Tuesday, October 28, 2008

Hari-Hari Di Wad Ortopedik

(Sahabat Papisma)

Jika belajar bidang perubatan lebih dari sekadar payah.

Menjadi pengamal perubatan yang ikhlas dan dan sabar perlu dibayar dengan harga sebuah mujahadah.

Terakhir Di Ortopedik

Bulan ini merupakan bulan terakhir saya di Jabatan Ortopedik. Bila di kenang-kenangkan, pengalaman selama 4 bulan berhadapan dengan pelumba haram tidak bertauliah (baca:mat rempit) hinggalah merawat seorang kanak-kanak yang hancur beberapa puntung jarinya beberapa hari sebelum hari raya Aidilfitri baru-baru ini, merupakan satu pengalaman yang sukar untuk di lupakan. Benar, tanpa kesabaran (atau memaksa diri untuk sabar sebagaimana yang selalu saya amalkan), posting ini seumpama satu tempoh membuang masa sia-sia, merawat orang yang tidak pernah reti menilai nikmat anggota tubuh badan yang dikurniakan Tuhan kepada mereka. Bak kata kawan-kawan saya:

“Kita yang lebih sayang mereka lebih dari diri mereka sendiri”,

Sehingga seakan sudah menjadi rutin dikalangan kami untuk berceramah dan berleter kepada mat-mat rempit sebelum memberi rawatan kepada mereka.

Nilai Manusia

Itu dari satu sudut. Di Jabatan Ortopedik ini jugalah saya belajar untuk menerima dan merawat pesakit walau bagaimana sekalipun latar belakang mereka. Ya, mereka golongan yang tidak tahu erti nilai suatu nyawa. Mereka juga mungkin seorang yang ingin berseronok tanpa memikirkan kesan tindakan mereka kepada diri dan keluarga. Tetapi mereka tetap satu amanah yang di hantar oleh Allah. Ini satu tanggungjawab. Bukan beban apatah lagi merasakan mereka tiada harga untuk di berikan rawatan sebagaimana pesakit yang lain.

Pesanan Syeikh Yusuf Al Hasani

Semuanya mengingatkan saya akan pesan Syeikh Yusuf ketika mengadakan pertemuan bersama kami; Pelajar perubatan di Mesir suatu masa dahulu. Katanya:

Sebagaimana seorang Ulama’ itu menunjukkan jalan untuk beribadah kepada Allah melalui curahan ilmunya,begitulah kemuliaan tugas seorang pengamal perubatan,yang juga menunjukkan jalan kepada ubudiah dengan merawat seorang pesakit sehingga mampu kembali beribadah. Masing-masing punya peranan menyebarkan rahmat Allah kepada sekalian hambaNya mengikut kemampuan dan kebolehan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka.

Allah berfirman dalam surah Isra‘:

“Katakanlah, setiap mereka beramallah mengikut kemampuan yang ada, maka Tuhanmu lah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk”.

Jika ianya benar-benar dapat di fahami oleh pengamal perubatan, nescaya pekerjaan mereka akan di nilai sebagai ibadah, berbanding dengan seorang yang hanya memberi rawatan untuk mendapat keuntungan di atas musibah yang menimpa seorang hamba Allah.

Ruang Mujahadah

Yang pasti, praktiknya tidak semudah teorinya. Meminjam kata-kata Ustaz Hasrizal, ramai yang TAHU, tetapi sedikit yang MAHU apatah lagi MAMPU untuk mengamalkan. Di sinilah ruang mujahadah. Tanpa mujahadah dan kesungguhan, pasti kita akan memilih untuk meminggirkan dan memandang hina kepada mereka, tanpa memberi ruang kepada mereka untuk berubah,sedangkan kitalah wasilah perantara kasih sayang Allah Taala kepada hambanya.

Jadilah seperti Rasulullah seperti yang digambarkan Allah Taala sebagai “‘Azizun ‘alihi ma ‘anidtum”, seorang yang turut merasakan kepahitan umatnya yang di timpa kesusahan dan “Rahmatan lil ‘alamin”, pengutusan Baginda s.a.w menjadi rahmat kepada sekalian alam.

Mujahadahlah wahai diri!


No comments: