Thursday, August 25, 2011

SELAMAT PULANG WIRA KAMI DARI PALESTIN

(Presiden PAPISMA)

Assalamualaikum Wbt
Sahabat-sahabiah sekalian,

Tidak ada yang lebih menggembirakan kita pada hari ini selain menyambut ketibaan wira Palestin PAPISMA, Dr. Syed Abdul Khaliq b. Syed Abd Hamid. Sudah tentu kepulangan beliau juga sangat menggembirakan ahli keluarganya. Marilah kita pada hari ini mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT di atas nikmat kurnia-Nya yang telah memberikan keselamatan dan kesihatan kepada beliau serta rombongan MAPIM dalam Misi Bantuan Gaza Kali ke-2 (Radig 2).

Kita semua berharap, segala penat lelah, pengorbanan masa dan tenaga serta keberaniannya akan diganjari oleh Allah dengan ganjaran jihad. Kita menyedari bukan suatu perkara yang mudah untuk meninggalkan keluarga dan orang yang tersayang untuk pergi ke Gaza, Palestin kerana pemergiannya belum tentu akan kembali lagi. Namun, ketaatan kepada keputusan kepimpinan PAPISMA untuk menjadi wakil kita ke sana sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh beliau adalah satu contoh yang cukup luar biasa dan perlu diteladani. Hanya semangat, keyakinan dan kecintaan kepada ganjaran jihad dan syahid sahaja yang mampu meruntuhkan segala halangan sehingga mampu sampai ke bumi suci Palestin yang dihujani bedilan meriam dan peluru yang mampu meragut nyawa siapa saja.
Bagi mereka-mereka yang telah menaja dan membantu perjalanan beliau dalam apa sahaja bentuk bantuan, terutama kewangan, sokongan moral serta doa, mudah-mudahan semuanya akan turut sama mendapat ganjaran jihad itu. Bukankah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa yang membekali seorang mujahid untuk berperang di jalan Allah maka sungguh ia telah ikut berperang, dan barangsiapa yang menjadi penanggungjawab yang baik (terhadap harta dan keluarga mujahid) maka sungguh ia telah ikut berperang" (Muttafaq 'alaih).

Hari ini saya merasakan bahawa suatu lembaran sejarah baru PAPISMA telah bermula. Kalau dahulu kita merasa negeri Palestin itu sangat jauh, kini kita merasa ianya cukup hampir dengan kita. Kalau dulu kita merasa mustahil boleh menghantar wakil untuk berbakti di Ardhul Muqaddasah itu, kini ia telah berjaya dipijak oleh wira kita. Kalau dahulu berita-berita serangan, kemusnahan dan kematian itu hanya melalui pihak-pihak ketiga, namun kini kita mendapat berita secara langsung dari sahabat kita sendiri melalui sms, email dan facebook. Kalau dahulu denyut nadi rakyat Palestin hanya kita rasai melalui berita di radio, TV dan akhbar, tetapi sepanjang minggu ini, kita merasai denyut itu di dalam nadi kita, kita merasai getaran perasaan itu di dalam sanubari kita dan setiap masa kita merasa seolah-olah berada di bumi Palestin bersama para mujahidin pilihan Allah yang sentiasa di ambang Syurga Firdaus. Subhanallah! Semuanya hasil daripada kita menghantar wakil dan wira kita ke sana.

Pada hari ini, saya menyeru seluruh ahli agar terus membantu untuk menghidupkan semangat perjuangan rakyat Palestin di bumi anbiya' itu dengan sumbangan kewangan dan doa yang berterusan. Seterusnya menjadikan teladan akan keberanian dan ketaatan wira kita yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan ini untuk membentuk momentum baru perjuangan kita. Kita merupakan gerakan profesional yang bersifat Islami dan nasional, sudah sampai masanya untuk kita mengubah `mindset’ kita agar berani ke depan, berani mencuba dan tidak takut akan kegagalan. Kesenangan yang kita cari seharusnya bukan kesenangan untuk diri sendiri, tetapi kesenangan untuk seluruh umat. Kebahagiaan yang kita cari seharusnya adalah kebahagiaan di Akhirat sana, iaitu dengan mengorbankan apa yang kita miliki demi membahagiakan seluruh umat. InsyaAllah, dengan semangat juang dan perubahan cara berfikir ini, tidak ada yang mampu menghalang kita untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.

Mudah-mudahan selepas ini kita akan dapat melahirkan lebih ramai wira yang bukan sahaja sanggup berjihad ke bumi Palestin tetapi juga menjadi wira di tanahair kita sendiri dengan kejayaan-kejayaan yang menjadi kebanggaan umat dan kita semua. InsyaAllah.

No comments: