Saturday, January 26, 2013

KEJOHANAN BADMINTON PAPISMA ZON PANTAI TIMUR


(Biro IT)

Kuala Terengganu, 24 Jan 2013 - Sempena Hari Keputeraan Baginda Nabi Muhammad SAW, PAPISMA Cawangan Terengganu dan Kelantan telah merintis usaha baru dalam merapatkan persahabatan di kalangan ahli-ahlinya melalui anjuran Kejohanan Badminton Zon Pantai Timur yang julung-julung kali diadakan.

Kejohanan ini telah diadakan di Kompleks Sukan Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai dan telah berjaya menarik penyertaan seramai 12 orang pemain bagi setiap pasukan. Pertandingan ini adalah bagi acara berpasukan dan semua acara adalah beregu. Ia menawarkan sebuah Piala Pusingan yang akan digunakan bagi kejohanan-kejohanan yang akan dianjurkan bagi tahun-tahun akan datang.


Kedua-dua pasukan telah beraksi dengan penuh semangat dengan mempamerkan kekuatan masing-masing. Namun kejohanan kali pertama ini telah dimenangi oleh pasukan PAPISMA Kelantan yang telah menewaskan pasukan PAPISMA Terengganu dengan 4-2.

Piala Pusingan telah disampaikan oleh Naib Presiden 2, Sdr. Azreen Mustafa.

Selesai pertandingan, semua pemain membersihkan diri di kompleks sukan tersebut dan sebahagiannya terus ke Masjid Terapung yang terletak bersebelahan TER itu bagi menunaikan solat Zohor berjemaah. Setelah itu semua pemain dan keluarga masing-masing telah dijamu dengan nasi ayam di sebuah restoran yang terkenal di Marang.

Berikut adalah beberapa aksi dan peristiwa yang sempat dirakam.

Piala Pusingan Kejohanan Badminton PAPISMA Zon Pantai Timur.

Tengku Ahmad Damitri dan Dr. Shaqil sedang beraksi.

Dr. Hashairi (kiri) berpasangan dengan Dr. Hasmezam.

Dr. Hazizul (kiri) berpasangan dengan Dr. Rohaizi.
 
Dr. Roslan dan Afif Afnan (14 y/o) junior Papisma menentang pasangan
star Papisma Kelantan.

Semangat sukan - Dr. Hashairi terduduk di lantai ketika cuba
mengembalikan bola.
Bersedia - Dr. Izzat (kiri) berpasangan dengan Dr. Ridzuan.
Sahabat dulu kini dan selamanya - Dr. Roslan (kiri) mewakili JK Penganjur
mempersilakan Dr. Hashairi untuk ucapan penutup.
Dr. Hashairi (kanan) sedang menyampaikan ucapan ringkas bagi mewakili
PAPISMA Kelantan.
Sebahagian pemain dan penyokong yang kelihatan.

Dr. Arif sedang menyampaikan ucapan sebagai mewakili tuan rumah.

Sebahagian pemain sedang berehat.
Para penyokong setia pasukan Kelantan.
Sdr. Azreen Mustafa sebagai salah seorang pemain yang mewakili
PAPISMA Kelantan.


Penyampaian Piala Pusingan oleh Naib Presiden 2 kepada ketua
Pasukan PAPISMA Kelantan, Dr. Hasmezam (kiri).

Pos istimewa mereka yang hadir sebagai pemain dan penyokong pada
hari ini...
Dr. Arif (kanan) sedang menerima cenderahati dari Pengerusi PAPISMA
Kelantan, Dr. Hashairi.
Sebahagian pemain Kelantan sedang menikmati hidangan tengahari.
Meriahnya suasana ini...
Sedang menjamu hidangan tengahari.
Dr. Al Arifin (kiri), Dr. Hashairi dan Tengku Ahmad Damitri bersama
keluarga masing-masing sedang menikmati hidangan tengahari.

Dr. Arif sedang menguruskan makanan tengahari.

Sdr. Azreen sedang melayan anaknya.


 





Thursday, January 24, 2013

PERUTUSAN MAULIDUR-RASUL 1434H

(Biro IT)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

"Firman Allah SWT yang bermaksud : Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)" Al-Ahzab: 21

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana masih lagi berpeluang untuk berada di dalam bulan Rabiul Awwal tahun 1434 Hijrah ini. Sekali lagi kita sama-sama berada dalam suasana menyambut Maulidur-Rasul yang merupakan satu rutin tahunan kepada umat Islam bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

 Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah contoh yang terbaik untuk manusia dalam menjalani kehidupan seharian. Sengaja Allah SWT, melantik rasulNya dari kalangan manusia agar boleh dicontohi dan dijadikan tauladan. Allah SWT tidak melantik rasulNya dari kalangan malaikat kerana malaikat ialah makhluk yang tidak mempunyai nafsu.

Bagaimana manusia yang mempunyai nafsu mahu menjadikan malaikat yang berlainan fitrah sebagai tauladan? Sesungguhnya, apabila Rasulullah SAW menjadi tauladan, ia bukan sahaja contoh di dalam ibadat tetapi dalam semua apsek kehidupan.

Aspek rumahtangga sebagai contoh, Rasulullah SAW terkenal sebagai seorang suami yang suka bergurau dengan isterinya. Gurauan ini tidak pernah melunturkan nilai nubuwwah yang ada pada diri Baginda bahkan ia merupakan penyeri kepada kehidupan berumahtangga yang diperlukan oleh setiap manusia. Kadang-kadang sudut ini yang dicuaikan oleh sebahagian daripada kita yang menjadikan kehidupan kita kaku dan beku tanpa gurau senda.

Demikian juga dalam aspek muamalat dengan rakyat. Rasulullah SAW terkenal sebagai seorang yang gemar menuturkan kata-kata manis sehingga menyenangkan pendengar. Bahkan terdapat juga situasi Rasulullah SAW bergurau dengan gurauan yang benar sehingga menjadikan dirinya lebih dikagumi dan disayangi.

Apa yang lebih penting ialah kejayaan Rasulullah SAW merubah paradigma pemikiran masyarakat jahiliyyah yang tebal dengan tradisi karut dalam tempoh perjuangan baginda selama 23 tahun. Sekalipun baginda merupakan seorang nabi yang juga kekasih Allah SWT, tetapi tempoh yang diambil oleh baginda untuk menjayakan misi dakwah di Mekah dan Madinah tidak mengambil masa sekelip mata.

Sirah inilah yang mengajar kita bahawa setiap perjuangan memerlukan tempoh masa yang tersendiri. Inilah lumrah dalam perjuangan yang wajib diterima oleh semua pendokong perjuangan Islam hari ini.

Hakikatnya, maulidur-rasul bukan hanya setakat meraikan kelahiran baginda Rasulullah SAW tetapi juga menjunjung tinggi syariat yang dibawa olehnya. Syariat ini perlu diletakkan di tempat yang tertinggi dalam pelbagai aspek kehidupan. Jika semangat ini dipupuk, insya-allah kita akan melihat suasana sambutan Maulidur-rasul yang benar-benar bermakna akan wujud di negara ini, Insya-Allah. Sekian.


12 Rabiul Awwal 1434H

Sunday, December 16, 2012

Mesyuarat Exco PAPISMA Pusat Di Kuala Terengganu

(Biro IT)

 Kuala Terengganu, Sabtu, 8 Disember 2012 - Mesyuarat Exco PAPISMA Pusat kali ke-6 telah berjaya diadakan di rumah Bendahari Agung PAPISMA, Dr. Zaihan bt. Salleh, di Kg. Durian Mas Manir kira-kira 10 km dari Bandaraya Kuala Terengganu. Mesyuarat itu telah diadakan di Dewan Walet yang terletak di perkarangan rumah beliau. Ini merupakan kali ke-2 mesyuarat exco diadakan di Kuala Terengganu di mana kali pertama telah diadakan di Dewan Mesyuarat Klinik Ummi pada tahun 2009 yang lalu.

Mesyuarat kali ini telah dihadiri oleh seramai 13 orang ahli mesyuarat termasuk wakil cawangan, mantan Presiden, mantan Ketua GMP dan SUK PAPISMA Johor-Tengah. Mesyuarat yang bermula pada pukul 6.20 petang hingga 12.10 malam (termasuk makan malam, solat Maghrib dan Isyak) telah membincangkan pelbagai isu. Banyak keputusan telah terhasil yang akan terus menggerakkan PAPISMA untuk menghadapi tahun baru 2013 yang akan menjelang beberapa hari lagi.

Mesyuarat kali ini juga mencipta sejarah apabila ia diadakan bersama sidang akhbar dan penyampaian sumbangan derma PAPISMA kepada Palestin melalui wakil yang akan ke sana iaitu Yayasan Amal Malaysia (YAM). YAM telah diwakili sendiri oleh Presiden YAM, Tuan Haji Husin Ismail. Cek sumbangan PAPISMA sebanyak RM25,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Puluh Lima Ribu) telah disampaikan oleh Presiden PAPISMA, Dr. Awisul Islah Ghazali. Pada majlis tersebut YAM turut menerima sumbangan daripada IPUKL yang disampaikan oleh Setiausahanya iaitu Sdr. Dr. Mohd. Nor Azri Ab Wahab. Majlis ringkas itu juga turut dihadiri oleh wartawan akhbar tempatan.

Semua delegasi yang tinggal di luar Terengganu telah bermalam di rumah Dr. Zaihan kecuali Dr. Khairul Afnan Khalid dan Sdr. Azreen Mustafa yang terpaksa balik ke Kota Bharu kerana ada tugas yang menanti keesokannya.

Serius. Mesyuarat sedang berlangsung.

Ahli-ahli exco sedang memberi tumpuan kepada minit mesyuarat di LCD.
Masing-masing memerah idea bagi mencari sebuah solusi.
Ni yang best ni... sambil mesyuarat sambil menjamu selera...


"Inilah satu-satunya cara terbaik..." mungkin itu yang sedang
diperkatakan oleh Dr. Khairul Afnan.
LCD. Item utama mesyuarat exco PAPISMA Pusat.
Masuk korum ke tak ni? Kak Han turut mengikuti mesyuarat meskipun
duduk agak jauh 

 Selepas solat Maghrib berjemaah, para exco dan ahli mesyuarat menikmati makan malam yang telah disediakan.
Jom makan! Dr. Tuan Fairuz sedang mengambil hidangan.

"Ambo make dulu deh...!" Dr. Aman Fuad sedang menikmati hidangan.

Cuci mulut. Dr. Md Arif sedang mengambil puding roti
made in Durian mas.

"Ambe pantang sebenarnya dengan makan ni. Kalau diajak tak tolak!" Sdr.
Hud sedang menikmati hidangan makan malam.

"Makanan malam ni kena habis ye..." Dari kiri En. Azreen, Dr. Mohd Azri
dan Dr. Khamizi

Makan berjemaah... Selepas solat Maghrib masing-masing menjamu
selera.


Mantan Ketuan GMP, Dr. Tuan Mohd Fairuz (berdiri) turut bersama kali ini.

 Selepas menikmati makan malam dan solat Isyak berjemaah (bagi yang tidak musafir), mesyuarat disambung sehingga rombongan wakil Yayasan Amal Malaysia tiba untuk majlis sidang akhbar dan sumbangan derma Palestin.

Sejarah tercipta. Sidang akhbar bersama Yayasan Amal Malaysia. Dari kiri:
Dr. Suhaini (Timb. Presiden PAPISMA), Dr. Awisul (Presiden PAPISMA),
Dr. Suhazeli (Pengerusi Yayasan Amal Negeri Terengganu) dan
Tuan Hj. Husin Ismail (Presiden Yayasan Amal Malaysia).
PAPISMA menyumbangkan cek bernilai RM25,000.00 hasil kutipan
derma ahli-ahlinya seluruh malaysia.

Tuan Hj. Husin Ismail sedang memberikan taklimat isu-isu terkini di Ghaza
dan Palestin.

Serikandi Palestin... Kak Han satu-satunya wakil muslimat PAPISMA
yang hadir pada majlis bersejarah ini.

Dr. Md Arif Ibrahim, Pengerusi PAPISMA Terengganu (kiri) turut hadir.
Kelihatan wartawan akhbar tempatan (menyandang beg) sedang
membuat liputan.

Penyampaian sumbangan PAPISMA oleh Presiden PAPISMA kepada
Presiden Yayasan Amal Malaysia.

Wakil IPUKL juga menyampaikan sumbangan yang disampaikan oleh
setiuausahanya iaitu Dr. Mohd Nor Azri.
Bergambar kenangan sempena majlis bersejarah ini.

Mesyuarat di sambung selepas sidang akhbar dan majlis penyampaian sumbangan derma kepada Palestin.
Dr. Tuan Mohd Fairuz sedang memberikan taklimat penyerahan tugas
kepada Ketua GMP yang baru.

Terus mencatit. Dr. Aman Fuad sedang mencatit perbincangan sambil
memastikan tiada satu point pun yang tertinggal.
Aksi-aksi yang sempat dirakam sepanjang mesyuarat berjalan.

"haaa... sempat main game ye..."

"Alamak! Buruk ke rambutan ni? Dah banyak yang ana telan ni!"

"Kita kenalah main injit-injit semut bagi menghilangkan ngantuk!"

"Alamak... jerawat ni timbul pulak laaa.. minggu lepas baru picit!"

"Entahlah... kepala ana juga sudah pusing ni!"

"Kejap... rasanya lebih tiga orang muslimat yang mengganggu fikiran ni!"
 Aksi terbaik... "Jom mandi kolam!" tuan Presiden duduk di tepi kolam ketika
mesyuarat sedang berlangsung.



Keesokannya seawal kira-kira pukul 7 pagi para exco telah bersiap untuk pulang ke destinasi masing-masing. Tuan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden masing-masing akan ke Kuala Lumpur dengan penerbangan awal pagi ini, manakala yang lain menaiki kereta.


Bersarapan pagi mee goreng basah dan nasi lemak sebelum check-out.
Alhamdulillah, sebagai tuan rumah, Dr. Zaihan dan suami sangat bersyukur di atas kesudian PAPISMA Pusat mengadakan mesyuarat di rumah mereka. Segala kekurangan moga dapat dimaafi. InsyaAllah jika delegasi PAPISMA akan mengadakan mesyuarat atau program-program lain di rumah mereka pada masa akan datang, dengan senang hati akan diterima.
Push-Up Arrow