Saturday, December 17, 2011

KEMPEN 2K DI KEBOR AIR BERJAYA

(Biro IT)

16 Disember 2011 - Musim hujan tidak diendah, di mana seruan berkhidmat di situ tempat diredah. Hari ini PAPISMA Terengganu melalui SMART PAPISMA telah berjaya menganjurkan kempen 2K (Kesedaran Kesihatan) di kawasan pedalaman, iaitu di Kg. Kebor Air, Manir, Kuala Terengganu yang terletak kira-kira 15 km dari Bandar Kuala Terengganu. Kampung ini telah dipilih berdasarkan kerjasama penduduk setempat yang baik dan bersungguh-sungguh yang diketuai oleh Ust. Ridzuan Hashim, bekas Pensyarah UKM.

Seawal pukul 8.15 pagi kami sampai, persiapan awal untuk kempen kali ini terus dilakukan. Persiapan tempat yang telah tersedia sehari lebih awal memudahkan kami untuk menyusun segala peralatan perubatan dan multimedia untuk program kali ini.

Program 2K kali ini telah disertai oleh seramai 13 orang sukarelawan PAPISMA Terengganu yang terdiri dari gabungan doktor-doktor kerajaan dan swasta. Ia telah berjaya menarik seramai 168 orang penduduk untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan mendengar ceramah kesihatan bagi meningkatkan kesedaran terhadap penyakit-penyakit penting yang berlaku di dalam masyarakat.

Baner Kempen 2K telah digantung 3 hari lebih awal bagi memberitahu penduduk setempat tentang program yang akan dijalankan.

Kelihatan dari kiri (memakai vest) Dr. Md Arif, Dr. Mohd Ilham, Kak Han (Dr. Zaihan) dan Kak Long (Dr. Che Faridah - bertudung kuning) sedang membuat persiapan.

Pendaftaran telah dibuka awal meskipun persiapan belum siap sepenuhnya.

Seorang demi seorang penduduk yang datang disambut oleh para petugas dan kami terus melakukan pemeriksaan. Kelihatan Dr. Ilham sedang merawat seorang penduduk.

Meskipun hari terus mendung, tanah masih basah kerana disimbah hujan pada malam sebelumnya, ia tidak menghalang untuk para penduduk hadir bagi mendapatkan manfaat dari program yang diadakan.

Kira-kira pukul 10 pagi, pemeriksaan kesihatan dihentikan buat sementara bagi mendengar ceramah kesihatan bertajuk Kanser Payudara yang disampaikan oleh Mr. Husain Mohamad, Pakar Bedah Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu yang juga merupakan Pakar Bedah Payudara. Ceramah ringkas, padat dan cukup menarik itu diharapkan sedikit sebanyak dapat membuka kefahaman masyarakat tentang pentingnya pengesanan awal kanser yang menjadi pembunuh nombor satu bagi kaum wanita itu.

Ceramah bermula dengan ucapan Dr. Md Arif yang merupakan Pengerusi PAPISMA Terengganu sebagai Pengerusi Majlis.

Diikuti tazkirah tentang Islam dan kesihatan oleh Al-Fadhil Ust. Ridzuan Hashim seorang aktivis masyarakat yang sangat prihatin.

Seterusnya ceramah 2K yang disampaikan oleh Mr. Husain yang bertajuk Kanser Payudara.

Kelihatan sebahagian penduduk yang hadir sedang memberikan tumpuan kepada ceramah yang sedang disampaikan.

Ramai juga kaum bapa yang turut mendengarkan ceramah tersebut.

Sesi Ceramah 2K berakhir kira-kira pukul 10.50 pagi. Meja pemeriksaan kesihatan dibuka semula bagi membolehkan mereka yang belum diperiksa dapat menjalani pemeriksaan.

"Tekanan darah encik ni molek. Lepas ni cek gula dalam darah pulak ye..." Dr. Md Arif sedang memeriksa seorang pengunjung.

"Pakcik kena makan ubat jangan tinggal. Kurangkan makan daging..." Dr. Tuan Mohd Fairuz (t-shirt coklat) masih sempat bersama walaupun keletihan sebab post-call dan baru habis melakukan ward round.

"Walaupun muda lagi, makan kena jaga, senaman jangan tinggal..." Dr. Wan Mohd Razin sedang memberi nasihat seorang penduduk.

Dr. Roslan juga turut sama membantu membuat pemeriksaan dan kaunseling kepada para penduduk yang semakin ramai hadir bagi mendapatkan pemeriksaan.

"Makcik baru lepas makan ni doktor..." Mungkin itulah yang diperkatakan oleh seorang penduduk kepada Dr. Che Faridah (Kak Long) sebelum melakukan pemeriksaan gula dalam darah.

"Ni ubat batuk... ni antibiotik... ni ubat demam. Jangan telan semua sekali... makan ikut peraturan ye..." Dr. Zaihan (Kak Han) bertindak sebagai farmacist hari itu.

"Panjang barisan tu Kak Han... Cepat sikit!" Kak Han sedang dikerumuni para pesakit yang ingin mendapatkan ubat-ubatan setelah menjalani pemeriksaan.

"Kejap ye makcik, saya cek tekanan darah dulu..." Dr. Nor Haizi kelihatan sedang memeriksa seorang pengunjung.

"Kencing manis ni kena cek sokmo ye makcik. Tak bolehlah makan ubat tapi tak cek..." Begitu bersungguh-sungguh Dr. Norhasimah (Shiem) memberi kaunseling kepada pesakitnya.

"Ubat ni kami beri untuk beberapa hari je makcik. Lepas ni makcik kena sambung di klinik kesihatan berdekatan ye..." Dr. Atikah (tudung coklat) sedang menasihati seorang penduduk.

"Nasib baik makcik datang hari ni, kalau tak tentu makcik lambat tahu tekanan darah makcik ni tinggi.." Mungkin itu yang sedang diperkatakan oleh Dr. Nazmiah yang turut serta dalam program kali ini.

"Dah selesai..." Kelihatan Mr. Husin (menghadap kamera) yang sedari tadi membantu di bahagian farmasi bagi melancarkan proses pemberian ubat.

Alhamdulillah, program SMART yang tertumpu kepada program statik kali ini selesai kira-kira pukul 11.50 am. Selepas itu kami semua dijemput untuk minum pagi di rumah seorang penduduk (Mak Wook) yang merupakan tuan tanah di mana tapak program ini dilakukan. Meskipun beliau sibuk dengan bebanan rumahtangga yang terpaksa menjaga suaminya yang menghidap penyakit angin ahmar (stroke), namun semangatnya untuk berbakti kepada masyarakat demi ganjaran akhirat, beliau sanggup mengetepikan semuanya. Mudah-mudahan beliau dirahmati Allah dan diberi ganjaran yang besar di akhirat nanti.

Pihak PAPISMA Terengganu mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada tuan rumah di atas kesungguhan dan keikhlasannya menerima kunjungan kami kali ini. Terima kasih juga kepada semua yang terlibat menjayakan program ini terutama Ust. Ridzuan Hashim dan isteri, Ustazah Tuan Roslina yang menjadi tulang belakang di peringkat masyarakat setempat, para petugas setempat serta para sukarelawan PAPISMA Terengganu yang terdiri daripada Dr. Md Arif (Pengerusi), Dr. Wan Mohd Razin (Timbalan), Dr. Norhasimah (Setiausaha), Mr. Husain (penceramah jemputan), Dr. Tuan Fairuz (Ketua GMP), Dr. Mohd Ilham, Dr. Roslan, Kak Long, Kak Han, Dr. Nor Haizi, Dr. Nazian, Dr. Atikah dan Dr. Nazimah.