Saturday, January 31, 2009

SIRAH – SULTAN MUHAMMAD AL-FATIH


            Suatu malam, sedang saya asyik mengemas fail-fail usrah saya ketika di universiti dulu, saya terpandang satu artikel tentang tokoh pemimpin ulung dunia Islam, Sultan Muhammad Al Fatih. Artikel ini pernah saya bentangkan ketika sesi usrah bersama adik-adik suatu ketika dulu. Ia mengisahkan tentang pembukaan Constantinople (kini Istanbul di Turki) oleh tentera Uthmaniyyah
(Ottoman) Turki di bawah pimpinan Sultan Muhammad Al Fatih (dikenali juga dengan nama Sultan Muhammad II atau Muhammad The Conqueror). Sultan Muhammad Al Fatih merupakan seorang pemimpin yang hebat. Perihal tentang baginda pernah disebut Rasulullah SAW di dalam satu Hadisnya.

Sabda Rasulullah SAW ketika menggali Parit Khandaq; "..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……"
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

             Berikut, saya paparkan semula sejarah ringkas kehidupan Sultan Muhammad al Fatih & pembebasan Constantinople. Sebelum itu, setinggi-tinggi penghargaan buat penulis asal artikel ini. Semoga dapat terus dimanfaatkan oleh umat Islam dalam menghayati sirah dan seterusnya meningkatkan semangat dalam perjuangan Islam yang tercinta ini.

           Apabila Nabi Muhammad s.a.w. menyebut bahawa Constantinople akan dibuka oleh raja dan tentera terbaik, kerajaan Islam sepanjang zaman telah berusaha menjadikannya kenyataan. Selepas cubaan selama 800 tahun, barulah ia berlaku. Hagia Sophia (Aya Sofiya) di Istanbul simbol kejayaan Sultan Muhammad Al Fatih membuka Constantinople. Sekalipun tentera Islam telah menduduki pusat pemerintahan Byzantine itu, monumen berharga seperti Hagia Sophia tidak dimusnahkan, sebaliknya mengekalkannya sebagai masjid.

SULTAN MUHAMMAD AL FATIH


           Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah SWT di dalam Hadis Rasulullah tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Diantaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman  Kerajaan Uthmaniyyah.

            Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi SAW iaitu Abu Ayyub Al Ansary RA telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, "Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople".Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.

            Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.

Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut "sebaik-baik raja" dan "sebaik-baik tentera" di dalam Hadis tersebut.



PENGENALAN

           Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki - Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai "sebaik-baik raja" di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih dan Muhammad The Conqueror kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

           Baginda menaiki takhta ketika berusia   19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang   negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481. Ada ahli sejarah berpendapat
baginda mangkat diracun.

PENDIDIKAN

              Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagaman, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, baginda diajar tentang tektik peperangan,   memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

             Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah  matang menangani tipu helah musuh.

KEPERIBADIAN

Baginda sentiasa bersifat tawadhu' dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja

Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.

PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE

Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.

Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople dimana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.


Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.

MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE

Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut dihujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.


Menara Bergerak
Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.

Bantuan Dari Pope Vatican
Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Usmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.


Melancarkan Kapal Perang Dari Puncak Gunung
Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia
oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.

Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Uthmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.

Memanjat dan Melastik Dinding Kota

Keesokan paginya tentera Usmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.

Karisma Seorang Pemimpin

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan  telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, "Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!".
Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah AllahuAkbar.

Penawanan Constantinople

Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa  inilah baginda diberi gelaran "Al Fatih" iaitu yang menang kerana kejayaannya
membebaskan Constantinople.


SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA


Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!". Tiada seorang pun yang duduk, kerana  tidak seorang pun di antara mereka pernah
meninggalkan solat fardhu.


Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!". Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!". Kali ini semuanya duduk, kecuali  Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.



Thursday, January 22, 2009

Apabila Takbir Menjadi Laungan Anak-Anak Muda

(Penulis Bebas)

Pukul 9.30 malam, 17 Januari 2009 aku sudah tidak tahan untuk menutup awal perniagaanku. Kalau mengikut berita, keputusan itu akan diumumkan pada pukul 10.30 malam. Aku mengira sudah tentu aku sempat untuk sampai ke Stadium Negeri dan mengikuti detik bersejarah itu.

Aku balik ke rumah dan mengambil motorsikal Yamaha SRX ku tanpa pengetahuan isteriku. Dalam perjalanan ke Stadium Negeri itu aku terlihat bunga api di udara. Aku juga melihat beberapa anak muda sedang 'posing' dan bergambar dengan menyelimuti tubuh-tubuh mereka dengan bendera kesayangan mereka seperti pelancong yang 'posing' berlatar belakangkan pemandangan yang akan diabadikan di dalam album kenangan lagaknya. Aku terus memandu dengan pecutan yang agak tinggi. Dalam pada itu beberapa sms masuk dan aku sempat mengeluarkan handsetku yang tersisip di talipinggangku dan membaca sambil tangan sebelah kanan memegang handle sambil meneruskan pemanduan. Ada sms yang masuk bertanyakan keputusan, ada yang inginkan kepastian dan majoritinya adalah yang mengucapkan tahniah atas kemenangan.

Aku mengambil jalan yang paling singkat. Tetapi setelah hampir sampai ke tempat tujuan, di traffic light terakhir itu terdapat sekatan jalan. Aku selekoh ke jalan Sultan Omar dan mengambil jalan belakang melalui perkuburan Cina di Jalan Pusara. Anehnya aku melihat kenderaan yang bertali arus itu ada yang pergi dan ada yang kembali. Jalan di celah-celah perkuburan itupun menjadi sesak juga. Akhirnya setelah aku sampai di belakang Stadium Negeri dengan bersusah payah, aku diberitahu bahawa majlis telahpun selesai dan Parti Islam mendapat kemenangan dengan majoriti 2631. Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Aku tak dapat menyembunyikan kegembiraanku dengan bertakbir beberapa kali meskipun tidak sempat mengikuti detik itu.

Aku kembali mendapatkan motorsikalku untuk balik ke rumah dengan hati yang riang berbunga. Dalam perjalanan kembali aku melalui jalan lain yang agak jauh untuk melihat-lihat suasana selepas kemenangan itu. Kenderaan begitu banyak sekali. Mujurlah aku naik motorsikal. Di sepanjang jalan aku melihat suasana yang cukup mengharukan. Anak-anak muda yang bermotor sama ada yang membonceng atau bersendirian mengibarkan bendera Parti Islam itu sambil memandu berderet-deret sambil membunyikan hon masing-masing dengan irama ceria. Kereta-kereta yang bersimpang siur itupun tidak mahu ketinggalan dengan menyambut bunyi-bunyi hon itu untuk menyatakan sokongan mereka. Tingkap-tingkap kereta dibuka dan bendera-bendera Parti Islam berkibaran dengan berbagai-bagai saiz.

Aku mengikuti arus perjalanan motorsikal-motorsikal anak-anak muda itu dengan rasa bangga dan gembira. Apabila tiba di persimpangan traffic light, mereka beramai-ramai melaungkan takbir berulang-ulang sambil mengangkat bendera Parti Islam itu tinggi-tinggi dan mengibar-ngibarkannya. Subhanallah! Hatiku tersentuh dengan gelagat itu. Suasana keriangan itu dihiasi dengan laungan yang membesarkan Allah.

Aku terus mengekori mereka kerana jalan laluan mereka juga menuju ke rumahku. Di tepi-tepi jalan aku melihat penduduk sekitar berdiri beramai-ramai di tepi jalan yang diterangi dengan lampu neon jalanraya itu sambil mengibar-ngibarkan bendera sambil tersenyum. Ada yang bertakbir penuh kepuasan. Terdapat juga penduduk yang membuka tingkap-tingkap rumah mereka di tingkat satu bagunan kedai yang berderetan sepanjang jalan itu sambil mengibarkan bendera. Sambutan seperti itu seolah-olah sedang menyambut wira-wira negara yang baru balik dari medan perjuangan.

Hatiku sungguh sayu! Perlahan-lahan kurasakan air jernih mengalir membasahi pipiku kerana rasa syahdu dan terharu.

Sesampainya di rumah, aku lantas mengajak isteriku untuk turut sama meraikan kemenangan rakyat itu dengan menaiki motorsikal. Tanpa berlengah lagi isteriku terus besetuju dan aku memboncengnya di belakangku. Aku mengikuti saja anak-anak remaja yang ramai itu menunggang motorsikal melalui jalan Cabang Tiga - Pulau Kambing - Kg. Cina - Masjid Putih - Tanjung - Jalan Sultan Zainal Abidin - Jalan Hospital - Jalan Kamaruddin - Jln. Gong Kapas dan kembali semula ke Jln Cabang Tiga.

Sepanjang perjalanan itu sesekali aku melihat anggota polis yang berdiri di tepi-tepi jalan hanya tersenyum-senyum seolah-olah mereka juga gembira dengan sambutan yang tidak dirancang itu. Ada juga yang buat-buat tak tahu sambil minum di warung-warung tepi jalan dan berbual-bual. Tidak ada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku dalam sambutan itu. Anak-anak remaja samada lelaki atau perempuan, tua atau muda semuanya tahu menjaga adab dan keharmonian.

Aku tidak tahu berapa kali mereka 'tawaf' mengelilingi Bandaraya Kuala Terengganu selepas itu. Dengan perasaan gembira dan puas, aku dan isteri balik ke rumah.

Dalam diam aku bermonolog. Indahnya perjuangan Islam ini apabila didokongi oleh anak-anak muda. Detik bersejarah ini akan menjadi titik tolak kepada kemenangan Islam di Malaysia Insya Allah. Namun begitu aku masih hairan, bagaimana golongan muda itu begitu gembira dengan kemenangan Parti Islam sedangkan mereka tidak mendapat upah. Ertinya kegembiraan mereka itu tulus dan ikhlas bukan ada udang di sebalik batu. Satu saja kesimpulah yang boleh aku buat ialah bahawa pemuda-pemuda itu telah faham inti perjuangan Parti Islam iaitu untuk kesejahteraan umat. Apabila kefahaman ini telah berputik... maka Insya Allah kemenangan Islam semakin hampir... tunggulah...

Monday, January 5, 2009

Mengundi parti untuk tegakkan Islam wajib?

KOTA BHARU, 4 Jan (Hrkh)-Pengundi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diharap menunaikan hak mereka sebagai pemilih dengan penuh keimaman.
Iklan

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, hak sebagai pengundi merupakan mutlak kepada setiap individu yang tidak boleh dirampas dan dipaksa sesiapa pun.

"Apabila dihubungkan hak dan kebebasan mengundi ini dengan tanggungjawab kita untuk menegakkan Islam, maka tunaikanlah hak ini dengan penuh iman.

"Biar bagaimana rahsia sekali pun undi kita pada 17 Januari ini, ia tetaplah akan terakam sebagai amal makruf," katanya dalam satu kawat kepada pengundi parlimen Kuala Terengganu yang tinggal di luar.

Menurutnya mengundi sebuah parti yang mahu menegakkan Islam adalah wajib.

Ini selaras dengan firman Allah Taala dalam surah An Nashr: 1 dan 2 yang bermaksud, "Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Kamu akan melihat manusia memasuki agama Allah dengan berbondong-bondong".

Menurut Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan, zaman sekarang, orang menegakkan Islam dengan mengambil alih kuasa melalui pilihan raya.

"Inilah yang timbul kerja mengundi melalui pilihan raya," katanya.

Pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu akan diadakan pada 17 Januari ini dan penamaan calon lusa.
Push-Up Arrow