Wednesday, July 13, 2011

PAPISMA Terengganu Bersama Warga Emas

(Dr. Md Arif Ibrahim)

Program Bersama Warga Emas…satu coretan

Tanggal 2 hb Julai, hari Sabtu, saya telah berkesempatan memberi ceramah kesihatan kepada warga tua di sebuah rumah dekat dengan Cristal View. Sebelumnya, apabila mendapat tahu tempat ceramah itu diberi nama sedemikian, saya mencari-cari sebabnya. Rupa-rupanya ianya dipanggil cristal view kerana kawasan itu terletak berdepan Masjid Kristal di seberang sungai.

Dari kawasan itu, kita boleh nampak dengan jelas masjid tersebut dan kawasan sekitarnya.
Saya telah ditemani oleh Dr Tg Kadir. Saya bersyukur kerana kehadiran beliau menyebabkan perjalanan program menjadi lancar kerana beliau memang mahir dalam bidang IT dan peralatannya. Ceramah bermula sekitar jam 3.30 petang, dimulai dengan ucapan pengerusi majlis, yang merupakan wakil penduduk di situ.

Tajuk ceramah yang saya sampaikan ialah Kesihatan Warga Emas. Kehadiran adalah sekitar 20 orang lebih, kesemuanya perempuan yang telah agak berumur. Apabila saya bertanyakan jumlah yang berumur 60 tahun ke atas, ada juga 3-4 orang yang mengangkat tangan. Rasa bertuah pula apabila dapat berjumpa dan memberi penerangan kesihatan kepada insan yang lebih berusia, yang tentunya lebih banyak amalnya dan luas pengalamannya.

Saya telah cuba menyampaikan penerangan seringkas mungkin dengan bantuan LCD dan amat berharap agar mereka dapat memahaminya. Apabila sampai kepada masalah kesihatan tertentu seperti masalah pendengaran, nyanyuk dan angin ahmar, saya memberi ingatan kepada anak-anak (ada juga yang hadir) supaya tidak menengking dan berkasar dengan orang tua. Bahkan inilah saat dan ketikanya untuk kita menjaga sebaik mungkin kedua orang tua kita walaupun jasa dan budi baik mereka sebenarnya tidak mungkin terbalas.

Ceramah saya mengambil masa sekitar 45 minit dan bersambung dengan sesi soal jawab menjadikan majlis lebih meriah diselang seli dengan gelak ketawa hadirin. Banyak soalan yang telah diajukan sehinggalah azan Asar berkumandang dari masjid berdekatan, barulah kami berhenti. Di akhir majlis, pengerusi menyatakan hasrat untuk mengadakan lebih banyak lagi program seumpama itu untuk memberi kesedaran peri pentingnya menjaga kesihatan dalam usia yang agak lanjut.

Sebelum mengakhiri ceramah saya telah menekankan dua perkara penting:
1. Saya nyatakan yang kita mesti berpegang kepada perinsip “Kita akan tuai hasil apa yang kita tanam”. Adalah amat penting untuk anak-anak menjaga kedua ibubapanya sementara mereka masih hidup. Apa yang kita lakukan kepada orang tua kita sekarang akan berlaku juga kepada diri kita tatkala kita berada di usia tersebut jika dipanjangkan umur oleh Allah. Bahkan mungkin lebih teruk lagi dibandingkan dengan kelakuan buruk kita terhadap orang tua sekarang.
Kebanyakan anak-anak sekarang merasakan mereka lebih terpelajar, lebih pandai dan bijak dari orang tua mereka, lalu mereka suka memperlekeh, mencari kesalahan, menyindir, lebih malang lagi sehingga ada yang meninggikan suara dengan nada marah. Tanpa mereka sedari bahawa mereka dahulu telah dikandung selama sembilan bulan lebih dalam rahim ibu mereka yang kononnya kurang educated, tidak pandai dan kurang bijak itu. Ibu itu jugalah yang telah menyusukan mereka, yang membelai mereka, yang berjaga malam untuk memastikan agar anak yang masih bayi itu terjaga keperluannya. Nah… sekarang kamu sudah menjadi anak yang kurang ajar, tapi awaslah yang kamu tetap akan menuai apa yang kamu tanam sekarang.

2. Jagalah dan jangan sekali-kali meninggalkan solat walaupun ketika uzur dan sakit. Saya menceritakan pengalaman saya semasa di klinik, ada pesakit yang datang, biasanya pesakit kencing manis yang mengalami jangkitan kuman di tangan atau kaki. Mereka meninggallkan solat dengan alasan tidak dapat mengambil air sembahyang. Saya terangkan serba sedikit bahawa wudhu’ itu oleh diambil setakat anggota yang mampu diratai oleh air dan selepas itu, tunaikanlah solat itu. Saya nyatakan kepada mereka bahawa penyakit itu akan lebih cepat sembuh jika mereka tidak meninggalkan solat dan berdoa kepada Allah..dan itulah yang terjadi sebenarnya.

Mengapa mereka meninggalkan solat dan tidak berdoa?, sedangkan yang menyembuhkan penyakit itu ialah Allah. Adapun rawatan yang diambil, walaupun dari yang bergelar doktor pakar sekalipun, ianya adalah ikhtiar semata-mata. Jika kita merasakan yang penyakit kita telah sembuh semata-mata kerana ubat dan rawatan yang diterima, tanpa mengharapkan pertolongan Allah, maka dibimbangi yang kita telah syirik kepadaNya…Na’uzubiLlah.

Saya juga mencadangkan kepada mereka agar tetap melakukan senaman untuk menyihatkan badan. Di antaranya ialah mereka boleh melakukan semanam aerobic ringan secara berjemaah di kawasan lapang berlatarbelakangkan Masjid Kristal itu…sudah tentunya ianya akan lebih rancak dengan diiringan nasyid dan muzik yang sesuai!

Akhirnya saya berharap agar program sebegini dapat dilakukan secara berkala dengan suasana dan perancangan yang lebih baik…Insya Allah.

No comments: