Wednesday, February 16, 2011

Keputeraan Rasulullah Menjadi Suri Kekuatan Jamaah

Dr. Md Arif Ibrahim
(Pengerusi PAPISMA Terengganu)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah yang telah mengutuskan hambaNya Muhammad SAW, untuk menyampaikan risalah agamaNya, memberi rahmat buat seluruh alam, salam sejahtera ke atas Baginda, ahli keluarganya,para sahabatnya dan para pengikut setia baginda di sepanjang zaman.

Saban tahun kita menyambut hari keputeraan baginda SAW, dengan bermacam-macam program dan berbagai ragam perarakan. Kesibukan membuat persediaan menyambut majlis dan program untuk memperingati hari bersejarah itu nampaknya lebih hebat dari kesibukan untuk menghayati dan mentaati ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW di setiap detik kehidupan kita.

Walaupun terdapat percanggahan pendapat dari segi tarikh sebenar kelahiran baginda SAW, namun ianya tetap berlaku pada bulan Rabiul Awal. Apapun yang dilakukan dan dalam apa bentuk sekalipun, haruslah difahami bahawa intipatinya adalah untuk mengingati peristiwa kelahiran seorang Nabi pilihan Allah, mempelajari, meyakini, serta mengamalkan segala ajarannya yang tentunya berpandukan wahyu dari Allah.

Mestilah juga disedari yang Rasulullah telah semakin lama meninggalkan kita, ataukah patut kita sedari juga yang kita juga semakin jauh meninggalkan kekasih Allah itu, bukan saja dari segi jarak masa kewafatannya, bahkkan juga semakin jauh pula kita meninggalkan ajarannya…ya…semakin hari semakin jauh…

Lahirnya Ar Rasul SAW, bererti telah berlaku pengisytiharan perang terhadap golongan yang menindas orang lain untuk kepentingan diri atau puak mereka, golongan yang sanggup hidup bersenang-lenang atas kesusahan orang lain, penguasa yang saban waktu mengumpul kekayaan dengan memeras ugut rakyat marhaen dan golongan yang mengenepikan kebenaran kerana menjaga periuk nasi sendiri.

Kenyataan inilah yang telah disuarakan oleh salah seorang pemuka kabilah, tatkala baginda mengajak untuk bersama dalam melaksanakan urusan agama,”Jika inilah (ajaran yang kamu bawa) wahai Muhammad,nescaya kamu akan diperangi oleh orang Arab dan orang Ajam (bukan Arab)”. Mengapa? Kerana ajaran ini mengenepikan sama sekali kepentingan diri, ajaran yang hanya mengajak manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT sahaja.

Lahirnya Ar Rasul SAW, bererti telah lahirnya role model terunggul untuk membina akhlak terpuji, seterusnya menjadi rahmat buat sekalian alam. Inilah yang telah dinyatakan oleh isteri baginda Aisyah r.ha ketika ditanya tentang akhlak Rasulullah…”adalah akhlak Rasulullah itu Al Quran”. Firman Allah SWT yang mafhumNya: “Dan tidaklah Kami utuskan kamu (Wahai Muhammad) melainkan menjadi rahmat kepada seluruh alam”.

Nah.. dalam keghairahan kita menyambut hari keputeraan baginda,bagaimana pula dengan akhlak kita, akhlak masyarakat terutamanya remaja kita, akhlak pemimpin masyarakat, negeri dan negara? Di Terengganu sendiri, berlakunya peningkatan kelahiran anak luar nikah yang amat membimbangkan. Menurut Jabatan Pendaftaran Negeri Terengganu, berlaku peningkatan yang amat ketara tahun demi tahun, manakala majoriti golongan yang terlibat pula adalah remaja Islam berumur 15 tahun keatas. Terengganu juga mencatatkan jumlah penagih dadah yang tertinggi di Malaysia. Perbandingan untuk 7 bulan pertama bagi tahun 2009 dan 2010, telah meningkat melebihi 1300%...MasyaAllah. Adakah ini hasil dari gegak gempitanya sambutan hari keputeraan Baginda saban tahun? Inikah barisan remaja dan golongan muda yang boleh diharapkan untuk mendokong perjuangan Rasulullah? Dan apakah pula peranan kita?

Lahirnya Ar Rasul SAW, menyebabkan terbinanya individu-individu muslim dan muslimat yang cekal serta mantap imannya, mampu berubah dari orang yang kelihatan biasa kepada luar biasa hebatnya, yang tidak takut melainkan kepada Allah sahaja, walaupun berdepan dengan situasi yang meruncing seperti peristiwa Perang Ahzab, mahupun tatkala berdepan dengan penguasa yang tampak gagah di mata.

Perhatikanlah apa yang telah diucapkan ole Rub’i bin Amir tanpa rasa gentar ketika berdepan dengan Panglima Parsi, Rustom, yang terkenal dengan gagah dan hebatnya itu: ”Allah yang telah membangkitkan (mengutus) kami, untuk mengeluarkan (mengajak) barangsiapa yang mahu, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri hanya kepada Allah, daripada kegelapan (kezaliman) agama-agama kepada keadilan Islam,daripada dunia yang sempit kepada dunia yang luas…”.

Kita dan PAPISMA

Alhamdulillah, kita telah dipilih oleh Allah untuk bersama dengan PAPISMA sebagai satu wadah untuk melaksanakan tuntutan amal ma’ruf nahi mungkar. Di sini kita berjumpa, membina hubungan atas nama aqidah, berusrah dan berbincang, merancang dan memperingati, bermuhasabah untuk menghasilkan natijah akhir hidup ini iaitu keredhaan Allah.

Segala gerak kerja kita, dari segi pengorbanan masanya, pemikirannya, termasuklah wang ringgit yang dibelanjakan mudah-mudahan diterima olehNya sebagai amalan soleh yang berpanjangan. Sudah tentu inilah yang akan menjadi bekalan kita apabila memasuki alam selepas kematian seterusnya ketika mengadap Allah di Hari Pengadilan nanti. Maka apakah yang menghalang kita lagi sebenarnya dari meneruskan usaha murni ini?

Cadangan Peribadi Saya

Di tahun 2010, aktiviti-aktiviti yang kita jalankan bersama masyarakat telah mendapat sambutan menggalakkan, Alhamdulillah. Di tahun 2011 ini pula, marilah kita menumpukan usaha untuk mendampingi golongan remaja pula. Tahun ini juga kita telah diberi tanggungjawab untuk menjadi tuan rumah bagi program tahunan PAPISMA, iaitu Konvensyen Kebangsaan PAPISMA yang akan di adakan di Bukit Keluang Resort, Besut pada 29 April hingga 1 Mei 2011.

Cadangan saya adalah seperti berikut:

1. Meneruskan riadhah mingguan di TER, Kuala Ibai, Terengganu

2. Meneruskan liqa’ bulanan dengan memperbanyakkan perbincangan dua hala dengan naqib.

3. Meneruskan program khidmat kesihatan dan bantuan kepada masyarakat di kampung terpilih sempena bulan Ramadhan.

4. Meneruskan program Qurban bersama masyarakat sempena Hari Raya Aidil Adha.

5. Merapatkan kembali hubungan dengan ahli-ahli yang bertebaran di Terengganu.... sudah tentu ini memerlukan usaha bersama.

6. Bekerjasama dengan PPIM Terengganu, Yayasan Amal Terengganu, NGO Nisa’ dan JHEAT untuk mengadakan kem remaja di tempat-tempat terpilih, dicadangkan pada cuti sekolah bulan Jun dan Disember. Ini akan menjadi program dwi tahunan bermula tahun ini.

7. Mengadakan ekspedisi bersama unit amal dan mungkin NGO lain, sebanyak 2 atau 3 kali pada tahun ini dengan mengedarkan risalah dan memberi kesedaran kepada para remaja di tempat tertentu seperti Pusat Peranginan Sekayu, Pulau Perhentian dan lain-lain. Boleh juga membuat aktiviti-aktiviti lain seperti BBQ keluarga PAPISMA selepasnya.

InsyaAllah, kita akan sentiasa bertemu dan berbincang, terutamanya selepas KKP nanti.

Sekali lagi marilah sama-sama kita menghayati bulan keputeraan Rasulullah dan menjadikannya sebagai ‘turning point’ untuk memperbaharui azam dan tekad kita, serta mendorong kita semua untuk melipatgandakan lagi usaha untuk meneruskan tugas-tugas mulia ini…Amin.

No comments: