Wednesday, June 6, 2012

Berhenti merokok – untuk kesihatan kita bersama!

(Biro Akademik)


Inilah fakta!
Rokok merupakan penyebab utama penyakit dan kematian pada usia muda di negara-negara maju. Hampir separuh dari perokok meninggal akibat penyakit berkaitan rokok. Jika anda perokok tegar, pada puratanya, jangkahayat anda adalah kurang 10 tahun daripada orang yang tidak merokok. 

Kebanyakan kematian yang diakibatkan oleh rokok bukan kematian mengejut dan tiba-tiba. Sebaliknya penyakit seperti COPD menyebabkan anda hidup bertahun-tahun dengan kelelahan dan masalah pernafasan sebelum anda menghembuskan nafas terakhir. Terseksa bukan? 

Berkhidmat di pusat rawatan rapi (ICU) di Hospital Sultanah Nur Zahirah memberikan peluang kepada saya untuk bertemu ramai perokok-perokok tegar ini yang kerap keluar masuk hospital disebabkan jangkitan kuman di paru-paru berpunca daripada penyakit bawaan rokok tersebut dan ada kalanya hingga menyebabkan kematian apabila kuman yang awalnya menyerang paru-paru telah merebak ke dalam darah dan organ badan yang lain menyebabkan kegagalan fungsi organ-organ tersebut.

Mungkin disebabkan itu jugalah para alim ulama telah meletakkan hukum merokok sebagai haram kerana ia boleh membawa seseorang itu bahkan orang di sekelilingnya kepada kebinasaan. Apatah lagi apabila anugerah Tuhan yang diberikan percuma berupa keupayaan untuk bernafas dengan baik kita sia-siakan dengan merokok sehingga akhirnya kita tercungap-cungap dan bertegang urat untuk bernafas apabila fungsi paru-paru yang kita miliki telah rosak akibat rokok.


Berita baik!
Berhenti merokok boleh membawa kesan yang sangat besar kepada kesihatan dan kehidupan anda. Pastinya anda belum terlambat untuk menikmati kesan baik ini. Contohnya, jika anda berhenti merokok pada usia pertengahan sebelum mendapat penyakit serius seperti barah, anda boleh mengelak daripada mendapat kebanyakan kesan bahaya merokok.

Ramai orang telah berjaya berhenti merokok dan ia bukan sesuatu yang mustahil. Jika anda merasakan ia sesuatu yang sukar dan memerlukan bantuan, rujuklah doktor anda dan rujukan boleh dibuat ke klinik berhenti merokok yang terdapat di Unit Pesakit Luar HSNZ.


Kandungan rokok!
Nikotin adalah bahan kimia yang merangsang otak. Jika anda adalah seorang perokok, apabila kadar nikotin dalam darah berkurang, anda mula mengalami tanda-tanda ‘withdrawal’ sama seperti penghisap dadah, contohnya gian, keresahan, sakit kepala, mudah marah, lapar dan masalah konsentrasi. Anda akan berasa pulih semula apabila kembali menghisap rokok. Oleh kerana itulah perokok tegar perlu sentiasa menghisap rokok untuk kembali berasa ‘normal’.



Tar dalam rokok mengandungi lebih 4000 bahan kimia dan lebih 50 penyebab barah. Tar daripada rokok akan masuk terus ke dalam paru-paru dan seterusnya mengalir ke dalam salur darah anda ke bahagian lain tubuh anda. Dengan hanya sebatang rokok, anda menyeksa badan anda dengan menyebarkan racun merbahaya ke seluruh organ dalaman.

Karbon monoksida merosakkan kebolehan darah untuk membawa oksigen. Ini penting terutamanya kepada ibu mengandung kerana karbon monoksida akan mengurangkan kadar oksigen kepada bayi yang sedang mengembang dalam rahim ibu. Ini boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan jangka masa panjang dan kecacatan kepada bayi. Dan anda perlu ingat, karbon monoksida itu datang dari rokok yang anda sebagai bapa menghisap!

Melihat kepada kemudaratan-kemudaratan yang boleh dibawa oleh rokok, apa lagi alasan yang anda mahu berikan untuk tidak berhenti merokok?

Tips-tips berhenti merokok:
Bagi mereka yang sedar dan berazam untuk berhenti merokok, di sini saya berikan beberapa tips untuk anda mencuba.

1.      Tuliskan sebab mengapa anda mahu berhenti merokok, simpan tulisan tersebut untuk sentiasa bersama anda. Lihat kembali senarai tersebut apabila anda berasa berputus asa untuk berhenti merokok. Ini akan mengingatkan anda selalu dan mengembalikan semangat anda untuk berhenti merokok.

2.      Tentukan masa untuk anda berhenti merokok dan berhentilah serta merta. Ada yang berpendapat bahawa kita perlu berhenti merokok secara beransur-ansur, namun kajian menunjukkan bahawa dengan menghisap kurang bilangan rokok, menyebabkan anda akan menghisap dengan lebih kerap untuk setiap batang rokok menyebabkan kandungan nikotin yang disedut adalah sama. Justeru, berhentilah dengan serta merta.

3.      Beritahu semua bahawa anda mahu berhenti merokok. Ini penting agar mereka boleh memberi sokongan kepada anda dan tidak melakukan sesuatu yang boleh melemahkan semangat anda untuk berhenti merokok


4.      Jauhkan diri anda dari rokok dan semua yang berkaitan dengannya. Contohnya jika selama ini anda menghisap rokok bersama-sama rakan-rakan di kedai kopi, elakkan melepak di kedai kopi jika anda mahu berhenti merokok.

5.      Tandakan di kalendar setiap hari anda berhenti merokok. Dengan cara ini anda akan dapat melihat hari-hari anda tanpa rokok dan setiap kali anda berasa ingin merokok, cuba tanyakan diri anda sendiri adakah anda akan berjaya untuk tidak merokok lagi jika kembali merokok dan adakah anda ingin memulakannya kembali setelah berusaha bersungguh-sungguh sebelum ini.

6.      Fikirkan secara positif bahawa dengan berhenti merokok, anda akan mendapat kesihatan yang lebih baik, nafas anda akan lebih segar dan orang suka bergaul dengan anda.

7.      Makan! Ramai yang mengatakan bahawa apabila kita berhenti merokok, kita akan sentiasa lapar dan kerap mengambil makanan. Cuba kawal perasaan tersebut dengan mengambil makanan yang rendah lemak dan gula atau sentiasa mengunyah sesuatu seperti gula-gula getah tanpa gula.

8.      Jangan sedih jika anda gagal. Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan orang berjaya berhenti merokok selepas 3 hingga 4 kali percubaan untuk berhenti merokok. Justeru teruskan mencuba.

9.      Bersedia untuk menghadapi kesan-kesan sampingan daripada berhenti merokok. Seperti pengambilan ubat dan dadah yang lain juga, berhenti merokok akan menyebabkan anda mengalami keadaan yang dikenali sebagai ‘withdrawal symptom’ kerana badan anda telah biasa dengan keadaan bernikotin, dan ketiadaan nikotin memerlukan masa untuk penyesuaian kepada badan. Anda akan berasa loya, pening kepala, bimbang (berdebar-debar), ketagihan, berasa tidak sihat dan sebagainya. Anda akan mengalami keadaan ini selepas 12-24 jam berhenti merokok dan akan hilang secara beransur-ansur selepas 2-4 minggu.

10.  Bersedia untuk batuk. Seperti yang saya sebut sebelum ini, berhenti merokok akan menghidupkan kembali fungsi saluran pernafasan yang sepatutnya bertindak sebagai perisai kepada kita daripada kuman-kuman dan bakteria daripada sampai ke paru-paru. Perkara ini akan menyebabkan anda kerap batuk dan mungkin menjadi semakin teruk. Pastikan keadaan ini tidak mematahkan semangat anda untuk berhenti merokok.

Saudara, melihat kepada kebaikan yang akan diperoleh apabila kita berhenti merokok, maka adalah suatu tindakan yang wajar untuk kita memulakan langkah tersebut untuk mendapatkan kesihatan yang lebih baik, pergaulan yang lebih erat bersama ahli keluarga dan rakan-rakan dan menjadikan kita seorang yang lebih yakin dan hebat penampilannya.

Semoga tips-tips yang dibawakan ini akan membantu anda untuk mencapai matlamat tersebut.
HIDUP SIHAT TANPA ROKOK.

Ditulis oleh:
Dr Tengku Abdul Kadir b Tengku Zainal Abidin,
Pegawai Perubatan Jabatan Anesthesiologi.
Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

2 comments:

Arif said...

saya tetap sehat walalupun sudha merokok 45tahun

Anonymous said...

Perokok tegar, walaupun kamu sihat sekarang belum tentu kamu hidup selama lamanya.