Tuesday, May 12, 2009

Tahniah Hakim, Peguam Dan YAB Ir. Nizar!

(Pengerusi Papisma Terengganu)

Saya mengucapkan syukur di atas keputusan Mahkamah Tinggi dan syabas kepada Hakim Abdul Aziz b. Abdul Rahim yang telah membuat keputusan berdasarkan perlembagaan dan undang-undang Malaysia. Dengan keputusan tersebut, keyakinan rakyat Malaysia terhadap institusi kehakiman sedikit sebanyak berjaya ditingkatkan.

Tahniah juga diucapkan kepada para peguam yang berjaya mempertahankan kedaulatan undang-undang dalam kes ini yang diketuai oleh Tuan Haji Sulaiman b. Abdullah. Para peguam ini sesungguhnya telah memberikan jasa yang besar dan kes ini akan dicatat di dalam sejarah dan menjadi rujukan undang-undang pada masa akan datang. Kejayaan mereka dalam memperjuangkan hak ini InsyaAllah mempunyai nilai yang amat besar di sisi Allah SWT.

Papisma Terengganu akan sentiasa berdiri teguh di belakang keadilan walau siapapun yang menegakkannya dan akan berjuang sedaya mungkin bagi menumbangkan kezaliman walau siapapun yang menegakkannya. Sebagai badan NGO Profesional, kami mendapat maklumat yang jelas dari pelbagai sumber dan tidak terikat kepada hanya satu-satu sumber. Setiap sumber itu pula akan kami teliti kesahihannya. Hari ini, rakyat semakin medapat maklumat yang menyeluruh dan pantas. Adalah tidak munasabah rakyat Malaysia yang bermaklumat dapat ditipu dengan mudah oleh sesiapa sahaja.

Oleh itu, Papisma Terengganu menyarankan agar setiap rakyat Malaysia dapat mencari dan mendapatkan sumber maklumat terkini daripada mana-mana media kerana rakyat yang bermaklumat sangat penting sebagai aset bagi sebuah negara yang semakin maju seperti Malaysia.

No comments: