Saturday, January 14, 2012

SMART Menabur Khidmat Di Perkarangan Flat

Biro IT

Jumaat, 13 Januari 2012 - Tahun baru 2012 dibuka dengan semangat baru. Para petugas SMART PAPISMA telah bersedia menghadapi tahun baru dengan persediaan mental dan fizikal untuk turun padang menggalas tugas dan cabaran ke tengah masyarakat. Kali ini PAPISMA Terengganu telah menganjurkan Kempen 2K di Perkarangan Flat Hiliran bersebelahan dengan Giant, Kuala Terengganu. Meskipun masih di persekitaran bandaraya, namun tahap kesedaran kesihatan di sini tidak kurang dhaifnya jika dibandingkan dengan kawasan perkampungan. Ini memerlukan suntikan kesedaran agar lebih memberi keutamaan kepada kesihatan.

Sepanduk "Kempen Kesedaran Kesihatan" telah digantung beberapa hari lebih awal di 2 lokasi serta 200 handbill telah diedarkan untuk memberitahu penduduk tentang program ini.

Sepuluh orang petugas PAPISMA Terengganu telah mencurahkan bakti mereka iaitu Dr. Md Arif, Dr. Wan Mohd Razin, Dr. Roslan, Dr. Tuan Mohd Fairuz, Dr. Suhazeli, Dr. Ahmad Fardi, Dr. Nor Haizi, Che Faridah, Dr. Norhasimah dan Dr. Zaihan. Dalam keadaan hujan renyai-renyai dan suasana yang sejuk, itu tidak mematahkan semangat mereka untuk melakukan khidmat kepada orang ramai yang datang. Seramai kira-kira 70 orang penduduk telah datang untuk mendapatkan perkhidmatan dan mendengar ceramah 2K yang disampaikan serta 22 buah rumah pesakit dan orang-orang tua yang berjaya dilawati. Mudah-mudahan Allah akan membalas pengorbanan mereka di akhirat nanti.

Seawal 8.15 pagi para petugas SMART PAPISMA telahpun sampai. Kelihatan Dr. Md. Arif, Pengerusi PAPISMA Terengganu sedang membuat persiapan.

Pendaftaran dibuka. Kelihatan para petugas pendaftaran sedang bersedia menerima kehadiran para penduduk.

Sementara menunggu sesi ceramah, Dr. Wan Mohd Razin sempat memeriksa pengunjung.

Dr. Norhasimah juga kelihatan sibuk melayani seorang pengunjung yang hadir.

Dr. Tuan Mohd Fairuz sedang menunggu kedatangan pengunjung.

Dr. Ahmad Fardi juga tidak ketinggalan.

"Buat gini jari makcik ye... saya nak ambik darah sikit..." Mungkin itulah yang sedang diperkatakan oleh Dr. Che Faridah (Kak Long).

"Sama-sama... Jangan lupa makan ubat ye kak..." Dr. Zaihan (Kak Han) sedang bersalaman dengan seorang penduduk setelah siap melakukan pemeriksaan dan pemberian ubat.

"Alhamdulillah... setakat ni tekanan darah makcik normal. Nanti cek kencing manis pulak ye" Bersungguh-sungguh kelihatan Dr. Nor Haizi memeriksa seorang pengunjung.

Kira-kira pukul 10 pagi, sesi ceramah 2K dimulakan dengan dipengerusikan oleh Dr. Md Arif sendiri.

Tazkirah Islam dan Kesihatan telah disampaikan oleh wakil penduduk iaitu Ust. Ahmad Shah.

Seterusnya ceramah 2K disampaikan oleh Dr. Wan Mohd Razin, Timbalan Pengerusi PAPISMA Terengganu yang merupakan Pakar Perunding di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Para pengunjung sedang khusyuk mendengar ceramah yang sedang disampaikan.

Selesai ceramah, Dr. Roslan mengendalikan sesi cabutan bertuah. Sementara itu para petugas SMART PAPISMA telah dibahagikan kepada lima kumpulan untuk program Lawatan Bakti ke rumah para pesakit dan orang yang uzur.

Tahniah! Salah seorang dari pengunjung telah menerima cabutan bertuah yang disampaikan oleh Tuan Haji Mohamad Abdullah. Sebanyak 20 cabutan bertuah telah dimenangi pagi ini.

Kira-kira pukul 11.45 pagi, program bersurai. Walau bagaimanapun terdapat seorang petugas SMART PAPISMA yang menyelesaikan Lawatan Bakti pada pukul 12.30 tengahari. Salah seorang penduduk yang ditemui merakamkan rasa gembira dengan usaha-usaha yang dilakukan. Mudah-mudahan usaha seperti ini dapat diteruskan bagi memberikan lebih manfaat kepada orang ramai.

No comments: