Sunday, February 26, 2012

SMART Berkhidmat Di Pasir Panjang

(Biro IT)

Kuala Terengganu, 24 Februari, Jumaat - PAPISMA Terengganu terus aktif mengadakan aktivitinya kepada masyarakat di samping aktiviti dalaman yang terus berjalan demi membina petugas yang ikhlas dan istiqamah. Dalam kesibukan dan tugas yang tidak pernah terduga, 16 orang petugas PAPISMA Terengganu telah meluangkan masa bersama masyarakat di Kg. Pasir Panjang yang terletak kira-kira 3 km dari pusat Bandaraya Kuala Terengganu kali ini.

Kira-kira 78 orang telah mendapatkan rawatan dan 14 buah rumah pesakit telah dilawati oleh 3 kumpulan petugas SMART PAPISMA.

Ceramah 2K pula telah disampaikan oleh Pakar Mata Hospital Sultanah Nur Zahirah, Dr. Nur Higrayati.

Tumpu perhatian. Dr. Che Faridah sedang memeriksa seorang pengunjung.

"Tak kena pitih pakcik!" Dr. Hazizul Helmi sedang memperkatakan sesuatu kepada pesakitnya.

Dr. Karimah juga tidak menang tangan pagi ini.

Barisan doktor-doktor perempuan yang berkhidmat. Kelihatan di lensa Dr. Norhasimah, Dr. Karimah, Dr. Che Faridah, Dr. Nor Haizi dan Dr. Zaihan.

Bahagian pendaftaran juga kelihatan sibuk menyambut dan mendaftarkan para pengunjung yang ingin mendapatkan pemeriksaan sehingga program selesai.

Mana doktor mana pesakit? Meskipun terpaksa 'mendodoikan' anak, namun Dr. Rosli (berkaca mata) masih sempat hadir dan bersama memeriksa pesakit.

Bersungguh-sungguh. Dr. Nor Haizi sedang memberikan kaunseling kepada seorang pesakitnya.

Boleh jadi belaka... Kak Han (Dr. Zaihan) sedang sibuk bertugas di bahagian ubat sebagai ahli farmasi. PAPISMA Terengganu masih menunggu ahli farmasi mengisi 'kekosongan jawatan' sejak beberapa tahun yang lalu.

Pengunjung Kehormat... Dr. Wan Mohd Razin sedang memeriksa YB Dato' Ku (kiri) yang sempat meluangkan masa untuk hadir mendapatkan pemeriksaan sambil bertanya khabar rakyat yang hadir.

Majlis ceramah 2K bertajuk Diabetes Melitus (Kencing Manis) dan Mata yang disampaikan oleh Pakar Mata. Dr. Md Arif sedang mempengerusikan majlis.

Penuh informasi... Dr. Nur Higrayati sedang menyampaikan ceramah 2K (Kesedaran Kesihatan).

Khusyuk... para penduduk sedang khusyuk mendengar ceramah yang disampaikan.

Para petugas juga tidak melepaskan peluang untuk menambahkan ilmu. Kelihatan di lensa ialah Mr. Husain, Dr. Hazizul, Dr. Wan Mohd Razin, Dr. Rosli dan Dr. Hashim.

Biru dan hijau... Kedua-duanya seperti terpukau dengan ceramah yang disampaikan. Barangkali terdapat fakta-fakta baru yang menarik perhatian Dr. Tuan Norizan (hijau) dan Dr. Zaihan (biru) itu.

Sesi soal jawab dibuka untuk membolehkan para pengunjung bertanya soalan. Ramai yang bertanya sehingga Pengerusi majlis terpaksa menghadkan pertanyaan.

Akhirnya YB Dato' Ku menyampaikan ucapan selama 3 minit. Maklumlah, pemimpin masyarakat akan tetap diraikan walau di mana mereka berada dan atas alasan apa ia hadir.

"Manusia mempunyai sikap yang cukup menghairankan... ia begitu taat dengan nasihat doktor kerana menyedari ia adalah yang terbaik untuk kesihatannya hatta terpaksa dipotong kakipun mereka sanggup, namun arahan Allah untuk laksanakan hukum Islam yang pastinya terbaik untuk kesejahteraan umat dan negara, mereka tidak mahu taat!" Itulah antara isi yang begitu bernas dari YB Dato' Ku yang sentiasa senyum dan ceria dalam ucapannya itu. Moga ia menjadi renungan bersama.

Program bersurai kira-kira pukul 12.10 pm setelah semua petugas dijamu dengan hidangan tengahari.

Friday, February 3, 2012

SMART Berkhidmat Di Pasar Gong Pauh

(Biro IT)

Kuala Terengganu, 3 Feb. 2012, Jumaat - Meskipun menghadapi bulan-bulan yang cukup sibuk, namun PAPISMA Terengganu terus komited untuk berkhidmat membantu masyarakat yang susah setiap minggu di samping memberikan kefahaman tentang pentingnya penjagaan kesihatan.

Kesibukan bersama masyarakat malah menjadi suatu nikmat yang sukar digambarkan. Ia hanya dapat dirasai oleh mereka yang melibatkan diri. Puas melihat mereka mengucapkan "terima kasih" meskipun ucapan itu cukup ringan diluncurkan oleh lidah sesiapa saja.

Hari ini, 14 petugas SMART PAPISMA telah 'menggegar' Pasar Borong Gong Pauh. Pasar yang sentiasa sibuk pada waktu pagi, seawal sebelum subuh, tujuh hari seminggu. Hari ini, di celah-celah hiruk-pikuk para peniaga dan pembeli bertingkah suara, terdengarlah suara panggilan, pengumuman, ucapan dan ceramah oleh para petugas PAPISMA Terengganu yang belum pernah terjadi sebelum ini.

Kawasan pinggir bandaraya yang jaraknya hanya kira-kira 8 km dari pusat pentadbiran ini merupakan kawasan yang sangat padat penduduknya. Sebahagian besarnya merupakan golongan elit yang sentiasa sibuk menguruskan kehidupan dari pagi sehingga ke malam, jarang mengendahkan tentang kesihatan diri sendiri. Selagi masih ada kudrat, mereka akan mengejar peluang hidup bagi mengejar cita-cita.

Berbekalkan pengalaman menghadapi keriuhan pasar seperti ini, para petugas PAPISMA Terengganu melakukan tugas dengan cekap memeriksa, memberikan kaunseling dan membuat saringan kesihatan. Pagi ini seramai lebih 150 orang telah berjaya mendapatkan pemeriksaan. Daripada bilangan itu ramai yang baru dikesan menghidapi penyakit darah tinggi, kencing manis malah kedua-duanya sekali. Sebahagian daripada mereka terpaksa dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan lanjut. Selain itu, seramai 22 buah rumah berjaya dilawati dalam Program Lawatan Bakti.

Pendaftaran dibuka sebaik sahaja team SMART PAPISMA tiba iaitu kira-kira pukul 8.20 pagi. Orang ramai yang telah menunggu terus menyerbu meja pendaftaran untuk mendapatkan pemeriksaan. Tanpa menunggu lama pemeriksaan kesihatan terus dimulakan sehingga pukul 10.00 pagi untuk memberi laluan kepada Ceramah Kesedaran Kesihatan (2K) dan disambung semula sebaik sahaja ceramah selesai.

Dr. Karimah, Pakar Sakit Puan HSNZ juga turut serta kali ini.

Serius! Dr. Hidayati sedang memeriksa seorang pengunjung.

Dr. Nor Hashimah sedang memberikan kaunseling kepada pesakitnya.

"Kakak selalu pening-pening doktor...." Mungkin itulah yang sedang diluahkan oleh seorang pesakit kepada Dr. Fadhilah yang tekun mendengar.

"Kenapa merkuri tak naik ni?" Cemas kelihatan Dr. Norhashimah yang sedang memeriksa pesakitnya. Kadang-kadang reaksi cemas perlu ditunjukkan agar pesakit berasa takut dan terdorong untuk mendapatkan rawatan.

"Don't worry makcik. Kalau habis ubat ni, makcik sambung di hospital na!" Bersungguh-sungguh Dr. Azlin, Pakar Perubatan Keluarga ni menasihati pesakitnya.

"Kejap makcik ye... Pen ni dakwat tak tubek pulok!" Dr. Nor Haizi sedang merekodkan sesuatu pada kertas rawatan.

"Ohh makcik ni duduk dekat rumah saya!" Dr. Che Faridah sedang menemuramah seorang pengunjung. Kadang-kadang dalam program seumpama ini menemukan jiran yang tidak sempat dikenali dek kerana kesibukan.

"Duduk dulu makcik ye. Ubat lelah ni kena cari dulu kat celah mana ntah!" Dr. Zaihan yang cukup selesa mengendalikan bahagian ubat sedang meneliti ubat-ubat yang dipreskripsi untuk seorang pesakit.

"Eh... macam tak lut je kat jari pakcik. Cuba try kat jari saya pulak!" Dr. Mohd Ilham sedang melakukan procedure untuk screening darah seorang pengunjung.

"Makcik ada darah tinggi jugak?" Dr. Md Arif, Pengerusi PAPISMA Terengganu sedang memeriksa seorang pesakit.

"Sekarang pakcik punya gula terlalu tinggi. Pakcik kena cucuk balik insulin ye.." Dr. Rosli sedang berbincang dengan pesakitnya tentang penyakit yang dihidapi oleh pesakitnya.

"Kalau saya makan madu boleh tak doktor?" Mungkin itulah yang sedang ditanyakan oleh seorang pesakit kepada Dr. Hazizul Helmy, Bendahari PAPISMA Terengganu.

"Saya rasa adik kena buat pemeriksaan lebih lanjut..." Dr. Wan Mohd Razin, Timbalan Pengerusi PAPISMA Terengganu sedang memberikan kaunseling kepada pesakitnya. Beliau adalah Pakar Perubatan senior di HSNZ.

"Nanti jap saya tengok rekod penyakit pakcik ya.." Dr. Roslan sedang memeriksa tekanan darah seorang pengunjung sambil membelek rekod pendaftarannya.

"Terengganu mencatatkan kadar penagihan dadah tertinggi tahun lepas..." Dr. Md Arif mempengerusikan Ceramah 2K dengan memberikan fakta-fakta gejala sosial yang berlaku di negeri Terengganu.

"Assalamualaikum..." Dr. Wan Mohd Razin sedang memberikan Ceramah 2K.

Kelihatan sebahagian pendengar yang khusyuk mendengar ceramah yang disampaikan.

Kelihatan para petugas SMART PAPISMA juga tidak ketinggalan untuk menimba ilmu yang disampaikan.
Orang ramai terus memberikan tumpuan kepada fakta-fakta yang disampaikan dalam Ceramah 2K tersebut.

Akhirnya program kali ini selesai pada pukul 11.50 pagi dan para petugas yang membuat Lawatan Bakti kembali semula ke tapak program pada pukul 12.15 tengahari. Sesudah itu para petugas SMART PAPISMA dijamu di kedai makan yang berhampiran.

Mudah-mudahan usaha yang dilakukan ini akan memberikan manfaat kepada semua yang hadir dalam memberikan kesedaran tentang kesihatan dan menjadikan mereka lebih prihatin untuk menjaga kesihatan diri sendiri dan keluarga khasnya.