Wednesday, October 29, 2008

Mengenali Blogger Lebih Dekat

(Biro IT)

Dua hari lepas saya isteri dan anak-anak sempat mengunjungi seorang blogger terkenal negeri Terengganu iaitu Amdang81 atas jemputan untuk rumah terbuka Aidilfitri. Kami dijemput melalui perkenalan maya antara blogger melalui blog isteri saya yang dah semakin famous sekarang. (ehm...ehm...)

Apa yang menariknya mereka yang berblog ini ialah mereka manusia biasa yang berjiwa 'luar biasa'. Tidak ada kepentingan yang dicari dalam menyampaikan berita benar, pendapat dari hati kecil seorang rakyat merdeka, komen membina, perkongsian ilmu yang bermanfaat dan lain-lain selain dari inginkan kebenaran dan keadilan ditegakkan. Itulah kepuasan seorang blogger. Sebab itu mereka selalu berada di balik 'tabir' blog sendiri. Mereka tidak mahu dikenali. Bukan takut... sekadar tidak mahu dikenali.

Amdang81 seorang manusia yang sangat biasa. Seorang pemuda yang baru berkahwin dan menimang cahaya mata belum sampai 6 bulan. Rumahnya pun kecil di celah-celah rumah orang lain. Nak masuk ke rumahnya kena lalu celah-celah rumah jiran yang muat satu kereta bersaiz kecil. Kalau celah rumah tu diletakkan pasu bunga pun, motorsikal susah nak lalu, apatah lagi kereta. Namun, jiwanya merdeka dan mampu memerdekakan jiwa orang lain juga. Suara hatinya didengar melalui tulisannya ke seluruh dunia. 'Suratkhabar'nya dibaca sehingga ke pesuruhjaya Polis Bukit Aman. Ertinya, manusia sekerdil Amdang81 ini sebenarnya mempunyai pengaruh yang besar sehingga kata hatinya didengari pemimpin tertinggi negara. Biarlah rumah kecil asalkan berjiwa besar. Rumah hanyalah tempat tidur dan berehat yang sebentar sebelum kembali meneruskan perjuangan. Benarlah moto dalam blognya "Tiada Rehat Dalam Perjuangan".

Kalau saya tidak mengetahui yang beliau mempunyai blog yang hebat, secara fizikalnya saya hanya melihat sesusuk tubuh yang biasa, pemuda yang agak pemalu, mudah tersenyum, lemah lembut yang sama saja seperti orang lain. Memang benarlah kata-kata seni yang menyatakan bahawa "pandangan mata itu keliru"... Itulah kelebihan seorang blogger seperti Amdang81. Sungguh bertuah dapat berkenalan dengan seorang pejuang yang ikhlas. Berani membongkar kemungkaran, sanggup menghadapi badai cabaran dan duri kesusahan tanpa mengharapkan walau satu sen habuan wang ringgit dan kekayaan. Sebagai pejuang Islam, perjuangannya tidak akan sia-sia kerana ganjaran yang amat besar sedang menanti di negeri yang kekal abadi iaitu Akhirat...

No comments: