.

PAPAN KENYATAAN



  • PROGRAM-PROGRAM PAPISMA TERENGGANU AKAN DIMAKLUMKAN TAK LAMA LAGI




    Daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah S.A.W. bersabda;
    “Barangsiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah Taala, maka terdengarlah suara yang memanggil dan mengatakan bagus dan bagus langkah mu dan ambillah tempat tinggalmu di dalam syurga.” (HR At-Tirmizi)

    Dari Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda :
    " Barangsiapa yang melapangkan seorang mukmin, suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskan dirinya suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan di hari kiamat."(HR Muslim)

  • JUALAN BUKU


    Hubungi
    Dr. Zaihan Salleh (012-9850123)


  • Hubungi
    Dr. Khatijah Musa (019-9222057)

Saturday, April 24, 2010

Lunaskan Amanah Di Bumi Kedah

(Biro IT)

Aku masih teringat akan pesanan seorang ulama muda yang memberikan pengisian pada satu tamrin yang aku sertai tahun lepas. Katanya, "Pemimpin dan pengikut memikul beban amanah." Ertinya dalam sesuatu organisasi, bukan pemimpin sahaja yang memikul beban amanah, malah pengikut juga memikulnya sama. Pemimpin merancang untuk melaksanakan misi dan visi, pengikut mentaati pemimpin dengan menjayakan perancangan tersebut. Dalam satu ayat yang selalu diulang-ulang oleh imam dalam solat bermaksud:
“Sesungguhnya Kami menawarkan AMANAH (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), tetapi mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya, lalu manusia sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan jahil." (Al-Ahzab:72)

Ertinya manusia yang tidak menyempurnakan amanah itu sangat zalim dan jahil. Kedua-dua golongan ini tempatnya adalah neraka. Wana'uzubillah... Ampunilah kami ya Allah...

Apa amanah yang aku kena pikul dalam Konvensyen Kebangsaan Papisma 2010 (KKP-7) nanti? Pemimpin telah melaksanakan amanahnya dengan bersusah payah menganjurkannya... aku? Ya, aku perlu menghadirkan diri bagi menjayakan perhimpunan yang akan mengeratkan silaturrahim, aku perlu menghadiri mesyuarat agung dan aku perlu membuat pemilihan kepimpinan pada tahun ini. Wajibkah? Ya, sebab aku telah mendaftar diri menjadi ahli Papisma, bermakna aku bersetuju untuk menjayakan visi dan misi Papisma...

Macamana ni? Aku banyak kerja, habislah rugi perniagaanku kalau aku tinggalkan selama 3-4 hari. Kalau sehari RM1000, 4 hari dah RM4000. Pada tarikh yang sama anak saudaraku 2 orang akan melangsungkan pernikahannya jauh nun di Kota Tinggi, Johor. Mana satu aku nak pilih ni?

Lantas aku mencongak-congak... rugi RM4000.. siapa yang beri aku RM4000? Kalau Allah tak beri, aku tak akan dapat RM4000. Satu senpun tak dapat. Sedangkan pemergianku ke KKP-7 adalah amanah Allah yang perlu aku lunaskan. Anak saudaraku kahwin... kalau aku tak pergi, apakah majlis itu terbatal? Tapi ia penting juga... jemputan yang wajib aku penuhi. Anak saudara lagi tu... Tapi aku boleh adjust masa... aku boleh kirim hadiah... aku boleh telefon dan maklumkan akan musyaqah yang aku hadapi. Kakakku faham, anak saudaraku faham... Alhamdulillah, aku tiada halangan lagi untuk pergi ke KKP-7. Noktah!

Dilema bukan? Inilah ujian Allah untuk kita semua. Inilah ujian kefahaman untuk kita semua. Apakah selama ini kita faham akan erti amanah? Selama ini fahamkah kita akan amanah dalam satu organisasi Islam seperti Papisma? Apakah kita faham bahawa kita sedang diuji dalam melaksanakan amanah dalam sunah berjemaah? Tepuklah dada, tanyalah iman. Allah tidak tanya bagaimanakah hasil kerja-kerja kita... tetapi Allah akan tanya apakah kita sudah melaksanakan kerja kita... dan amanah kita. Noktah.

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada rakan di CorrectPlace.Com yang membekalkan gambar-gambar ini untuk disajikan kepada ahli-ahli Papisma yang akan berkunjung, belum tentu berkunjung dan tidak mahu berkunjung ke Sg. Petani Kedah, sebuah negeri yang mirip Kelantan dari segi suasana dan budayanya, dalam Konvensyen Kebangsaan Papisma 2010 (KKP-7) nanti. Berikut adalah sebahagian gambar-gambar yang saya perolehi untuk dikongsi bersama.

Sampai saja di lokasi perhimpunan, anda akan diraikan oleh pintu gerbang ini..."Selamat Datang Ke Pantai Merdeka"

Ni pagar depan... Wah... nampak elit jugak yer. Jom kita masuk...

Ni gate sebelah depan dekat pintu masuk.

Ni bilik yang akan disewa oleh para pengunjung KKP-7 yang lengkap ber'aircond'. Seaview tu beb... hehe... cukup menenangkan fikiran dan menghilangkan tension. Bagi yang minat mengarang puisi, inilah masanya kalian bermadah.


Ni kafe Bayu Beach. Mungkin Ahmad Rostam plan untuk kita semua makan kat sini kot... hah... itu rahsia yer...Tunggu nanti!


Taman permainan kanak-kanak pun disediakan untuk memberi ruang kepada kanak-kanak bermain. Bawah 10 tahunlah biasanya... Tapi masa ni Papisma sewa semua. Mungkin Kanak-kanak atas 25 tahun pun boleh tumpang sekaki... wakaka...

Sekitar kawasan chalet yang menempatkan para pengunjung KKP-7. Kalau penat-penat bolehlah lepak-lepak kat luar ni. Dr. Suhazeli memang cukup suka bawak khemah untuk anak-anaknya. Bolehlah melepak kat luar ni ya... hehehe... Jangan mare Presiden...

Hah... ini food court. Khususnya bagi mereka yang perutnya ada lebih 3 bahagian... Lepas menyantap makanan yang disediakan resort, kalau nak tambah lagi, marilah sini yer... Mohd. Hadhrami memang suka tempat macam ni... wakaka...

Bagi anak-anak yang suka merengek-rengek... ibu bapa digalakkan membawa mereka meronda-ronda kawasan ni. Jangan ronda saja... tak nak diam anak tu karang. Belilah apa yang patut...

Canoe (kenu) pun disediakan. Ambik jer lah mana-mana yang berkenan.. Berkenulah sepuas hati. Tapi bayarlah sendiri ye...

Tempat ni memang digemari oleh anak-anak kan, kan... Termasuklah emak bapaknya sekali... Nak berendam lama, haah... jangan tidur lepas solat subuh. Terjunlah kat sini.

Kalau takut kena larikan ombak, ni dia berpuluh tube ada disediakan... Tapi manalah ada ombak kan? Bapak-bapak tu jangan segan-segan ye. Kalau tak tahu berenang ngaku jelah... nanti anak tak lemas, bapak pulak lemas... hehehe...

Tempat ni Wan Zulkhalid (Kemaman) tentu suka 'giler' ni. Orang yang sama hobi dengan dia si isteri dia kena tengok-tengok ya. Kalau dah pukul 12 malam tak balik-balik tu... tok sah cari kat lain lah... Pasti diorang ada kat sini...

Kalau tak dapat ikan ngail kat bawah, haah kat atas tiang tupun ada ikan. Ambik je lah mana yang kalian suka... wakaka... Tapi sekejap lagi Pak Guard mari hang jawablah...

Begitulah serba sedikit apa yang saya dapat kongsikan. Indahnya berjemaah dalam Islam. Kalau tak kerana KKP, entah bilalah saya akan sampai di bumi Allah yang indah ini. Datang bukan saja dapat bersukaria, malah dapat pahala. Malah Allah ada berjanji melalui Rasululullah SAW, sebagaimana yang di riwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Tujuh golongan manusia yang dilindungi Allah di bawah bayangan-Nya (di akhirat nanti), pada hari tidak ada sebarang teduhan selain bayangan arasy-Nya. Mereka itu ialah (1) pemimpin yang adil; (2) pemuda yang terdidik (dibesarkan) dalam ibadat kebaktian kepada Allah; (3) Orang yang hatinya sentiasa berpaut rapat dengan masjid; (4) dua orang yang berkasih sayang kerana (agama) Allah, bertemu dan berpisah untuk keredaan-Nya; (5) lelaki yang dipujuk wanita cantik lagi hartawan (bagi memenuhi nafsunya) tetapi dia menolak dan berkata aku takutkan Allah; (6) orang yang berderma secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak sedar apa yang didermakan oleh tangan kanannya; (7) dan mereka yang sentiasa menyebut (mengingati) Allah dimasa keseorangan (kesunyian), maka berlinanganlah air matanya." (HR Bukhari Muslim)


Thursday, April 22, 2010

Riadah Menjana Ukhuwah

(Biro IT)

Setelah berehat sekian lama, akhirnya Papisma Terengganu kembali cergas dengan pelbagai aktiviti yang telah dirancang. Setelah pemilihan jawatan sesi 2010/2012 selesai pada 26/2/2010 yang lalu, Kepimpinan Papisma telah mengadakan beberapa siri mesyuarat dan brainstorming untuk menghasilkan dan memilih beberapa program terbaik bagi dilaksanakan untuk ahli dan masyarakat pada tahun ini, maka tanpa membuang masa aktiviti ukhuwah melalui riadah dimulakan.

Malam tadi merupakan kali ke-3 aktiviti riadah dilakukan. Kami memilih badminton kerana ianya mudah dan santai untuk dilakukan dengan masa pilihan ahli sendiri. Kehadiran seramai 8 orang ahli sekurang-kurangnya dapat memberikan ruang berinteraksi dan beramah mesra terutamanya antara ahli-ahli muda (adik-adik) dengan abang-abang senior.

Biro IT difahamkan terdapat ahli masyarakat yang ingin menjemput team Papisma Terengganu untuk mengadakan perlawanan persahabatan. Ini merupakan satu perkembangan yang baik memandangkan kita sekarang sedang berusaha menrapatkan jurang antara Papisma dan masyarakat. InsyaAllah perbincangan seterusnya akan dilakukan agar perlawanan persahabatan ini dapat direalisasikan.

Bagi pihak pimpinan Papisma Terengganu, Biro IT ingin menjemput lebih ramai ahli-ahli agar datang memeriahkan aktiviti kita. Kami faham akan kesibukan dan sesetengahnya tidak pandai bermain badminton, namun selagi kesibukan dilayan, kita tidak akan ada masa untuk melakukan kerja-kerja untuk beraktiviti. Kesibukan tidak akan habis, ia perlu diurus. Kalian merupakan golongan profesional yang pandai mengurus. Nah uruslah masa kalian agar kita dapat menjana ukhuwah melalui riadah. Riadah hanyalah alat untuk kita bertemu. Namun dengan cara begini, pertemuan kita menjadi lebih bermakna kerana kita dapat bertemu sambil beriadah dalam suasana santai dan boleh bergelak ketawa.


Saturday, April 10, 2010

Teguhkan Tekad Memacu PAPISMA

(Pengerusi Papisma Terengganu 10/12 - Dr. Md. Arif Ibrahim)

Assalamualaikum... buat sahabat-sahabat ahli PAPISMA Terengganu yang dihormati sekalian. Segala puji bagi bagi Allah, Penguasa alam ini, Selawat dan salam atas Junjungan Rasul SAW, ahli keluarganya yang disucikan, para sahabat RA, seterusnya kepada penerus perjuangan ini hingga akhir zaman...

Alhamdulillah, segala syukur dan puji itu bagi Allah, dengan izinNya kita telah dapat merancang beberapa aktiviti melalui mesyuarat lujnah masing-masing, diikuti dengan mesyuarat bagi mendengar pembentangan aktiviti setiap lujnah serta menyusunnya untuk dilaksanakan pada tahun 2010. Syabas dan terima kasih kepada sahabat-sahabat sekalian.

Sebelum daripada itu, saya telah menggariskan beberapa cabaran yang perlu kita tempuhi bersama bagi meletakkan PAPISMA Terengganu sesuai di atas sifatnya sebagai sebuah NGO yang berdaftar, yang dianggotai oleh para profesional muslim.

Cabaran-cabaran itu adalah seperti berikut:

I. Cabaran berkaitan dengan keahlian: ia meliputi cabaran untuk mengemaskini senarai terkini ahli, menjaga ukhuwah dan iltizam ahli yang sudah ada serta berusaha untuk memikat dan menarik ahli-ahli baru, dari kalangan doktor, dentist, nutrionist, pharmacist, pembantu perubatan dan jururawat.

II. Cabaran berkaitan ekonomi dan kebajikan: Sumber kewangan yang terhad menyukarkan perlaksanaan aktiviti yang telah dirancang.

III. Cabaran berkaitan aktiviti: saya menegaskan betapa perlunya kita merancang dan bergerak sendiri atas kapasiti sebagai sebuah NGO yang bebas, yang sepatutnya tidak terikat dengan sesiapa.

Hasil dari itu, kita telah memutuskan untuk memperkasakan 3 lujnah untuk mendepani cabaran-cabaran di atas, iatu:

1. Lujnah berkaitan keahlian, termasuk di dalamnya mengemaskinikan keahlian, dakwah dan tarbiyah, ukhuwah dan rekreasi.

2. Lujnah ekonomi dan kebajikan yang bertanggungjawab untuk merancang projek untuk meningkatkan ekonomi dan menjaga kebajikan ahli, seperti cenderahati sempena perkahwinan dan kelahiran anak, sumbangan kepada ahli yang ditimpa musibah dan sebagainya.

3. Lujnah berkaitan aktiviti, termasuk didalamnya perhubungan (sekarang dikenali sebagai SMART PAPISMA -Skuad Medik Amal Rakyat Terengganu PAPISMA). Lujnah ini bertanggungjawab untuk merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti luaran seperti program ceramah kesihatan, saringan kesihatan, rawatan kesihatan, kursus dan yang berkaitan dengannya.

Alhamdulillah, semua lujnah selesai bermusyawarah dan telahpun membentangkankan agenda dan aktiviti-aktiviti masing-masing. Saya akan mengingatkan kembali sahabat-sahabat semua apa yang telahpun kita rancangkan, InsyaAllah

1. Lujnah berkaitan keahlian: Diantara perancangannya ialah mengemaskini ahli terkini, meneruskan aktiviti-aktiviti untuk merapatkan ukhuwah dikalangan ahli seperti aktiviti riadhah mingguan, liqa’ bulanan bersama Al Fadhil Ustaz Ismail, Hari Keluarga PAPISMA Terengganu, Jamuan Hari Raya dan lain-lain. Alhamdulillah, liqa’ bulanan berjalan lancar dan aktiviti riadhah mingguan juga telah dijalankan bermula hari Rabu yang lepas.

Saya difahamkan usaha dan promosi untuk mendapatkan keahlian baru sedang giat dijalankan oleh sahabat-sahabat semua.Tahniah saya ucapkan.

2. Lujnah ekonomi dan kebajikan: beberapa program telah dirancang seperti projek penjualan susu kambing HR, mendapat komisen hasil dari hasil jualan buku dan CD agama dan subscription/langganan dari portal tertentu dari internet.

3. SMART PAPISMA: Mengadakan khidmat saringan kesihatan mingguan melalui format yang tersendiri, bersikap proaktif dengan menganjurkan kursus CPR kepada jabatan kerajaan dan swasta, menawarkan khidmat profesional kepada jabatan-jabatan tertentu dan lain-lain program kebajikan.

Apa yang dapat saya ringkaskan, jadual aktiviti-aktiviti yang telah dirancang adalah seperti berikut :

1. Aktiviti mingguan: Riadhah dan khidmat kesihatan
2. Aktiviti bulanan:

Bulan

Program

Catatan

April

Kempen Kesedaran Dan Pemeriksaan Kesihatan

Anjuran bersama dengan salah sebuah syarikat perubatan

Mei

Kempen Kesedaran Dan Pemeriksaan Kesihatan

Anjuran bersama dengan salah sebuah syarikat perubatan

Jun (4,5 dan 6 hb.)

Konvensyen PAPISMA Pusat

Pantai Merdeka Resort, Kedah

Julai

Hari Keluarga PAPISMA Terengganu

(Cadangan)


Ogos

Program Kebajikan Bulan Ramadhan(lawatan ke rumah jagaan anak yatim/orang tua, bantuan kepada fakir miskin)

Jumaat, sebelah pagi

September

Majlis Sambutan Aidil Fitri


Oktober



November

Majis Qurban PAPISMA Bersama Masyarakat

Tempat belum ditetapkan

Disember

Majlis Makan Malam, meraikan ahli-ahli PAPISMA (cadangan)



p/s: - program bulan April akan diadakan pada 30 hb, Jumaat pagi di Flat Sri Kolam. Perbincangan berkaitan tempat sedang dilakukan oleh Dr Ahmad Faizal.

- Saya perbetulkan cadangan saya, mencadangkan hari keluarga diadakan pada bulan Julai.

- Aktiviti untuk bulan Oktober bolehlah difikirkan bersama.

- Saya juga mencadangkan supaya diterbitkan majalah tahunan yang mengandungi aktiviti-aktiviti untuk tatapan semua ahli.

- Saya juga menerima tawaran dari sahabat saya, `orang besar’ di Kemamam untuk PAPISMA Terengganu mengadakan kempen kesedaran kesihatan besar-besaran di sana. Kemudahan dewan dan lain-lain akan diberi secara percuma. Program ini akan dibuka kepada masyarakat umum. Saya ingin juga meminta pandangan dari sahabat-sahabat semua, kerana ia akan melibatkan seramai mungkin ahli PAPISMA.

3. Aktiviti sepanjang tahun: liqa’ bulanan, berkhatan, cenderamata dan sumbangan. Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada dua sahabat kita yang baru mendirikan rumahtangga, iaitu Dr. Shafinaz dan Dr Siti Sarah, juga kepada dua sahabat kita yang dikurniakan putera masing-masing iaitu Dr. Hazizul dan Dr. Termizi. Tahniah sekali lagi. (Dr. Siti Sarah baru ditukarkan ke Kuantan, mengikut suami tercinta).

Saya juga ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Dr. Wan Razin sekeluarga kerana sudi menjadikan rumahnya sebagai tempat kebanyakan aktiviti bulanan.Hanya Allahlah yang akan membalasnya...

Nah... semuanya sudah tersusun, tinggal lagi, bagaimanakah komitmen kita untuk melaksanakannya saja. Adakah ianya boleh dilaksanakan?, mungkin itulah persoalannya... perlaksanaan tersebut sebenarnya tidak mustahil, maknanya memang boleh dilaksanakan.

Memang tidak dapat dinafikan kesibukan masing-masing termasuklah diri sendiri, maka mungkin kita merasakan untuk melakukannya secara `part time’... gerak kerja memanglah mengikut kemampuan kita, tetapi kita mestilah mempunyai mentaliti `full time’ PAPISMA.

Saya sendiri telah menampal jadual program bulanan tersebut di satu sudut dalam bilik saya di klinik. Setiap hari bila berada di bilik ini, saya akan lihat catatan tersebut, sebagai peringatan untuk diri dan berdoa mudah-mudahan dikurniakan kelapangan oleh Allah dalam setiap urusan, amin...

Sebenarnya, saya menerima amanah ini dengan berat hati kerana menyedari banyak kelemahan diri, mudah-mudahan kelemahan ini dapat ditampung oleh sahabat-sahabat semua...PAPISMA Terengganu bukanlah sebuah organisasi yang besar, tetapi amanah tetap amanah!.

Baru-baru ini, saya bermimpi terjun dan berenang ditengah-tengah lautan yang luas, yang tidak bertepi, tetapi mimpi itu tiada penghujungnya, tiada akhirnya. Apakah memegang amanah itu seumpama berenang dalam lautan yang luas juga?... bagaimanakah kesudahannya agaknya...apakah langkah-langkah yang boleh menyelamatkan diri?

Akhirnya marilah kita berkali-kali berdoa mudah-mudahan Allah memudahkan setiap urusan kita dan memberkati setiap gerak kerja kita ..Amin Ya Allah...