Saturday, November 26, 2011

PROGRAM BERKHATAN DI HULU TERENGGANU 2011

(Biro IT)

26 Nov. 2011, Jumaat - Hujan yang turun mencurah-curah membasahi bumi tidak menghalang 4 team PAPISMA Terengganu untuk khidmat berkhatan di Madrasah Al-Ansar, Kg. Basong, Hulu Terengganu, kira-kira 50 km dari Kuala Terengganu. 8.30 pagi masa yang telah dipersetujui oleh pihak PAPISMA Terengganu dan pihak penganjur perlu ditepati. Maklumlah, hari Jumaat. Tahun ini, bilangan yang mendaftar tidak dapat dipastikan oleh pihak penganjur. Ada sesetengah ibubapa sudah berjanji tetapi borang pendaftaran tidak diserahkan. Ditambah pula cuaca yang tidak mengizinkan. Walau bagaimanapun, kami tetap bersedia sebaiknya.

Pukul 7.35 pagi, pemangku ketua team berkhatan kali ini, Dr. Roslan Yusof telah bertolak dari rumahnya. Beliau mengambil jalan singkat melalui jalan Kuala Telemong - Kg. Matang - Kg. Basong. Perjalanan dengan kelajuan 80 km/j dijangkan akan mengambil masa kira-kira 40 minit untuk sampai. Jadi, agak selesa untuk membuat persediaan sebelum bermulanya program.

Namun, tiba di Kg. Bukit Tadok pada pukul 7.55 am, kira-kira 4 km dari Kg. Matang, jalan tersekat oleh banjir. Lautan kuning pekat air banjir di depan mata melimpah di atas jalan dan di celah-celah kelapa sawit. Kawasan itu merupakan kawasan kelapa sawit. Rumah penduduk tidak kelihatan. Beliau terpaksa berpatah balik ke Kuala Telemong.

Satu lagi jalan singkat ke tempat program ialah melalui jalan Kuala Telemong - Kg. Tajin - Kg. Basong. Namun kerana dikhuatiri jalan ini juga dinaiki air, beliau terpaksa melalui jalan biasa namun jalan pintas melalui Kuala Telemong - Kg. Bukit Gemuruh (melalui lebuhraya) - Kg. Sg. Tong - Kg. Bukit Nenas - Kg. Basong. Alhamdulillah beliau sempat sampai pada pukul 8.40 pagi, 30 minit terlewat dari jangkaan. petugas-petugas lain tidak mengalami sebarang masalah.

Sebaik sahaja sampai, persiapan terus dilakukan dan program dimulakan selepas taklimat ringkas dan doa dibacakan.

Team 1 dianggotai oleh Dr. Salehuddin (kanan) dan pembantunya Dr. Johari sedang mengkhatankan seorang kanak-kanak.

Team 2 - Dr. Fauzan (kanan) dan pembantunya Dr. Sulaiman begitu berhati-hati melakukan procedure berkhatan.

Dr. Md Arif pun ada... sedang membantu Dr. Wan Zulkhalid (kanan- otai Kemaman) sedang mengkhatankan seorang kanak-kanak. Mereka dalam team 4.

"Saya minat menternak ayam sebagai aktiviti sampingan ustaz." Dr. Md Arif sedangberbual dengan Ust. Kamaruzaman (Mudir Madrasah Al-Ansar - berserban) sambil menikmati minum pagi setelah selesai program.

"Terima kasihlah semua kerana sanggup datang jauh, dalam hujan dan banjir pula... InsyaAllah, tahun depan kita akan book lagi team ni..." Mungkin itulah yang sedang diperkatakan oleh Ust. Kamaruzaman sebagai penutup perbualan.

Mana team 3? Team 3 tak masuk sebab beliau terpaksa ambil gambar. Team 3 dianggotai oleh Dr. Roslan seorang....

Alhamdulillah, program berjaya disempurnakan kira-kira pada pukul 11 pagi. Seramai 15 orang berjaya dikhatankan pada pagi ini. Kami meninggalkan Madrasah Al-Ansar kira-kira pada pukul 11.35 pagi dalam keadaan hujan renyai-renyai.

P/S: Selain Dr. Roslan, Dr. Md Arif dan Dr. Wan Zulkhalid, mereka adalah MA. Panggilan Dr. tu adalah panggilan penduduk di sini kepada tenaga-tenaga PAPISMA.

Wednesday, November 23, 2011

HIJRAH DAN PENGORBANAN

(Pengerusi PAPISMA Terengganu)
Dr. Md Arif Ibrahim

Assalamualaikum
Segala puji bagi Allah, tuhan semesta alam, salawat dan salam ke atas rasul, ahli bait, para sahabat dan para penjunjung ajarannya yang setia sepanjang zaman.

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian,
Kita sekarang berada di akhir bulan Zulhijjah yang sinonim dengan Hari Raya Aidil Adha dan bulan bagi umat Islam yang mampu untuk menunaikan rukun Islam ke lima, iaitu menunaikan haji di Mekah. Sesungguhnya bahang dari peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. masih dihayati dan dirasai hingga kini dan selama-lamanya. Bulan Zulhijjah sentiasa mengingatkan kita semua tentang pengorbanan yang sebesar-besarnya iaitu mengorbankan anak kesayangan semata-mata mematuhi perintah Allah.

Kita juga semakin merapati bulan Muharam, iatu bulan yang sinonim dengan peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah selepas melalui satu tribulasi perjuangan yang amat memeritkan. Sirah nabi juga banyak mengajar kita pahit getir dalam perjuangan untuk menegakkan agama sebelum akhirnya Allah memerintahkan RasulNya untuk berhijrah ke bumi yang telah bersedia untuk melaksanakan seluruh tuntutan Islam.

Bila kita halusi betul-betul, kita akan dapati pertalian yang erat antara dua bulan dalam kalendar Islam ini. Ini adalah kerana tidak akan berlaku hijrah sebelum ada pengorbanan dan hijrah itu sendiri berlaku hanya dengan pengorbanan.

Kenyataannya, sekarang ini memang tiada lagi hijrah seperti hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat r.hm, tetapi hijrah dalam konteks kini adalah hijrah dari suatu keadaan yang buruk kepada yang baik dan dari keadaan yang baik kepada keadaan yang lebih baik.

Setibanya bulan Muharam, akan kedengaranlah rata-rata yang bergelar muslim membulatkan tekad untuk mencapai satu matlamat atau cita-cita. Dengan kata lain, ramai muslim yang membuat satu kenyataan terbuka untuk berhijrah demi mencapai cita-cita tertentu. Tetapi setakat manakah pengorbanan yang sanggup dilakukan untuk mencapai maksud hjrah itu???

Mari kita lihat dan bahagikan skopnya seperti berikut:
1. Pengorbanan untuk berhijrah: lakukan islah kepada diri sendiri
2. Pengorbanan untuk berhijrah: lakukan islah kepada keluarga
3. Pengorbanan untuk berhijrah: lakukan islah kepada masyarakat

Sudah tentulah hijrah terbaik yang kita semua mahukan ialah hijrah dari jahiliyah kepada Islam, dari semua segi, samada dari sudut ibadah, kekeluargaan, muamalat dan siasah. Ini semua memerlukan kepada ilmu dan maklumat serta penyebarannya secara meluas.

Dalam konteks kita dalam PAPISMA, di samping kita memperbaharui azam untuk melakukan islah dalam diri dan keluarga, kita juga mempunyai peluang terbuka untuk bersama bagi melakukan islah dalam masyrakat. Sudah tentu kita boleh menyumbangkan sesuatu dalam aktiviti berkaitan khidmat sosial dan ini juga memang memerlukan sedikit pengorbanan dari segi masa, tenaga hatta wang ringgit.

Mari kita perhatikan, paling banyak masa yang kita peruntukkan untuk terjun dan bersama dalam melakukan islah dalam masyarakat hanyalah 4 jam seminggu iaitu pada hari Jumaat. Maknanya kita cuma memperuntukkan 0.02% dari keseluruhan masa yang ada dalam seminggu!!!. Sangat sedikit!.

Galakan juga selalu diberikan kepada sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian untuk infaq sedikit dari lebihan belanja bagi tujuan aktiviti kebajikan ini, iaitu RM20.00 sebulan. Sekali lagi mari kita halusi, dengan anggaran gaji RM5000.00 hingga RM10 000.00 sebulan, sebenarnya kita cuma menginfaqkan 0.004% hingga 0.002% dari pendapatan bulanan kita untuk tujuan tersebut. Sekali lagi, ianya jumlah yang sangat kecil, bukankah begitu?

Jadi sekali lagi, marilah sama-sama kita tegaskan bahawa untuk melakukan Hijrah dengan maksud untuk melakukan islah dalam skop yang telah dinyatakan, ianya memang memerlukan pengorbanan. Yang pasti nisbah pengorbanan yang telah ditunjukkan di atas adalah sangat kecil.
Kita juga mestilah menginsafi, bahawa diantara faktor kejayaan hijrah itu ialah ISTIQAMAH, dengan maksud melakukan sesuatu kebaikan itu secara berterusan, walaupun perkara itu agak sedikit pada pandangan kita. Jangalah pula kita cuma bersemangat di peringkat awal sahaja, namun akhirnya kita kembali semula ke titik asal sebelum hijrah.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Ma’al Hijrah kepada seluruh sahabat PAPISMA Terengganu dan marilah sama-sama kita perbaharui azam masing-masing untuk meningkatkan pengorbanan didalam menunaikan makna hijrah secara Istiqamah.

Wassalam.

Sunday, November 20, 2011

PAPISMA Terengganu Anjur Program Bersama Prof. Dr. Muhaya

Biro IT

Sabtu 19 November 2011 - PAPISMA Terengganu sekali lagi memahat sejarah apabila menganjurkan Program Motivasi "Bicara Mata Hati" bersama selebriti TV, Prof Dr. Muhaya Mohamad di Permai Inn, Kuala Terengganu. Program yang dibuka penyertaannya kepada seluruh masyarakat itu telah menerima sambutan di luar dugaan. Sehingga hari akhirpun masih ada lagi yang ingin membeli tiket yang berharga RM70/80/100 tetapi terpaksa ditolak memandangkan dewan Permata Ballroom yang boleh memuatkan lima puluh buah meja terpaksa ditambah lima lagi meja dan juga kerusi tanpa meja. Itupun telah ditempah oleh orang ramai.

Sebaik saja kaunter dibuka kira-kira pukul 2.30 petang, ia telah diserbu oleh para peserta yang telahpun menempah tiket melalui wakil-wakil jualan yang dilantik.

YB Hj. Abdul Wahid Endut, Ahli Parlimen Kuala Terengganu mengambil kesempatan bergambar di meja jualan PAPISMA Terengganu yang menjual buku Feqah Perubatan dan cenderahati PAPISMA.

Kelihatan seorang peserta sedang membuat belian yang dikendalikan oleh Dr. Wan Mohd Razin, Timbalan Pengerusi PAPISMA Terengganu.

Para peserta yang memenuhi ruangan dewan sedang menanti majlis dimulakan.

Majlis telah dipengerusikan oleh Dr. Md Arif Ibrahim, Pengerusi PAPISMA Terengganu sendiri.

Prof. Dr. Muhaya Mohamad memulakan ucapannya di rostrum yang disediakan.

Prof. Dr. Muhaya sedang menyampaikan formula-formula perubahan diri dengan gayanya yang tersendiri. Beliau berjalan seluruh pentas, turun ke bawah mengelilingi dewan dan kembali semula ke pentas.

Kelihatan Dr. Wan Mohd Razin dan YB Hj. Wahid begitu teruja dengan ujian-ujian minda yang dibuktikan oleh Prof. Dr. Muhaya.

Banyak soalan yang telah dikemukakan oleh para peserta yang kesemuanya telah dijawab dengan tip-tip dan formula-formula yang cukup menarik.

Sambil mendengar jawapan-jawapan yang diberikan, para peserta dipersilakan menikmati hidangan ringan yang disediakan.

Program berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada Prof. Dr. Muhaya yang disampaikan oleh Puan Radziah.

Sebelum pulang, wakil PAPISMA Terengganu, Dr. Tuan Norizan dan Dr. Nor Haizi sempat merakamkan gambar kenang-kenangan bersama Prof. Dr. Muhaya.

Tergambar rasa puas di kalangan para peserta dengan apa yang telah mereka nikmati yang merupakan makanan minda bagi mengubah kehidupan kepada yang lebih baik dan diredhai Allah. InsyaAllah PAPISMA Terengganu akan mengadakan lagi siri motivasi seperti ini pada masa akan datang.

Saturday, November 19, 2011

PAPISMA Berkhidmat Di Bandaraya Kuala Terengganu

(Biro IT)

Kuala Terengganu Bandaraya Pesisir Air, meskipun cukup gah dengan namanya yang indah, namun jangan lupa bahawa didalamnya cukup ramai yang hidup susah, miskin dan serba kekurangan. Tahap kesihatannya juga menyedihkan malah tidak keterlaluan jika dikatakan ianya menyamai daerah pedalaman seperti di Hulu Terengganu. Atas sebab inilah SMART PAPISMA membuat inisiatif untuk mengadakan Kempen 2K (Kesedaran Kesihatan) di sini pada kali ini.

Jumaat, 18 November 2011 merupakan hari yang bersejarah apabila PAPISMA Terengganu berjaya mengadakan program tersebut di tengah-tengah bandaraya ini iaitu di Jalan Nesan 4. Sebagaimana biasa, aktivitinya adalah ceramah kesihatan, pemeriksaan dan saringan kesihatan percuma. Kali ini ditambah dengan Lawatan Bakti ke rumah pesakit yang uzur, sumbangan kepada fakir miskin dan cabutan bertuah.

Sepanduk Kempen 2K digantung awal untuk memberi makluman kepada orang ramai.

Seawal 8 pagi para petugas pendaftaran telah bersedia menyambut para pengunjung.

Pemeriksaan kesihatan terus dilakukan sebaik sahaja mereka mendaftarkan diri. Semua petugas SMART PAPISMA juga telah bersedia lebih awal.

Dr. Tengku Abd Kadir, pegawai perubatan HSNZ sedang memberi nasihat kepada pesakit.

"Tekanan darah ustaz ni normal." Mr. Husain, pakar bedah di HSNZ.

Dr. Mohd Ilham (t-shirt hijau), pegawai perubatan HSNZ sedang memeriksa pesakit. Kelihatan YB Hj. Abd Wahid, Ahli Parlimen Kuala Terengganu juga turut meluangkan masa untuk hadir dan menjalani pemeriksaan kesihatannya.

"Tekanan darah encik ni tinggi sikit. Nanti saya cek gula dalam darah pula ya." Dr. Roslan sedang memeriksa seorang penduduk bebangsa Cina yang juga tidak melepaskan peluang untuk menjalani pemeriksaan.

"Saya cek tekanan darah kakak dulu ya." Dr. Zaihan (Kak Ummi) sedang memeriksa seorang pengunjung.

"Kandungan gula dalam darah makcik tinggi ni. Makcik makan dok agi pagi ni?" Dr. Azlin, Pakar Perubatan Keluarga sedang memeriksa seorang pengunjung.

"Kalau makcik nak makan benda lain boleh, tapi ubat jangan tinggal dan buat pemeriksaan doktor ikut tarikh.." Bersungguh nampaknya Dr. Nor Haizi menasihati pesakitnya.

Kelihatan sebahagian pengunjung menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan.

Para petugas pula sibuk dengan tugas masing-masing.

Program ini telah dihadiri oleh seramai 101 orang pengunjung (tidak termasuk petugas). Ia telah berlangsung dengan cukup meriah.

Kira-kira pukul 10 pagi, majlis ceramah dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan tazkirah oleh wakil penduduk, Ust. Ahmad Shah. Kehadiran YB Hj. Abdul Wahid juga kami manfaatkan untuk beliau memberikan sedikit amanat dan perangsang agar penduduk sentiasa cakna kesihatan diri sendiri. Ceramah 2K pula telah disampaikan oleh Dr. Suhazeli Abdullah, Pakar Perubatan Keluarga dengan tajuk "Penyakit Kronik Dalam Masyarakat". Ia cukup padat dengan maklumat dan mencuit hati.

Ustaz Ahmad Shah sedang menyampaikan kata-kata aluan dan tazkirah.

YB Hj. Abdul Wahid sedang berucap.

"Hari ini saya akan menyampaikan tajuk..." Dr. Suhazeli, Pakar Kesihatan Keluarga Klinik Kesihatan Marang sedang menyampaikan ceramah kesihatan.

"Selain masalah kesihatan, masalah gejala sosial adalah penyakit masyarakat yang sangat membimbangkan kita!" Ceramah ringkas dan padat dengan bantuan LCD projector itu cukup menarik.

Para pengunjung sedang memberikan tumpuan kepada ceramah yang disampaikan.

Sementara itu, meja pendaftaran terus dibuka bagi menerima kehadiran penduduk.

Seterusnya ialah sesi penyampaian sumbangan dan cabutan bertuah. Serentak dengan itu 12 orang petugas SMART PAPISMA telah dibahagikan kepada lapan kumpulan untuk sesi Lawatan Bakti, sementara pemeriksaan kesihatan statik diteruskan oleh mereka yang tinggal.

"Terimalah sedikit sumbangan ini." Seorang penduduk sedang menerima sumbangan.

"Terima kasih ya tuan haji..." Mungkin itulah ucapan syukur seorang ibu miskin atas apa yang diberikan.

YB Haji Abd Wahid sedang melakukan 20 cabutan bertuah.

"Alhamdulillah... bukan senang nak dapat nombor bertuah ni.." Gembira sungguh salah seorang penduduk apabila memperolehi nombor bertuah.

Selepas itu, kami semua berpecah kepada 8 kumpulan dengan diwakili seorang doktor dan tiga orang penunjuk jalan. Alhamdulillah seramai 36 buah rumah pesakit yang miskin dan uzur telah berjaya dilawati dengan membawa sedikit sumbangan bagi meringankan bebanan hidup mereka.

Kehidupan penduduk asal bandaraya ini cukup menyedihkan. Ada yang tinggal seperti di rumah setinggan, rumah yang kecil, gelap dan persekitaran yang kotor. Ada yang berpenyakit tetapi tidak dapat meneruskan rawatan hanya kerana tidak cukup duit untuk pergi ke hospital yang jaraknya tidak sampai 3 km dari rumahnya. Jadi, semua ini menggambarkan bahawa badan NGO seperti PAPISMA ini perlu menggandakan lagi usaha membantu meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap kesihatan agar mereka tidak memandang mudah penyakit yang mereka hadapi.

Dr. Roslan sedang memeriksa seorang pesakit miskin yang lumpuh kerana masalah saraf. Beliau telah satu tahun tidak menjalani rawatan susulan akibat tiada kenderaan untuk membawanya ke hospital. Kini beliau berubat dengan rawatan syifa' di rumah.

"Baru-baru ni makcik tak boleh bangun. Sekarang boleh bangun koho-koho..." Salah seorang pesakit miskin yang sempat kami lawati.

Banyak lagi susanan yang meruntun perasaan seperti ini tetapi tidak dapat dipaparkan di sini. Namun mudah-mudahan usaha kecil kami ini akan memberikan sokongan moral kepada mereka bahawa masih ada yang prihatin mengambil tahu dan menyelami masalah mereka.

Program Kempen 2K kali ini telah beakhir kira-kira pukul 12.30 tengahari. Terima kasih diucapkan kepada semua petugas SMART PAPISMA yang sempat meluangkan masa meskipun sibuk dengan tugas seharian. Tahniah dan terima kasih juga diucapkan kepada para petugas tempatan yang memberikan kerjasama dan persediaan yang cukup baik. Mudah-mudahan segala amal ini menjadi saham untuk kita tuai hasilnya di akhirat nanti.

Monday, November 14, 2011

PAPISMA Kembali Berkhidmat Pada 'Tarikh Keramat'

(Biro IT)

Kuala Terengganu, 11.11.11 - Ketika berbagai kepercayaan dan andaian yang dibuat oleh masyarakat pada tarikh yang dianggap keramat ini, PAPISMA Terengganu melalui SMART PAPISMA kembali mencurah khidmat bakti kepada masyarakat. Kali ini kami telah mengadakan Kempen 2K (Kesedaran Kesihatan) di Kg. Mengabang Tengah bersama dengan Ahli Jawatankuasa Masjid di situ.

Poster "Kempen Kesedaran Kesihatan" tergantung megah menyambut kedatangan tetamu.

Seramai 12 orang pegawai perubatan termasuk pakar telah bersama-sama bertugas pada hari tersebut. Selain pemeriksaan kesihatan percuma, ceramah kesihatan, pameran kesihatan bertemakan "Kanser, faktor-faktor risiko dan pencegahannya", lawatan ke rumah pesakit dan pemberian sumbangan kepada fakir miskin, ibu tunggal serta anak yatim juga dilakukan.

Seawal pukul 8.00 pagi, Pengerusi PAPISMA Terengganu, Dr. Md Arif meninjau persiapan terakhir yang dilakukan.

Para petugas melakukan pendaftaran menggunakan borang yang disediakan.

Seterusnya mereka ditimbang dan diukur berat badan bagi mengetahui kadar BMI.

Lalu pemeriksaan kesihatan, screening dan kaunseling kesihatan dilakukan.

Kelihatan Dr. Roslan (baju hijau) dan Dr. Md Arif (baju putih) sedang memeriksa pesakit.

Manakala di bahagian perempuan kelihatan Dr. Zaihan (Kak Han - baju hijau), Dr. Khairunnisa' (tudung bercorak) dan Dr. Norhasimah (tudung coklat) juga sibuk melayani pesakit.

Begitu juga dengan Dr. Tuan Norizan (kiri) dan Dr. Nor Haizi yang turut sama mengorbankan masa demi bakti untuk masyarakat.

"Lepas periksa gula ni Kak bolehlah makan ya..." Mungkin itu yang sedang diperkatakan oleh Dr. Tuan Norizan kepada pesakitnya.

Kira-kira pukul 9.45 pagi, ceramah 2K dimulakan yang bertajuk "Penyakit-penyakit Kronik : Jantung koronari, Kencing Manis dan Darah Tinggi". Ceramah disampaikan oleh Dr. Wan Mohd Razin (Timb. Pengerusi PAPISMA Terengganu) yang juga Pakar Perubatan Penyakit Dalam Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Solat adalah ibadah dan riadah. Terapi yang sangat mujarab..." Begitu semangat sekali Dr. Wan Mohd Razin memberikan ceramah.

Sebahagian pengunjung sedang memberi penuh tumpuan kepada ceramah yang disampaikan.

Sebaik saja sesi ceramah selesai kira-kira pukul 10.15 pagi, para petugas SMART PAPISMA dibahagikan kepada 5 kumpulan, 2 kumpulan lelaki dan 3 kumpulan perempuan untuk sesi lawatan ke rumah pesakit. 4 orang petugas lagi meneruskan pemeriksaan statik di situ. Sebanyak 17 buah rumah telah berjaya dilawati.

"InsyaAllah, tekanan darah makcik ni stabil. Makcik jangan lupa ambil ubat dan makanan yang seimbang ya..." Dr. Wan Mohd Razin sedang memeriksa seorang pesakit di rumah.

Sesi sebelah pagi tamat kira-kira pukul 12.30 tengahari. Seramai 100 orang penduduk telah diberikan pemeriksaan. Daripada data pemeriksaan didapati 29% menghidapi masalah darah tinggi. Manakala dari 65 orang yang menjalani ujian glukometer, 49 orang didapati abnormal di mana sebahagiannya terpaksa dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.

Sesi sebelah petang pula bermula kira-kira pukul 3.30 pm dengan ucapan wakil masyarakat, Pengerusi PAPISMA dan seterusnya penyampaian sumbangan kepada fakir miskin, ibu tunggal dan anak yatim. Seramai 30 orang telah menerima sumbangan.

Sumbangan telah sedia untuk diagih-agihkan.

"Terima kasih doktor... mudah-mudahan bertambah rezeki doktor-doktor semua!" Seorang penduduk sedang menerima sumbangan yang disampaikan oleh Dr. Md Arif dengan penuh kesyukuran.

Sebahagian penduduk yang menerima sumbangan.

Akhirnya program selesai dengan disudahi solat Asar berjemaah di masjid tersebut. Pengerusi PAPISMA Terengganu melahirkan kesyukuran atas kerjasama semua pihak terutama para petugas PAPISMA Terengganu yang terlibat dan ahli jawatankuasa masjid yang telah menyusun program dengan berkesan.