Saturday, December 7, 2024

SERAHAN BANJIR 2.0 / 2024 - SETIU

Oleh: Wartawan SMART

6 Disember 2024, Setiu

Alhamdulillah PAPISMA Terengganu telah menyerahkan bantuan banjir kepada penduduk sekitar Bandar Permaisuri, Terengganu, hari ini.

3 buah kampung telah terpilih untuk menerima serahan bantuan kali ini iaitu Kampung Seladang, Kampung Besut dan Kampung Ladang.

Sebanyak 100 buah rumah telah menerima bantuan ini dengan kerjasama pihak Khidmat Malaysia Setiu dan Pejabat DUN Permaisuri.

Untuk serahan bantuan kali ini:
Sebuah pacuan empat roda 4x4 dan 6 buah kereta telah digunakan 🚙

Barangan diserahkan:
🍔 130 pek makanan 'ready to eat'
📦 Pampers
🥛 Susu formula
🍶 Air mineral 18 kotak

Semoga bantuan ini dapat meringankan beban mangsa banjir yang terlibat.

Untuk menyumbang, boleh ke akaun berikut:

Maybank
563064122433 (SMART PAPISMA SERVIS)
Rujukan: #bencana2024

#PAPISMATerengganu

Alhamdulillah. Teruk juga keadaan rumah mangsa banjir di Setiu ini. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

"Mari ambe bawak!" Dr. Mujahid Sabri mewakili PAPISMA Terengganu begitu tangkas melakukan kerja amal di sini.

"Moga dapat meringankan sedikit bebanan tuan rumah ini!" Tapi ambe bukan YB tu...😂

Ust. Abu Bakar, suami kepada Dr. Higrayati merupakan Ahli Bersekutu PAPISMA Terengganu (dua dari kiri) antara yang aktif membantu.

"Lagi... lagi...!"

"Makcik sihat ke dok ni?!" Mungkin itu yang ditanyakan oleh Dr. Raja Hashim (kanan) kepada tuan rumah ketika menyampaikan bantuan.

"Insya Allah cukup...!" Dr. Raja Hashim berbincang sesuatu dengan Dr. Mujahid Sabri. Di belakangnya kelihatan Dr. Aliff (T-shirt hitam) turut mengambil perhatian.

Santai... Bila lagi nak dapat pengalaman macam ni...😅

Muslimat Khidmat Malaysia Setiu turut aktif membantu.

"Sama-sama!" Mungkin itulah jawapan ringkas Dr. Mujahid selepas menyerahkan bantuan.

"Bagi molek tu... biar semua dapat!" Alhamdulillah 100 pek makanan dan lain-lain keperluan telah berjaya disampaikan kepada penduduk Setiu.

Berita di FB:
#PAPISMA CAWANGAN TERENGGANU

Thursday, December 5, 2024

GOTONG-ROYONG MENYEDIAKAN PEK BANTUAN BANJIR TERENGGANU 2024 - UNTUK SERAHAN KE 2.0

Oleh: Dr. Raja Hashim 
(Naib Pengerusi 1)

4 Disember, 2024 - Bilik Gerakan PAPISMA Terengganu.

Siap dibungkus kemas.
Selesai packing barang bantuan mangsa banjir mlm ni..ramai turun bantu packing...

Ada pakar pemakanan
Ada doktor 
Ada doktor gigi
Ada pakar kk
Ada pakar hsnz
Ada pakar kmi
Ada pakar hosza
Ada pakar ubat
Ada bos kwsp
Ada yg pencen
Ada ahli bersekutu
Ada suami/isteri mari teman jgk...
Ada SUK hok penting

Meriah malam ni...

200 pack makanan akan diagih hujung minggu ni...

Ada 50 pack tuk pasca banjir...

Ada kit ubat.

Ada kit dental..

Serta barang2 lain jgk ..

Selepas packing...usrah jap geng2 muslimin..

Terima kasih kepada semua penyumbang..

Alhamdulillah....

Jom terus menyumbang!

"Anda sumbang, kami sampaikan!" Dr. Raja Hashim.

"Kami hanya berkhidmat. 100% sumbangan anda adalah untuk mereka" Itulah keikhlasan kami.

Team gotong-royong yang sempat hadir pada malam ini.

Team muslimat PAPISMA Terengganu yang turut bersemangat membantu.

"Karpet sehelai baru ni... kekgi kita pasang penuh!" Maklumlah bangunan baru sewa.

"Susun... susun..."

"Alhamdulillah... banyak yang dah siap ni!"

Ada yang baru sampai.

"Jangan salah buh tu Dr. Zuraizi!" Mungkin itu yang diperkatakan oleh En. Sabri (berkopiah) seorang ahli bersekutu PAPISMA Terengganu yang sangat komited.

Tinggal tampal sticker aje mana-mana yang dah siap pek.

Kerja-kerja menampal sticker PAPISMA sedang dilakukan.

Ubat-ubatan 'OTC', mask dan lain-lain keperluan juga disertakan. 

Mungkin ini antara perbezaan pek bantuan yang PAPISMA berikan.

"Alhamdulillah... settle belaka dah!" Kelihatan Sdr. Syed Saufi (dua dari kiri) yang mengetuai bahagian perbekalan sedang berbincang sesuatu.


Ya Allah... bantulah kami untuk membantu mereka yang diuji dengan musibah....

Monday, December 2, 2024

SERAHAN BANTUAN BANJIR 2024/2025 FASA PERTAMA.

Wartawan SMART

30/11/2024 - PAPISMA Terengganu telah menyerahkan bantuan banjir kepada wakil Khidmat Malaysia Hulu Terengganu di Kuala Berang.

Kekuatan logistik kami:
🚗 2 buah 4x4
🚗 4 buah kereta

Bantuan yang diserahkan:
🍚 100 unit bekalan makanan
💧 50 kotak air mineral
💊 50 unit kit ubat-ubatan
🪥 Dental kit
🛁 Tuala

Semoga sumbangan ini mampu meringankan beban mangsa banjir. 

Bagi yang ingin turut sama menyumbang, teruskan menyumbang melalui PAPISMA Terengganu dengan menyalurkan kepada akaun;

SMART PAPISMA SERVICE 
563064122433
Maybank
Ref:  bencana2024

Bersama kita bantu mereka yang memerlukan!

#PAPISMATerengganu

Mari beramal bersama kami. Teruskan menginfaq.

Dr. Raja Hashim, Naib Pengerusi 1 PAPISMA Terengganu (kiri) bersama Sdr. Syed Mohd. Saufi (Ketuya Unit Perbekalan) sedang bersedia membahagi-bahagikan bekalan hasil sumbangan infaq ahli-ahli dan orang ramai.

"Kena bagi cepat ni!" Petugas bilik gerakan banjir sedang sibuk membuat persiapan.

"Anda infaq, kami berkhidmat!" Wakil khidmat bencana PAPISMA Terengganu berfoto di hadapan sebuah sekolah di Kuala Berang.

"Boleh redoh ke dok ni?" Mungkin itu yang ditanyakan oleh SUK PAPISMA Terengganu Dr. Fariz yang memandu Triton PAPISMA Terengganu buat kali pertama bagi membantu masyarakat.

Alhamdulillah... syukur kerana kami dapat berkhidmat untuk mangsa. Sumbangan anda 100% kami agihkan. 


Ikhlas... PAPISMA Terengganu benar-benar sedang membantu. Hanya ganjaran dari Allah berupa pahala yang berteusan kami harapkan.
Wajah-wajah ikhlas para doktor dan pegawai kesihatan PAPISMA Terengganu sentiasa bersama masyarakat apabila mereka dilanda masalah atau bencana. Dalam negara dan luar negara. Marilah bersama PAPISMA Terengganu.

Tuesday, November 26, 2024

RETREAT 2.0 PAPISMA TERENGGANU 2024: MEMORI YANG TERPAHAT

 Oleh: Peserta Retreat

Tasik Kenyir - 22-23 November 2024

"2.0 !" Para peserta membuat simbol untuk Retreat PAPISMA
Terengganu kali ini.

PAPISMA Terengganu telah berjaya mengadakan retreat yang kedua hari ini setelah retreat kali pertama ialah pada 2018 yang lalu. Retreat ini telah dirancang oleh kepimpinan yang baru, sebaik dipilih pada 19 Oktober yang lalu. "Memang kemah keming!" Kata orang Terengganu.

Nampaknya kepimpinan kali ini memang serius untuk mengadakan retreat demi memperkasakan PAPISMA Terengganu dengan keputusan sedemikian. Maklumlah, mengadakan retreat sehari di Tasik Kenyir di hujung tahun memang mengundang risiko. Musim banjir, air tasik naik dan pelbagai lagi risiko yang berkait musim tengkujuh.

Cuaca hujan di musim tengkujuh tidak menghalang para
peserta Retreat 2.0 2024 untuk berkampung di Tasik Kenyir.

Ternyata telahan itu hampir benar apabila Jabatan Kaji Cuaca meramalkan bahawa hujan lebat akan turun dari 19-23 November di beberapa tempat di Terengganu dan Kelantan termasuk Hulu Terengganu (Tasik Kenyir terlibat). Dan faktanya, hujan telah bermula sejak 15 November lagi... Macam mana ni? 


Goup Whatsapp Retreat Papisma 2024 menjadi medan perbincangan dan 'perdebatan'. Ternyata keputusan yang 'firm' dari Pengerusi PAPISMA Terengganu untuk meneruskannya merupakan langkah yang berani. Sebab sudah tiada masa lagi untuk mendapatkan tarikh yang lebih sesuai dari hari ini. Apatah lagi selepas musim hujan ini akan hadir pula cuti sekolah pada bulan Januari 2025, kemudian disambut pula dengan Ramadhan dan Syawal. Banyak perancangan untuk membina PAPISMA Terengganu mungkin akan terbantut. Akhirnya ia juga merupakan keputusan yang tepat. Kita merancang, Allah juga merancang... dengan doa dan tawakal kepada-Nya, akhirnya Allah memakbulkan doa kita semua.

Retreat PAPISMA Terengganu 2.0 berjaya dilaksanakan.

"Syabas!" Berjaya mengatasi cabaran pertama untuk
berkumpul hari ini dalam musim yang mencabar.
Pagi 22 November cuaca mendung di semua tempat. Hujan turun renyai-renyai. Kebanyakan peserta telah turun dari rumah masing-masin9 seawal 7.15 pagi. Ada yang lebih awal lagi terutama yang membawa bekalan bahan makanan mentah dan ada yang mengambil peserta lain untuk 'carpool'. Penulis keluar rumah pada pukul 7.30 pagi melalui jalan Sungai Tong kerana bimbang jalan biasa Telemong-Matang dinaiki air. Sampai di Madrasah Darul Ansar pukul 8.20 pagi. Tidak ada orang! Malah Madrasah Darul Ansar juga senyap sunyi. Hujan mula turun dengan lebat. Penulis berteduh di musolla madrasah sambil menunggu sahabat-sahabat lain. Kemudian kami semua bersetuju untuk terus ke Pengkalan Gawi yang jaraknya kira-kira 4 km kerana bimbang tiada tempat parkir.

Kira-kira pukul 10 pagi hujan masih terus turun agak lebat tetapi kami berjaya untuk berkumpul di dalam houseboat yang sudahpun menunggu.

Kembara Houseboat

"Selera!" Makan tengahari di atas air. 
Houseboat ini agak luas berbanding dengan yang kami sewa 6 tahun lalu. Binaanya kemas dan kukuh. Bilik-biliknya juga kemas dan luas. Ada yang double decker (2+1) ada yang separated bed juga 2+1. Ada satu bilik utama di tingkat bawah yang mempunyai tandas dalam bilik. Tandas luar ada 3 buah. 2 di tingkat atas dan satu di tingkat bawah bawah. Ada 4 tempat berkumpul. Satu di bahagian hadapan yang paling luas, 2 di tingkat atas bahagian depan dan belakang yang sederhana luas dan satu bilik karaoke yang agak luas yang kami gunakan untuk tempat mesyuarat. Di dalamnya ada smart TV dan PA System yang moden.


"Tanpa melengahkan masa, kita buka majlis..." Mr. Hazizul 
memulakan sesi retreat ini dengan taklimat ringkas organisasi
PAPISMA Terengganu.

Lebih kurang pukul 11 pagi kami mula berkumpul di bilik karaoke untuk memulakan sesi retreat. Ia dimulakan dengan overview Jawatankuasa PAPISMA Terengganu dan keahliannya serta taklimat house keeping dan aktiviti berkumpulan dimulakan sehingga 12.30 tengahari. Kami perlu keluar semula untuk bersolat Jumaat di Masjid Sg. Dula yang jaraknya kira-kira 4.7 km.

Keadaan hujan agak lebat ketika kami bergerak ke masjid. Sehinggalah selesai solat Jumaat dan kembali ke houseboat.  Keadaan cuaca masih terus hujan.


Selepas berkumpul semula petang itu, kami mulakan dengan makan tengahari berlaukkan ayam masak lemak kuning serta ulam-ulaman. Masya Allah sedap sungguh rasa hidangan itu. Rasanya sedap dan kena pada selera. Siapa tukang masak itu?

Dr. Aliff Muttaqin b. Abdul Halim 

"Power boh!" Dr. Aliff sedang
beraksi.

Beliau adalah peserta retreat. 2 minggu sebelum program, ada cadangan agar dipilih tukang masak dari luar kerana beliau adalah peserta malah Ketua Lajnah Ekonomi PAPISMA Terengganu. Namun kerana masa suntuk, tak dapat mencari tukang masak luar. Akhirnya keputusan asal untuk mengambil beliau sebagai CHEF diteruskan. Ternyata ia keputusan yang sangat tepat. Beliau mampun menjadi peserta retreat sambil bergelumang di dapur menyediakan 4 kali makan berat dan makanan ringan sepanjang retreat. Malah beliau masih sempat bermain air bersama peserta yang lain dan membentangkan kertas kerja SOP Pasukan Standby Kesihatan (lebih kurang beitulah namanya) bagi memperkemaskan pasukan standby kesihatan PAPISMA Terengganu. Bagaimana beliau melakukannya? Itu kenalah tanya beliau sendiri. "Kemah boh!" Syyy!! Rupa-rupanya beliau adalah chief dari zaman student di Ubiversiti Mansoura, Mesir. Hari inipun beliau ada syarikat kek dan catering bersama isteri beliau. "Doktor lagi... tukang masak lagi!" Memang kemah keming.


Bot sudahpun bergerak. Kira-kira pukul 3 petang selepas perut diisi dan rehat yang cukup, pembentangan  Strategic Planning yang telah dirancang sejak 2 minggu lepas dimulakan. Peserta-peserta telahpun dibahagikan kepada 4 kumpulan. Kumpulan-kumpulan ini akan membaincangkan Strategic Planning PAPISMA Terengganu untuk 5 tahun (sehingga 2030) menggunakan Analisa SWOT dan PESTEL. Semua pembentangan dilakukan menggunakan alat bantu smart TV yang disambungkan ke tablet urusetia. "Canggih sungguh zaman lening." Berikut adalah kumpulan-kumpulan tersebut:

"Katang!" Para korporat dari team ekonomi.

TEAM EKONOMI

Dr. Roslan (Ketua)

Sdr. Syed Saufi (Moderator) - Tak hadir

Dr. Aliff Muttaqin - Merangkap chef

Dr. Azmi Samat - Tak hadir.

Sdr. Mohd Johari Yusof

Dr. Mujahid Sabri

Dr. Afifi Syamil (Pembentang - last minit)

"Saya ada satu idea bagus!" Prof. Dr.
Harmy mengetuai Team Modal Insan.

TEAM MODAL INSAN

Prof. Harmy (Ketua)

Dr. Sharif (Moderator) - Tak hadir.

Dr. Mujahid Fauzi - Tak hadir

Dr. Izzad - Tak hadir

Dr. Zuraizi

Dr. Fakhruddin Ar Razi

Dr. Mat Noh - Tak hadir

Dr. Irfan Tajol - Pembentang ganti last minute.



"Ini kerja saya masa kat Dublin dulu."
Abg Amin sedang berkongsin ilmu
dan pengalaman berharga.

TEAM PENGKADERAN

Dr. Salman (Ketua) - Tak hadir

Dr. Hakim (Moderator)

Sdr. Aminuddin Omar

Dr. Almizan

Dr. Syafiq Naim

Dr. Rozi - Tak hadir

Dr. Afuza - Pembentang


TEAM UKHUWAH

"Cara nak menggunakan smart TV." Dr. Razin 
sedang beraksi. 😄

Dr. Wan Mohd Razin (Ketua)

Sdr. Wan Shafiq (Moderator) - Tak hadir

Dr. Farizi

Dr. Raja Mohd Hashim

Dr. Fariz Deraman

Dr. Irfan Tajol - Last minute masuk team Modal Insan.

Dr. Hazizul Helmy


"Ini adalah projek ekonomi yang
jijok di bumi nyata!" Dr. Afifi sedang
membentangkan hasil analisa.

Pembentangan pertama ialah dari Team Ekonomi. Ia telah dilakukan oleh Dr. Afifi Syamil. Para peserta telah diberikan bahan rujukan iaitu booklet yang telah disiapkan oleh team ini sejak awal. Team ini telah berjaya membuat strategic planning melalui perbincangan maya sebelum bermulanya retreat ini. "Terbaik boh!". Melalui analisa SWOT dan PESTEL team ini telah menyasarkan visi 5 tahun ekonomi PAPISMA Terengganu iaitu mengumpul dana sebanyak RM500k. Wow! terbaik ni. "Apa aktiviti ekonomi yang mereka putuskan? Jijok ke bumi dok perancangan tu? Sebab banyak je perancangan ekonomi yang dibuat sebelum ni tapi tak berjaya sebab aktivitinya tak jijok.." Mungkin inilah antara persoalan yang bermain di minda semua. Maklumlah bab ekonomi ini bab yang menarik. Berpuluh-puluh idea boleh dikemukakan. Tapi melalui analisa SWOT dan PESTEL ia telah terpandu kepada perancangan yang lebih 'jijok di bumi nyata'. Hanya nak lakukan atau tak nak lakukan sahaja. "Bijok ke bijok?" (Cara Dr. Azizan Osman bertanya selalu terngiang di ingatan - "Boleh ke boleh?").

Perbincangan tentang ekonomi ini agak panjang sehingga berlarutan sehingga kira-kira pukul 4.30 petang. Kemudian para peserta menunaikan solat asar berjemaah bagi yang tidak melakukan jamak qasar. Selepas itu aktiviti santai sambil berehat-rehat. Sebahagiannya apalagi... terjun ke tasiklah jawabnya. Pada ketika ini houseboat telahpun berlabuh di Air Terjun Lasir. Hujan telah berhenti. Suasana di sini sangat nyamai dan damai. Ada 4 buah houseboat sedang berlabuh. Termasuk houseboat kami jadi lima. Semuanya akan bermalam di sini. 

"Jom cari udang!" Peserta boleh beraktiviti di dasar sungai
yang berpasir seperti di tepi pantai." Pengalaman
yang jarang dapat dirasai.

Tahun ini air di Tasik Kenyir ini sangat cetek. Tempat ini yang biasanya dijadikan tempat berlabuh para pengunjung. Tapi kali ini kelihatan pulau pasir di tengah-tengah sungainya. "Apa tu?" Seorang peserta bertanya sambil menunjuk ke pulau pasir. "Kenapa ada pulau kat tengah-tengah tu?" Lanjutnya. "Dulu kan tak ada?" Dia mula hairan. "Air surut sangat ni." Jawab sahabatnya menerangkan. "Masya Allah!" Terasa agak terkejut dengan rendahnya paras air sehingga pulau pasir setinggi manusia boleh muncul di tengah-tengah sungai. Jadi kami semua seperti bermain di kawasan pantai sahaja gayanya.

Solat maghrib dilakukan secara berjemaah di bilik karaoke tempat kami bekumpul. Selepas solat kami semua membaca wirid Al-Ma'thurat yang dipimpin oleh Dr. Wan Mohd Razin yang mengimami solat Maghrib. Sesudah itu sesi kuliah atau tazkirah Maghrib disampaikan oleh Sdr. Aminuddin Omar yang mesra dengan panggila Abang Amin. Seorang ahli bersekutu PAPISMA.

"Kerja dakwah adalah wajib!" Itulah antara isi yang
ditekankan dalam kuliah Maghrib oleh Abg Amin.

Aminuddin Omar. Lulusan Management Accountancy dari UK. Menetap di UK selama lebih kurang 10 tahun. Seorang pemikir dan strategist yang banyak pengalaman bersama sahabat-sahabat medical doctors semasa di UK dahulu. Kini beliau bertugas dengan kerajaan negeri Terengganu. Beliau berkongsi tentang bagaimana membentuk pelan strategik dan menggunakannya bagi membentuk individu menjadi pemimpin. Bagaimana mengembangkan sebuah organisasi melalui recruitment ahli-ahli baru. Beliau juga berkongsi pengalaman bagaimana memulihkan sebuah organisasi yang semakin lemah melalui kaedah objektif yang kita semua gunakan iaitu SWOT dan PESTEL. Perkongsian yang memakan masa lebih satu jam itu sangat-sangat menarik yang tidak mampu dikongsikan disini. 

"Western sekali.." Memang superb chef kali ni.
Masak menu western atas houseboat. Terbaik!

Selesai perkongsian Abang Amin dalam slot Kuliah Maghrib, kami solat Isyak berjemaah. Kemudian kami semua makan malam dengan menu western iaitu mee goreng cheese ke apa nama tu (hehe) berlaukkan daging bakar sekali dengan black pepper dan sos chilli. Ayam bakarpun ada serta salad, tomato dan timun. "Fuh! berjeluk makan." Mcm makan kat hotel dah rasanya. Penulis sendiri tambah sampai 3 kali.. Kuantitinya banyak. Tak habis juga. "Sambil-sambil borak-borak dan mengail, bolehlah makan-makan malam karang." Kata seorang peserta.

Orang yang paling minat mengail ialah Dr. Fakhruddin Ar Razi dari Kemaman. "Saya dah berjinak-jinak dengan mengail ni sejak umur 8 tahun." Katanya.

"Lampam lagi!" Dr. Fakhruddin kaki
ngail. 😆

Beliau memang 'healing' dengan mengail. Kalau duduk digigi air sambil memegang joran, tak tidur semalamanpun tak apa. Ada juga beberapa sahabat yangyang membawa joran dan turut sama-sama mengail suka-suka. Kebanyakan ikan yang makan kail ialah ikan lampam. Ada juga yang dapat anak ikan baung iaitu Dr. Raja Hashim. Payah dapat ikan ni makan joran... 

Selepas solat Isyak, yang diimami oleh Dr. Hakim, sesi pembentangan Pelan Strategik diteruskan oleh kumpulan Ukhuwah. Pembentangnya ialah Dr. Farizi. "Orang selalu silap panggil nama saya Rafizi!" Katanya sambil disambut hilai tawa para peserta. Banyaklah input-input diberikan untuk memperkasakan ukhuwah di kalangan PAPISMA Terengganu. Sebelum sesi malam berakhir, Abang Amin sekali lagi berkongsi tentang ilmu dan pengalamannya Pengurusan Dakwah menggunakan 4 Rukun iaitu Daie, Mad'u, Maudhu' dan Uslub. Sangat menarik perkongsian itu dan merupakan ilmu lama yang diberi nafas baru dengan pendekatan yang berdasarkan objektif dan penilaian. 

Kira-kira pukul 11.45 malam, sampailah masa berehat untuk tidur. Sebahagiannya masih meneruskan aktiviti sendiri seperti memancing, berborak dan berkongsi pengalaman. Chef Aliff (Dr. Aliff) pula menguruskan pembakaran ikan lampam. "Sempat lagi! Memang terbaiklah." Penulispun tak tahu ada 'sesi makan ikan' lampam bakar. Sedar-sedar ada gambar saja. Haha..

"Leader must be created. Kita tak boleh lagi
mengabaikan potential leader kita terbiar!"
Serious sungguh Prof Harmy memberi
pengisian dalam slot kuliah Subuh.

Solat subuh dilakukan secara berjemaah di tempat yang sama dengan diimami oleh Dr. Wan Razin. Selepas itu sesi Kuliah Subuh telah disampaikan oleh Prof. Dr. Harmy. Beliau berkongsi tentang leadership. Sangat menarik perkongsian itu. "Leader must be created" Lebih kurang begitulah apa yang disampaikannya. Maklumat itu pernah kita dengar, tetapi bila disampaikan dengan tersusun dan jelas, ia menjadi sangat menarik.

Selepas itu sesi ta'aruf yang tak sempat dilakukan pada sesi permulaan semalam telah diadakan. Banyaklah sejarah menarik tentang sahabat-sahabat peserta yang dikongsikan. Ada yang lucu, ada yang serius dan pelbagai lagi. Selepas itu beberapa orang dari peserta ada yang terpaksa berangkat pulang lebih awal kerana tugasan dan kewajiban yang sedang menanti. Mereka yang terpaksa pulang awal ialah Prof. Dr. Harmy kerana ada mesyuarat, Abang Amin kerana terpaksa menghadiri Terengganu International Summit, Sdr. Johari kerana terpaksa ke Sabah urusan penting dan Dr. Wan Mohd Razin kerana urusan menghantar anaknya ke Imtiaz Besut.

Pada masa yang sama para peserta berehat untuk bersarapan pagi. Menu pagi ini ialah nasi goreng kampung dan keropok goreng, Daging bakar black pepper semalam masih elok dan boleh dijadikan lauk. "Sedap sungguh nasi goreng ni". Seorang sahabat berbisik. "Lepas ni liqa' PAPISMA bolehlah order dengan Aliff!" Dr. Wan Razin bersuara. "Boleh..boleh!" Balas Chef Alif dengan senang hati. 

"Air Terjun Lasir kami tawan!" Seronok sungguh para
peserta retreat ni bermain air terjun.

Houseboat dijadualkan akan mula bergerak pada pukul 10 pagi. Lebih kurang 9.30 pagi hampir semua peserta telah mengambil kesempatan untuk bermain air. Lumba berenang, mandi di air terjun, bergambar di air terjun, berkayak dan lain-lain. Chef Aliff dan krew-nya mengambil kesempatan menyiang ikan lampam di dalam air yang cetek dan berpasir. "Nak merasai suasana yang luar biasa! Pasir di air tawar yang sejuk. Mana nk dapat pengalaman ni." Mungkin itulah yang ingin diluahkannya.

Kira-kira pukul 10 pagi, peserta kembali berkumpul untuk membersihkan diri sebelum houseboat bertolak sebagaimana yang dijadualkan iaitu ke:


Pulau Herba. 

Aktiviti di sini:

Dr. Irfan sedangkan membentangkan dapatan 
dari kumpulan Modal Insan.

Menyambung pembentangan sehingga selesai

Makan tengahari

Melawat pulau herba. 

Dalam perjalanan itu, peserta boleh berehat-rehat dan ada yang mengambil kesempatan melelapkan mata sambil menunggu sahabat-sahabat mempersiapkan diri dan menyediakan makan tengahari. Nak buat pembentanganpun bunyi bising enjin houseboat memang agak mengganggu. 


Kira-kira setengah jam sebelum sampai ke Pulau Herba, Pengerusi PAPISMA Terengganu mengarahkan untuk memulakan pembentangan dari dua kumpulan terakhir iaitu Team Modal Insan dan Team Perkaderan. Pembentangan dari Team Modal Insan telah dilakukan oleh Dr. Irfan manakala Team Perkaderan dilakukan oleh Dr. Afuza. Kedua-dua pembentangan telah mendapat respon yang hangat dari para peserta dalam mengupas dan mendetailkan keputusan agar dapat dilaksanakan dan menatijahkan keputusan yang terbaik kepada PAPISMA Terengganu. Akhirnya kata putus telah diperolehi dan sampailah kepada agenda terakhir iaitu:

Pembentangan Resolusi.

"Resolusi kita ialah mewujudkan Pasukan Mentor-
Mentee untuk semua Strategik Sektor." Mr. Gjoe
membentangkan resolusi.
Sebelum resolusi dibentangkan, Dr. Aliff telah membentangkan SOP bagi permohonan petugas perubatan PAPISMA Terengganu oleh pihak luar dalam acara-acara mereka. Ia bagi memperkemaskan dan meningkatkan kebersediaaan pasukan medikal dari PAPISMA Terengganu. Kemudian, Pengerusi PAPISMA Terengganu mengumumkan berita baik bahawa seorang dermawan telah menyumbangkan sebuah Triton kepada PAPISMA Terengganu. Begitu juga Pengerusi memohon sokongan untuk PAPISMA Terengganu menyewa sebuah bangunan bersebelahan Klinik Ahlan bagi digunakan sebagai pejabat dan tempat operasi. Semua peserta yang ada telah bersetuju. Kemudian beliau membentangkan resolusi untuk retreat kali ini yang dipersetujui oleh semua peserta yang tinggal, iaitu menubuhkan pasukan Mentor-Mentee terhadap 4 sektor yang menjadi tumpuan kali ini iaitu ukhuwah, modal insan, perkaderan dan ekonomi. Resolusi ini dianggap padat dan anjal di mana pasukan ini akan melaksanakan resolusi kumpulan sebagaimana yang dibentangkan dengan bimbingan mentor. Pembentukan pasukan ini akan diumumkan secara lengkap oleh Pengerusi PAPISMA Terengganu nanti.

Ketika ini hujan turun renyai-renyai. Sebelum melakukan aktiviti lawatan dan makan tengahari, mereka semua menunaikan solat fardhu Zohor secara berjemaah di dewan karaoke. Kemudian mereka membuat lawatan ke Pulau Herba.

"Jom minum air Mahkota Dewa!" Sebahagian peserta yang
sempat melawat Pulau Herba.

Tempat lawatan di pulau herba ini kecil sahaja. Ada satu kiosk menjual barang-barang cenderahati dan ada sebuah tandas untuk lelaki dan wanita. Di bahagian lebih ke atas ada pondok yang di dalamnya disediakan 3 jenis minuman secara percuma iaitu Tongkat Ali, Mahkota Dewa dan Kacip Fatimah. Terdapat periuk dan dapur tempat memasak. Mungkin herba-herba ini dimasak di sini? Tak dapat dipastikan sebab tiada petugas yang menunggu kedatangan pengunjung ketika penulis sampai ke sini.

Setelah selesai makan tengahari houseboat mula bergerak menuju destinasi terakhir iaitu Pengkalan Gawi. Hujan mula turun dengan lebat. Pengkalan Gawi kelihatan samar-samar kerana hujan yang lebat. "Air naik di jalan Matang-Kuala Berang. Saya terpaksa patah balik. Sapa yang balik ke Kuala Terengganu mintak lalu jalan Sg. Tong!" Begitulah lebih kurang kiriman video whatsapp Sdr. Johari. Aiii... cemas jugak ni. Kami tak tahu hujan di Sg. Gawi ni telah berlagsung berapa lama. Dalam Tasik Kenyir tu elok aje cuaca, tiba-tiba banjir di daratan. Siapa tahu. Apa yang dibimbangi ialah banjir besar di Kg. Basung seperti selalu. Banjir kilat menyebabkan terputus hubungan lebih 24 jam. 

Setelah bantu-membantu mengemas segala peralatan terutama bahagian dapur, maka kamipun turun dari houseboat dan terus menuju kenderaan masing-masing dalam keadaan hujan yang lebat. Tak sempat bergambar untuk pos yang terakhir! 

Alhamdulillah, berakhir sudah Retreat 2.0 PAPISMA Terengganu 2024 yang singkat tetapi padat dan sarat dengan pelbagai ilmu dan pengalaman. Hanya yang kami harapkan ialah tugasan berat untuk melaksanakannya sebagai aktiviti yang membina nanti dapat dilaksanakan oleh kepimpinan dan individu yang diamanahkan.

GAMBAR-GAMBAR SEKITAR RETREAT 2.0 KLIK DI BAWAH

1. HARI PERTAMA

2. HARI KEDUA

Push-Up Arrow