.

PAPAN KENYATAAN



  • PROGRAM-PROGRAM PAPISMA TERENGGANU AKAN DIMAKLUMKAN TAK LAMA LAGI




    Daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah S.A.W. bersabda;
    “Barangsiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah Taala, maka terdengarlah suara yang memanggil dan mengatakan bagus dan bagus langkah mu dan ambillah tempat tinggalmu di dalam syurga.” (HR At-Tirmizi)

    Dari Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda :
    " Barangsiapa yang melapangkan seorang mukmin, suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskan dirinya suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan di hari kiamat."(HR Muslim)

  • JUALAN BUKU


    Hubungi
    Dr. Zaihan Salleh (012-9850123)


  • Hubungi
    Dr. Khatijah Musa (019-9222057)

Saturday, July 30, 2011

Liqa' Di Ambang Ramadhan Dan Majlis Kesyukuran

(Biro IT)

Jumaat, 29 Julai 2011 - Liqa' PAPISMA Terengganu di ambang Ramadhan dan majlis kesyukuran sempena kelahiran anak Dr. Wan Mohd Razin dan Dr. Tuan Norizan yang ke-5 telah berlangsung dengan meriah. Majlis tersebut yang diadakan di rumah Dr. Wan Mohd Razin sendiri telah dihadiri oleh ahli-ahli PAPISMA Terengganu dan beberapa orang ahli keluarga tuan rumah serta naqib PAPISMA Terengganu, Ust. Ismail Dagang dan isteri.

Majlis bermula dengan tazkirah yang dipengerusikan oleh Dr. Wan Mohd Razin sendiri.

Seterusnya, Al-Fadhil Ust. Ismail Dagang menyampaikan tazkiranya dengan mengupas tafsir dan pengajaran dari surah Al-Maa'uun.

Ahli-ahli PAPISMA dan para jemputan sedang mendengar tazkirah dengan penuh khusyuk.

Seterusnya majlis menggunting rambut yang disertai dengan bacaan selawat oleh para hadirin dimulakan. Ust. Ismail memulakan majlis menggunting rambut itu.

Hadirin sedang berselawat.

Kelihatan Pengerusi PAPISMA Terengganu, Dr. Md Arif Ibrahim (kiri) dan Mr. Husain juga turut serta dalam majlis itu.

Muslimat dan anak kecil juga bersama-sama menyertai bacaan selawat.

Masing-masing mengambil peluang untuk menggunting rambut bayi kecil anak Dr. Razin itu.

Dr. Md Arif sedang menggunting rambut bayi tersebut.

Seterusnya majlis upacara tahnik dilakukan oleh Ust. Ismail Dagang. Kelihatan beliau sedang mengunyah kurma...

... lalu disuapkan ke mulut bayi ...

Kemudian Ust. Ismail memberi minum si bayi dengan air zam-zam sambil membaca doa. Mudah-mudahan bayi kecil ini nanti menjadi mujahidah Islam terbilang dan menjadi qurrata a'yun kepada kedua ibubapanya, InsyaAllah.

Majlis ditutup dengan doa yang dibacakan oleh keluarga Dr. Wan Mohd Razin.

Majlis diakhiri dengan jamuan tengahari. Muslimin di luar dan muslimat di dalam. "Makan semua ye... kasi habis hidangan ni. Special menu ni!" Barangkali itulah yang sedang diperkatakan oleh Dr. Wan Mohd Razin sambil melayan tetamu.

"Sedap-sedap belake ni... rugi kalau tak makan semua!" Kelihatan Dr. Md Arif sedang melihat-lihat menu hidangan tengahari itu.

"Sedang molek ah... tengah lapar ni. Makan cepat boleh tambah... hehe". Masing-masing sedang menjamu selera.

Mudah-mudahan majlis yang julung-julung kali diadakan ini akan mendapat berkat dan rahmat Allah SWT. Tahniah kami ucapkan kepada pasangan Dr. Wan Mohd Razin dan Dr. Tuan Norizan dan mendoakan agar urusan mereka akan dipermudahkan oleh Allah SWT.

Wednesday, July 20, 2011

Bencana Ribut : PAPISMA Terengganu Menziarahi Pemimpin Masyarakat

(Biro IT)

PAPISMA Terengganu telah membuat lawatan ziarah kepada pemimpin masyarakat sempena ribut yang melanda Kuala Terengganu baru-baru ini. Majlis secara santai sambil bersarapan pagi itu telah diadakan di rumah YB Hj. Abdul Wahid Endut di rumahnya di Kg. Durian Burung, Kuala Terengganu. Beliau yang juga merupakan ADUN Wakaf Mempelam dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu telah memberikan taklimat serba ringkas dan menjawab persoalan daripada ahli-ahli PAPISMA.

YB Hj. Wahid sedang menyampaikan taklimat.

Sebahagian ahli PAPISMA Terengganu yang sempat hadir mendengar dengan penuh perhatian.

Majlis yang berlangsung selama kira-kira satu jam setengah itu di selang-seli dengan pertanyaan dan berbagai cerita dan pengalaman yang mencuit hati.

YB Hj. Abd. Wahid sangat berterima kasih dengan keprihatinan PAPISMA Terengganu dalam membantu memberikan idea serta meringankan bebanan mangsa ribut di kawasan Kuala Terengganu ini.

Banyak perkara yang telah dicadangkan kepada beliau selaku pemimpin masyarakat bagi menambahbaik apa saja kelemahan yang berlaku. Mudah-mudahan Allah akan membalas segala penat-lelah beliau dalam membantu masyarakat agar hidup dalam keadaan aman dan tenteram.

Saturday, July 16, 2011

Serangan Polis Pada Himpunan Bersih 2.0 - Kenyataan Akhbar PAPISMA

(Presiden PAPISMA)

Beberapa Tindakan Melampau Polis Yang Mengecewakan

Saudara Pengarang,

PAPISMA merakamkan rasa dukacita dengan tindakan pihak Polis Diraja Malaysia yang melakukan 'semburan air berkimia' ke atas Hospital Tung Shin dengan water canon dan melepaskan gas pemedih mata (tear gas) serta menceroboh ke dalam hospital tersebut dalam himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai baru-baru ini. Setelah membaca dan meneliti bukti bergambar dan pengakuan sebelas orang doktor di hospital berkenaan, PAPISMA mengutuk serangan itu kerana ia merupakan perlanggaran terhadap hak asasi manusia. Ia adalah sangat serius dan tidak sepatutnya berlaku di Malaysia apatah lagi dilakukan oleh badan beruniform seperti Polis sebagai pendokong undang-undang dan hak asasi rakyat.

PAPISMA turut merakamkan rasa dukacita apabila Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai telah menafikan serangan itu.

Kekasaran yang dilakukan oleh Polis juga turut berlaku sebagaimana laporan wakil PAPISMA sendiri yang turut memerhatikan perjalanan himpunan tersebut di Menara Maybank. Para peserta himpunan hanya berjalan beramai-ramai yang turut disertai oleh kanak-kanak, orang tua dan wanita. Tetapi secara tiba-tiba mereka ditembak dengan water canon sedangkan wakil kami tidak melihat sebarang keganasan yang dilakukan. Selepas itu mereka ditembak pula dengan gas pemedih mata bertubi-tubi. Sebahagian tembakan gas pemedih mata yang dilakukan itu amat merbahaya kerana dihalakan terus ke hadapan bukan di atas kepala. Wakil kami telah merawat seorang peserta yang telah tercedera di kaki dan dua orang yang pengsan akibat gas pemedih mata itu, manakala seorang lagi cedera di rusuk kiri dengan kesan tapak kasut yang dipercayai akibat kekasaran pihak polis.

Selain itu, kekasaran yang dilakukan kepada seorang mangsa, Allahyarham Baharuddin Ahmad dan kegagalan memberikan bantuan perubatan sehingga menyebabkan kematiannya merupakan kesalahan yang kami anggap serius dan mengecewakan. Begitu juga dengan bukti bergambar yang berlaku kepada Hj. Shuhardi Mohd yang diikat tangannya ke belakang tetapi tidak dibuka semula oleh pihak Polis setelah mengalami kejang otot dan terpaksa bertarung nyawa melebihi 15 minit tanpa sebarang bantuan yang sepatutnya. Semua bukti-bukti ini menunjukkan pihak polis telah gagal menjaga keamanan dan melanggar hak asasi manusia.

Oleh itu, pihak PAPISMA meminta agar pihak Menteri Kesihatan memohon maaf di atas kesilapan fakta yang dilakukan serta mengakui bahawa serangan yang dilakukan ke atas Hospital Tung Shin itu benar-benar berlaku. Kami juga berharap agar pihak kerajaan dapat melakukan penyiasatan yang menyeluruh terhadap pihak polis dan melakukan penambahbaikan ke atas segala kelemahan agar Malaysia tidak dilihat sebagai negara yang melanggar hak asasi manusia dengan sewenang-wenangnya di mata dunia.

Yang benar
A.I Ghazali
Presiden
Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA)

Wednesday, July 13, 2011

PAPISMA Terengganu Bersama Warga Emas

(Dr. Md Arif Ibrahim)

Program Bersama Warga Emas…satu coretan

Tanggal 2 hb Julai, hari Sabtu, saya telah berkesempatan memberi ceramah kesihatan kepada warga tua di sebuah rumah dekat dengan Cristal View. Sebelumnya, apabila mendapat tahu tempat ceramah itu diberi nama sedemikian, saya mencari-cari sebabnya. Rupa-rupanya ianya dipanggil cristal view kerana kawasan itu terletak berdepan Masjid Kristal di seberang sungai.

Dari kawasan itu, kita boleh nampak dengan jelas masjid tersebut dan kawasan sekitarnya.
Saya telah ditemani oleh Dr Tg Kadir. Saya bersyukur kerana kehadiran beliau menyebabkan perjalanan program menjadi lancar kerana beliau memang mahir dalam bidang IT dan peralatannya. Ceramah bermula sekitar jam 3.30 petang, dimulai dengan ucapan pengerusi majlis, yang merupakan wakil penduduk di situ.

Tajuk ceramah yang saya sampaikan ialah Kesihatan Warga Emas. Kehadiran adalah sekitar 20 orang lebih, kesemuanya perempuan yang telah agak berumur. Apabila saya bertanyakan jumlah yang berumur 60 tahun ke atas, ada juga 3-4 orang yang mengangkat tangan. Rasa bertuah pula apabila dapat berjumpa dan memberi penerangan kesihatan kepada insan yang lebih berusia, yang tentunya lebih banyak amalnya dan luas pengalamannya.

Saya telah cuba menyampaikan penerangan seringkas mungkin dengan bantuan LCD dan amat berharap agar mereka dapat memahaminya. Apabila sampai kepada masalah kesihatan tertentu seperti masalah pendengaran, nyanyuk dan angin ahmar, saya memberi ingatan kepada anak-anak (ada juga yang hadir) supaya tidak menengking dan berkasar dengan orang tua. Bahkan inilah saat dan ketikanya untuk kita menjaga sebaik mungkin kedua orang tua kita walaupun jasa dan budi baik mereka sebenarnya tidak mungkin terbalas.

Ceramah saya mengambil masa sekitar 45 minit dan bersambung dengan sesi soal jawab menjadikan majlis lebih meriah diselang seli dengan gelak ketawa hadirin. Banyak soalan yang telah diajukan sehinggalah azan Asar berkumandang dari masjid berdekatan, barulah kami berhenti. Di akhir majlis, pengerusi menyatakan hasrat untuk mengadakan lebih banyak lagi program seumpama itu untuk memberi kesedaran peri pentingnya menjaga kesihatan dalam usia yang agak lanjut.

Sebelum mengakhiri ceramah saya telah menekankan dua perkara penting:
1. Saya nyatakan yang kita mesti berpegang kepada perinsip “Kita akan tuai hasil apa yang kita tanam”. Adalah amat penting untuk anak-anak menjaga kedua ibubapanya sementara mereka masih hidup. Apa yang kita lakukan kepada orang tua kita sekarang akan berlaku juga kepada diri kita tatkala kita berada di usia tersebut jika dipanjangkan umur oleh Allah. Bahkan mungkin lebih teruk lagi dibandingkan dengan kelakuan buruk kita terhadap orang tua sekarang.
Kebanyakan anak-anak sekarang merasakan mereka lebih terpelajar, lebih pandai dan bijak dari orang tua mereka, lalu mereka suka memperlekeh, mencari kesalahan, menyindir, lebih malang lagi sehingga ada yang meninggikan suara dengan nada marah. Tanpa mereka sedari bahawa mereka dahulu telah dikandung selama sembilan bulan lebih dalam rahim ibu mereka yang kononnya kurang educated, tidak pandai dan kurang bijak itu. Ibu itu jugalah yang telah menyusukan mereka, yang membelai mereka, yang berjaga malam untuk memastikan agar anak yang masih bayi itu terjaga keperluannya. Nah… sekarang kamu sudah menjadi anak yang kurang ajar, tapi awaslah yang kamu tetap akan menuai apa yang kamu tanam sekarang.

2. Jagalah dan jangan sekali-kali meninggalkan solat walaupun ketika uzur dan sakit. Saya menceritakan pengalaman saya semasa di klinik, ada pesakit yang datang, biasanya pesakit kencing manis yang mengalami jangkitan kuman di tangan atau kaki. Mereka meninggallkan solat dengan alasan tidak dapat mengambil air sembahyang. Saya terangkan serba sedikit bahawa wudhu’ itu oleh diambil setakat anggota yang mampu diratai oleh air dan selepas itu, tunaikanlah solat itu. Saya nyatakan kepada mereka bahawa penyakit itu akan lebih cepat sembuh jika mereka tidak meninggalkan solat dan berdoa kepada Allah..dan itulah yang terjadi sebenarnya.

Mengapa mereka meninggalkan solat dan tidak berdoa?, sedangkan yang menyembuhkan penyakit itu ialah Allah. Adapun rawatan yang diambil, walaupun dari yang bergelar doktor pakar sekalipun, ianya adalah ikhtiar semata-mata. Jika kita merasakan yang penyakit kita telah sembuh semata-mata kerana ubat dan rawatan yang diterima, tanpa mengharapkan pertolongan Allah, maka dibimbangi yang kita telah syirik kepadaNya…Na’uzubiLlah.

Saya juga mencadangkan kepada mereka agar tetap melakukan senaman untuk menyihatkan badan. Di antaranya ialah mereka boleh melakukan semanam aerobic ringan secara berjemaah di kawasan lapang berlatarbelakangkan Masjid Kristal itu…sudah tentunya ianya akan lebih rancak dengan diiringan nasyid dan muzik yang sesuai!

Akhirnya saya berharap agar program sebegini dapat dilakukan secara berkala dengan suasana dan perancangan yang lebih baik…Insya Allah.