(Oleh:Tuan Guru Haji Nik Abd Aziz Nik Mat)
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
"Tiada yang dinanti oleh seorang antara kamu melainkan menunggu kaya yang jadi taghut (pelampau) atau menunggu (tanpa usaha) sampai jadi papa sehingga lupa halal haram, atau menunggu sehingga dilanda sakit yang menyebabkan punah seluruh tenaga untuk berusaha, atau duduk diam sehingga menjelang tua kemudian tidak terdaya lagi melakukan sesuatu, atau duduk diam sehingga datang ajal secara mengejut."
Sesungguhnya Islam tidak menghalang seseorang untuk menjadi kaya, tetapi apa yang terungkap dalam hadith baginda di atas menjelaskan bahawa sifat buruk yang sering berakar dalam jiwa pengejar kekayaan sehingga menjadi taghut, tidak kira halal haram, adalah suatu yang jelas bercanggah dengan kemurnian syariat Islam.
Pepatah sering menyebut bahawa langit tidak menurunkan hujan emas. Lantaran itu manusia mesti berusaha agar dia tidak mengizinkan kepapaan menguasai diri mereka. Namun kekayaan bukanlah matlamat hidup yang murni kerana segala harta benda dan segala kekayaan yang melimpah daripada perbendaharaan Allah SWT itu hanyalah kemudahan atau alat bagi mencapai keredhaan Allah SWT.
Justeru, kebijaksanaan yang berteraskan keimanan merupakan persiapan bagi seorang usahawan yang ingin mengejar kekayaan dunia. Usahawan yang bijak di sisi Islam ialah mereka yang mampu membebaskan diri tanpa berpaut kepada tongkat riba yang ditawarkan oleh pelbagai institusi kewangan. Modal berasaskan riba adalah benih yang akan melahirkan manusia yang dibenci oleh Allah SWT, iaitu manusia yang digelar oleh Rasulullah SAW sebagai Ghinan Mutghiyan iaitu jutawan yang menjadi taghut.
Namun apa yang mesti difahami bahawa Islam menggalakkan umatnya menjadi kaya kerana dalam Islam ada zakat. Tidak mungkin orang akan mengeluarkan zakat jika mereka tidak kaya. Tetapi jika sudah menjadi jutawan tidak juga mengeluarkan zakat, atau masih berdalih menangguhkan menunaikan haji ke Mekah, sedangkan setiap bulan mereka boleh terbang ke Amerika, Eropah atau ke Jepun…maka yang demikian itu, sudah tergolong ghinan mutghiyan iaitu jutawan yang bersifat melampau.
Satu lagi keadaan yang tidak diingini ialah 'papa kedana yang lupa halal haram'. Apabila manusia sudah terdesak disebabkan tiada wang ringgit dan harta benda, dia mungkin terdorong melakukan apa saja walaupun terpaksa melanggar undang-undang dan menjatuhkan maruah sendiri, asalkan perut yang kosong dan poket yang kempis terisi. Mungkin mereka terpaksa menipu, berjudi, mencuri atau merompak. Itulah hal-hal yang ditakuti terjadi terhadap mereka yang membiarkan kepapaan menyelubungi diri.
Firman Allah SWT;
"Dan tiada suatu binatang (segenap makhluk bernyawa) yang melata di muka bumi ini melainkan Allahlah yang memberi rezekinya." Sura Hud (11:6)
Bagaimanapun jka manusia tidak berusaha, maka rezeki yang sudah dijanjikan oleh Allah SWT itu nescaya akan terlepas dari tangannya. Ia ibarat pemberian yang telah dihulur tetapi tidak disambut. Apabila rezeki sudah terlepas, maka dia akan kehilangan rezeki.
Kedudukan orang yang berdiam sehingga kepapaan menyelimuti dirinya sehingga menjadi si papa yang lupa halal haram adalah sama sahaja dengan jutawan yang melampaui batas. Si papa yang dibenci oleh Allah SWT kerana kepapaan telah mendorong mereka melakukan apa sahaja tanpa memikirkan halal haram, sama juga dengan golongan ghinan mutghiyan jutawan yang melampaui batas. Mereka juga terkutuk kerana sifat taghut mereka.
Sumbangkan Zakat Anda Kepada PAPISMA! Setiap Sumbangan Zakat Akan Disalurkan Kepada Asnaf Yang Layak
Kaedah Untuk Menyumbang:
Bank In Wang Zakat Anda Ke Akaun Maybank Papisma : 553010108828 Dan SMS kan Pada Bendahari Di Talian
Sebarang Sumbangan Derma (Infaq) Atau Pembayaran Yuran Juga Menggunakan Kaedah Yang Sama
Semoga Kita Tergolong Dalan Golongan HambaNya Yang Diredhai
Kak Han@Bendahari |
Saturday, September 6, 2008
Bahaya Jutawan Yang Melampaui Batas
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment