebalik batu. Satu saja kesimpulah yang boleh aku buat ialah bahawa pemuda-pemuda itu telah faham inti perjuangan Parti Islam iaitu untuk kesejahteraan umat. Apabila kefahaman ini telah berputik... maka Insya Allah kemenangan Islam semakin hampir... tunggulah...
No comments:
Post a Comment