.

PAPAN KENYATAAN



  • PROGRAM-PROGRAM PAPISMA TERENGGANU




    Daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah S.A.W. bersabda;
    “Barangsiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah Taala, maka terdengarlah suara yang memanggil dan mengatakan bagus dan bagus langkah mu dan ambillah tempat tinggalmu di dalam syurga.” (HR At-Tirmizi)

    Dari Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda :
    " Barangsiapa yang melapangkan seorang mukmin, suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskan dirinya suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan di hari kiamat."(HR Muslim)

  • JUALAN BUKU


    Hubungi
    Dr. Zaihan Salleh (012-9850123)


  • Hubungi
    Dr. Khatijah Musa (019-9222057)

Tuesday, August 31, 2010

Majlis Berbuka Puasa PAPISMA Terengganu Meriah

(Biro IT)

26 Ogos 2010 bersamaan 16 Ramadhan 1431H telah merakamkan sejarah tersendiri apabila PAPISMA Terengganu berjaya mengadakan Majlis Berbuka Puasa yang dirancang hanya seminggu dan SMS dihantar dalam masa tiga hari sahaja. Itulah komitmen dan kesungguhan ahli ditambah dengan semangat ukhuwah yang terbina menjadi faktor kejayaan program tersebut.

Alhamdulillah, Dr. Azman Aziz, Pakar Mata di Klinik Pakar Mata Azman yang merupakan ahli PAPISMA senior di Terengganu telah mencadangkan majlis ini dan menyanggupi untuk menjadikan rumahnya menjadi lokasi Majlis Berbuka Puasa tersebut. Seramai lebih 50 orang telah hadir termasuk kanak-kanak bagi memeriahkan majlis tersebut.

Dr. Azman, tiga dari kiri bersama jemputan yang hadir sedang khusyuk mendengar tazkirah Ramadhan yang sedang disampaikan.


Al-Fadhil Ust. Ismail Dagang sedang menyampaikan tazkirah dengan isinya berkaitan sejarah bagaimana disyariatkan bersahur dan bagaimana Ramadhan mendidik insan bertakwa.

Khusyuk... Dari kiri Dr. Rosli, Dr. Ilham, Dr. Md. Arif (Pengerusi PAPISMA Terengganu) dan anak-anak serta Ust. Alias (suami Dr. Che Faridah).

Tazkirah yang bermula pada kira-kira pukul 6.40 petang itu telah selesai sebaik sahaja sebelum masuk waktu Maghrib. Sebaik berbuka dengan kurma dan air sirap, hadirin terus menunaikan solat fardhu Maghrib secara berjemaah. Sesudah itu barulah mereka menjamu selera dengan hidangan yang disediakan. Dengan cara ini, hadirin dapat menjamu selera dengan tenang sambil berbual-bual. Seronok berbuka puasa bersama hanya Allah saja yang tahu...

Kelihatan sebahagian hadirin sedang mengambil makanan.

"Ustaz jadi imam terawikh kat mana malam ni?" Mungkin itulah yang ditanyakan oleh Dr. Wan Mohd. Razin kepada Ust. Ismail sambil diperhatikan oleh Dr. Azman selepas menjamu selera.

"Kita boleh buat majlis sahur sekali kot?" Mungkin itu cadangan Dr. Azman (kiri) kepada Pengerusi PAPISMA Terengganu, Dr. Md. Arif (kanan sekali).

"Buat lagilah Majlis Berbuka... sedap ni..." Mr. Husain sedang melayan anaknya makan sementara di sebelahnya ialah Dr. Rozi.

Kelihatan di sebelah belakang sana sebahagian muslimat PAPISMA Terengganu sedang khusyuk menikmati hidangan berbuka puasa bersama anak-anak.

Ramai juga muslimat yang memenuhi ruang dapur meskipun ruang hadapan masih luas lagi... mungkin takut kena candid kot...

"Kami dah kenyang... nak balik terawikh kat kampung pulak!" Dr. Ahmad Fardi, pengantin baru PAPISMA Terengganu yang baru bernikah sebelum Ramadhan sedang bersalaman untuk mengundur diri.

"Ambepun nak balik retek (juga) ni..." Ust. Ismail pun mahu mengundurkan diri setelah semuanya selesai.

Mudah-mudahan majlis ringkas ini akan mendapat rahmat Allah SWT dan seterusnya amalan pada bulan Ramadhan kali ini akan diterima Allah sebagai amal soleh.

Tuesday, August 24, 2010

Penyelesaian Kepada Masalah Zina Remaja - Nikah Khitbah

(Cucu Tok Adam)

Assalamualaikum dan Selamat Menyambut Ramadhan. Setelah lama tidak menulis, kini saya ingin berkongsi suatu maklumat penting hasil tulisan di dalam sebuah blog (klik). Maklumat ini bertepatan dengan Kempen 2K PAPISMA Terengganu iaitu masalah zina dan buang bayi. Oleh kerana kita selalu menyebutkan tentang jalan penyelesaiannya ialah agar kembali kepada Islam, maka antara caranyanya ialah dengan menggunakan kaedah Nikah Khitbah ini. Meskipun kaedah ini masih boleh diperdebatkan lagi untuk disesuaikan dengan keadaan semasa, namun cetusan idea ini tidak menghalang untuk ianya dilaksanakan pada peringkat ibubapa dan keluarga. Berikut adalah tulisan pada blog tersebut untuk kita sama-sama hayati pada bulan yang mulia ini.

1. Sedang pelbagai pihak seperti buntu mencari penyelesaian kepada barah sosial yang menjurus kepada pergaulan dan seks bebas [ zina ] serta rogol dan buang bayi berleluasa pada hari ini , Dewan Pemuda PAS menyarankan satu program atau projek besar iaitu " Taysir az Ziwaj " dilaksanakan , khasnya oleh pihak berwajib.

2. Taysir Az Ziwaj ialah " Permudahkan Proses Perkahwinan " terutama kepada anak - anak muda yang tidak berkemampuan dari segi material untuk mendirikan rumahtangga tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang tinggi untuk hidup berpasangan .

3. Islam adalah agama yang penuh dengan rahmah dan berkah. Ia diutuskan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan [ nafsu ] syahwah dan sebagainya tetapi Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul , benar dan baik .

4. Gejala seks bebas [ zina ] dan rogol adalah angkara nafsu yang tidak terkawal dan ia disalurkan secara tidak betul , tidak benar dan membawa keburukan kepada diri dan orang lain . Sedang Islam menggalakkan perkahwinan [ aqad nikah ] agar hati manusia tenteram dan tenang serta nafsu dapat dikawal . Ini membawa kebaikan kepada semua ummat manusia .ala

Firman Allah swt yang bermaksud :

dan kahwinkanlah orang - orang bujang [ lelaki dan perempuan ] dari kalangan kamu dan orang - orang yang soleh dari hamba - hamba kamu , lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin , Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah swt Maha Luas rahmat dan kurniaNya lagi Maha Mengetahui .

An Nuur : Ayat 32

5. Perkahwinan yang digalakkan oleh Islam ini sewajarnya dipermudahkan prosesnya agar generasi muda negara tidak liar dan kemaruk nafsu lalu terjebak dalam kancah seks bebas [ zina ]. Memudahkan prosesnya boleh dilakukan oleh pihak berwajib [kerajaan] seperti [ sekadar menyebut beberapa contoh ] :

* Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin
* Memberi insentif sebagai galakan berkahwin
* Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan
* Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma
* Menganjurkan perkahwinan beramai - ramai yang menjimatkan
* Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan
* Merendahkan hantaran perkahwinan

6. Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ini ialah Nikah Khitbah atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai Nikah Gantung . Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya iaitu :

* Suami
* Isteri
* Wali
* Saksi
* Aqad [ Ijab Qabul ]

cuma bezanya ialah pasangan pengantin [ suami isteri ] tidak tinggal serumah dalam tempoh - tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti [sekadar menyebut beberapa contoh] :

* Masih menuntut di kolej atau uniersiti
* Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah
* Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga

justeru itu , buat tempoh tertentu pasangan suami isteri yang telah dinikahkan itu tinggal berasingan [ atas persetujuan bersama kedua - dua pihak ] dan barangkali tinggal bersama keluarga masing sehinggalah mereka merasakan segala halangan diatas telah selesai dan mereka benar - benar bersedia mengharungi kehidupan berumahtangga yang besar tanggungjawabnya.

7. Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang - undang negara . Andai dalam tempoh itu mereka bertemu , keluar makan , dating , study bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks , maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram .

8. Andai berlaku kehamilan , maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab [ keturunan ] . Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah .

9. Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata - ratanya adalah ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk kembali kepangkuan keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang . Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama . Akhirnya , jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara .

10. Sebenarnya Nikah Khitbah ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab . Menurut amalan tersebut , sewaktu majlis pertunangan , ia dilangsungkan sekali dengan majlis aqad nikah [ halflun nikah ] tetapi mempelai tidak boleh tinggal sekali [serumah] sehingga berlangsungnya pula majlis perkahwinan [haflul Qiran] . Terkadang tempoh itu [ antara pertunangan dan perkahwinan menjangkau tahun lamanya.]

11. Dalam masyarakat Melayu , amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan nama Nikah Gantung . Ia pernah di kaji oleh beberapa Anthropologist seperti Paletz , Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan Nikah Gantung sebagai "Suspended Marriage Contract" iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara .

12. Malah menurut Abdul Jalil Borhan , perkara yang berkaitan dengan Nikah Gantung terdapat dalam seksyen 112 [dalam bahagian 5] enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.

Perbahasan Hukum

13. Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama' ialah Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim , Rasulullah saw telah mengahwini Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun . Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah , maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang dipersetujui.

14. Apabila pasangan pengantin [ nikah gantung ] bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi , maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin [ jima' \ bersetubuh ] . Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah zahir [ material ] . Berkait perkara ini , kita mempunyai beberapa pandangan :

a] Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini [ nafkah zahir ] wajib dengan berlakunya aqad , maka selepas sahaja aqad nikah , suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya .

b] Pandangan Jumhur ulama' iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat - syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri kepada suami [ berpindah ke tempat suami ] , boleh melakukan istimta' [ mengambil keseronokan] , jima' [ bersetubuh ] , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya .

15. Nikah khitbah dapat disimpulkan bahawa : bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku . Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama , maka tiada halangan dari segi hukum syara' kerana mereka adalah suami isteri yang sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah dan mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri , buang bayi dan menggugurkan bayi atau membunuhnya .

16. Tegasnya saya sebutkan disini , terutama kepada pihak berkuasa agama , ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat termasuk anak - anak muda agar mereka kembali kepada cara hidup Islam . Walaupun nikah gantung ini kelihatan seperti baru dalam negara kita bagi sesetengah pihak , tetapi ia lebih baik dari kita membiarkan anak - anak gadis dan teruna kita berpeleseran , bergaul bebas lalu akhirnya mereka terjebak dalam kancah seks bebas dan penzinaan yang memalukan . Bukan sahaja maruah keluarga dan agama tercalar , murka Allah swt itulah yang paling ditakuti .

Tuesday, August 10, 2010

Membetulkan Sikap Di Bulan Ramadhan

(Dr. Md. Arif b. Ibrahim- Pengerusi PAPISMA Terengganu)

Assalamualaikum. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, yang dengan rahmatNya telah menurunkan Al Quran kepada hambaNya Muhammad SAW pada bulan Ramadhan, untuk disampaikan kepada manusia, sebagai panduan terbaik dan lengkap…sebagai pengemudi di dunia untuk selamat sampai ke negeri akhirat, InsyaAllah.

Marilah juga kita sama-sama bersyukur kerana Allah telah memberikan kita semua peluang untuk terus bersama dengan bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat…bulan yang mesti diisi dengan amalan-amalan kebajikan, sebagai latihan intensif kepada kita semua untuk bersikap ringan tangan dan ringan tulang, berusaha sehabis mungkin untuk mengikis sifat-sifat mazmumah dan kejahatan bisikan hawa nafsu kita sendiri.

Ringkasnya, ia merupakan bulan tarbiyah, samada tarbiyah untuk mendidik diri sendiri, juga tarbiyah untuk melakukan sumbangan dan pengorbanan untuk orang lain. Ia juga adalah bulan jihad, samada jihad melawan hawa nafsu sendiri atau jihad dalam meninggikan kalimah Allah.

Mari kita melihat beberapa persepsi atau mentaliti buruk setiap kali tibanya bulan Ramadhan:

1. Bulan untuk banyak berehat kerana keletihan berpuasa, sehinggalah tibanya waktu berbuka…banyak tidur dan tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan. Juga bulan yang kerap dijadikan alasan untuk bersikap tidak produktif. Jika begitu, bukankah beberapa peperangan yang besar dalam Islam seperti Perang Badar berlaku dalam bulan ini!!!

2. Bulan untuk memperbanyakkan juadah atau hidangan ketika makan, samada ketika berbuka, more atau bersahur. Maka matlamat untuk mengekang hawa nafsu itu tentunya mengalami kegagalan…pembaziran juga tidak dapat dielakkan lagi.

Alangkah baiknya jika pada bulan kurniaan Allah ini, kita boleh melakukan perkara-perkara seperti berikut:

1. Melipatgandakan kerja-kerja kebajikan, termasuklah meningkatkan mutu kerja masing- masing…kerana bukankah kerja baik yang kita lakukan itu juga merupakan ibadah, yang tentunya akan dilipat gandakan balasannya pada bulan ini.

2. Sikap berjimat-cermat…apa yang kita hidangkan sebagai makanan di bulan puasa sepatutnya sama atau mungkin boleh dikurangkan lagi berbanding dengan bulan-bulan yang lain…kerana sumbangan sepatutnya diberi kepada mereka yang lebih berhak supaya ni’mat berbuka dapat dirasai oleh semua.

3. Berusaha untuk tidak meninggalkan solat tahajjud…yang boleh dilakukan seketika sebelumbersahur atau selepasnya, kerana tidak boleh tidak kebanyakan kita mesti bangun bersahur. Jadi jika boleh bangun untuk makan, maka mestilah kita boleh pula bangun untuk bersolat.

4. Berusaha untuk khatam Al Quran selama sebulan bulan Ramadhan. Adalah lebih baik dengan terjemahannya sekali…kerana dalam banyak-banyak bulan, bulan inilah kebanyakan orang lebih bersemangat untuk membaca Al Quran, jadilah berusahalah bersungguh-sungguh untuk mengkhatamkannya.

5. Bersikap dan berfikir dengan lebih kreatif... khususnya kita dalam PAPISMA. Mungkin akan timbul idea atau perancangan yang lebih baik untuk menyerlahkan peranan dan tanggungjawab PAPISMA dalam masyarakat. Biasanya perut yang lapar akan menambahkan kemahuan dan keaktifan berfikir, cuma janganlah kemahuan dan keaktifan itu dihalakan kearah memenuhi keinginan perut sendiri sahaja, tapi sebaiknya diarahkan untuk perkara-perkara yang lebih besar yang melibatkan kepentingan umum, Insya Allah.

Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa mudah-mudahan Allah mengurniakan kekuatan untuk mengisi sepenuhnya bulan ini dengan perancangan dan keazaman yang telah dibina sebelumnya. Mudah-mudahan matlamat ibadah agung ini akan dapat kita capai…iaitu peningkatan TAQWA dan UBUDIYAH, supaya akhir hayat kita dalam keadaan tenang menuju syurgaNya... Amin.

Wassalam

Sunday, August 8, 2010

Gerakan PAPISMA Perlu Suntikan Komitmen Dari Ahli.

(Biro IT)

Setelah sekian lama kita mencari jatidiri sendiri. Setelah sekian kalinya kita mencuba kaedah dan teknik bagi menjenamakan semula (rebranding) PAPISMA. Alhamdulillah, meskipun masih bertatih untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan NGO yang sudahpun established, PAPISMA Terengganu cuba melangkah kehadapan dengan beberapa lagi aktiviti yang telahpun disusun bagi berbakti ke tengah masyarakat setelah 4 siri Kempen 2K secara berturut-turut berjaya diadakan melalui SMART PAPISMA.

PAPISMA mempunyai kekuatan sendiri yang tidak dipunyai oleh mana-mana NGO lain di Malaysia. Bergerak dengan kekuatan dari segi kesihatan dan perubatan sendiripun telah membolehkan PAPISMA terkehadapan kerana strategiknya peranan yang mampu dipikul oleh PAPISMA. Malah, mana-mana sahabat NGO yang mengetahui tentang PAPISMA cukup merasa malu dan segan kepada PAPISMA. Cuma, kelemahan yang perlu ditangani oleh PAPISMA sendiri ialah komitmen ahli yang agak kurang memberangsangkan.

PAPISMA perlukan tenaga yang cukup untuk mengisi slot khidmat kesihatan. PAPISMA perlukan tenaga yang ramai untuk aktiviti SMART dan PAPISMA perlukan sumber kewangan untuk menampung aktiviti kemasyarakatan. Semua ini adalah komitmen yang perlu digembleng bagi menjayakan aktiviti dakwah amar makruf nahi mungkar PAPISMA. Apakah masih ada di kalangan kita yang masih tidak yakin dengan janji Allah bagi orang yang menafkahkan harta dan tenaga pada jalan Allah? Firman Allah yang bernaksud: "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri mereka dan harta mereka dengan (balasan) syurga untuk mereka (disebabkan) mereka berperang di jalan Allah. Maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Yang demikian itu) sebagai janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Qur’an; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu bergembiralah dengan jualbelinya itu dan (yang demikian itu) adalah kemenangan yang besar." (At-Taubah: 111).

Apakah masih ada di kalangan kita yang masih sayangkan harta dan selesa dengan menghitung-hitungnya? Firman Allah yang bermaksud: “Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela, yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitung, dia mengira bahwa hartanya itu dapat mengkekalkannya. Sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Huthamah. Dan tahukah kamu apa Huthamah itu? (Iaitu) api (yang disediakan) Allah yang dinyalakan, yang (membakar) sampai ke hati. Sesungguhnya api itu ditutup rapat atas mereka, (sedang mereka itu) diikat pada tiang-tiang yang panjang.” (Al-Huthomah: 1-9).

Apakah masih ada di kalangan kita yang masih selesa dengan kehidupan senang-lenang bersama keluarga semata-mata? Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya harta-benda kamu dan anak-pinak kamu adalah fitnah, dan Allah, di sisi-Nya ganjaran yang besar". (At-Taghabun:15)

Komitmen Tenaga
Kalaulah kita memberikan komitmen yang istiqamah dari segi tenaga sekali sebulan, kita telahpun ada sekurang-kurangnya 25 tenaga sebulan. Kalau aktiviti SMART kita perlukan 10 tenaga, kita ada lagi 15 tenaga untuk khidmat kesihatan. Kalau khidmat kesihatan perlukan 2 tenaga satu tempat, ertinya kita boleh menyumbang kepada 6 atau 7 tempat sebulan. Tetapi di manakah tenaga-tenaga itu? Yang memberikan komitmen adalah orang yang sama. Doktor-doktor senior. Di mana sebahagian besar ahli PAPISMA terutama yang muda-muda? Apakah mereka kurang berminat untuk menyumbang kerana ianya tidak diwajibkan, tidak ada upah keduniaan, kurang menyeronokkan dan yang seumpamanya? Pengalaman yang dinyatakan oleh person incharge (PIC) ialah SMS tidak berjawab, doktor on-call, doktor balik kampung, doktor kursus dan sebagainya. Ada juga kes-kes terpencil yang suami tidak memberi izin kepada isterinya... masyaAllah...

SMS Tidak Dijawab
Mengapa SMS tidak dijawab? Di manakah akhlak dan tuntutan ukhuwwah selama ini sehingga SMS tidak dijawab? Ada pula yang mempersoalkan apakah wajib menjawab SMS. Sememangnya tidak wajib. Kita ada hak untuk menjawab ataupun tidak tetapi bagaimana dengan tanggungjawab kita sebagai seorang sahabat? Bagaimana perasaan kita bila kita menegur seorang sahabat tetapi dia mendiamkan diri sahaja? Sudah tentulah akan menimbulkan perasaan buruk sangka dan negatif lainnya. Begitulah dengan SMS. Memanglah kita boleh berpura-pura tidak perasan adanya SMS, kita boleh berlakun seolah-olah tak sempat nak jawab, terlupa nak jawab dan sebagainya. Tetapi bukankah Allah itu Maha Melihat dan Maha Mengetahui? Di sinilah syaitan mendapat ruang untuk memainkan peranan jahatnya. Apa salahnya jika kita reply SMS tersebut? Jika kita tidak boleh untuk berkhidmat, reply sahaja "maaf, saya tidak dapat bertugas" atau apa saja ayat yang sesuai. Tentunya PIC akan merasa lega dan senang hati.

On-Call
Adalah tidak munasabah jika on-call setiap minggu hari yang sama. Biasanya slot khidmat kesihatan adalah hari Sabtu sedangkan program SMART PAPISMA adalah hari Jumaat. Mengapa tidak sanggup memberikan nama pada mana-mana minggu yang kita tidak bertugas? Jikapun terpaksa on-call, berilah nama untuk bertugas pada hari-hari yang lain.

Balik Kampung
Perkara yang tidak boleh dielakkan, apa nak buat. Kita lebih mengetahui mana yang lebih aula untuk kita. Allah Maha Mengetahui akan musyaqah kita pada hari tersebut. Tetapi, jika balik kampung atas urusan rutin, mengapa tidak diadjust sahaja? Bukankah kita ada sekurang-kurangnya 4 kali hujung minggu dalam sebulan?

Kursus
Begitu juga dengan kursus yang tidak wajib. Janganlah sampai kerana terlalu ingin meningkatkan kualiti diri sendiri, semua kursus mahu dihadiri sehingga tiada masa untuk melakukan khidmat walaupun sekali sebulan.

Suami Tidak Memberi Izin
Sebagai seorang isteri kewajiban mentaati suami adalah paling utama. Namun, si suami juga perlu faham akan peranan isterinya di dalam masyarakat. Pengorbanan isterinya adalah pengorbanannya juga. Pahala yang akan diperolehi oleh isterinya, insyaAllah akan diperolehinya juga. Bukankah satu kerugian kepada umat mempunyai tenaga profesional yang tidak dapat dimanfaatkan kepada masyarakat?

PAPISMA sememangnya tidak mampu berbuat lebih daripada mempelawa, menjemput dan mengajak sahabat-sahabat untuk turut sama bergerak dan berjuang ke tengah masyarakat. Tidak ada apa yang PAPISMA mampu berikan sebagai balasan kepada kerja-kerja tersebut. Namun Allah itu Maha Kaya. Allah mampu memberikan apa sahaja ganjaran kepada hamba-Nya malah lebih dari apa yang terjangkau oleh mata dan akal fikiran. Itulah keyakinan dan itulah akidah perjuangan kita. Dari Abu Ayyub r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda; sepagi atau sepetang berada di jalan Allah adalah lebih baik daripada apa yang telah diterbitkan dan diterbenamkan oleh matahari (dunia dan seisinya)." (HR Muslim: 3495)

Dengan keterbatasan waktu dan keupayaan, PAPISMA hanya mampu menyediakan ruang untuk berkhidmat dan berdakwah. Mudah-mudahan ruang ini akan mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah sebagai amal jihad kita. Untuk berperang seperti di Palestin kita tidak mampu, apatah lagi berperang seperti para sahabat ajmain. Oleh itu, pergunakanlah medan ini untuk belajar berbakti, berkorban dan berjuang. InsyaAllah ia akan menjadi amal yang besar untuk akhirat kita...

Monday, August 2, 2010

LEBARKAN SAYAP, FOKUSKAN HALATUJU

Biro IT

(Dipetik dari Kolum Presiden PAPISMA - KPP3)

LEBARKAN SAYAP, FOKUSKAN HALATUJU

PERUBAHAN PAPISMA

PAPISMA telah memasuki era kedewasaan. Pada usia sebegini banyak perubahan yang berlaku dari segi imej dan penampilan. Banyak juga perubahan yang berlaku dari sudut mental. Sebagai pertubuhan yang meningkat dewasa, PAPISMA perlu sedar bahawa banyak lagi perubahan yang akan dan perlu dialaminya serta bersedia untuk perubahan-perubahan itu. Dalam hal ini, PAPISMA perlu mendewasakan sikap dan pemikiran agar ianya menjadi sebuah pertubuhan yang matang dan ke depan.

KEPIMPINAN YANG BERKESAN

Sejarah telah membuktikan sesuatu yang perlu diteladani iaitu kejayaan sebuah organisasi bergantung kepada kepimpinan yang berkesan yang mendapat sokongan padu ahli-ahlinya. Kepimpinan yang berkesan sudah tentu didahului oleh pemimpin yang berwawasan yang mana wawasannya itu mampu difahami dan dihadam oleh petugas-petugasnya yang merupakan barisan exco yang bertanggungjawab melaksanakan wawasan itu. Sebuah wawasan yang membangkitkan rasa semangat di kalangan ahli-ahlinya. Wawasan yang menjadi dominan dalam pemikiran ahli-ahlinya. Wawasan sebegini yang akan menjana kekuatan kepada organisasinya. Ia akan menjadi sebuah impian yang direalitikan. Nah kini wawasan jangka pendek yang digariskan oleh kepimpinan PAPISMA adalah ingin menjadikan ahli-ahli PAPISMA sebagai Generasi Tarbiyah, seharusnya seluruh ahli PAPISMA menyediakan diri dan bergerak ke arah itu.

WAWASAN PERLU DISATUKAN

Wawasan merupakan impian seorang pemimpin. Bukan setakat impian kecil-kecilan, tetapi sebuah impian yang besar. Ianya dapat disimpulkan dengan sebaris ayat yang menjadi MOTO. Wawasan besar ini perlu disatukan sehingga menjadi wehdatulfikri di kalangan barisan kepimpinan. Perlu diingat bahawa setiap pemimpin di bawahnya juga mempunyai impiannya sendiri. Impian-impian itu perlu digembleng dan disatukan. Kemudian diperturunkan kepada ahli sehingga menjadi sebuah gelombang pemikiran yang terarah kepada satu impian yang sama.
Ingatkah kita contoh wawasan yang dekat seperti Wawasan 2020? Wawasan ini telah banyak mengubah wajah Malaysia dengan drastik meskipun ianya terhalang atas ketidakseimbangan pembangunan material dan rohani serta sikap pemimpin yang mementingkan diri sendiri. Juga ingatkah kita kepada wawasan Negara Berkebajikan yang menumbangkan Barisan Nasional di Semenanjung Malaysia dalam PRU-12 yang lalu? Meskipun sebagai suatu moto yang cukup ringkas, namun seluruh ahli dan jentera parti dapat memahami impian pemimpin sehingga menghasilkan gelombang besar dalam politik negara. Begitulah halnya dengan wawasan PAPISMA yang harus menjadi nadi pergerakan ini.

PERLUNYA ASAS YANG KUKUH

Apabila PAPISMA telah menjadi suatu pertubuhan yang mempunyai wawasan yang jelas kepada ahli-ahlinya, dengan sendiri ia akan menjadi magnet untuk menarik kemasukan ahli dan melebarkan sayapnya. Ahli-ahli tahu apa yang akan dilakukannya. Ahli-ahli tahu apa yang akan diperolehi dari PAPISMA dan ahli-ahli juga tahu mengapa perlu thiqah dan wala' bersama PAPISMA. Umpama membina sebuah bangunan yang tinggi, kerja-kerja asasnya memang berat, kerja yang penuh dengan debu dan titisan keringat, kerja yang terdedah dengan panas mentari yang menyengat... namun ianya perlu menjadi tumpuan dan keutamaan. Jika asas bangunan itu lemah, maka bagunan itu akan mudah roboh meskipun tanpa dimakan oleh anai-anai. Kalau mengikut teori pembangunan, 70% bahan binaan bagi sebuah bangunan tinggi itu adalah pada asasnya yang berada di dalam tanah. Manakala mengikut asas pembinaan jemaah Islam oleh Nabi Muhammad SAW, 13 tahun (di Mekah) daripada 23 tahun perjuangan baginda adalah untuk pembinaan asasnya, sebelum Islam itu sempurna. Itu melibatkan 56% masa dakwah dan perjuangan baginda untuk mengukuhkan asas Islam. Ya... asas PAPISMA adalah tarbiyah. Tarbiyah ilmu, akhlak dan akidah perjuangan.

PERLUNYA MENAMBAHKAN KEAHLIAN PAPISMA

Setelah mengenalpasti bahawa tarbiyah adalah asas kepada pembangunan gerakan PAPISMA, kita juga memahami bahawa ahli yang ramai merupakan aset yang penting kepada perjuangan. Justeru itu, PAPISMA harus bersedia untuk menambahkan ahlinya dengan lebih cepat. Keputusan untuk menukar status keahlian dari ekslusif kepada inklusif merupakan keputusan yang tepat. Namun ramai yang masih terpinga-pinga apabila PAPISMA menukar status keahliannya dari eksklusif (hanya orang-orang tertentu boleh jadi ahli) kepada inklusif (semua orang boleh jadi ahli) termasuk sebahagian pimpinan PAPISMA Cawangan.

Penukaran status keahlian ini merupakan deklarasi yang membolehkan ahli-ahli yang tidak menyertai usrah di kampus menyertai PAPISMA. Bukankah ramai orang baik-baik sekarang asalnya bukan orang yang terlalu baik dahulunya? Oleh itu, PAPISMA juga harus meraikan mereka, sekiranya mereka mahu menganggotai PAPISMA. Pun begitu, Ini tidak bererti kemasukan mereka ke dalam PAPISMA tiada tapisan. Syarat kemasukan ke dalam PAPISMA masih kekal melalui pencadang dan penyokong. Jadi, pembukaan sedikit ruang untuk PAPISMA menerima ahli secara inklusif ini akan membantu PAPISMA menambahkan bilangan ahlinya dengan lebih cepat. Ahli yang kemudiannya perlu menjalani proses tarbiyah bagi menggilap ilmu, akhlak dan memantapkan akidah perjuangan mereka.

MENCARI TAPAK UNTUK MENYEMAI BENIH PAPISMA

Tugas seorang doktor dan profesional kesihatan yang menjadi teras keahlian PAPISMA adalah tugas yang terbatas waktu rehatnya. Banyak usaha-usaha usrah dan tarbiyah yang dilakukan di alam pekerjaan kurang memberikan kesan ekoran kehadiran mereka ke program tarbiyah yang tidak konsisten. Oleh itu, secara realitinya, program usrah dan tarbiyah di alam pekerjaan tidak boleh dijadikan asas pembinaan yang berkesan melainkan ianya sebagai penguat kepada asas yang dibina lebih awal di kampus-kampus, dalam dan luar negara. Itulah tempat paling sesuai untuk menyemai benih PAPISMA. Oleh itu PAPISMA tidak boleh membiarkan tapak ini terbiar tanpa diberi perhatian yang serius. Ia tidak boleh diserahkan kepada adik-adik semata-mata kerana kita ingin membina benih PAPISMA mengikut acuan kita.

Tarbiyah di peringkat ini perlulah diambil perhatian yang khusus dan diadun sedemikian rupa agar mereka yang melalui tarbiyah ini akan menjadi profesional kesihatan yang tidak lurut dipukul ribut dan tidak lemas dilambung ombak di lautan kehidupan yang cabarannya tidak dapat diukur dengan skala richter. Ya... jelas sekali bahawa universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi perlu dijadikan asas tapak pembentukan dan pengembangan benih-benih bakal penggiat NGO PAPISMA. Oleh itu, bukan setakat PAPISMA perlu menghulurkan tangannya ke dalam sistem tarbiyah kampus, malah perlu menceburkan diri ke dalamnya. Bina ilmu, bina akhlak dan bina akidah perjuangan yang kukuh. Nescaya PAPISMA mampu berkembang subur dan melebarkan sayapnya tanpa dapat disekat.

AKHLAK PEMANGKIN DAKWAH

PAPISMA telah membina wadah yang berfungsi sebagai pihak ketiga dalam pejuangan Islam di Malaysia. Ia mempunyai sasaran dakwah yang sangat luas. Pun begitu, kepadatan dan ketidaktentuan masa kerja menyebabkan masa yang dapat disumbangkan secara direct kepada perjuangan sangat terhad. Justeru, akhlak merupakan aset yang sangat besar peranannya dalam dakwah PAPISMA. Ia tidak memerlukan masa dan tempat yang khusus. Ia tidak memerlukan modal dan kebolehan berceramah. Namun kesannya mendalam terhadap orang yang dihadapi. Hadirnya terasa dan perginya dihargai. Sebab itulah juga Rasulullah SAW diutuskan ke dunia... bagi menyempurnakan akhlak.

Sebagai pertubuhan profesional kesihatan, inilah masanya PAPISMA melihat akan kekuatan di sudut ini. Akhlak merupakan pemangkin dakwah yang berkesan. Jadi, pembinaan akhlak merupakan satu tuntutan yang perlu PAPISMA utamakan, bina secara berterusan. Bermula dengan yang mudah. Memberi salam dan senyuman... Bercakap dengan sopan dan sabar dengan orang yang dihadapi. Bersimpati dengan kesakitan, sanggup mendengar segala luahan dan rintihan. Usrah dan perjumpaan boleh menjadi medan muhasabah. InsyaAllah kita mampu membina akhlak bersama.

HALATUJU

Fasa-fasa pembinaan yang berterusan, aktiviti yang dijalankan, harta dan tenaga yang dikorbankan sudah tentu mempunyai halatuju yang besar iaitu Islam mendapat kemenangan. Ingat, PAPISMA merupakan pertubuhan non-partisan. Untuk memenangkan Islam mengikuti jalan Ar-Rasul memerlukan kita berada di medannya. Zaman ini medannya adalah politik dan mediumnya adalah dakwah. Tanpa berada di medan ini kumpulan Islam dan suara Islam akan diperkotak-katikkan .

Oleh itu, di mana PAPISMA? Ya! PAPISMA adalah wadah yang mendokong perjuangan menegakkan Islam itu. Caranya? PAPISMA perlu melakukan segala aktivitinya dengan penuh berstrategi. Sasaran yang dihidangkan kepada PAPISMA cukup besar dan senjata yang dimiliki oleh PAPISMA sangat sukar ditangkis. Oleh itu, peluru-peluru PAPISMA perlu menepati sasaran bagi meraih manfaatnya. Jadi, jangan sia-siakan ruang yang diberi, jangan sia-siakan masa, tenaga dan kewangan yang dikorbankan. Fokuskan halatuju PAPISMA bagi membina kekuatan Jemaah Islam. Jadikan gerakan PAPISMA ini sebagai batu loncatan untuk kemenangan Islam. Namun perlu diingat, PAPISMA masih non-partisan, kita mahu ia dilihat begitu, namun hasilnya adalah untuk kemenangan Islam!! Islam yang memberi nikmat dan rahmat untuk semua makhluk, manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan segala isi muka bumi.

`HANGATKAN KEMBALI KEDINGINAN TARBIYYAH'


A.I. Ghazali
Presiden Papisma 2010-2012