Tuesday, June 19, 2012

RAWATAN AWAL PEMULIHAN KARDIOPULMONARI (CPR) - ANDA SEMUA MAMPU LAKUKANNYA !!!

(Biro Akademik) 

Pernahkah anda berhadapan dengan situasi cemas, di mana kedapatan seseorang yang berhampiran dengan anda secara tiba-tiba jatuh dan pengsan. Mungkin ada yang pernah, dan mungkin ada yang tidak. Walaubagaimanapun, ianya tidak mustahil akan berlaku kepada anda, dan orang yang ber’masalah’ itu mungkin anda tidak kenali, atau mungkin juga di kalangan kaum kerabat dan sahabat handai yang dekat kepada anda.

Apakah kemungkinan yang berlaku - Serangan Jantung beserta rentak jantung yang abnormal (Heart Attack with Arrhythmia) atau Serangan Angin Ahmar (Stroke) ?. Kedua-duanya adalah suatu kemungkinan, dan boleh membawa kepada maut. Namun ada keadaannya, anda boleh melakukan sesuatu untuk ‘merubah’ keadaan.

Apakah yang mampu anda lakukan bila berhadapan dengan situasi tersebut? Panggil ambulan, boleh je, tapi berapa lamakah ianya akan tiba di tempat kejadian?. Panggil doktor yang berhampiran - nasib anda baik, adanya doktor di situ. Tapi kebanyakannya yang berlaku, anda sudah terlambat, di mana mangsa sudah menemui ajalnya di tempat kejadian.

Oleh itu, sebelum bantuan sebenar tiba, ANDALAH yang mesti lakukan sesuatu di peringkat awal untuk menolong mangsa tersebut. Sebelum anda berserah kepada takdir, anda sebenarnya mampu menjadi ‘penyelamat’ dengan cara lakukan CPR kepada mangsa. Ramai antara kita yang tidak tahu, atau pasti atau yakin untuk melakukan CPR. Bahkan yang ada sedikit pengetahuan pun, teragak-agak untuk lakukannya, lebih-lebih lagi memikirkan untuk melakukan adegan bantuan pernafasan ‘mulut ke mulut’. Jadi, apa yang patut anda lakukan?.

Artikel ini akan menerangkan kaedah terkini Rawatan Awal Pemulihan Kardio- pulmonari (CPR) untuk orang awam, semoga anda semua mampu menjadi ‘penyelamat’. Walaupun mempelajari langkah-langkah ini adalah sebenarnya mudah dan sangat murah kosnya, tetapi sumbangan yang mungkin akan anda berikanbila sampai masanya nanti, adalah sesuatu yang sangat besar, dan tidak ternilai dengan wang dan harta benda.

Apakah itu CPR?

CPR atau ‘Cardiopulmonary Resuscitation’ adalah satu kaedah rawatan pemulihan sistem jantung (cardio) dan paru-paru / penafasan (pulmonary) dengan cara memastikan bekalan darah dan oksigen dapat diteruskan ke seluruh tubuh seseorang yang mengalami serangan jantung di mana ianya telah berhenti berdenyut dan berfungsi secara normal.

CPR boleh menyelamatkan nyawa dengan membantu penerusan bekalan oksigen ke otak, sehinggalah pesakit diberikan rawatan yang lebih spesifik ataupun sehingga pesakit sudah tidak dapat diselamatkan lagi.

Terdapat perbezaan anatara CPR untuk orang dewasa dan kanak-kanak, dan artikel hanya membincangkan CPR kepada pesakit dewasa. (CPR kanak-kanak akan dikeluarkan nanti).

Bilakah seseorang itu perlukan CPR anda?
Apabila terdapatnya seseorang yang secara tiba-tiba rebah dan pengsan, hendaklah anda terus menggoncang tubuhnya dan bertanya "Encik...Encik...Awak OK ke?". Sekiranya tiada respons, iaitu samada ianya sudah tidak bernafas atau bernafas secara abnormal, terus dapatkan bantuan seseorang menghubungi Talian Kecemasan 9-9-9. Kemudian, anda mulakan CPR kepada mangsa, tanpa lengah. Jadikanlah diri anda sebagai ‘penyelamat’.

Saya tak tahu CPR, macamana nak buat?

Jangan bimbang. CPR utk orang awam seperti anda tersangatlah mudah. Anda pasti boleh lakukannya walaupun tak pernah buat dan belajar sebelum ini. Apa yang ada perlu lakukan HANYALAH....... PRESS HARD AND FAST iaitu TEKAN KUAT DAN CEPAT di atas bahagian tengah dada mangsa. Lakukan je...walaupun anda tak tahu tujuannya.

Menekan dada dalam istilah perubatan dipanggil ‘chest compression’. Untuk melakukannya, pastikan mangsa dalam keadaan baring di permukaan yang keras dan rata. Berlututlah di sisi rusuk mangsa, dan tetapkan keadaan kedua tangan anda di mana kedua telapak tangan bertindan menghadap ke bawah, dan jari-jari menyelangi di antara satu sama lain (lihat rajah). Pastikan lengan anda lurus, dan letakkan serta tetapkan posisi dasar tapak tangan anda di tengah-tengah dada mangsa. Lakukan tekanan dada mangsa dengan menggunakan kekuatan berat badan anda, dan bukannya kekuatan tangan anda. Tekanan Dada yang anda lakukan itu sebenarnya akan menolong mengepam jantung mangsa yang telah berhenti, dan menggerakkan semula aliran darah. Tekanan yang berulang-ulang akan memastikan pergerakan darah berterusan.

Setiap kali membuat tekanan dada mangsa, pastikan ianya tertekan ke dalam sekurang- kurangnya 2 inci, dan di antara tekanan lepaskan semula daya yang dikenakan kepada dada supaya ianya kembali kepada kedudukan asal. Sasarkan sebanyak 100 kali tekanan dada dalam masa 1 minit.

Teruskan tekanan dada itu sehinggalah pertolongan sampai. Jangan bimbang tentang kemungkinan masalah pernafasan yang mungkin mangsa alami, dan tak perlu fikirkan yang lain melainkan ‘tekanan dada’ sahaja.

Adakah semua orang akan lakukan CPR dengan kaedah yang sama?


Tidak. Mereka yang terlatih dalam bidang perubatan biasanya melakukan CPR dengan kaedah yang agak berbeza daripada orang awam. Biasanya mereka akan memeriksa nadi tangan dahulu sebelum melakukan CPR. Kemudian ianya dituruti dengan 3 langkah yang mudah diingati iaitu semudah C-A-B :

"C"-  "Do Chest Compressions" - 30 tekanan dada dilakukan sebagaimana kaedah yang diterangkan di atas.

"A" -  "Check the Airway" - Saluran Udara akan diperiksa di mana kedudukan kepala dan rahang dipastikan sesuai untuk memudah perjalanan aliran udara. Kaedah "Dongakkan Kepala, dan Angkatkan Rahang" adalah kaedah yang biasa dilakukan bagi memudahkan saluran udara terbuka.

"B" - "Do rescue Breathing" - Di sini penyelamat akan memicit hidung mangsa hingga tertutup sepenuhnya, dan melakukan hembusan udara dari mulut ke mulut atau menggunakan alat yang khas. Kaedah ini membolehkan mangsa menerima lebih gas oksigen yang masuk ke paru-parunya. Penyelamat biasanya aka memberikan bantuan pernafasan ini sebanyak 2 kali sebelum mengulangi tataca ‘tekanan dada’ seperti yang telah diterangkan sebelum ini. Kitaran ini akan berterusan iaitu 30 tekanan dada dan 2 kali hembusan nafas, sehinggalah bantuan ambulan sampai dan kakitangan yang telah dilengkapi dengan peralatan yang lebih sesuai mengambil alih tugas melaksanakan CPR tersebut.

Kesimpulan
Berdasarkan Garis Panduan CPR terkini (American Heart Association 2010), bagi mereka yang tidak biasa dan tidak tahu tentang CPR, hanya perlu melakukan kaedah ‘Tekanan Dada’ sahaja, dan tidak perlu bimbang memikirkan atau melakukan pertolongan pernafasan.

Kesimpulannya, masih ramai di kalangan anggota masyarakat kita ini agak asing dengan CPR, dan bagi mereka yang pernah belajar dan ada sedikit pengetahuan pun akan teragak-agak atau takut untuk melakukan CPR kerana memikirkan perlunya bantuan pernafasan dilakukan. Oleh itu, dengan sedikit perkongsian ilmu ini, LAKUKANLAH CPR dengan kaedah ‘HANDS-ONLY’ iaitu ‘TEKANAN DADA SAHAJA’ kerana ianya lebih mudah dan lebih selesa untuk dilaksanakan. Kaedah ini sangat penting untuk meneruskan bekalan darah bagi mereka yang mengalami serangan jantung yang menyebabkan jantungnya terhenti, dan ianya mungkin boleh menyelamatkan nyawa mangsa.

"JUST DO CHEST COMPRESSION - IT IS BETTER THAN DO NOTHING AT ALL"

Dr. Wan Mohd Razin b. Wan Hasan
Pakar Perubatan

Wednesday, June 6, 2012

Berhenti merokok – untuk kesihatan kita bersama!

(Biro Akademik)


Inilah fakta!
Rokok merupakan penyebab utama penyakit dan kematian pada usia muda di negara-negara maju. Hampir separuh dari perokok meninggal akibat penyakit berkaitan rokok. Jika anda perokok tegar, pada puratanya, jangkahayat anda adalah kurang 10 tahun daripada orang yang tidak merokok. 

Kebanyakan kematian yang diakibatkan oleh rokok bukan kematian mengejut dan tiba-tiba. Sebaliknya penyakit seperti COPD menyebabkan anda hidup bertahun-tahun dengan kelelahan dan masalah pernafasan sebelum anda menghembuskan nafas terakhir. Terseksa bukan? 

Berkhidmat di pusat rawatan rapi (ICU) di Hospital Sultanah Nur Zahirah memberikan peluang kepada saya untuk bertemu ramai perokok-perokok tegar ini yang kerap keluar masuk hospital disebabkan jangkitan kuman di paru-paru berpunca daripada penyakit bawaan rokok tersebut dan ada kalanya hingga menyebabkan kematian apabila kuman yang awalnya menyerang paru-paru telah merebak ke dalam darah dan organ badan yang lain menyebabkan kegagalan fungsi organ-organ tersebut.

Mungkin disebabkan itu jugalah para alim ulama telah meletakkan hukum merokok sebagai haram kerana ia boleh membawa seseorang itu bahkan orang di sekelilingnya kepada kebinasaan. Apatah lagi apabila anugerah Tuhan yang diberikan percuma berupa keupayaan untuk bernafas dengan baik kita sia-siakan dengan merokok sehingga akhirnya kita tercungap-cungap dan bertegang urat untuk bernafas apabila fungsi paru-paru yang kita miliki telah rosak akibat rokok.


Berita baik!
Berhenti merokok boleh membawa kesan yang sangat besar kepada kesihatan dan kehidupan anda. Pastinya anda belum terlambat untuk menikmati kesan baik ini. Contohnya, jika anda berhenti merokok pada usia pertengahan sebelum mendapat penyakit serius seperti barah, anda boleh mengelak daripada mendapat kebanyakan kesan bahaya merokok.

Ramai orang telah berjaya berhenti merokok dan ia bukan sesuatu yang mustahil. Jika anda merasakan ia sesuatu yang sukar dan memerlukan bantuan, rujuklah doktor anda dan rujukan boleh dibuat ke klinik berhenti merokok yang terdapat di Unit Pesakit Luar HSNZ.


Kandungan rokok!
Nikotin adalah bahan kimia yang merangsang otak. Jika anda adalah seorang perokok, apabila kadar nikotin dalam darah berkurang, anda mula mengalami tanda-tanda ‘withdrawal’ sama seperti penghisap dadah, contohnya gian, keresahan, sakit kepala, mudah marah, lapar dan masalah konsentrasi. Anda akan berasa pulih semula apabila kembali menghisap rokok. Oleh kerana itulah perokok tegar perlu sentiasa menghisap rokok untuk kembali berasa ‘normal’.



Tar dalam rokok mengandungi lebih 4000 bahan kimia dan lebih 50 penyebab barah. Tar daripada rokok akan masuk terus ke dalam paru-paru dan seterusnya mengalir ke dalam salur darah anda ke bahagian lain tubuh anda. Dengan hanya sebatang rokok, anda menyeksa badan anda dengan menyebarkan racun merbahaya ke seluruh organ dalaman.

Karbon monoksida merosakkan kebolehan darah untuk membawa oksigen. Ini penting terutamanya kepada ibu mengandung kerana karbon monoksida akan mengurangkan kadar oksigen kepada bayi yang sedang mengembang dalam rahim ibu. Ini boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan jangka masa panjang dan kecacatan kepada bayi. Dan anda perlu ingat, karbon monoksida itu datang dari rokok yang anda sebagai bapa menghisap!

Melihat kepada kemudaratan-kemudaratan yang boleh dibawa oleh rokok, apa lagi alasan yang anda mahu berikan untuk tidak berhenti merokok?

Tips-tips berhenti merokok:
Bagi mereka yang sedar dan berazam untuk berhenti merokok, di sini saya berikan beberapa tips untuk anda mencuba.

1.      Tuliskan sebab mengapa anda mahu berhenti merokok, simpan tulisan tersebut untuk sentiasa bersama anda. Lihat kembali senarai tersebut apabila anda berasa berputus asa untuk berhenti merokok. Ini akan mengingatkan anda selalu dan mengembalikan semangat anda untuk berhenti merokok.

2.      Tentukan masa untuk anda berhenti merokok dan berhentilah serta merta. Ada yang berpendapat bahawa kita perlu berhenti merokok secara beransur-ansur, namun kajian menunjukkan bahawa dengan menghisap kurang bilangan rokok, menyebabkan anda akan menghisap dengan lebih kerap untuk setiap batang rokok menyebabkan kandungan nikotin yang disedut adalah sama. Justeru, berhentilah dengan serta merta.

3.      Beritahu semua bahawa anda mahu berhenti merokok. Ini penting agar mereka boleh memberi sokongan kepada anda dan tidak melakukan sesuatu yang boleh melemahkan semangat anda untuk berhenti merokok


4.      Jauhkan diri anda dari rokok dan semua yang berkaitan dengannya. Contohnya jika selama ini anda menghisap rokok bersama-sama rakan-rakan di kedai kopi, elakkan melepak di kedai kopi jika anda mahu berhenti merokok.

5.      Tandakan di kalendar setiap hari anda berhenti merokok. Dengan cara ini anda akan dapat melihat hari-hari anda tanpa rokok dan setiap kali anda berasa ingin merokok, cuba tanyakan diri anda sendiri adakah anda akan berjaya untuk tidak merokok lagi jika kembali merokok dan adakah anda ingin memulakannya kembali setelah berusaha bersungguh-sungguh sebelum ini.

6.      Fikirkan secara positif bahawa dengan berhenti merokok, anda akan mendapat kesihatan yang lebih baik, nafas anda akan lebih segar dan orang suka bergaul dengan anda.

7.      Makan! Ramai yang mengatakan bahawa apabila kita berhenti merokok, kita akan sentiasa lapar dan kerap mengambil makanan. Cuba kawal perasaan tersebut dengan mengambil makanan yang rendah lemak dan gula atau sentiasa mengunyah sesuatu seperti gula-gula getah tanpa gula.

8.      Jangan sedih jika anda gagal. Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan orang berjaya berhenti merokok selepas 3 hingga 4 kali percubaan untuk berhenti merokok. Justeru teruskan mencuba.

9.      Bersedia untuk menghadapi kesan-kesan sampingan daripada berhenti merokok. Seperti pengambilan ubat dan dadah yang lain juga, berhenti merokok akan menyebabkan anda mengalami keadaan yang dikenali sebagai ‘withdrawal symptom’ kerana badan anda telah biasa dengan keadaan bernikotin, dan ketiadaan nikotin memerlukan masa untuk penyesuaian kepada badan. Anda akan berasa loya, pening kepala, bimbang (berdebar-debar), ketagihan, berasa tidak sihat dan sebagainya. Anda akan mengalami keadaan ini selepas 12-24 jam berhenti merokok dan akan hilang secara beransur-ansur selepas 2-4 minggu.

10.  Bersedia untuk batuk. Seperti yang saya sebut sebelum ini, berhenti merokok akan menghidupkan kembali fungsi saluran pernafasan yang sepatutnya bertindak sebagai perisai kepada kita daripada kuman-kuman dan bakteria daripada sampai ke paru-paru. Perkara ini akan menyebabkan anda kerap batuk dan mungkin menjadi semakin teruk. Pastikan keadaan ini tidak mematahkan semangat anda untuk berhenti merokok.

Saudara, melihat kepada kebaikan yang akan diperoleh apabila kita berhenti merokok, maka adalah suatu tindakan yang wajar untuk kita memulakan langkah tersebut untuk mendapatkan kesihatan yang lebih baik, pergaulan yang lebih erat bersama ahli keluarga dan rakan-rakan dan menjadikan kita seorang yang lebih yakin dan hebat penampilannya.

Semoga tips-tips yang dibawakan ini akan membantu anda untuk mencapai matlamat tersebut.
HIDUP SIHAT TANPA ROKOK.

Ditulis oleh:
Dr Tengku Abdul Kadir b Tengku Zainal Abidin,
Pegawai Perubatan Jabatan Anesthesiologi.
Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Sunday, June 3, 2012

PERCUTIAN KELUARGA DI PULAU KAPAS

(Biro IT) 

Sukar untuk digambarkan keseronokan yang dirasai oleh ahli-ahli PAPISMA Terengganu yang telah meluangkan masa bercuti ke Pulau Kapas, Marang, Terengganu pada 1-2 Jun semalam. Program yang pada asalnya adalah dirancang untuk Hari Keluarga PAPISMA Terengganu, namun oleh kerana berbagai halangan yang terpaksa dihadapi oleh ahli-ahli yang lain, akhirnya program ini menjadi satu Program Percutian Keluarga PAPISMA Terengganu. Kalau Hari Keluarga kita selalu panggil EFDI, jadi eloklah Percutian Keluarga kita panggil PEKA. Berbeza dengan EFDI, PEKA adalah program yang sangat santai. Tiada program khusus yang dirancang oleh pihak penganjur. Ia adalah program merehatkan minda. Penganjurpun tidak perlu stress dengan berbagai persediaan, pesertapun tidak perlu stress kerana mengejar masa.

Dr. Majidah dan Ust. Mohd Najib serta anak-anak mereka.
Kami bertolak selepas solat Jumaat. Tiba di Jeti Marang, pada pukul 2.30 pm, bot MGH Kapas Coral Beach telah sedia menunggu. Kami terus begegas mencari tempat parking di celah-celah tempat parking yang telahpun penuh. Musin cuti sekolah menyebabkan ramai pelancong yang mengisi percutian mereka untuk turut sama ke destinasi yang sama.

Dr. Roslan terpaksa duduk di belakang sekali. Tempat duduk nilah
paling best! Dapat melihat suasana dengan jelas.
Kami meninggalkan jeti Marang kira-kira pada pukul 2.40 pm. Bot yang sendat dengan penumpang itu bergerak sederhana meninggalkan jeti menuju ke Pulau Kapas yang jaraknya kira-kira 6.5 km. Perjalanan mengambil masa kira-kira 20 minit.

Jeti Marang yang semakin jauh ditinggalkan.
Dr. Md. Arif, ketua rombongan PEKA kali ini.
Kak Han dan anak-anak tidak ketinggalan. Kali pertama bercuti ke pulau.
Dr. Mohd Ilham Ismail bersama isteri dan tiga orang anaknya juga turut serta.
Dr. Nor Haizi membawa seluruh keluarganya termasuk bibik dan anak kecilnya.
Kapas Coral Beach Resort kelihatan dari kejauhan.
Dah sampai... Kelihatan Dr. Nor Haizi menuruni tangga sambil dibantu
oleh anak-anaknya.
Jom! Sungguh bersemangat anak-anak K. Han untuk memulakan
percutiandi pulau ini.
Kira-kira pukul 3 pm, kami mendarat di hadapan Makcik Gemuk Beach Resort, namun kami menyewa di Kapas Coral Beach Resort yang terletak bersebelahan sahaja. Tiada jeti di situ kerana lautnya sangat landai. Para penumpang turun dengan bantuan tangga kayu yang boleh dialih-alih. Ini menyebabkan kawasan peranginan ini tiada gangguan jeti. Ianya harmony with nature...

Kapas Coral Beach Resort - papantanda yang terpampang di atas
restoran jelas kelihatan.
Inilah rumah kecil tempat penginapan setiap keluarga.
Kira-kira pukul 3.15 pm, kami telah mendapatkan bilik masing-masing. Biliknya merupakan sebuah rumah (resort) yang luasnya kira-kira 18x18 kaki persegi. Ada satu katil double dan satu katil single dan satu bilik air. Biliknya agak selesa kerana ada aircond disediakan dan sebuah televisyen.

Kami merehatkan diri sementara menunggu waktu Asar. Ada di antara kami yang jarang-jarang menaiki bot telah mengalami sedikit mabuk laut dan terpaksa berehat juga terutamanya anak-anak.

Selepas solat Asar, masing-masing segera turun ke laut terutamanya anak-anak yang telah tidak sabar-sabar untuk bermain air apatah lagi pantai yang landai itu berada di halaman bilik mereka.

"Cepat sikit ibu" - tak sabar-sabar anak Dr. Nor Haizi (baju biru) untuk
bermain air.
"Jomlah ayah!" Dr. Majidah dan suami menemani anak-anaknya bermain
pantai.
"Belum naik lagi ni..." Dr. Mohd Ilham memimpin anak-anaknya. Mungkin
sedang mencari isterinya.
Tidak setakat bermain pasir dan berenang di pantai landai, berbagai aktiviti pantai disediakan seperti berkayak (canoe), snorkeling dan permainan pantai seperti bola tampar. Sudah tentu peluang ini tidak dilepaskn oleh para peserta terutamanya kaum bapa. Susah untuk menemui kawasan pantai yang landai dan berombak kecil seperti ini. Air lautnya pula sangat bersih dan tidaklah begitu masin di samping pasirnya yang halus.

Sewa kayak ialah RM15.00 sejam. Kayak boleh dinaiki seramai dua dewasa dan satu kanak-kanak. Namun bagi yang dah biasa berkayak, 3 orang dewasapun boleh naik asalkan tidak terbalik.

"Ok Abang Lan naik dulu!"
"Jom kita explore pantai ni!" Dr. Ilham dan Dr. Roslan mula berkayak.
Tak seronok berdua, kali ni bertiga pula dengan Dr. Arif di tengah-tengah.
Tiga bersaudara sedang memulakan ekspedisi...

Penat pergi jauh, berkayak semula ke tepi pantai. Di hadapan, kelihatan
tiga beradik anak-anak Dr. Roslan sedang menikmati air laut yang jernih.

Anak-anak Dr. Ilham pula sedang bermain air bersama ibunya.

Penat bermain air, membina istana pasir pula.

"Kami jumpa telur penyu!" Wah telur penyupun ada? Ha'ah... telur
buatan mereka sendiri.
Bagi para ibu yang tidak mahu bermain air, mereka boleh memerhatikan anak-anak mereka bermain air dengan tenteram kerana tiada apa yang perlu dirisaukan tentang risiko tenggelam dan ombak yang ganas.

Kak Han dan Wani (isteri Dr. Ilham) sedang bersantai memerhatikan
anak-anak mereka.
"Pertandingan volleyball single!" Afif Afnan (anak sulung Dr. Arif) sedang
berlawan dengan Dr. Roslan...
"Main air paip pulak!" Masing-masing berbilas sebelum naik ke atas rumah.
Hari kedua bermula dengan tenang. Meskipun malam tadi kami telah dilanda ribut selama kira-kira 10 minit dan hujan renyai-renyai, namun tiada kejadian yang tidak diingini berlaku. Hanya bakul-bakul sampah yang terpelanting dan baju-baju basah yang terjatuh di atas tanah. Jadual hari ini yang disediakan oleh pihak resort ialah snorkeling. 

Kelihatan suasana pagi sungguh tenteram. Angin yang bertiup lembut dari laut bertemu udara perbukitan yang segar membelai penghuni pulau ini dengan lembut dan nyaman. Sudah tentu inilah suasana kehidupan yang diimpikan oleh warga kota bagi mengembalikan ketenangan jiwa setelah berbulan-bulan bergelut dengan tugas dan kewajipan.

Pagi ini pula matahari dilindungi awan menyebabkan suasana sejuk dan redup yang agak lama. Cukup sesuai untuk bermain di laut.

Tenang... suasana pagi yang masih sejuk dan nyaman.
Masjid besar bandar Marang kelihatan dari pulau ini.
Menikmati sarapan pagi dan pemandangan indah di Pulau Kapas.
"Seaview Restoran" Dr. Ilham tidak melepaskan peluang untuk menikmati
sarapan pagi dan pemandangan dari bahagian atas restoran.
"Duduk seminggu lagi boleh tak?" Dr. Majidah dan Ust. Mohd Najib
sedang bersarapan pagi.
Tepat pukul 9.00 am kami berkumpul di tepi pantai bagi mengikuti aktiviti snorkeling. Sebentar tadi taklimat telah diberikan. Aktiviti ini akan dilakukan di pantai yang lain. Di seberang sana bukit. Bagi mereka yang tidak mahu bersenorkeling, mereka boleh tunggu di tepi pantai sahaja. Tempat yang dikhaskan untuk snorkeling ialah kawasan yang tenang dan tiada gangguan bot yang lalu-lalang. Oleh itu semua peserta PEKA kali ini akan turut serta. Bayaran untuk menyewa peralatan ialah RM25.00 seorang. Namun harga termasuk pakej hanyalah RM15.00 seorang. Semuanya untuk 2 jam.

Hidupan di dalam laut pesisiran pantai di sini sangat indah. Tidak tergambar oleh perkataan. Selalu kita melihat rencana di televisyen tentang kehidupan di laut. Rumpai air yang berwarna-warni, karang yang berbagai bentuk dan warna, beratus-ratus jenis ikan kecil yang cantik dengan berbagai corak dan warna, batu-batu laut yang terbentuk dan tersusun seperti sebuah taman, tiram yang sudah merekah dan dijadikan 
tempat ikan bermain dan berkejaran, beberapa ekor obor-obor yang tidak merbahaya yang selalu mengekori... dan berbagai-bagai lagi pemandangan indah yang semuanya dapat dilihat secara 'live'. Sungguh menarik dan mengujakan.
"Jom bersnorkeling!" Dr. Arif sekeluarga sedang bersedia untuk aktiviti
snorkeling.
"Kami juga nak ikut!" Dr. Roslan dan keluarga sempat memberikan pos
kenang-kenangan istimewa.
"Kamipun ikut!" Dr. Ilham dan keluarganya turut serta.
Puteri snorkeling.
"Rugi tak pergi tau!"
Dr. Roslan bersama anak bongsunya.
Masing-masing sedang menikmati perjalanan dari atas bot kecil.
Si kecil nipun turut serta dalam rombongan snorkeling. Wani dan Dr. Ilham
sentiasa bersemangat untuk menikmati pengalaman baru.
Masing-masing sedang mencuba alat snorkeling berupa alat pernafasan dan
google.
"Waaa! Takuut!" Anak Dr. Ilham sedang menangis. Takut?
Dr. Majidah dan keluarganya telah sampai lebih awal.
Pos istimewa dari Dr. Ilham dan keluarga.
Dr. Roslan dan dua orang puterinya telah memulakan ekspedisinya.
Dr. Roslan dan Dr. Ilham pula meninjau tempat yang lebih jauh.
Aahh... letih bersnorkeling... berehat dalam air.
"Haa... kami dapat tangkap obor-obor!"
Berehat sambil menunggu bot sampai...
Pos istimewa dari Kak Han sekeluarga.
Bersedia untuk pulang ke resort.
Masa untuk kembali telah tiba. Mataharipun telah kelihatan menyebabkan suasana pantai agak panas dan menyilaukan. Jika ketika ini masih lagi berendam di dalam air, sudah pasti kulit akan 'terbakar' dan memakan masa seminggu hingga sepuluh hari untuk pulih. Meskipun belum sampai dua jam kami di sini, namun kami terpaksa balik kerana faktor-faktor ini.

Puas. Masing-masing merasa cukup gembira dengan aktiviti snorkeling
pagi ini.
Dr. Roslan dan Dr. Ilham sekeluarga. Satu lagi pos kenangan di gigi
air sebaik tiba semula ke resort.
Makan tengahari tepat pukul 12.00 tengahari. Masa Check-out juga pada masa yang sama. Semua barang yang kami bawa kami kemas dan kumpulkan di luar bilik masing-masing. Hanya satu bilik yang dibenarkan untuk digunakan sehingga bot tiba yang dijangka kira-kira pukul 2 pm. Ini kerana surau masih dalam pembinaan. Jadi bilik itu boleh digunakan untuk solat.

Makanan di resort ini sangat memuaskan dari segi rasanya. Sungguh sedap dan menyelerakan. Dari menu dinner, breakfast hingga ke menu lunch. Simple tetapi rasa yang menggamit memori. Gaya hidangan kegemaran Chef Joe dalam Master Chef Malaysia...

Makan tengahari. Ust. Najib (t-shirt merah) sedang mengambil makanan.
Dr. Arif dan Dr. Nor Haizi bergambar kenangan di kaunter pendaftaran.
Sos pun ada? Kaunter ini juga terletak di restoran (dewan makan).
Jadi kaunter serbaguna.
Hidangan yang simple tetapi cukup lazat. Kak Han dan keluarga sedang
menikmati juadah.
Restoran yang berlatar-belakangkan pantai yang indah. Dr. Ilham sedang
menjamu selera.
Dr. Arif dan keluarga juga sangat berselera nampaknya.
Setelah makan dan solat zohor, semua berkumpul di tempat kami datang semalam. Masing-masing bercerita pengalaman masing-masing. Rasa tidak puas memang ada. Namun apakan daya terpaksa pulang jua. InsyaAllah, di lain kesempatan, para peserta PEKA kali ini berazam meluangkan masa lagi untuk program EFDI atau PEKA yang lebih besar pada masa akan datang di sini.

Bot petang ini agak lewat kerana masalah pemandu. Kami bertolak kira-kira pukul 3.45 pm dan selamat sampai ke Jeti Marang pada pukul 4.05 pm.

Bersama si kecil. Pos istimewa di atas bot dlam perjalanan pulang.
InsyaAllah berazam akan datang lagi. Kak Han, Dr. Ilham dan Wani bersama
anak-anak mereka.
Selamat tinggal Pulau Kapas. Hari cuti yang penuh bermakna bersamamu..
Alhamdulillah. Setelah 24 jam peserta PEKA PAPISMA Terengganu berada di Pulau Kapas, akhirnya percutian mereka berakhir dengan membawa pulang seribu satu kenangan. Meskipun hanya empat keluarga yang terlibat dengan jumlah keseluruhannya seramai 21 orang termasuk si kecil yang masih belum mengerti apa-apa, namun kejayaan PEKA kali ini merupakan perintis kepada PEKA yang lebih besar pada masa akan datang. Pemilihan destinasi yang cabarannya bersifat sederhana ini adalah suatu yang tepat kerana ia merupakan pengalaman baru bagi PAPISMA Terengganu. Ia juga suatu 'dunia' baru yang jarang-jarang diterokai secara bersama. Program yang santai dan tidak membebankan penganjur juga sangat selesa untuk dijadikan sebagai program berkala bagi melepaskan lelah setelah saban minggu berjuang bersama masyarakat dalam program SMART PAPISMA. Semoga kita dapat bersama untuk PEKA akan datang...