Wednesday, June 1, 2011

(Biro IT)

Dari Kolum Presiden PAPISMA Ke-12 (KPP12)

AGENDAKAN BAITUL MUSLIM DALAM PAPISMA

Sahabat-sahabiah Sekalian..

Setiap kita mengimpikan rumahtangga bahagia. Rumah yang berseri dengan suami isteri yang saling kasih-mengasihi dan sayang-menyayangi. Keluarga yang berseri dengan hilai tawa anak-anak. Keluarga yang diserikan dengan warna-warni kehidupan yang membahagiakan. Ditambah dengan kehidupan yang diserikan dengan syariat Islam sehingga melahirkan suasana yang soleh dan taqwa.
”Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan dijadikan di antara kamu perasan kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berfikir” (Ar-Rum: 21)

Namun tidak semua keinginan itu tercapai. Banyak rumah tangga yang tidak menjadi. Harapkan panas sampai ke petang namun hujan di tengahari. Ada yang tidak dikurniakan zuriat meskipun puas mencuba dan berubat. Ada yang beroleh zuriat sempurna, tetapi gagal menjadi anak yang soleh. Malah banyak juga rumahtangga hanya terbina dari segi fizikal, dalamannya porak peranda seperti neraka.

Adakah semua itu suratan takdir? Barangkali ia takdir yang telah ditentukan oleh Allah, namun takdir boleh berubah dengan usaha dan doa. Itulah yang ingin kita bicarakan kerana kita mempunyai upaya untuk mengubah nasib kepada yang lebih baik.

PAPISMA ADALAH SATU KUMPULAN YANG UNIK
Kita menyedari bahawa kita adalah insan bertuah yang dipilih Allah untuk berada dalam PAPISMA. Ertinya kita adalah profesional di bidang kesihatan yang mendapat tarbiyah Islam dan tarbiyah jama'i secara berterusan samada sejak berada di dalam kampus ataupun di luar kampus. Ini bermakna ahli-ahli PAPISMA merupakan insan yang sedar siapa dirinya, apa tanggungjawabnya, ke mana arah tujuannya dan bersedia untuk mengorbankan dirinya demi Islam. Oleh itu, kumpulan PAPISMA merupakan suatu kumpulan yang unik dan jarang terdapat di mana-mana malah mungkin tidak ada sama sekali di Malaysia ketika ini.

Dalam masyarakat, samada sedar ataupun tidak ahli-ahli PAPISMA menjadi ikon untuk sesiapa saja. Bagi kanak-kanak mereka melihat profesionalisme PAPISMA sebagai profesion cita-citanya. Bagi orang tua mereka melihat ahli-ahli PAPISMA adalah insan yang sentiasa membantu dalam masalah kesihatan mereka sehingga ke tempat mereka malah ke rumah mereka. Bagi para pemuda ahli-ahli PAPISMA dijadikan sumber motivasi bagi mereka. Begitu juga bagi si miskin, si kaya, si cacat dan kurang upaya, para pemimpin dan lain-lain semuanya melihat ahli-ahli PAPISMA adalah insan yang sentiasa sudi memberikan bantuan yang tidak mampu diberikan oleh orang lain. Ini menyebabkan ahli PAPISMA merupakan orang yang terpandang dalam masyarakat.

SUATU UJIAN DALAM PAPISMA
Namun begitu, Allah menjadikan setiap manusia dan golongan itu ada cabarannya sendiri. Kehebatan dan keunikan PAPISMA juga tidak terlepas dari cabaran dan ujiannya terutama dalam hal baitul muslim. Bersyukurlah bagi mereka yang mampu melepasi ujian ini dan kita mengharapkan agar seluruh ahli PAPISMA akan mampu melepasinya juga.

Cabaran pertama ialah kesediaan ahli memilih dan menerima bakal pasangan dari kalangan mereka yang berada di lapangan amal jama'i. Cabarannya lebih tinggi kepada pihak muslimah berbanding pihak muslimin. Ini menyebabkan lebih ramai ahli-ahli muslimah PAPISMA yang belum berumahtangga meskipun mereka telah bekerja dan bersedia untuk itu.

Mengapa perkara ini berlaku? Antaranya ialah kurangnya memberi keutamaan untuk mendirikan rumah tangga yang bermatlamatkan amal jama'i atau perjuangan. Barangkali mereka lebih suka memikirkan untuk mencari pasangan yang beragama sahaja, namun tidak meneliti dari sudut perjuangan. Kedua, tidak memanfaatkan sumber yang ada untuk mendapatkan pasangan.

Ketika berada di dalam kampus, bersama dalam pelajaran, bersama dalam persatuan, bersama dalam perjuangan... meskipun dalam pergaulan yang berlandaskan syariat, adakah mereka tidak mengenali dan menginginkan agar seseorang itu menjadi pasangannya? Allah telah menetapkan mereka untuk berada di dalam golongan yang sekufu dari sudut bidang tugas dan kefahaman, tentunya terdapat hikmah Allah untuk mereka membina kehidupan berumahtangga dengan pasangan seperjuangan. Namun apabila perasaan ini wujud, ramai di kalangan mereka yang memendamkannya sahaja terutama di kalangan muslimat kerana halangan perasaan malu, menyangka masih terlalu awal, takut orang kata dan sebagainya.

Akibat daripada itu, beberapa perkara mungkin berlaku. Antaranya:
1. Orang yang diingininya memilih orang lain menyebabkan dirinya kecewa.
2. Orang lain datang meminang yang bukan dari kalangan rakan seperjuangan.
3. Memilih orang lain kerana menyangka dirinya tidak sesuai untuk rakan seperjuangan.
... akhirnya mereka tidak mempunyai pasangan sehingga keluar kampus dan bekerja.

Apabila telah melangkah keluar kampus, ternyata lebih sukar mencari pasangan. Apatah lagi telah menjadi orang yang sangat sibuk dan disegani masyarakat. Tidak ramai yang berani 'bertanya khabar'. Melihat kesibukan seorang doktor, ramai yang 'angkat tangan'. Terlihat berat mata memandang, berat lagi jika telah menjadi pasangan. "Aku tidak sekufu dengannya..." Keluh seorang pemuda. Sukarnya bagi seorang yang berjawatan tinggi mendapat pasangan hidup setelah berada di luar kampus. Lebih sukar dari seorang guru KAFA dan kerani sekolah.

Oleh itu, manfaatkanlah masa emas ketika di kampus. Siapa yang lebih memahami tugas kita kalau tidak sahabat kita? Siapa yang lebih memahami gerakerja kita kalau tidak sahabat kita? Siapa yang lebih memahami hasrat hati kita untuk membina baitul muslim demi meneruskan kerja-kerja amal jama'i kalau tidak di kalangan kita? Maka, tidak sayugia perasaan malu, takut dan lainnya menjadi penghalang niat suci yang akan membanggakan Nabi.

PENYELESAIAN YANG TELAH DITUNJUKI NABI
Sememangnya fitrah manusia telah diciptakan oleh Allah tidak dapat lari dari ingin berpasangan (berkahwin). Apatah lagi apabila sampai usianya. Tidak kira ketika itu dia seorang pelajar ataupun sudah bekerja. Sirah Nabi telah menjelaskan bahawa Siti Khadijah r.ha sendiri yang mula mencintai Rasulullah SAW lantas menyuarakan keinginannya melalui orang tengah yang dipercayai iaitu Nafisah binti Manbah agar merisik Rasulullah SAW untuk dirinya. Rasulullah SAW menyambut baik tawaran itu dan memberitahu kepada bapa-bapa saudaranya. Akhirnya melalui bapa saudara baginda yang bernama Amru bin Asad, Rasulullah meminang Khadijah r.ha. Jika direnung kembali, bukankah peristiwa ini sungguh memberikan erti yang cukup relevan untuk penyelesaian masalah baitul muslim di kalangan ahli-ahli PAPISMA? Sunnah itu telah ditunjukkan oleh Allah dengan jalan terbaik yang dilakukan oleh baginda, maka bukankah sewajarnya kita perlu mengikuti sesuatu yang terbaik dari Rasulullah SAW sendiri?

KENAPA UNIT BAITUL MUSLIM?
"Kalaulah ada tempat mengadu...." Fatimah mengeluh...
"Ada..." Jawab Muslihah lembut yang merupakan kawan baik Fatimah selama ini.
"Siapa?" Tanya Fatimah pantas.
Muslihah berfikir sejenak. "Ustazah Solehah kan dia naqibah kita.. Apa kata kalau kita minta tolong dia?" Jawab Muslihah yakin.
"Ishh... tak naklah... aku seganlah kat dia..." Fatimah memuncungkan bibirnya tidak setuju. Setelah beberapa minit berfikir, dia berkata lagi; "Engkau tak boleh ke uruskan untuk aku?" Soal Fatimah lagi.
Muslihah agak terkejut, berfikir sejenak lalu berkata; "Kalau engkau percaya kat aku, okey. Aku akan uruskan untuk engkau!"
"Tapi ingat! biar pecah di perut jangan pecah di mulut tau!" Fatimah memegang kemas tangan Muslihah. Mereka berdua ketawa sambil meninggalkan tempat tersebut dengan riang.

Itu merupakan sebahagian dari gambaran perjalanan Unit Baitul Muslim (UBM). Peringkat inilah peringkat yang sangat sukar. Untuk mengatakan "ya" ataupun "tidak". Jika peringkat ini dapat dilepasi, peringkat seterusnya menjadi lebih mudah. Dengan adanya orang tengah sebagai tempat mengadu akan menjadikan gerakerja bagi mencapai matlamat baitul muslim dapat dilaksanakan. Kadangkala orang tengah itu adalah sahabat baik si calon sendiri. Kadangkala orang tengah itu adalah UBM kerana si calon tidak mahu meluahkan rahsia hatinya kepada sesiapa. Ini biasa berlaku secara informal. Dengan adanya sistem dan institusi UBM, ianya menjadi lebih mudah dan berkesan.

Gerakerja UBM ini hanya akan berlangsung bila diberi kepercayaan oleh calon. Manakala kepercayaan adalah amanah yang semestinya dipelihara secara profesional oleh UBM sebagaimana kepercayaan mereka yang mengamanahkannya. Perlu diingat, perasaan hati merupakan rahsia yang sangat dalam. Rasa malu bagi si calon sangat besar. Lebih besar dari sebuah gunung yang akan menghempap dirinya. Hanya orang yang sangat dipercayai sahaja yang boleh berkongsi isi hatinya. Namun, tidak semua orang boleh memberikan kepercayaan kepada orang yang sama. Jadi, semua orang perlu berperanan menjadi orang tengah bagi sahabatnya. Ada ketikanya si calon tidak meminta orang tengah menguruskannya, tetapi apabila 'kesnya' sampai ke pengetahuan UBM (melalui orang tengah tersebut), maka pihak UBM akan segera menyelesaikannya bagi pihak calon.

Ada juga kes tertentu yang si calon tidak pernah mengadu. Seperti tidak risau dan mengendahkan soal baitul muslim. Hidupnya seperti biasa, ceria, cergas dalam apa jua... Sahabat-sahabatnyalah yang perlu berperanan memikul tanggungjawab bertanya khabar dan seterusnya menyelami isi hati mereka. Dalam beberapa kes, UBM sendiri juga perlu berperanan sedemikian.

PENTINGNYA MEMBINA BAITUL MUSLIM
Ahli-ahli PAPISMA perlu sedar akan hakikat perkahwinan yang perlu dibina demi penerusan perjuangan. Binalah gambaran yang terindah bagi menjadikan indahnya alam perkahwinan apabila dilakukan atas matlamat perjuangan. Jika kita berjaya mewujudkan bahawa perjuangan itu matlamat paling utama, maka keinginan-keinganan nafsu yang lain itu boleh diletakkan ke tepi. Tidak keterlaluan kalau dinyatakan bahawa kebanyakan dari kita masih meletakkan kecantikan dan sifat-sifat fizikal yang lain di tempat pertama. Ada juga yang menambahkan kedaerahan antara syaratnya. Ini semua akan membantutkan kejayaan kita. Rasulullah SAW sendiri mengahwini Saudah bt. Zam'ah r.ha yang pada ketika itu sudahpun berumur lanjut, menikahi Zainab binti Jahsy r.ha yang merupakan bekas isteri anak angkatnya sendiri. Menikahi Mariah Al-Qibtiyah seorang hamba dari Mesir yang beribu kilometer jaraknya. Malah semua isteri Rasulullah SAW merupakan janda kecuali Aisyah r.ha. Bukankah contoh terbaik dari baginda bahawa perkahwinan yang terbaik ialah perkahwinan demi perjuangan?

PEMBINAAN BAITUL MUSLIM MEMUDAHKAN PERJUANGAN
Baitul muslim yang terbina sesama ahli PAPISMA akan memudahkan perjuangan. Masing-masing telahpun faham dan bersedia untuk menginfakkan diri dan masa untuk amal jama'i. Tidak perlu memperuntukkan masa tambahan untuk 'mentarbiyah' pasangan sebelum mendapat lampu hijau untuk aktiviti jamaah apatah lagi dalam kesibukan tugas yang tidak mengenal masa. Malah masing-masing boleh bahu-membahu dalam memikul tugas dan amanah amal jama'i disamping bantu-membantu dalam menyelesaikan tugasan rumahtangga. Salah faham menjadi rkurang, anak-anak dapat membina kecemerlangan syahsiyah dan pendidikan dalam suasana rumah tangga yang harmoni dan bi'ah yang solehah. Rumahtangga akan menjadi harmoni dan memancarkan cahaya hidayah. Semua urusan menjadi lebih mudah dan ringan. Hanya perlu fokus untuk mencari redha dan syurga Allah melalui amanah kerja dan amanah gerakerja amal jama'i. Bukankah ini merupakan suatu yang cukup indah dalam pembinaan baitul muslim?

Sememangnya tidak semua perancangan itu akan dapat terlaksana sepenuhnya. Malah ada yang mempunyai pasangan yang sama-sama faham, tiba-tiba menjadi pasif apabila berhadapan dengan ujian kehidupan di dalam masyarakat. Jika ini berlaku, itu semua adalah pilihan individu. Di peringkat PAPISMA kita perlu melaksanakan yang terbaik untuk mereka. Usaha kita adalah untuk mengurangkan 'keciciran' dan meningkatkan ahli yang komited. Kita serahkan kepada Allah selebihnya kerana hanya kepada-Nya kita bertawakal.

Apapun, PAPISMA tidak pernah menghalang ahli dari memilih pasangan dari kalangan orang lain selain PAPISMA asalkan matlamat akhir kita tidak terpesong iaitu untuk Islam dan amal jama'i. Hanya dari sudut perjuangan, semestinya PAPISMA sentiasa mengharapkan agar semua permasalahan termasuk baitul muslim dapat diselesaikan dengan cara yang sebaiknya.

Al-Faqir Ilallah

Awisul Islah Ghazali

Presiden Papisma 2010-12

No comments: