Wednesday, August 8, 2018

DEKATI TAPI BUKAN IKTIRAF LGBT

Unit Penerangan & IT

Sehari dua ini netizen dikejutkan dengan satu mesej secara terbuka dan berani oleh Dr Nur Ilyani kepada Marina Mahathir. Nasihat yang dicatatkan oleh beliau  adalah sangat tegas, benar dan tepat pada masanya. Ini  kerana beliau  merupakan  profesional perubatan  yang terlibat secara langsung dan paling hampir  dalam menangani  isu LGBT  ini.

Ingin saya tegaskan, pada masa ini saya penuh  yakin para doktor tidak pernah mendiskriminasi golongan LGBT  semasa memberikan rawatan kepada mereka. Walaupun majoriti  pesakit ini biasanya mengaku yang mereka adalah dari golongan LGBT, namun mereka tetap dilayan dengan baik bagi memastikan rawatan yang sempurna  dapat diberikan kepada mereka.

Namun pada masa yang sama rawatan dan pemulihan sahaja tidak mencukupi. Satu rangka-kerja yang komprehensif perlu diwujudkan bagi memastikan masalah kesihatan yang tercetus daripada perlakuan LGBT ini dapat dibendung.

Kajian menunjukkan di Amerika Syarikat lebih 2/3 kes HIV baru yang dikesan setiap tahun berpunca daripada Men Sex with Men (MSM). Di China, kajian menunjukkan prevalen HIV dalam kalangan MSM terus meningkat saban tahun. Di  Terengganu sendiri hampir 30 peratus ( 5/17) kes baru HIV juga berpunca daripada MSM. Setakat  ini  seramai 1060 orang telah dapat dikenal pasti terdiri dari golongan LGBT di negeri Terengganu. Ini amat menakutkan kita.

Apakah pendekatan terbaik untuk menangani masalah ini? Kajian-kajian yang dijalankan, antaranya di China menunjukkan "Pendekatan Harm Reduction" contohnya dengan pengedaran kondom percuma semata-mata tidak mencukupi.  Pemberian ubat anti retroviral (ART) didapati dapat mengurang risiko transmisi penyakit tetapi masih tidak menyelesaikan masalah ini secara komprehensif. Oleh itu langkah pencegahan total dan membendung perlakuan LGBT daripada terus berleluasa  dan berkembang menjadi strategi yang paling ampuh dalam menangani masalah perebakan HIV ini.

Kami percaya dengan cara ini sahaja maka kita boleh mencapai zero HIV.

Tanpa menafikan bahawa golongan ini perlu didekati dan menjalani program pemulihan, mereka juga perlu dibawa kembali kepada fitrah. Secara beransur-ansur mereka harus keluar daripada perlakuan seks tersebut dan menjalani kehidupan normal yang mengikut fitrah insani. Semua pihak tidak boleh sama sekali menerima dan mengiktiraf perlakuan ini.  Pusat-pusat maksiat yang beroperasi untuk langganan golongan LGBT ini seharusnya di tutup. Segala punca yang boleh menjadi pencetus kepada masalah ini harus dibenteras. Pendidikan seksual yang betul dan sesuai selaras dengan ajaran agama harus diperkasakan.
(II)
Selaku Pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Terengganu, pihak kami  terlibat secara langsung dalam membantu golongan LGBT  ini menjalani  proses rawatan dan pemulihan sejak  beberapa tahun lepas. Walaupun kami tidak pernah mengiktiraf perlakuan seks mereka namun kami percaya mereka juga perlu diberi peluang untuk berubah dan kembali kepada fitrah sebagaimana yang di tuntut oleh agama. Kami yakin dengan pendekatan dakwah dan tarbiyah akan berjaya memulihkan mereka. Sebagai buktinya beberapa individu yg terlibat dalam penyakit ini telah berjaya di pulihkan.

Bagi memantapkan lagi program ini  pihak kami telah berjaya mendapatkan sebuah ruang bangunan  yang akan dijadikan pusat operasi bagi menjalankan aktiviti pemulihan  golongan ini. Namun pihak kami masih memerlukan sokongan kewangan bagi menampung program yang sedang dan bakal dijalankan.

Di sini saya ingin membuka peluang terbaik kepada rakan-rakan untuk  menderma bagi menampung perbelanjaan yang berkaitan. Sokongan dari NGO-NGO dan masyarakat dalam menyelamatkan golongan ini adalah sangat perlu bagi memastikan matlamat kami tercapai.

Sumbangan boleh disalurkan melalui
BANK ISLAM
TABUNG KEBAJIKAN PAPISMA
(NO AKAUN: 13062010001819)

Semoga usaha yang kita jalankan ini mendapat keredhaan  daripada Allah.

DR MUJAHID FAUZI BIN SULONG
Pengerusi PAPISMA Terengganu.
Push-Up Arrow