Monday, August 25, 2014

Sambutan Eidulfitri 1435H Meriah

Biro IT
 
Dr. Wan Razin sedang mempengerusikan majlis dan
menyampaikan alu-aluan.
Alhamdulillah, segala pujian dipanjatkan ke hadhrat Allah SWT yang telah mengizinkan Sambutan Aidilfitri PAPISMA Terengganu pada 21 Ogos 2014 / 1435H lalu itu berjalan dengan santai dan meriah.
Sambutan itu telah diadakan di Dewan Walit, Kg. Durian Mas Manir yang dihadiri kira-kira 100 orang ahli termasuk anak-anak. Ia bermula dengan solat Maghrib berjamaah yang diimami oleh Al-Fadhil Ust. Shauqi Abd Rahman, bekas imam Majlis Agama Islam Terengganu yang juga merupakan suami kepada ahli PAPISMA Terengganu sendiri.

Ust, Shauqi sedang menyampaikan tazkira..
Majlis kemudiannya diisi dengan tazkirah ringkas oleh Ust. Shauqi sebelum pengisian oleh ikon akademik dan kepimpinan iaitu Profesor Dr. Harmy Mohammed Yusof, pensyarah Perubatan UNISZA. Beliau telah menyampaikan tazkirah yang padat dengan tajuk Ke Arah Melahirkan Muslim Haraki dalam masyarakat.

Khusyuk... masing-masing  mendengar dengan penuh
teliti apa yang sedang disampaikan.
Antara isi-isi penting tazkirahnya ialah beliau menyeru agar kita menjadi role model kepada masyarakat di luar sana kerana kita adalah harapan mereka. Penuhilah harapan mereka demi memenuhi amanah yang diberikan oleh Allah SWT. Jadilah seorang yang terbaik dalam bidang masing-masing. Jika menjadi doktor, jadilah doktor yang terbaik dalam perkhidmatan. Jika seorang GP jadilah GP yang terbaik dan sentiasalah menambahkan ilmu pengetahuan.

 
"Kita perlu menjadi role model..." Prof Dr. Harmy sedang
memberikan amanat dan nasihat.
Kita selalu mendengar istilah muslim haraki. Jadi tidak pelik di sana juga adanya munafik haraki. Meskipun kita tidak melabel sesiapa tetapi ianya wujud dan menjadi panduan untuk kita agar tidak terjerumus ke dalamnya. Menjadi muslim haraki adalah penting kerana ia akan menyumbang kepada perkembangan sihat di dalam membina masyarakat yang berjaya dan negara yag berjaya. Jadi, Prof Harmy telah mengupas beberapa syarat untuk menjadi muslim haraki antaranya:

1. Bercakap benar. Kita dituntut untuk bercakap yang benar sahaja walau dalam apa keadaan sekalipun meskipun itu bagi kita akan menjejaskan pandangan orang lain terhadap kita. Tetap pandangan Allah tidak begitu. Sekali kita bercakap bohong, kita akan lebih mudah untuk berbohong apatah lagi bila kita menjadi ketua dan memikul tanggungjawab yang lebih besar. Bohong adalah ciri-ciri seorang munafik.






2. Buang hasad dengki. Hasad dengki bermula apabila kita tidak boleh menerima pendapat orang lain atau tidak boleh menerima kelebihan orang lain. Kita menganggap diri kita lebih baik dan sempurna. Akhirnya wujudlah perasaan hasad dengki sehingga kadangkala kita tidak menghormati ketua dalam jabatan, pemimpin dalam organisasi dan sebagainya.
 
Dr. Mujahid sedang menyampaikan beberapa pengumuman.
3. Jadilah penasihat dalam masyarakat. Agama itu adalah nasihat. Sentiasalah kita memberikan nasihat bagi menambahbaik keadaan dan membetulkan kesilapan. Dalam hidup kita ini sentiasa berhadapan dengan mad'u. Apatah lagi seorang ketua, lebih ramai mad'unya. Seorang doktor setiap orang bawahannya itu adalah mad'unya. Kepada pemimpin dan ketua mereka juga perlukan nasihat bagi membetulkan kesilapan. Maka kita sentiasalah memberikan pandangan yang positif. Bukan pandangan-pandangan yang menambahkan kerosakan kepada organisasi atau masyarakat.

Jom makan - Hadirin sedang menjamu selera pelbagai juadah
yang disediakan.
4. Menunaikan amanah dan janji. Kita mesti sentiasa menepati masa. Tidak boleh memandang remeh akan kelewatan. Meskipun kadangkala hanya 5 minit, tetapi anggaplah ia suatu kesalahan yang besar. Bayangkan jika 10 orang lewat 5 minit, 50 minit masa terbuang. Sedangkan banyak perkara bermanfaat yang boleh dilakukan dalam masa 50 minit yang terbuang itu. Oleh itu, kita dinasihatkan agar memberitahu rakan-rakan lebih awal jika terpaksa hadir lewat.

5. Bersifat mahmudah tinggalkan mazmumah. Jangan fikirkan diri sendiri sahaja. Setiap perbuatan yang ingin kita lakukan fikirkan apa perasaan orang lain. Jika ianya boleh menyinggung hati dan perasaan orang lain, tinggalkanlah. Tanamkan sentiasa sifat malu dan lemah lembut.

Prof Harmy menyimpulkan bahawa persatuan dan negara ini memerlukan ahli-ahli yang baik dan kompeten. Jadi kita perlu menjadi ahli persatuan dan ahli masyarakat yang baik dengan mempertingkatkan kualiti.

Seterusnya para hadirin bersolat Isyak secara berjemaah yang juga dipimpin oleh Ust. Shauqi. Sesudah itu para hadirin telah dijamu dengan pelbagai jenis juadah yang disediakan oleh AJK PAPISMA Terengganu yang berkaitan.

Mudah-mudahan pertemuan santai dalam majlis yang penuh barakah ini akan menjadi titik mula bagi melonjakkan semangat dan kerjasama untuk berbakti kepada masyarakat.

Amiin...

No comments: