Monday, September 15, 2008

Pertahan Palestin, Kewajipan Kita

(Wartawan Bebas)

Alhamdulillah, setelah lama tidak menjenguk ke laman buletin Papisma Trg lantaran kesibukan, Allah beri juga kekuatan dan kelapangan masa untuk menulis sebarang dua kata-kata untuk sama-sama kita renungi dan hayati. Yang sebenarnya, pada hemat saya, bukanlah kesibukan itu yang menjadi penghalang. Kesibukan itu sebenarnya hanyalah satu alasan. Kelemahan kita sebenarnya adalah kegagalan kita dalam mengurus amanah masa yang telah Allah berikan kepada kita dan juga kesilapan kita dalam meletakkan prioriti aktiviti-aktiviti yang kita lakukan setiap hari. Memang kita akan sentiasa sibuk. Seperti kata Imam Hassan Al-Banna, sesungguhnya tanggungjawab kita melebihi masa yang ada. Jadi kemahiran mengurus masa merupakan salah satu kemahiran penting yang perlu kita kuasai. Insya Allah, pada lain masa, saya akan kongsikan pembacaan saya pada tulisan Dr Yusuf Al Qardhawi di dalam bukunya ' Pengurusan Masa Menurut Islam'.

Berbalik pada topik asal, apa yang ingin saya coretkan hari ini berkisar tentang isu Palestin. Petang semalam saya sempat mendengar temuramah seorang wakil dari Aman Palestin di radio IKIM. Terus ingatan saya terputar kembali pada kuliah mingguan Tuan Guru di Rusila yang saya hadiri beberapa minggu sebelum Ramadhan. Kuliah pada minggu tersebut begitu istimewa. Seorang mujahidin Palestin telah dijemput menyampaikan ucapan sekitar perjuangan mujahidin di Palestin. Ucapannya begitu bersemangat disambut dengan laungan takbir, menaikkan semangat kaum Muslimin untuk terus berjihad selagi Palestin masih dalam cengkaman Zionis.

Sepintas lalu tentang sejarah Al-Quds...

Bumi al Quds Berjaya dibebaskan pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H bersamaan dengan 2 Oktober 1187M oleh tentera Islam di bawah pimpinan Salahuddin Al Ayyubi selepas 88 tahun di bawah jajahan tentera Salib.

Pembebasan Al Quds ini dapat dicapai setelah tentera Islam dapat mengalahkan tentera Salib Kristian dalam peperangan Hittin yang berlaku di kaki Bukit Hittin, Kampung Hittin. Jumlah tentera Islam dalam peperangan tersebut ialah 12000 manakala tentera Salib 50000 orang yang dipimpin oleh Guy of Lusignan Raymond Ill Of Tripoli.

Palestin tempat yang disucikan, tempat Rasulullah mengimamkan solat bersama para anbiya', tempat yang penuh dengan kesan-kesan sejarah suci umat Islam dan pernah menjadi kiblat pertama kaum Muslimin seluruh dunia. Kini, bumi Palestin menjadi medan pertempuran yang menyaksikan ribuan nyawa terkorban demi menegakkan syiar Islam.

Mujahidin Palestin yang disebutkan ialah Dr Abu Soleh dari Harakat Jihadfil Islami. Sebelum Dr Abu Soleh menyampaikan ucapannya, Tuan Guru telah memberikan ucapan pendahuluannya. Di dalam ucapan beliau, Tuan Guru memetik sepotong hadith Rasulullah yang bermaksud ' Akan ada satu umatku yang tidak akan kalah walaupun dibunuh, akan terus hidup memperjuangkan Islam. Mereka ialah penduduk Baitulmaqdis dan mereka yang mengelilingi Baitulmaqdis..' (Riwayat Imam Ahmad)

Kemunculan Dr Abu Soleh disambut dengan takbir berulang-ulang kali dari segenap ruang masjid. ALLAHUAKBAR!! Di sebalik wajah yang bersih dan tenang itu, terbit sinar juang yang tinggi dan semangat yang kental untuk menegakkan kembali syiar Islam di bumi Palestin. ALLAHUAKBAR!!

Berikut adalah intipati ucapan Dr Abu Soleh:

Isu Palestin bertitik tolak dari satu kisah sejarah yang panjang. Bumi Palestin telah ditakluk oleh Yahudi dalam peristiwa Naqbah sekitar 60 tahun yang lampau. Pada tahun ini genaplah 41 tahun kaum Yahudi merampas Masjidilaqsa dan tahun ke-40 Masjidilaqsa dibakar oleh puak Yahudi yang dilaknat.

Masjidilaqsa merupakan qiblat pertama umat Islam. Dalam ucapannya, Dr Abu Soleh menyeru agar umat Islam bersatu membebaskan Masjidilaqsa dan Baitulmaqdis agar umat Islam dapat sama-sama bersembahyang di sana. Masjidilaqsa adalah sebuah masjid yang mana, Rasulullah SAW menyuruh kita bersusah-payah untuk bersembahyang di dalamnya.

Secara ringkas sejarah kebangkitan mujahidin bermula dengan terasasnya Harakat Jihadifil Islami untuk membebaskan Palestin dan menghalau Yahudi dari bumi Palestin sekitar tahun 80-an.

Pada peringkat awal penubuhannya, mujahidin berjuang dengan bersenjatakan pisau sahaja. Pernah suatu ketika seorang pemuda berjaga di dalam Masjidilaqsa dan berjaya membunuh 3 orang tentera Yahudi dan mencederakan sebahagian yang lain ketika puak-puak Yahudi tersebut cuba menceroboh Masjidilaqsa. Tentera Israel kini semakin hari semakin lemah.

Semangat para mujahidin semakin berkobar dan keyakinan terhadap pertolongan Allah semakin bertambah dengan kejayaan Lubnan mengusir Amerika pada tahun 2005. Kerajaan Israel kini terpaksa membina benteng bagi menyekat kemaraan Palestin.

Di antara kisah perjuangan mujahidin yang diceritakan termasuklah kisah wanita-wanita Palestin yang menyambut jenazah saudara yang syahid tanpa rasa sedih malah mereka bersyukur dan bangga apabila saudara-saudara mereka syahid. Mereka yakin dengan ganjaran pahala yang dijanjikan Allah.

Dalam satu peristiwa lain, sekumpulan wanita Palestin membuat operasi membunuh tentera Palestin sehingga menyebabkan salah seorang panglima tentera Yahudi turut terbunuh. Tentera Yahudi kini dalam ketakutan. Allah telah melemparkan dalam hati-hati mereka perasaan takut. Rakyat Palestin ialah rakyat yang berjihad di tangan kotor orang Yahudi.

Terdapat satu kisah di mana seorang wanita yang empat orang anaknya gugur syahid. Apabila ditanya mengenai hal itu kepada wanita tersebut, dia menjawab, " Alhamdulillah..sesungguhnya aku telah berdoa tiga orang anakku syahid, tetapi Allah telah memberikan empat".

Seoarang ibu mujahidin yang syahid berkata, " Sekiranya aku mati, maka kuburilah aku bersebelahan dengan anakku". Setelah empat puluh hari, si ibu meninggal dunia. Apabila kubur anaknya digali untuk menyemadikan jenazah ibunya, jenazah anaknya itu masih dalam keadaan sempurna.

Satu perempat daripada tahanan di penjara Israel adalah dari Harakah Islam. Pengorbanan yang dilakukan untuk Palestin adalah pengorbanan untuk memastikan syariat Allah tertegak di muka bumi. Perjuangan ini memerlukan sokongan seluruh umat Islam. Apabila umat Islam bersatu, Palestin akan dikurniakan kemenangan dan Israel akan dihancurkan. Selagi mana Israel masih di bumi Palestin, maka FARDHU AIN bagi umat Islam untuk terus berjihad. Jika tidak mampu berjihad dengan nyawa, wajib berjihad dengan jiwa dan harta. Kalau tidak banyak, sedikit sudah memadai. Pintu jihad untuk membebaskan bumi Palestin sentiasa terbuka. Sesungguhnya amal kerana Allah adalah amalan yang berkekalan.

Semoga Allah membebaskan umat Islam Palestin dari cengkaman Zionis. Sama-sama kita berdoa memohon supaya Allah berikan kemenangan supaya panji Islam berjaya dipacak di Masjidilaqsa, kota Baitulmaqdis berjaya dibebaskan dan akhirnya kita akan dapat bersembahyang di dalamnya..TAKBIR..ALLAHUAKBAR!!

p/s : Ucapan yang begitu terkesan di hati. Semoga Palestin akan terus segar dalam hati-hati kita. Isu Palestin adalah isu umat Islam sejagat. Palestin adalah tanggungjawab kita bersama. Teruskan berjihad!!

Sumber : Ucapan Dr Abu Soleh @ Masjid Rusila, www.amanpalestin.org

No comments: