.

PAPAN KENYATAAN



  • PROGRAM-PROGRAM PAPISMA TERENGGANU AKAN DIMAKLUMKAN TAK LAMA LAGI




    Daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah S.A.W. bersabda;
    “Barangsiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah Taala, maka terdengarlah suara yang memanggil dan mengatakan bagus dan bagus langkah mu dan ambillah tempat tinggalmu di dalam syurga.” (HR At-Tirmizi)

    Dari Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda :
    " Barangsiapa yang melapangkan seorang mukmin, suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskan dirinya suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan di hari kiamat."(HR Muslim)

  • JUALAN BUKU


    Hubungi
    Dr. Zaihan Salleh (012-9850123)


  • Hubungi
    Dr. Khatijah Musa (019-9222057)

Tuesday, June 15, 2010

PAPISMA Terengganu Menziarahi Ustaz Harun Taib

(Biro IT)

Tiada siapa yang ingin sakit, namun takdir Allah menentukan bahawa kesakitan itu akan tetap menimpa selagi kita bernama manusia. Sakit akan menjadikan kita ingat bahawa kita lemah. Kita adalah makhluk yang perlu mengaku bahawa Allah adalah Tuhan semesta alam. Kita wajib mengesakan dan menyembah-Nya. Sakit mendekatkan diri kita kepada Allah.

Begitulah takdir yang menimpa ulamak terkenal seluruh pelosok tanahair, Ustaz Harun Taib itu. Beliau yang terkena darah tinggi, kencing manis dan masalah pembuangan air kecil sejak beberapa bulan lalu terus tabah menjalani kehidupan dan sabar memikul amanah perjuangannya. Kini, beliau menjalani rawatan moden dan tradisional di samping tugas dan kewajipan lain yang tidak pernah surut. Sesungguhnya PAPISMA melihat beliau merupakan seorang pejuang tulin yang patut dicontohi.

15 Jun 2010 bersamaan 2 Rajab 1431H, PAPISMA Terengganu telah berjaya melakukan kunjung hormat kedua ke rumah beliau pada kira-kira pukul 6.15 petang. Kunjungan itu berakhir kira-kira 5 minit sebelum azan Maghrib dikumandangkan.

"Bila doktor-doktor datang, buat-batlah rasa sakit!" Sempat bergurau. Begitulah mesranya ulama ini dengan rombongan PAPISMA Terengganu. Dari kanan: Ust. Harun, Dr. Wan Mohd. Razin (Timbalan Pengerusi PAPISMA Terengganu), Dr. Tuan Mohd. Fairuz (Ketua Generasi Muda PAPISMA), Dr. Suhazeli (Mantan Presiden) dan En. Hasan (PA Ust. Harun).

"Acap kali lalu sini, tapi tak berkesempatan jumpa Ustaz. Maklumlah semua sibuk..." Barangkali itulah yang dinyatakan oleh Mr. Husain (dua dari kiri) pakar bedah HSNZ. Di sebelahnya ialah Dr. Termizy (Pakar Perubatan HSNZ) dan Dr. Md. Arif, Pengerusi PAPISMA Terengganu (tiga dari kiri).

"Eh... macam tak de bateri je ni ayah!" Ust. Hamdi, sedang membuka alat mengesan gula dalam darah. Beliau merupakan lulusan Universiti Al-Azhar, merupakan anak Ust. Harun yang kini sepenuh masa membantu ayahnya sambil menjadi penceramah bebas mengajar di merata-rata tempat yang memerlukan ilmunya.

"Yang ni ada bateri... dah cek dah. Boleh tahan tinggi tu!" Mungkin itulah yang diperkatakan oleh Dr. Suhazeli yang merupakan Pakar Perubatan Keluarga, setelah melakukan ujian ke atas Ust. Harun. Petang ini paras gula Ust. Harun ialah 16.6mmol/L.

"Active call ni..." Dr. Suhazeli memeriksa tekanan darah Ust. Harun pula. Bacaan petang ni ialah 162/98 mmHg. Agak tinggi.

Dr. Suhazeli sedang memberikan nasihat sambil diperhatikan Ust. Harun dan isterinya, Ustazah Fatimah Ibrahim yang juga seorang aktivis terkenal seluruh negara yang sentiasa berada di samping bagi menguruskan keperluannya.

"Kadang-kadang nak buang air kecik pun payah juga..." Kata Ust. Harun berkongsi penyakit dan ubat-ubatan yang diambil ketika kehabisan stok ubat dari hospital baru-baru ni.

Anggota rombongan PAPISMA Terengganu bergambar kenangan sebelum berpisah. Dari kiri: Dr. Md. Arif, Dr. Tuan Mohd. Fairuz, Mr. Husain, Dr. Suhazeli, Ust. Harun, Dr. Wan Mohd. Razin, Dr. Roslan dan Dr. Termizy.

Mudah-mudahan lawatan ini sedikit sebanyak akan memberikan sokongan moral kepada Ust. Harun dan keluarganya dalam menghadapi penyakit yang sangat sukar untuk disembuhkan itu. Kami semua berdoa semoga beliau sentiasa sabar dan tabah. InsyaAllah, panjang umur PAPISMA Terengganu akan datang berkunjung lagi...

Hangatkan Kedinginan Tarbiyah

(Biro IT)

UCAPAN SULUNG PRESIDEN PAPISMA 2010-2012 (KONVENSYEN KEBANGSAAN PAPISMA & AGM PAPISMA DI PANTAI MERDEKA, KEDAH 22 J'Akhir 1431H) -Di catat di dalam Kolum Presiden pada 1 Rejab 1431 H.

Bismillahirrahmanir rahim

Assalamualaikum Wbt

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh cakerawala. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad, petunjuk dan rahmat bagi seluruh alam, juga buat ahli keluarga baginda, para sahabat dan para pengikut baginda di atas jalan yang lurus sehingga ke akhir zaman.

Yang dimuliakan Tuan Pengerusi Tetap, Tuan Haji Che Abd Rahim b. Che Daud, Mantan Presiden Papisma Dr Suhazeli Abdullah, Para AJK Papisma sesi yang lepas, Barisan AJK Papisma sesi 2010-2012 yang baru sahaja dilantik, AJK Konvensyen Papisma 2010, Pembantu Tadbir Papisma dan seterusnya seluruh ahli dan pendokong Papisma dari seluruh Malaysia.

Sebelum meneruskan ucapan sulung ini marilah kita semua membaca dan menghadiahkan ummul Quran alFatihah kepada para syuhada’ yang telah gugur di atas kapal Mavi Marmara di dalam Flotilla bantuan ke Ghazzah akibat angkara Zionis yang durjana. –Al FATIHAH-

Kita berdoa dan berharap agar pada masa akan datang akan ada pula dikalangan ahli-ahli Papisma yang akan menjadi sukarelawan menghantar bantuan kepada penduduk Ghazzah yang dizalimi oleh Yahudi Zionis, insya allah.

Seterusnya saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada penganjur Konvensyen Kebangsaan Papisma yang ketujuh pada tahun 2010 ini kerana berjaya mengatasi berbagai halangan untuk menjayakan KKP pada tahun ini yang bertempat di Pantai Merdeka, Kedah Darul Aman. Sebuah lagi negeri yang diterajui oleh pencinta dan pendokong Islam.

Perjalanan yang jauh ke Pantai Merdeka ini dengan jalannya yang berliku-liku akhirnya terubat sebaik sahaja melihat pantainya yang putih, pemandangannya yang cantik hingga ke Tanjung Dawai dan sudah tentulah terutamanya keletihan itu terubat sebaik sahaja melihat wajah-wajah sahabat-sahabiah semua yang pebuh iman di dalam dada. Semoga istiqamahlah kita di jalan Allah.

Di kenal Kayu Kerana Daunnya, Terkenal Melayu Kerana Pantunnya.

Saya ambil kesempatan ini untuk membacakan serangkap pantun:

Pantai Merdeka jauh di Kuala, Tanjung Dawai banyak selangat; Di Resort Pantai Merdeka kita berjumpa, Konvensyen ini penguja semangat.

Proses pemilihan untuk kepimpinan yang baru telah pun selesai dijalankan, menggunakan proses berkomputer yang canggih dan mudah-mudahan pada masa depan dapat dikembangkan lagi kepada ahli-ahli yang tak dapat datang semasa konvensyen, supaya mereka juga turut sama dapat mengundi.

Hasilnya adalah kita telah melihat senarai nama-nama baru telah dipilih untuk menjadi pimpinan Papisma yang baru. Saya terharu dengan keputusan yang telah dibuat oleh ahli-ahli semua dan saya berdoa agar keputusan yang dibuat oleh ahli-ahli semua adalah keputusan yang ikhlas untuk kebaikan Papisma di dalam mengharungi masa depan yang lebih mencabar.

Saya percaya mereka-mereka yang mengundi AJK-AJK Papisma yang baru ini bukanlah kerana hendak membiarkan kami terkapai-kapai mengendalikan hala tuju Papisma tetapi adalah kerana untuk sama-sama sanggup bersusah-payah memikul tanggungjawab ini.

Setelah tujuh tahun beroperasi, maka Papisma semakin membesar. Bilangan ahli meningkat 10 kali ganda daripada 54 orang menjadi 500 orang. Bila rumah tangga makin membesar, maka masalah makin banyak. Belanja dapur makin tinggi tetapi yang bantu memasak tidak ramai, yang bantu makan yang bertambah… Maka kadang-kadang kita demam, kadang-kadang mereka yang di dapur menjerit juga kerana marah dan keletihan. Bila letih kita cuba ubat diri kita dengan menelan panadol, tetapi panadol bukanlah ubat yang mujarab untuk segala penyakit.

Setelah tujuh tahun bergerak, Papisma makin berkembang, kita dahulunya hanyalah satu entiti kecil di Kelantan. Kemudian perlahan-lahan kita membesar, kita berkembang ke seluruh Malaysia dan kemudiannya perlahan-lahan lagi kita melebarkan sayap ke Indonesia, ke Jordan, ke Egypt, ke United Kingdom, ke Ukraine, ke Russia, ke Republik Czech dan lain-lain tempat yang menjadi tumpuan mahasiswa dalam jurusan sains perubatan & kesihatan. Bila kita membesar dan terus membesar, kadang-kadang kita jadi cair, kuantiti mengurangkan kualiti, kualiti tenggelam di sebalik timbunan kuantiti. Bahkan kadang-kadang kita hilang jati diri kerana kualiti yang semakin mencair.

Sahabat semua,

Tidak ada salahnya membesar, tetapi yang penting ialah kita mesti memfokuskan destinasi dan hala tuju kita. LEBARKAN SAYAP, tetapi kita mesti FOKUSKAN HALATUJU. Apakah hala tuju kita?

Hala tuju kita ialah Mardhatillah. .

Firman Allah di dalam surah Al Bayyinah ayat 7 hingga 8, maksudnya:

"7. Sungguh, orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk. 8. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah Syurga A’dn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha terhadap mereka dan mereka pun redha kepada-Nya. Yang demikian itu adalah balasan bagi orang yang takut kepada Tuhannya."

Firman Allah lagi di dalam surah Al-Fajr ayat 27 hingga 30, maksudnya:

"27. Wahai jiwa yang tenang!. 28. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya. 29. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaku. 30. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku."

Saban hari pula kita berdoa, "Rabbana atina fid dunya hasanah, wa fil akhirati hasanah, waqina azabannar".

Bukankah keredaan Allah yang kita cari?

Namun mardhatillah itu sangat luas, maka kita selaku orang-orang yang Allah beri kelebihan melalui ilmu-ilmu kesihatan dan perubatan, kita kecilkan lah skop mardhatillah itu bersesuaian dengan kemahiran yang kita ada. Maka objektif kita di dalam Papisma ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengumpul dan mengajak manusia seramai yang mungkin agar bertaqwa kepada Allah. Dan kita menggunakan kemahiran ilmu bantu perubatan yang kita ada untuk menyeru manusia takutkan Allah, mematuhi suruhan dan meninggalkan larangan-Nya

Kadang-kadang masih ada pertanyaan yang timbul, kenapa kita tubuhkan Papisma? Tidak memadaikah jika sekiranya kita terus terjun ke dalam jemaah yang besar dengan segala ilmu dan kemahiran yang kita ada? Maka kita beri jawapan yang ringkas, tujuan kita menubuhkan Papisma ini adalah supaya senjata-senjata MD, senjata-senjata MBBS, senjata-senjata BDS, B.Pharm, M.MED, MRCP, MRCOG, FANZCA dan sebagainya lagi yang berkaitan dapat kita kumpulkan dengan kemas dan seterusnya dimasukkan ke dalam jemaah Islam yang besar di dalam keadaan yang lebih tersusun dan teratur, bukan di dalam keadaan yang berselerak dan sukar dicari..

Kemudian timbul lagi pertanyaan, apakah yang perlu kita lakukan? Di dalam jangka masa terdekat ini kita perlu mengembalikan semula kualiti kita yang sedang cair dan saya percaya puncanya adalah kerana semakin dinginnya proses Tarbiyyah. Untuk itu kita perlu menghangatkan kembali kedinginan tarbiyyah dan saya telah mencadangkan bahawa motto Papisma pada tahun ini ialah HANGATKAN KEMBALI KEDINGINAN TARBIYYAH.

Selaku Presiden, saya berazam untuk menghidupkan usrah bulanan di kalangan AJK Papisma Pusat secara online dan insya allah kita akan cuba mengadakannya pada setiap bulan. Di harap ahli-ahli Papisma juga akan beramai-ramai menghidupkan kembali aktiviti usrah ini. Kemudiannya kemuncak kepada motto HANGATKAN KEMBALI KEDINGINAN TARBIYYAH ini adalah cadangan untuk mengadakan Konvensyen Papisma yang kelapan pada tahun hadapan di Terengganu yang akan dipenuhi dengan program-program Tarbiyyah melibatkan diri kita, pasangan kita dan juga anak-anak kita yang merupakan keluarga besar Papisma. Insya allah mantan Presiden sendiri akan menjadi tulang belakang utama untuk usaha ini. Mudah-mudahan proses tarbiyyah ini dapat membantu merungkai kecairan yang menimpa ahli-ahli kita selama ini.

Yang keduanya ialah Mendisiplinkan ahli-ahli Papisma. Di dalam usia kita tujuh tahun ini, maka wajarlah kita mula mendisiplinkan ahli-ahli kita. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Di dalam menganjurkan konvensyen Papisma ini saban tahun kita akan bertemu dengan sebahagian ahli yang memberi nama tetapi membatalkan penyertaan di saat akhir tanpa membayar satu sen wang pun. Keadaan ini menyebabkan Papisma terpaksa menggunakan dana awam Papisma untuk menggantikan deposit hangus yang diminta pihak hotel.

Sikap sebegini sudah tentu tidak baik, jikalau kita benar-benar sayangkan jemaah, maka apabila kita mendaftar nama, maka kita sertakan bayarannya sekali. Katakanlah pada saat akhir kita tidak dapat datang, maka insya allah pelaburan yang kita buat itu akan dinilai dengan nilaian yang tinggi di sisi Allah. Mudah-mudahan dibalas 70 kali atau 700 kali ganda. Jangan susahkan Persatuan, sebaliknya bantulah Persatuan. Untuk itu saya dengan sepenuh perasaan mencadangkan agar bermula tahun hadapan, pendaftaran Konvensyen Papisma ini hendaklah dilakukan dengan bayaran penuh sebelum nama seseorang itu didaftarkan. Jangan memeningkan kepala AJK konvensyen dengan kerenah kita yang liat mengeluarkan wang belanja.

Seterusnya kita perlu mengumpulkan ahli-ahli yang bermotivasi tinggi di dalam Papisma. Ini kerana ahli-ahli yang bermotivasi tinggi mampu untuk menarik lebih ramai ahli-ahli yang lain dan mampu pula menggandakan lagi keupayaan Papisma dimasa akan datang.

Akhir sekali, untuk sebuah kapal berjaya meredah lautan yang luas, ianya memerlukan kerjasama sepenuhnya di antara anak-anak kapal dan nakhodanya. Kita perlu kepada kesatuan yang kukuh, bahu-membahu, bertolong-bantu dengan ikhlas, arahan perlu diberi dengan ketaqwaan dan didengar dengan ketaqwaan. Hendaklah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dan hidup berpandukan alQuran dan sunah Nabi Muhammad SAW.

Wabillahitaufiq, walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabar akatuh.

ALLAHU AKBAR.

"HANGATKAN KEMBALI KEDINGINAN TARBIYYAH"


Al Ghazali
Presiden Papisma
2010-2012

Friday, June 11, 2010

Konvensyen Kebangsaan 2010 Yang Bersejarah

(Biro IT)

4 Jun 2010 - Bermula seawal 5.00 pagi, sebuah Serena meluncur laju membelah pagi yang hening dari Marang. Diikuti oleh sebuah lagi Serena dari Manir pada pukul 6.15 pagi dan Honda City dari Kuala Berang pada pukul 6.30 pagi. Ketiga-tiganya bertemu di Kg. Guntung Luar, Setiu untuk berserapan pagi dan meneruskan perjalanan sebelum bertemu sebuah lagi Serena di Kg. Padang Luas, Besut pada pukul 8.45 pagi. Kesemuanya merupakan konvoi perjalanan dari Terengganu untuk ke Sg. Petani, Kedah bagi menjalin silaturrahim, bertemu dan berpisah kerana Allah untuk berlumba-lumba menjadi 7 golongan yang akan mendapat naungan Arasy ketika tiada naungan kecuali naungan-Nya. (Mafhum hadis Bukhari & Muslim).

Hari ini juga, lebih dari 35 buah kenderaan menuju ke destinasi yang sama kerana menyahut seruan Rasulullah SAW bagi menyempurnakan aktiviti berjemaah iaitu bermesyuarat bagi memilih kepimpinan baru di samping berbincang bagi memperkasakan lagi PAPISMA dalam usaha melaksanakan visi dan misinya. Kesemuanya sedang berjuang dan berkorban... kesemuanya sedang berada di jalan Allah.

Sampai di Panglima Bayu, Tanah Merah, sebuah lagi kenderaan sedang menunggu iaitu sebuah Vios yang baru sehari dimiliki. 5 buah kenderaan itu kemudiannya tunda-menunda sambil berdoa dan mengharap agar perjalanan itu dirahmati Allah, selamat pergi dan selamat kembali.

Mereka berhenti sebentar di sebuah masjid di Daerah Kupang untuk menunaikan solat Jumaat bagi meraikan seorang sahabat yang wajib berjumaat. Seterusnya kami berhenti di perbatasan Kota Kuala Muda untuk makan tengahari kira-kira pukul 3 petang.

(Kiri) Dr. Md. Arif dan keluarga sedang menikmati hidangan tengahari.

(Kanan) Dr. Wan Mohd. Razin dan keluarga kelihatan sudah menghabiskan hidangan mereka.

(Kiri) "Banyaknya demo makan Che'. Bertumpuk-tumpuk pinggan tu ha!" Tuan Haji Che Rahim dan keluarga.

(Kanan) Dr. Suhazeli dan Keluarga. Mungkin sedang busy meneliti GPS.

(Kiri) "Berfikir dan merenung jauh..." Dr. Roslan dan keluarga.


Sesudah makan, kami meneruskan perjalanan untuk ke destinasi. Kami menggunakan jalan pintas dengan berpandukan GPS pada handphone Dr. Suhazeli. Bagi yang tak de GPS atau tak reti guna tu... ikut aje ler...

Akhirnya sampailah konvoi kami ke destinasi yang dituju iaitu Pantai Merdeka Beach Resort pada kira-kira pukul 5 petang, iaitu setelah hampir 12 jam perjalanan.
"Selamat Datang" banner KKP-7 menyambut kedatangan para peserta.

Orang pertama yang menyambut kami ialah Ketua JK Penganjur sendiri, Dr. Ahmad Rostam. Dengan segera kami mendaftar kerana muslimat di kalangan kami masih belum menunaikan solat jamak takhir.
"Haa... ni nama Kak Han. Dekat dengan kolam tak bilik ni?" Hehe... Kak Han sedang mendaftar.

"Mana pulok nama kawe ni?" Hj. Che Rahim sedang mencari namanya.

"Elok-elok pilih tu Abang Lie. Nanti termasuk bilik bibik kang naya!" Dr. Suhazeli sedang mendaftar.

"Tak dapat tepi kolam pun tak apa... isteri saya belum lepas pantang.." Itulah barangkali yang dikatakan oleh Dr. Md. Arif.

Seterusnya, kami semua dijemput untuk membuat pengundian di meja bersebelahan dengan meja pendaftaran. Pengundian kali ini agak 'canggih'. Ianya menggunakan komputer. Tujuannya ialah untuk memberi peluang kepada para peserta masa yang mencukupi untuk mengundi. Kalau sebelum ini, ada yang merungut tak sempat nak angkat tangan, pengundian dah selesai... (mari lewatlah tu...) kali ini tidak ada alasan lagi. Kalau dulu pihak urusetia AGM terpaksa menunggu ahli untuk hadir hingga terpaksa memulakan mesyuarat lewat, kali ini tidak berlaku lagi. Meskipun diakui masih banyak kelemahan melalui sistem baru, namun serba sedikit ianya ada peningkatan. Semoga idea dan perlaksanaan baru seperti ini akan mendorong PAPISMA ke arah yang lebih profesional nanti.
Dr. Wan M. Razin sedang mengundi. "Siapa aku nak pilih ni? Banyaknya pilihan...!"

Dr. Khatijah Musa (isteri Dr. Suhazeli) sedang mengundi. "Mujur suami ambe tadok. Kalau ada... payoh sikit nak pilih ni!"

"Guano namo ambo ado blako setiap jawate nih? Kekgi mene blako nok pege mano so?" Hj. Che Rahim sedang menunaikan tanggungjawabnya.

Proses pengundian ini ditetapkan sehingga pukul 10.30 malam. (Namun ianya telah dilanjutkan atas budibicara sehingga pukul 12 malam).

Sebaik saja mendaftar dan membuang undi, kami semua terus ke bilik masing-masing bagi menunaikan kewajipan dan urusan seterusnya.
Kak Han sedang 'bertungkus-lumus' mengangkat barang-barang untuk dibawa ke biliknya.

Sesudah itu tiada acara yang diprogramkan. Maklumlah semua peserta masih penat. Bagi anak-anak yang tak sabar-sabar nak berenang, ibubapa mereka terpaksalah menemani mereka ke kolam yang disediakan.

Kira-kira pukul 9 malam, forum yang bertajuk "Wanita, Perubatan Dan Dakwah" dimulakan. Meskipun kehadiran peserta konvensyen masih belum sepenuhnya, namun forum tersebut tetap meriah dengan pengisian dan suntikan motivasi oleh penceramah jemputan iaitu YB Ustazah Siti Aisyah Ghazali dan YBhg. Dr. Najihatussolehah.

Forum tetap dimulakan meskipun masih ramai peserta yang belum sampai.

YB Ustazah Siti Aisyah, seorang aktivis masyarakat yang cukup cekal mengharungi cabaran selama berpuluh tahun dengan berbagai kekangan dan ancaman, akhirnya terpilih sebagai wakil rakyat bagi kawasannya. Amanah tersebut bukan untuk kemewahan dirinya, malah untuk terus membantu golongan masyarakat yang dhaif agar terus menikmati kemudahan dan bantuan secara adil dari pihak berwajib. Motivasinya hanyalah satu iaitu meyakini akan ganjaran pahala yang disediakan oleh Allah SWT. Segala kesusahan yang dilalui akan menjadi ringan dan tidak seberapa berbanding nikmat yang Allah janjikan di syurga nanti.

Bagi Dr. Najihatussolehah pula, meskipun beliau seorang pegawai perubatan yang sibuk, namun kesibukan tidak menghalangnya untuk terus menabur khidmat kepada masyarakat yang memerlukan. Dakwah tidak boleh ditinggalkan dengan alasan pekerjaan. Malah beliau yang mempunyai sembilan orang anak itu, menjadikan anak-anaknya sebagai dorongan dan motivasi untuk lebih bergiat aktif membantu dan menyebarkan dakwah seluas-luasnya agar masyarakat faham akan tanggungjawab mereka di dunia dan akhirat.

Banyak lagi nasihat dan panduan yang berguna telah dilontarkan bagi mendorong para isteri dan para suami bergerak tanpa menoleh ke belakang dalam bidang dakwah terutama di bidang perubatan.

Forum itu telah dipengerusikan oleh Dr. Azniza Mohd. Radzi, Timbalan Pengerusi JK Penganjur sendiri.

Setelah selesai majlis tersebut, Dr. Md. Arif Ibrahim, Pengerusi PAPISMA Terengganu telah mewakili PAPISMA Pusat untuk menyampaikan cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada panel-panel forum tersebut.

"Terimalah sumbangan ini ya YB. Jalan elok-elok malam-malam ni naa..."

"Terima kasih tak terhingga atas perkongsian doktor. Balik Ipoh hati-hati ya..."

Tamatlah sudah hari pertama KKP-7. Bagi mereka yang berjaya menggarap manfaat yang disediakan, tahniah diucapkan. Program yang kalian sertai, bukan saja menambahkan ilmu dan pengalaman, tetapi ia juga sebagai majlis pengampunan yang dijanjikan oleh Allah SWT. Nama-nama mereka yang berada di majlis ilmu, disebut-sebut di kalangan malaikat untuk mendapat keampunan sepanjang berada dimajlis tersebut. Amin Ya Allah...

5 Jun 2010 - Seawal sebelum subuh, resort itu telah diserikan oleh mereka yang ruku' dan sujud berqiamullail mengharapkan keampunan Allah. Ada yang melakukannya di dewan solat dan ada juga yang melakukannya di bilik masing-masing. Sesudah solat subuh berjemaah di dewan solat, kuliah subuh telah diberikan.
Dr. Suhazeli sedang menyampaikan tazkirah subuh sambil berkongsi maklumat dan pengalaman beliau berkenaan isu Marvi Marmara dan jihad di bumi Ghaza.

"Syahid adalah kematian termulia yang kita impikan.." Barangkali itulah yang sedang diperkatakan.

Hj. Che Rahim pula berkongsi maklumat setelah majlis dibuka untuk perbincangan.

Selesai berkuliah subuh, para peserta dengan segera bersiap untuk bersarapan pagi sebelum majlis Mesyuarat Agung Tahunan bermula.

"Makan kena awal...hehe." Hj. Che Rahim cukup bersemangat sebagai antara yang terawal melangkahkan kaki ke dewan makan.

"Kami berdua je.. 4 pinggan dah settle!" Dr. Harmy yang setia dengan kamera SLR-nya bersama isteri.

"Ni baru round satu..." Dr. Wan Mohd. Razin dan isteri, Dr. Tuan Norizan bersama anak sulungnya.

Generasi PAPISMA akan datang turut hadir. Adik-adik wakil dari UM.

"Baru sampai ni... kenalah makan lebih!" Dr. Aman Fuad dan Dr. Rose Faiza bersama anak-anak.

"Kami dari Terengganu!" Dr. Md. Arif Ibrahim bersama isteri, Dr. Norhaizi dan anak-anak. Hari ini merupakan hari ke-26 Dr. Norhaizi melahirkan, namun tetap besama demi perjuangan.

"Hangpa ambik gambaq elok-elok naa..." dari kiri, Dr. Tun Kamsiah, Dr. Mohd. Hadhrami, Dr. Roslan dan Dr. Zaihan (Kak Han) bersama anak-anak mereka.

"Kami datang bawak tentera.." Dr. Awisul Islah, Dr. Narwani dan anak-anak mereka. Meskipun anak keduanya baru mengalami closed fracture one of tarsal bone, mereka tetap bersama.

Dr. Syed Abdul Khaliq bersama isteri, Dr. Jazmin Jauhar dan anak-anak.

Dr. Mohd. Hadhrami dan Dr. Tun Kamsiah bersama kesemua anak-anak mereka.

Dr. Hisyam, Dr. Zahrul Laili bersama keluarga mereka.

Dr. Abdul Kursi bersama Dr. Maizun dan anak-anak.

Dr. Haslina... AJK Papisma 2008/10 yang jarang dikenali, namun berperanan besar dalam melestarikan pergerakan PAPISMA. Bersama suami, Ustaz Muhyidin dan anak-anak.

Dr. Suhazeli dan isteri, Dr. Khatijah sedang berjenaka bersama Dr. Azri dan isteri.

Dari kiri: Dr. Azrin, Ust. Syakir (Pembantu Tadbir PAPISMA Kelantan), Dr. Mohd. Najib dan Dr. Azaharim.

Setelah bersarapan pagi, kesemua peserta dikehendaki ke dewan mesyuarat untuk melaksanakan Mesyuarat Agung (AGM) PAPISMA kali ke-7. AGM merupakan agenda yang sangat penting dan menjadi salah satu agenda wajib bagi setiap KKP. Tahun ini merupakan tahun pemilihan. Kesemua peserta kali ini merupakan peserta yang Allah pilih untuk menentukan peneraju kepimpinan PAPISMA untuk dua tahun akan datang. InsyaAllah segala kerja amal yang dilakukan oleh kepimpinan PAPISMA kali ini akan menjadi saham akhirat kepada mereka yang telah menunaikan tanggungjawabnya.

Hj. Che Rahim (tengah) Pengerusi Tetap PAPISMA sedang mempengerusikan AGM bersama Timbalannya, Dr. Roslan.

"Aktiviti PAPISMA dah banyak ni, tak payahlah soal banyak-banyak ye!" Dr. Awisul sebagai SU Agung PAPISMA 08/10 sdang membentangkan Minit Mesyuarat dan Laporan Aktiviti tahun lepas.

Kak Han, Bendahari PAPISMA 08/10 sedang membentangkan Laporan Kewangan tahun lepas.

Dr. Md. Arif Ibrahim, Pengerusi PAPISMA Terengganu 10/12 sedang melontarkan pandangannya bagi memperkasakan PAPISMA. Banyak idea dan cadangan yang dinoktahkan untuk kepimpinan baru PAPISMA kali ini.

Dr. Ahmad Abir, Timbalan Pengerusi PAPISMA Kelantan sedang menyampaikan ucapan.

Dr. Roslan juga mengambil peluang untuk memperkatakan sesuatu.

Presiden PAPISMA 08/10, Dr. Suhazeli sedang menyampaikan ucapan penggulungan sebelum mengisytiharkan pembubaran Jawatankuasa PAPISMA 08/10 bagi membolehkan Jawatankuasa Sesi 10/12 ditabalkan.

"Dengan ini, saya membubarkan Jawatankuasa PAPISMA Pusat Sesi 08/10 dengan rasminya..." Itulah sebahagian penutup ucapan Dr. Suhazeli di hadapan peserta AGM kali ini.

"Dengan ini saya mengumumkan... jeng jeng jeng..." Pengerusi Sekretariat Pilihanraya PAPISMA, Dr. Roslan sedang mengendalikan perlantikan Jawatankuasa baru Sesi 10/12 berdasarkan keputusan pemilihan yang dilakukan.

Penyerahan watikah perlantikan Jawatankuasa PAPISMA Pusat oleh Dr. Suhazeli kepada Presiden PAPISMA baru sesi 10/12, Dr. Awisul Islah. Dengan itu, Dr. Suhazeli secara automatik menjadi Mantan Presiden PAPISMA 10/12.

"Ku mencari seorang Al-Ghazali... rupa-rupanya ia adalah ayahku!" Dr. Awisul Islah menyampaikan ucapan sulungnya sebagai Presiden PAPISMA dengan penuh semangat. Beberapa objektif telah digariskan untuk dilaksanakan oleh kepimpinannya. Moto perjuangan PAPISMA tahun ini ialah MENGHANGATKAN KEDINGINAN TARBIYAH. Bukan menjadikan tarbiyah itu semakin dingin, tetapi kedinginan tarbiyah itu perlu dihangatkan.

Dr. Awisul sedang menyampaikan ucapan bersama dengan sebahagian barisan exco-nya yang hadir.

Exco PAPISMA 10/12. Dari kiri: Dr. Nor Azri (Penolong Setiausaha), Dr. Hisyam (AJK), Dr. Abdul Kursi (AJK) dan Dr. Aman Fuad (Naib Presiden 2).

Exco PAPISMA 10/12. Dari kiri: Dr. Ahmad Rostam (Setiausaha Agung), Dr. Azrin (AJK) dan Dr. Syed Abdul Khaliq (AJK).

Dr. Tuan Mohd. Fairuz (kanan) juga terpilih sebagai AJK PAPISMA Pusat 10/12 bagi mengetuai Lajnah Generasi Muda Papisma (GMP) yang baru ditubuhkan.

En. Lizam Abd. Manap (SUK PAPISMA Pusat), tenaga dan tulang belakang penting dalam gerakerja PAPISMA Pusat, bersama alat-alat canggih seperti komputer, LCD, Wi-Fi broadband, iPhone dan sebagainya sedang menjalankan tugas. Beliau cukup berdedikasi dalam menjalankan kerjanya tidak mengira waktu sehingga program selesai.

Sementara itu, di bilik sebelah kanak-kanak dikumpulkan untuk menjalani aktiviti mereka seperti yang disusun seperti pertandingan Maths Genius, catur, jigsaw puzzle, bercerita dan mewarna.

Setelah penat bermesyuarat, para peserta dijamu dengan hidangan tengahari yang cukup menyelerakan. "Habis dah kami sapu atas meja VIP ni!" Hj. Che Rahim. Dr. Roslan, Dr. Md. Arif dan Dr. Suhazeli.

"Baru sampai ni. Haa.. licin dah pinggan kami!" Dr. Zakuan Zainy (tengah - Timbalan Pengerusi Tetap Sesi 10/12) baru sampai kerana anaknya kurang sihat. Beliau tidak dapat menyertai AGM pagi tadi.

Pada sebelah petangnya, pertandingan hafazan dan lukisan telah diadakan kerana tidak sempat dihabiskan pada program sebelah pagi.

Adik Aisyah Farihah bt. Roslan sedang menyampaikan bacaan hafazannya.

Adik Amirah Zahidah bt. Roslan juga sedang menyampaikan bacaan hafazannya.

"Baca betul-betul... Abang tolak markah kalau salah...!" Penuh konsentrasi Ust. Syakir meneliti bacaan para peserta.

Burung kegemaran Ust. Syakir... Inilah gambar pilihan pengadil pertandingan mewarna (Ust. Syakir) yang telah dipertandingkan.

Khusyuk anak-anak kecil ini mewarna.

"Boleh menang ni!" Kelihatan Dr. Harmy (menongkat dagu) sedang menumpukan sepenuh perhatian untuk memulakan permainan Sahiba yang baru pertama kali dilakukannya bersama dari kiri: Dr. Wan Mohd Razin, Dr. Mohd. Najib, Dr. Tuan Mohd. Fairuz (nampak kopiah) dan Dr. Roslan.

Sementara itu, barisan kepimpinan PAPISMA Pusat yang baru mengambil kesempatan untuk mengadakan mesyuarat pra-sesi yang pengerusikan oleh Dr. Awisul Islah.

Selepas solat Asar, para peserta KKP kali ini menjalani aktiviti bebas. Masing-masing mengambil kesempatan melakukan aktiviti kegemaran mereka. Ada yang meninjau-ninjau ke tepi laut, ada yang bersembang tepi kolam renang, ada yang berkenalan dan bertanya khabar dan sebagainya.

Bagi anak-anak, tempat yang paling digemari ialah kolam. Kalau tak ada kolam, nescaya percutian mereka tidak ada serinya. Sebab itulah kebanyakan resort sebegini pasti akan menyediakan kolam renang. Bagi ibubapa yang takutkan anak-anak mereka lemas, mereka akan menjadi penjaga setia sama ada di tepi kolam atau sama-sama masuk ke dalam kolam.

Ibubapa bersembang di tepi kolam, anak-anak main kolam sakan...

"Wooo! Best!"

"Ini wakil Terengganu sedang bersembang. Isu semasa nampaknya tu... siap dengan surat khabar lagi haa..."

"... dengan emak-emaknya sekali"

Pada sebelah malamnya, jamuan barbeque diadakan. Majlis ini akan diserikan oleh kehadiran wakil kerajaan negeri Kedah. Sebelum itu beberapa acara diadakan untuk menghidupkan suasana. Beberapa peserta telah tampil ke hadapan untuk memperlihatkan bakat masing-masing. Seterusnya ucapan dari wakil kerajaan negeri Kedah dan penyampaian cenderahati.

"Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua" Exco negeri Kedah yang mewakili kerajaan negeri sedang menyampaikan ucapan.

"Terimalah ole-ole dari PAPISMA..." Presiden PAPISMA Pusat sedang menyampaikan cenderahati.

Tidak ketinggalan salah seorang penaja mengambil peluang untuk mempromosikan produk-produknya.

Dengan promosi produk kesihatan (Hi Goat) yang berakhir kira-kira pukul 1 pagi itu, maka berakhirlah agenda hari kedua KKP-7 ini. Mereka yang mengikuti program dan pengisian tentunya merasakan masa yang dihabiskan cukup terisi dengan perkara yang bermanfaat. Tidak kira bagaimana pengisian itu, yang penting mereka menikmati setiap detik itu sebagaimana adanya.

6 Jun 2010 - Hari ketiga konvensyen berlangsung. Pagi ini akan berlangsung Mesyuarat Agung Koperasi Amal Medik Malaysia Berhad (KAMMB) kali pertama (AGM1). Suatu koperasi yang telah dibangunkan dengan keringat dan pengorbanan yang cukup banyak oleh jawatankuasa penajanya yang diketuai oleh Dr. Harmy Mohammed Yusof. Koperasi ini merupakan koperasi ekslusif untuk ahli-ahli PAPISMA. Bangunnya adalah untuk ahli-ahli, keuntungannya untuk ahli-ahli dan segala aktivitinya juga adalah untuk sekelian ahlinya. Sebahagian kuntungannya kelak, selain dibahagi-bahagikan untuk para pencarum, ia juga akan digunakan untuk menaja aktiviti ahli seperti KKP ini. Malah tawaran yang ada pada KAMMB melalui Kementerian Koperasi boleh menjadi sumber pendapatan tambahan kepada ahli-ahlinya juga.

"Baru sampai ni.." Dr. Jamsani (kanan) yang baru sampai begitu bersemangat untuk menghadiri mesyuarat KAMMB. Meskipun jauh dari Kota Bharu dan banyak halangan pekerjaan, namun menyempatkan diri juga untuk bersama.

Mesyuarat Agung KAMMB dimulakan dengan Al-Fatihah oleh Pengerusi Majlis, Prof. Madya Dr. Abd. Razak Sulaiman.

Kelihatan VIP jemputan Tn. Hj. Wan Sabri (kiri), Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Caw. Kelantan bersama Dr. Harmy, Pengerusi KAMMB.

Dr. Mohd. Najib, Setiausaha KAMMB sedang membentangkan minit mesyuarat Pra Penubuhan kepada peserta AGM 1 KAMMB.

Prof. Madya Dr. Abd Razak sedang menjawab persoalan peserta. Kelihatan Pengerusi SKM turut bersama-sama jawatankuasa KAMMB bagi melicinkan mesyuarat.

Para peserta KAMMB termasuk Presiden dan Mantan Presiden PAPISMA.

Khusyuk meneliti minit mesyuarat.

Mesyuarat berakhir dengan sedikit sumbangan untuk Pengerusi SKM dari KAMMB yang disampaikan oleh Pengerusinya.

Sebelum KKP-7 berakhir, majlis telah diserikan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan yang diadakan sepanjang hari kedua KKP-7 kelmarin.

Maths Genius dan Catur Kanak-Kanak : Tempat Pertama. Anak Dr. Wan Mohd. Razin. Beliau juga merupakan johan catur sekolah rendah peringkat negeri Terengganu.

Bercerita: Tempat Pertama. Aisyah Farihah bt. Roslan.

Hafazan dan Bercerita: Tempat ke-2. Adik Amirah Zahidah bt. Roslan

Mewarna: Tempat Pertama. Adik Atiqah Maisarah bt. Roslan.

Sahiba: Tempat Pertama. Adik Afham b. Awisul Islah

Wakil anak... menerima hadiah untuk anak mereka kerana anak-anak dah balik kegembiraan bila terima hadiah yang pertama.

Dr. Haslina. Wakil anak - Tempat Pertama Hafazan.

Dr. Narwani. Wakil - anak juga...

Begitulah berakhirnya KKP-7 yang memberi seribu kenangan, seribu peristiwa dan kemanisan bagi mengorak langkah ke alaf baru pasca The Way Forward. Bagi pihak PAPISMA Terengganu, kami mengucapkan tahniah di atas kejayaan KKP-7 ini di bawah kendalian Dr. Ahmad Rostam Mohd. Zain dan isteri Dr. Azniza Mohd. Radzi. Berbagai pelajaran boleh ditimba dan berbagai ilmu boleh digali dari KKP-7 ini. Semoga pertemuan kita yang penuh dengan kemanisan ini akan dapat dikekalkan dan dipertingkatkan untuk menjana semangat perjuangan yang berterusan demi dakwah di bidang perubatan ini.

Kami menjemput kalian semua untuk berkonvensyen pada KKP-8 tahun hadapan di Terengganu pula, InsyaAllah.

Sekian. Wassalam.