.

PAPAN KENYATAAN



  • PROGRAM-PROGRAM PAPISMA TERENGGANU




    Daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah S.A.W. bersabda;
    “Barangsiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah Taala, maka terdengarlah suara yang memanggil dan mengatakan bagus dan bagus langkah mu dan ambillah tempat tinggalmu di dalam syurga.” (HR At-Tirmizi)

    Dari Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda :
    " Barangsiapa yang melapangkan seorang mukmin, suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskan dirinya suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan di hari kiamat."(HR Muslim)

  • JUALAN BUKU


    Hubungi
    Dr. Zaihan Salleh (012-9850123)


  • Hubungi
    Dr. Khatijah Musa (019-9222057)

Saturday, May 28, 2011

SMART PAPISMA Kembali Berkhidmat

Biro IT

Alhamdulillah, setelah 4 bulan berlalu pergi dengan penuh kesibukan dan kenangan, tahun 2011 kembali diceriakan dengan program SMART PAPISMA melalui kempen 2K-nya. Kali ini SMART PAPISMA mengadakan program dengan kerjasama Khairunnisa' Terengganu memandangkan di perkampungan ini, persatuan ini sangat aktif dalam membuat program-program untuk remaja dan ibubapa dalam membantu dan meningkatkan prestasi hidup mereka.

Selama lebih kurang 2 minggu persiapan dilakukan, akhirnya pada pagi 27 Mei 2011, seramai lima orang ahli PAPISMA Terengganu bertolak menuju ke Kg. Pengkalan Star, Marang dalam keadaan hujan renyai-renyai. Tapak program yang jaraknya kira-kira 10 km dari bandar Kuala Terengganu ini masih agak sunyi dibalut kedinginan suasana sejuk akibat hujan di awal pagi lagi.

Sesampainya rombongan kami di sana hujan telahpun berhenti. Sepanduk telahpun digantung di bahagian luar pagar bagi memberitahu penduduk tapak program yang akan diadakan.

Sepanduk SMART PAPISMA yang sentiasa menemani ke mana saja SMART pergi.

Pihak Khairunnisa' juga menyediakan sepanduk yang berasingan.

Suasana pukul 9.00 pagi yang masih sejuk. Berlatarbelakangkan sungai dan pokok nipah yang indah dan menyejukkan mata memandang. Kelihatan beberapa orang ahli jawatankuasa Khairunnisa' setia menunggu kehadiran penduduk kampung.

Tanpa melengahkan masa, persiapan menyediakan peralatan multimedia terus dilakukan.

Kira-kira pukul 10 pagi, majlis dimulakan dengan dipengerusikan oleh Ketua Khairunnisa'.

"Kami sangat mengalu-alukan kehadiran para doktor dan tetamu sekalian. Apa yang penting kita dapat mengetahui tentang maklumat kesihatan dan tahap kesihatan selepas ini..." Tn. Haji Yahya mewakili penduduk kampung menyampaikan ucapan.

Seterusnya ceramah 2K disampaikan oleh Pengerusi PAPISMA Terengganu, Dr. Md Arif.

Sebahagian penduduk yang hadir memberikan tumpuan kepada ceramah 2K yang disampaikan.

Para doktor PAPISMA juga tidak ketinggalan memberikan perhatian kepada ceramah yang disampaikan kerana berbagai-bagai isu baru yang cukup menarik telah disentuh.

"Inilah akibatnya kalau hidup tidak dipandu dengan iman. Bayi yang tidak berdosa dibuang tanpa belas kasihan. Hukuman akhirat tidak diendahkan..." Begitu lantang dan bermotivasi sekali Dr. Md Arif memberikan ceramahnya.

Selepas ucapan dan ceramah yang mengambil masa kira-kira 50 minit, pemeriksaan kesihatan percuma terus dilakukan. Beberapa ubat penting juga dibawa bagi diberikan kepada penduduk yang memerlukan ubat dengan segera seperti darah tinggi.

Kelihatan para petugas SMART PAPISMA sedang sibuk menjalankan pemeriksaan. Dari kiri (memakai vest) Dr. Norhaizi, Dr. Roslan dan Dr. Md Arif.

Para penduduk sedang setia menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan.

"Bukan senang nak dapat doktor datang ke kampung kita ni..." Mungkin itu yang sedang difikirkan dan diperkatakan oleh mereka.

"Janganlah aku ada darah tinggi pulak... lama tak cek ni..." Pakcik-pakcik juga sabar menanti giliran.

"Gula dalam darah kakak normal. Kakak tak perlulah berpantang sangat ye..." Dr. Norhasimah sedang menasihati seorang penduduk.

"Meter ni tak berapa nampak la... gerok ke dok ni?" Serius sekali Dr. Arif menjalankan tugasnya.

"Jap kak ye... Nak kena cek sekali lagi ni..." Kak Han juga tak menang tangan nampaknya.

"Darah abang tinggi sikit ni. Nanti saya cek gula dalam darah pulak ye." Abang Lan sedang melakukan ujian untuk mengetahui tahap gula dalam darah.

Pn. Hjh. Zarani, Ketua Khairunnisa' (belakang) sedang memerhatikan pemeriksaan yang sedang berjalan bagi memastikan perjalanannya lancar.

"Terima kasih semua... harap sudi datang lagi buat program di sini." Masing-masing sedang mengemaskan barang-barang setelah progam selesai.

Berakhirlah sudah khidmat SMART PAPISMA yang dijalankan pada kali ini. 65 orang penduduk telah menjalani pemeriksaan dan kaunseling. Berbagai penyakit baru telah dikesan dan mereka dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan susulan dari klinik berhampiran atau terus ke Hospital Sultanah Nur Zahirah. Semoga segala usaha dan pengorbanan yang dicurahkan akan memberikan manfaat kepada penduduk dalam mengubah persepsi terhadap masalah yang berlaku di sekeliling mereka apatah lagi yang melibatkan remaja. Apa yang penting, mereka faham bahawa usaha tepenting yang dapat mengatasi masalah yang berlaku ialah kembali kepada Al-Quran dan Sunnah iaitu dengan memberikan kefahaman agama selengkap yang mungkin kepada anak-anak. Itulah penyelesaian yang terbaik untuk umat.

Monday, May 23, 2011

Meraikan Petugas KKP-9

Biro IT

Setelah bertungkus lumus sejak bulan Januari 2011 sehingga terlaksananya Konvensyen Kebangsaan PAPISMA ke-9 (KKP-9), maka sebagai menghargai jasa dan pengorbanan ahli yang bersama-sama menyinsing lengan dan menitiskan keringat, mereka semua diraikan di dalam satu majlis ringkas yang penuh memori di Paradise Deluxe, Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

Tarikh 17 Mei 2011, hari Selasa, ruang makan tingkat satu Paradise Deluxe mula dipenuhi sebaik saja selepas solat Isyak.

Sebelum acara bermula, tayangan DVD video klip KKP-9 ditayangkan sebagai penyeri suasana.

Video yang juga berlatarbelakangkan lagu-lagu nasyid menjadikan majlis terasa tenteram sambil melayari memori yang dilalui semasa bertugas di Bukit Keluang Beach Resort itu.

Kak Lin (Dr. Azlin) kiri sekali dan Dr. Tuan Norizan, kanan sekali bersama keluarga turut menikmati suasana itu.

Menu yang cukup enak disajikan menunggu masa untuk dijamah.

Pengerusi Majlis yang merupakan Pengerusi PAPISMA Terengganu, Dr. Md Arif memulakan majlis dengan bacaan Al-Fatihah.

"Berat tu memang berat, tapi kalau Terengganu diamanahkan lagi, saya sanggup memikul amanah itu!" Dr. Wan Mohd Razin yang merupakan Timbalan Pengerusi PAPISMA Terengganu, merangkap Pengarah KKP-9 menyampaikan ucapan sambil berkongsi pengalaman manis KKP-9.

Naqib usrah umum PAPISMA Terengganu, Ust. Ismail Dagang menyampaikan ucapan.

"Fuh! Sedap sungguh makanan kat sini... Buat makan acap-acap tak apa..." Mungkin itulah yang sedang diluahkan oleh Dr. Md Arif.

"Tambah lagi. tambah lagi... kurang boleh order lain..." Dari kiri (bermula tudung coklat) Dr. Norhasimah Ismail (Setiausaha PAPISMA Terengganu), Dr. Najihah Mahfuzah, Dr. Fadhilah dan Dr. Nurul Atikah bersama anak-anak Kak Han.


"Kalau nak makan dengan sudu, haah buat macam ni..." Bersungguh nampaknya Dr. Tuan Norizan (menghadap kamera bertudung gelap) mengambil lauk sambil diperhatikan oleh anak-anaknya.

"Saya tambah dulu ni, lauk banyak lelaki sorang je ni..." Nampaknya Mr. Hussain (baju biru) sekeluarga dikhususkan mendapat satu meja eksklusif...

"Ni macam meja VIP..." Sebenarnya tidak ada meja VIP. Tapi kebetulan para naqib PAPISMA Terengganu sampai awal, mereka duduk semeja untuk mudah berbual-bual sesama mereka. Kelihatan dari kiri, Ust. Bob (berkopiah putih dan berkemeja-T putih merupakan naqib usrah muslimin), Dr. Ilham, Dr. Roslan, ayah Ust. Ismail Dagang, Ust. Ismail Dagang (terlindung), Tuan Haji Sabri (suami Kak Lin), Ust. Ismail Osman (membelakangkan kamera, suami Ustazah Suhaimah - naqibah usrah muslimat) dan Dr. Wan Mohd Razin.

"Makan sorang pun soranglah..." Dr. Termizy yang merupakan Timbalan Pengarah KKP-9 sampai lewat kerana on-call pada malam itu. Namun masih sempat meraikan majlis yang diadakan.

"Eh... Sampai lewat, tapi dapat cenderahati awal..." Dr. Termizy menerima cenderahati. Mungkin mengutamakan kesibukan dan tugas, dibimbangi tak sempat menerima cenderahati dah dipanggil untuk bertugas semula.

"Terima kasih ustaz." Dr. Norhasimah menerima cenderahati.

"Hadiah ni mahal tau, jangan simpan je..." Dr. Fadhilah menerima cenderahati.

"Ingatkan nak beri dua tadi..." Mungkin itu jenaka Kak Lin selepas menerima cenderahati.

"Oh.. saya dapat juga ustaz?" Tn. Hj. Sabri ahli PAPISMA Bersekutu yang ringan tulang membantu dan menjayakan KKP-9 yang lalu turut diraikan dengan cenderahati.

"Macamana pulak ana boleh dapat ni?" Ust. Ismail Dagang, naqib yang berjasa memberikan inspirasi. Menyampaikan ilmu dalam kesibukan berulang-alik antara Terengganu, Johor dan Brunei. Namun sebulan sekali tetap meluangkan masa bersama PAPISMA Terengganu.

"Ana dapat juga?" Ust. Dr. Burhanuddin (Ust. Bob) turut diraikan kerana jasanya yang cukup banyak sejak sebelum PAPISMA Terengganu mempunyai organisasi lagi beliau telah menjadi naqib muslimin yang cukup konsisten.

"Terima kasih bang..." Ustazah Suhaimah, isteri Ust. Ismail Osman (yang menyampaikan hadiah) sememangnya orang yang menjadi tulang belakang tarbiyah muslimat PAPISMA Terengganu.

"Dah kenyang... kami nak balik!" Sebelum beredar, Kak Han (tengah) sempat posing bersama Kak Za (kiri, isteri Ust. Bob) dan Ustazah Suhaimah yang mesra dengan panggilan Kak Su (kanan).

Kepada mereka yang tidak sempat menghadirkan diri pada malam itu, jasa mereka tetap dikenang. Cenderahati mereka akan disampaikan kemudian. Namun apa yang penting kebersamaan akan meningkatkan ukhuwah. Yang berat sama dipikul maka ia akan menjadi ringan. Penat lelah menggalas amanah tidak terasa apabila kejayaan yang ditempa. Apatah lagi ikhlas menjadi niat yang utama. Meskipun tidak mendapat sebarang penghargaan berharga di dunia, Allah yang Maha Kaya akan menyediakan ganjarannya di syurga... Amin.

Thursday, May 19, 2011

Martabatkan Amal Islami Dalam Dunia Kesihatan

Biro IT

(Dipetik dari Kolum Presiden PAPISMA - KPP11)

Martabatkan Amal Islami Dalam Dunia Kesihatan

Assalamualaikum Wbt

Sahabat-sahabiah semua,

Maksud Firman Allah SWT:

Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (ugama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.- `Al Baqarah 262’-

Salah-satu berita gembira yang baru sahaja kita semua lalui dan masih lagi kita terasa kehangatannya ialah Pelancaran buku sulung PAPISMA terbitan PTS berjudul Fikah Perubatan. Walaupun pada waktu dan ketika ini hanya ada sebuah sahaja buku tersebut yang benar-benar telah dicetak dan yang selainnya sedang menunggu giliran, kita telah menerima khabar gembira kerana tempahan dalaman daripada ahli-ahli PAPISMA sahaja sudah menghampiri 400 buah. Juga pelbagai pertanyaan datang dari segenap jurusan perubatan dan kesihatan bersekutu dari seluruh dunia termasuklah Indonesia, United Kingdom, Mesir, Jordan, Ukraine dan lain-lain bertanyakan khabar.

Semua ahli ternanti-nantikan buku ini dan pelbagai perancangan awal telah difikirkan oleh ahli. Ada yang merancang untuk meletakkan buku tersebut di perpustakaan-perpustakaan awam, ada yang merancang untuk meletakkannya di wad-wad hospital, ada yang merancang untuk menjadikannya sebagai hadiah dan cenderamata istimewa pada kawan-kawan serta pelbagai rancangan lagi telah difikirkan oleh kita terhadap buku tersebut.

Tahniah dan terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kepada empat tenaga utama yang telah bersungguh-sungguh menjayakan penulisan dan penerbitan buku tersebut sehingga akhirnya tertunailah harapan dan cita-cita yang telah begitu lama kita pendamkan. Penulisan dan penerbitan buku ini adalah unik kerana ianya ditulis dan digarap oleh dua orang pakar perubatan dan dua orang pakar dalam bidang syariah. Lebih unik kerana ia melibatkan gabungan jantina yang lengkap, seorang pakar perubatan muslim, seorang pakar syariah muslim, seorang pakar perubatan muslimah dan seorang pakar syariah muslimah. Satu gabungan yang sukar dicari, saling lengkap-melengkapi, meng`ulama’kan profesional, memprofesionalkan ulama’, mungkin boleh dijadikan satu kiasan mudah.

Buku tersebut yang selama ini begitu ditunggu-tunggu oleh adik-adik pelajar perubatan khususnya kerana bakal memberi jawaban terhadap kemusykilan-kemusykilan yang timbul semasa mempraktikkan ilmu perubatan moden sangat wajar di bincang, di usrahkan serta dijadikan bahan wacana ilmiah. Buku ini yang ditulis dalam bahasa yang agak mudah, bukan sahaja khusus untuk bacaan tenaga kesihatan tetapi adalah untuk semua umat mengambil menafaat daripadanya. Ia bukan khusus untuk umat Islam sahaja tetapi ia perlu disebar luaskan di kalangan kawan-kawan kita yang tidak beragama Islam supaya mereka lebih memahami akan maslahah-maslahah dan kepentingan serta keperluan umat Islam di dalam melaksanakan amalan Islam di dalam kehidupan seharian. Sekiranya keperluan penganut-penganut `Jehovah Witnesses’ selalu di war-warkan di dalam buku-buku perubatan dan sangat dihormati, maka adalah sangat wajar kita selaku tenaga perubatan Islam membantu di dalam memartabatkan amal Islami di dalam dunia kesihatan yang pesat berkembang ini.

Suatu ketika dahulu, isu pakaian petugas kesihatan wanita adalah isu utama yang menjadi perbincangan ummah. Lalu kesesuaiannya dengan syariah telah diperjuangkan oleh jemaah Islam sama ada melalui pentas NGO atau pentas politik. Kesan daripada usaha yang bersungguh-sungguh dan istiqamah itu telah menimbulkan keputusan yang begitu baik sekali. Salah satu daripada pakaian petugas kesihatan wanita yang sopan dan mengikuti ciri-ciri yang dipesankan oleh Baginda SAW hari ini adalah pakaian petugas kesihatan wanita di negara kita.

Oleh itu usaha untuk memartabatkan amal Islami di dalam dunia kesihatan ini perlu dijalankan secara berterusan, bersungguh-sungguh dan istiqamah sepanjang zaman. Pada masa-masa yang tertentu perlu ada momentum baru untuk melonjakkan kembali gegaran dan laungan memartabatkan amal Islami di dalam dunia kesihatan hari ini. Penulisan dan penerbitan buku Fikah Perubatan ini sangat wajar kita jadikan sebagai suatu momentum baru bagi melonjakkan kembali laungan dan gegaran MEMARTABATKAN AMAL ISLAMI di dalam dunia kesihatan hari ini.

Sesungguhnya buku edisi pertama ini sudah pastilah mempunyai beberapa kekurangan tertentu dan bukanlah sebuah teks yang lengkap sepenuhnya. Ianya masih memerlukan tambahan-tambahan dan suntingan dari semasa ke semasa untuk menjadikannya sebuah teks yang lebih lengkap. Kita menyeru dan menunggu agar akan ada di kalangan pembaca sekalian yang akan memberikan komen-komen membina ke arah menghasilkan sebuah buku Fikah Perubatan yang lebih lengkap dan kontemporari sifatnya pada masa yang akan datang.

Semoga rahmat dan ihsan Allah bersama kita.

Wassalam.

Al-Faqir Ilallah

A.I Ghazali

Presiden PAPISMA 2010-2012

Wednesday, May 18, 2011

Pandangan PAPISMA Terengganu Terhadap Isu Sumpah Laknat

(Biro IT)

Isu sumpah laknat merupakan isu yang termaktub di dalam perundangan Islam. Ia adalah perkara biasa. Namun ia menjadi luar biasa apabila golongan politik menjadikannya sensasi atas kepentingan tertentu. Oleh itu, sebagai badan NGO yang profesional, PAPISMA Terengganu mempunyai pendirian yang telus dan tulus. Masyarakat perlu tahu dan faham akan kedudukan sebenar. Mereka tidak boleh terpengaruh dengan sentimen kepartian dengan melanggar hukum Allah. Akibatnya mereka sendiri akan menerima padah hukuman Allah di akhirat yang siksanya sangat berat. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab untuk kita semua memberikan kefahaman yang terbaik supaya mereka bukan sahaja selamat di dunia, malah yang lebih utama, selamat di akhirat.

Berikut merupakan artikel tulisan YBhg. Al-Fadhil Ust. Zaharuddin Abdul Rahman yang menjadi pilihan dan pendirian yang dirasakan cukup baik untuk diteliti dan difahami oleh semua lapisan masyarakat. Juga boleh dibaca di link berikut: http://www.zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/990-isu-sumpah-laknat-a-perlukah-dibalas-sumpah.html.

Sekali lagi isu sumpah berdengung hebat di dalam negara kita. Dalam peruntukan perundangan Islam, amalan sumpah wujud dengan syarat-syarat tertentu, bagi mensabitkan sesuatu dakwaan atau menolaknya. Apabila itu dilakukan, bermakna individu yang bersumpah sedang menyandarkan inti yang dikatakannya kepada Allah. Tindakan itu menjadikan inti yang didakwa atau bantah itu mempunyai suatu ‘weight’ menurut perspektif hukum Islam atau secara spiritual, malah juga mempunyai pengaruh di dalam menagih keyakinan dan kepercayaan hakim dan masyarakat umat Islam.

Ramai yang bertanya saya pandangan berkenaan sumpah yang dilakukan oleh orang-orang politik dengan bermotifkan politik tentunya. Sebenarnya, eloknya sokongan yang diinginkan tidaklah digunakan mana-mana kaedah-kaedah Islam sebagai platformnya. Ada yang berusaha untuk menjadikan satu peraturan dalam hukum Islam iaitu sumpah dengan nama Allah sebagai senjata dalam politik kepartian. Bagi saya,itu kurang sihat.

Bagi mereka yang sudi membaca dan menyelak lembaran artikel ini, saya nasihatkan agar membaca dengan tenang sehingga habis sebelum membuat sebarang tanggapan dan komentar. Itu perlu bagi mendapatkan gambaran jelas kandungan artikel ini.

WUJUDKAH SUMPAH LAKNAT DALAM HAL TUDUH ZINA?

Kembali kepada isu terkini iaitu ‘sumpah laknat’ yang dilakukan oleh Dato’ Eskay di dalam masjid tempohari sambil memegang dan mencium Al-Quran. Oleh kerana sumpah tersebut dilakukan atas dasar dan prinsip hukum agama, bagi dianggap sah dan mempunyai nilai, cara ia dilakukan mestilah disandarkan kepada dalil khusus dari Al-Quran atau Al-Hadis. Oleh itu, menjadi satu KEMESTIAN bagi memastikan sumbernya dalam hukum Islam dan betul pula cara pelaksanaannya.

Kedua hal tersebut mesti disemak sebelum inti sesuatu sumpah itu diterima oleh orang ramai dan pihak berkuasa sebagai mempunyai ‘sesuatu kekuatan’ untuk menyokong kes individu yang melakukan bersumpah.

Secara ringkasnya, membaca pandangan beberapa tokoh ilmuan tanahair dalam hal sumpah laknat ini, saya bersetuju dengan pandangan beberapa mereka yang secara ringkasnya berkata, sumpah yang dilakukan itu :-

1. TIDAK PERLU; disebabkan proses mahkamah perlu dinantikan bagi menjamin keadilan bagi semua pihak. Maruah adalah isu besar dalam Islam, justeru, setiap kes yang boleh memalukan dan tidak lagi dipastikan benar atau salah, mestilah dibicarakan secara adil di tempat perbicaraan yang tertutup.

2. TIDAK TERPAKAI; sumpah laknat dengan nama Allah itu tidak dikira terpakai atau sah, kerana sumpah laknat atau li’an hanya wujud untuk urusan suami isteri yang menuduh isteri pasangan mereka berzina, sebagaimana wujud peruntukan di dalam Al-Quran dalam surah an-Nur ayat 6-8. Ertinya :

“Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), padahal mereka tidak ada mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar. Dan (sumpah) yang kelima: bahwa laknat Allah atasnya, jika dia termasuk orang-orang yang berdusta.” (An-Nur 6-7)

Justeru, sebarang tindakan mewujudkan sumpah laknat dalam hal menuduh zina individu lain adalah SATU TINDAKAN SALAH atau REKA CIPTA DALAM URUSAN AGAMA yang tidak dibenarkan oleh Islam. Ia ditegah oleh seluruh para ulama berdasarkan dalil-dalil yang sangat banyak, disebabkan ia memungkinkan individu secara bebas mencipta peruntukan baru tanpa sebarang basis atau sandaran dalil.

3. MENGELIRUKAN; Protokol sumpah tersebut dilaksanakan secara sangat mengelirukan dan ada juga yang kurang tepat, ini kerana bersumpah sambil memegang al-Quran bukanlah satu keperluan. Nabi bersabda :-

فمن كان حالفاً فليحلف بالله أو ليصمت

Ertinya : Barangsiapa yang ingin bersumpah, hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah atau (jika tidak), hendaklah dia diam sahaja (tidak bersumpah) (Riwayat Al-Bukhari)

Melakukannya di dalam masjid adalah HARUS menurut mazhab Hanafi dan Hanbali berdasarkan hadis nabi bahawa pernah kes kehakiman dan pertelingkahan serta sumpah laknat antara suami isteri dijalankan di masjid pada zaman Nabi s.a.w. ( rujuk Fath Al-Bari, 3/133 ; Syarah sohih Muslim An-Nawawi, 1/121 ).

Bagaimanapun mazhab Syafie menganggap melakukan urusan sumpah dan perbincangan pertikaian hak serta tuduh menuduh di dalam masjid adalah MAKRUH. (Fath al-Aziz, Al-Rafi’e, 8/165 ; Al-Muhazzab, Al-Shirazi, 2/293)

Apapun, kita tidak mahu, kaedah dan cara khususnya memegang Al-Quran ketika bersumpah dan dibuat di dalam masjid sedang telah wujud mahkamah, menjadi syarat dan kebiasaan masyarakat kita, hingga disalahfahami oleh ramai sehingga merasakan ia adalah kaedah dan cara sebenar pelaksanaan sumpah li’an. Sumpah laknat yang sebenarnya, perlu dilakukan di dalam proses mahkamah dengan empat kali, DIIKUTI yang kelima sumpah laknat dan IA TIDAK untuk tontonan dan sebaran awam.

4. Sumpah mubahalah juga tidak perlu dan tidak terpakai, kerana sumpah mubahalah memerlukan kedua-dua belah pihak untuk bertemu dan sama-sama bersetuju.

WALAUPUN BEGITU, SUMPAH BIASA MASIH SAH

Pun begitu, sumpah yang dikira terpakai dan sah dalam kes yang dirujuk adalah hanya sumpah biasa, bukan sumpah laknat. Sumpah biasa boleh dianggap sah apabila dimulakan dengan lafaz “wabillahi, wattallahi” atau salah satu antara lafaz tersebut juga sudah mencukupi.

Namun SUMPAH BIASA ini sepatutnya hanya dilakukan sesudahkan ‘bayyinah’ atau bukti yang diiktiraf oleh syarak dikemukan di mahkamah. Apakah bayyinah ini?

KEPERLUAN 'BAYYINAH' SEBELUM BERSUMPAH DENGAN NAMA ALLAH

Di dalam Islam, setiap individu adalah dianggap TIDAK BERSALAH selagi belum dibuktikan bersalah. Prinsip ini datang dari pelbagai dalil dan disimpulkan oleh para ulama dalam kaedah dan dalil berikut :-

Hadis Nabi :-

لو يعطى الناس بدعواهم؛ لادعى رجال أموال قوم ودماءهم، ولكن البينة على المدعي، واليمين على من أنكر

Ertinya : Kalaulah diberikan (kebebasan) kepada manusia untuk mendakwa; nescaya akan akan individu yang mendakwa milikya harta satu kaum yang lain dan darah mereka, oleh itu (dalam Islam), Pembuktian menjadi tanggungjawab pertama ke atas pendakwa, dan (apabila telah sabit bukti), sumpah menolak adalah bagi mereka yang mengingkari (bukti tadi). ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Kaedah Fiqh :

الأصل برآءة الذمة

Ertinya : Hukum asal (bagi semua individu) adalah bebas dirinya dari tanggungan.

Dan satu lagi kaedahnya :

اليقين لا يزول بالشك

Ertinya : Yakin ( iaitu asal semua individu sebagai tidak bersalah), tidak akan dapat dihilangkan oleh bukti-bukti yang bertaraf syak.

Juga satu prinsip yang berbunyi

ان الشك يفسر لمصلحة المتهم

Ertinya : Sesungguhnya sebarang keraguan ( tidak kukuh bukti dakwaan), akan ditafsirkan sebagai menyebelahi pihak tertuduh (untuk membuktikannya tidak bersalah)

Berkata Az-Zubaydi

قاعدة أصولية مفادها أن الأصل براءة ذمة المكلف عن التكليف المشكوك

Ertinya : Kaedah di atas adalah kaedah usul yang kandungannya menyatakan bahawa asal bagi semua individu yang mukallaf adalah bebas dari dakwaan & tuduhan yang diragukan. (Az-Zubaydi, Taj Al-Urus)

AL-BAYYINAH yang disebut di dalam hadis nabi di atas AMAT diperlukan bagi mewajibkan sumpah ingkar dan bantah dari tertuduh, tanpanya, sumpah tertuduh TIDAK WAJIB sama sekali.

Imam Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni (10/139) dan para ulama menjelaskan ringkasan bahawa untuk mendapatkan bayyinah, ia bergantung kepada kes yang dibawa seperti berikut :

1. Zina dan liwat

Syarat untuk penuhi bayyinah : Empat saksi adil atau pengakuan pelaku.

2. Hukum hudud yang lain seperti bunuh, qazaf, murtad dan lainnya.

Syarat untuk penuhi bayyinah : saksi dua lelaki adil dan sumpah dibenarkan.

3. Jual beli, dan lain-lain pertikaian melibatkan isu harta dan pemilikan kewangan

Syarat untuk penuhi bayyinah : dua orang saksi lelaki atau seorang lelaki dan dua orang wanita ( sebagaimana disebut di dalam Al-Quran) dan sumpah dibenarkan.

4. Penyusuan, kelahiran, dara dan tamat iddah

Syarat untuk penuhi bayyinah : Seorang wanita yang adil.

Justeru, perlu ditegaskan dalam hal zina dan liwat, bagi menganggap bersalah, salah satu antara dua cara ini mestilah menjadi jalannya, iaitu :-

  • IQRAR ATAU PENGAKUAN SUKARELA secara insaf oleh pelaku bahwa dia melakukan sesuatu kesalahan itu, sama ada mencuri, berzina, liwat, membunuh dan sebagainya. Sebagaimana yang dilakukan oleh pemuda bernama Ma’iz bin Malik Al-Aslami di zaman Nabi Muhammad s.a.w

  • EMPAT SAKSI LELAKI YANG ADIL; Khusus bagi kes zina dan liwat, sesiapa yang menuduh mestilah membawakan empat orang saksi yang adil lelaki bagi mensabitkan kesalahan pada hukum Islam. Selagi tiada saksi sebegitu, kes MASIH BOLEH diadili tetapi IA BUKAN LAGI TERMASUK DALAM KES HUDUD BAGI SI TERTUDUH. Manakala yang menuduh tanpa empat saksi pula BAKAL DISABITKAN KESALAHAN QAZAF, penuduh hanya boleh terselamat dari hukuman qazaf (yang perlu dilaksanakan di dunia, jika tiada, hukumannya menanti di akhirat amat berat) apabila membawakan 4 saksi seperti di atas atau membawa kes tanpa 4 saksi secara senyap dan tertutup untuk perbicaraan di mahkamah. Di sana, hakim mahkamah akan menyemak semua bukti-bukti tambahan sama ada video, DNA, gambar dan sebagainya untuk beliau menjatuhkan sebarang keputusan di bawah peruntukan ta’zir.

LEPAS ‘BAYYINAH’, BARU KITA NANTIKAN BANTAHAN

Kerana asal setiap indiivdu TIDAK BERSALAH sehingga dibuktikan sebaliknya, setelah bayyinah dipersembahkan, barulah tindakan menjawab bayyinah perlu dilakukan oleh tertuduh.

Bantahan dan keingkaran hanya diperlukan apabila pihak pendakwa berjaya membawakan bukti yang sah dan diterima oleh pihak qadhi atau hakim. Pihak hakim pula perlu memberikan masa yang sesuai untuk tertuduh membela diri. Namun tertuduh tidak boleh sengaja senyap sunyi tanpa membawakan hujjah balas, bantahan dan ingkaran terhadap bukti yang dibawa. ( Al-Mabsut, Al-Sarakhsi, 16/63; As-Syarh Al-Kabir, Ad-Dardir, 4/151)

BAGI KES DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM (DSAI)

Melihat perkembangan dalam kes DSAI, menurut pandangan Fiqh Islam tanpa campur tangan politik kepartian adalah seperti berikut :-

a. DSAI TIDAK WAJIB membalas dengan bersumpah bersihnya diri beliau kerana sumpah laknat yang dijalankan itu tidak sah.

b. DSAI juga TIDAK WAJIB menjawab atau respon kepada sumpah laknat yang dilakukan kerana ‘bayyinah’ belum dikemukan oleh pendakwa.

c. NAMUN, sumpah yang dilakukan dengan nama Allah dengan lafaz yang betul ( wabillah, wattallah) oleh Dato’ Eskay adalah sah di sisi hukum Islam. Sama ada sumpah itu datang dari fakta yang benar atau tidak, tiadalah kita perlu menolaknya secara mutlaq. Namun umat ISLAM masih TETAP TIDAK BOLEH MEMPERCAYAINYA kerana ia tidak dilakukan di dalam proses kehakiman mahkamah dan ia juga tidak menyeratkan saksi empat orang yang adil. Sesiapa yang menyebarkan tuduhan zina itu akan tertanggung ke atasnya hukuman qazaf, yang walaupun tidak dilaksana di dunia, bakal amat menyusahkan di akhirat.

d. Jika individu yang dituduh adalah orang kebanyakan yang TIDAK DIKENAL OLEH RAMAI, PASTINYA SUMPAH YANG DITUJUKAN KEPADANYA TIDAK PERLU DILAYAN SAMA SEKALI. Kerana itu semua tidak memberi kesan kepada keputusan hakim di dunia dan Allah. Itulah hokum asal dalam kes seperti ini.

e. NAMUN, hukum asal boleh berubah mengikut zaman dan situasi sehingga menghasilkan hukum pengecualian tertentu. Sebagaimana Rasulullah pernah membatalkan hasratnya untuk mengubah bentuk Ka''bah kepada asas yang didirikan oleh Nabi Ismail a.s disebabkan desakan keadaan masyarakat, iaitu kejahilan mereka, masih barunya dengan Islam dan belum bersedia untuk Ka’abah diperlakukan sedemikian. Rasulullah bersabda kepada Aisyah:

لو لا أن قومك حديثو عهد بشرك لبنيت الكعبة على قواعد إبراهيم

Ertinya : Sekiranya tidaklah kaummu itu baru-baru sahaja (keluar) dari zaman syirik (menyembah berhala) nescaya sudah tentu akan ku bina semula Kaabah di atas binaan asal nabi Ibrahim ( Al-Bukhari & Muslim)

Malah Aisyah r.a ketika dituduh melakukan perbuatan jahat itu dengan seorang sahabat, beliau juga bersumpah menafikannya tetapi dalam bentuk sedikit berbeza iaitu beliau melafazkan :

والله لا أستغفر الله منه أبدا

Ertinya : Demi ALlah aku tidak akan meminta ampun kepada Allah sama sekali

Perkataan itu adalah sumpah membersihkan dirinya. Menyatakan beliau tidak perlu minta ampun kepada Allah dalam menghadapi tuduhan itu adalah satu tanda jelas beliau tidak melakukan sebarang kesalahan sebagaimana dituduh.

JUSTERU, MENURUT PANDANGAN PERIBADI SAYA, disebabkan DSAI adalah seorang pimpinan politik tanahair yang besar, menggalas beban tanggungjawab gerakan perjuangan politik yang besar, dicampur dek kejahilan majoriti umat Islam dalam persekitaran Malaysia serta momokan media yang sentiasa memburukan lagi suasana, saya cenderung kepada DSAI PERLU BERSUMPAH BIASA SAHAJA dengan NAMA ALLAH MENAFIKAN BELIAU ADALAH INDIVIDU DI DALAM VIDEO SEKS YANG DIDAKWA, itu penting untuk menangkis sangka buruk masyarakat yang kurang kefahaman serta kurang pula ilmu, bukan hanya terbeban ke atas dirinya selaku individu tertuduh, malah menjadi beban terhadap kepada seluruh ahli gerakan pakatan rakyat yang bersamanya serta masyarakat Malaysia lain yang melihatnya sebagai ketua pembangkang. yang terlibat dalam membentuk minda dan masa hadapan masyarakat Malaysia. Sebagaimana pertimbangan dalam bab Maqasid Shariah menyatakan :-

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

Ertinya : Menolak keburukan didahulukan dari tindakan mensasarkan membawa kebaikan

Justeru, pada hemat saya, jika DSAI bersumpah dengan nama Allah, paling kurang ia mampu menyelamatkan keburukan yang lebih besar dalam masyarakat seperti bertambahnya individu yang di hukum qazaf di sisi hukum Islam, semakin melemahkan keyakinan terhadap gerakan Pakatan Rakyat di samping mampu meleraikan syak wasangka rakyat ‘atas pagar’.

Walau apa jua keputusan mahkamah, itu adalah suatu isu terasing dan boleh dihujjah atas lain-lain platform dan politik. Namun untuk membiarkan sumpah dengan nama Allah iu dibiar beredar di dalam masyarakat tanpa sebarang respon, bagi saya mudaratnya lebih besar, tanpa menafikan melayaninya dengan melakukan sumpah juga ada mudaratnya.

KESIMPULAN

Saya sedar, ahli politik yang melingkungi DSAI pastinya mempunyai pandangan pelbagai, memikirkan strategi, maruah yang mungkin dirasakan jatuh kerana seolah telah berjaya dipaksa untuk turut bersumpah dan sebagainya. Namun tulisan saya ini, benar-benar dari rasa hati sebagai seorang yang neutral, ahli akademik yang melihat perkembangan isu-isu semasa.

1. Saya berasa amat senang sekali selaku rakyat Malaysia jika DSAI boleh menyahut cabaran sumpah biasa tadi, tiada sebarang malu ditanggung walau terpaksa melakukan itu.

2. Perkara kedua, kita tidak mahu umat Islam mengambil cara bersumpah ini apabila sahaja ingin mendakwa sesuatu, kerana ia bukanlah cara yang betul dalam masyarakat Islam yang sepatutnya bediri di atas sifat kekuatan amanah dan jatidiri, tiada memerlukan kepada sumpah untuk menagih kepercayaan dan keyakinan.

Bahkan, kita bimbang teknik ini bakal digunakan oleh ramai penipu di luar sana untuk bersumpah bagi mendapatkan perhatian dan mencuri hak orang lain serta mengaibkan. Dari tiga jenis sumpah di dalam Fiqh Islam, sumpah dari penipu dan pencuri ini dinamakan ‘al-Yamin al-Ghamus’. Ditanya kepada Nabi apakah ‘Al-Yamin Al-Ghamus’ itu, baginda menjawab :

وما اليمين الغموس ؟ قال : الذي يقتطع مال امرئٍ مسلم هو فيها كاذب

Ertinya : Orang yang mengambil harta (hak, termasuk maruah dengan mengaibkan melalui qazaf) orang Islam lain (melalui sumpah) sedangkan dia adalah pembohong ( Riwayat Al-Bukhari)

Imam Az-Zahabi, Ibn Hajar Al-Asqalani menghuraikan sumpah dari pendusta (yamin ghamus) ini merupakan salah satu dari dosa besar. Ghamus ertinya tenggelam dan Imam An-Nawawi menyatakan dalam 'Tahzib Al-Asma wa al-Lughaat', sumpah tersebut dinamakan ghamus kerana penyumpah tenggelam dalam dosa dan bakal ditenggelamkan di dalam neraka Allah di akhirat kelak. Di dalam Al-Quran, pendusta bersumpah dan menagih habuan dunia ini disebutkan sebagai:

إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللّهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَنًا قَلِيلاً أُوْلَـئِكَ لاَ خَلاَقَ لَهُمْ فِي الآخِرَةِ وَلاَ يُكَلِّمُهُمُ اللّهُ وَلاَ يَنظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلاَ يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Ertinya : Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji (nya dengan) Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak mendapat bahagian (pahala) di akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan melihat kepada mereka pada hari kiamat dan tidak (pula) akan menyucikan mereka. Bagi mereka azab yang pedih (Al-Imran : 77).

Justeru, penyumpah dusta ini perlu segera bertaubat dan jika ia telah mengambil hak orang lain melalui sumpahnya, WAJIBlah atasnya untuk memulangkannya.

3. Bagi orang ramai, semua perlu memahami bahawa isu maruah dan tuduhan sebegini WAJIB hanya dibicarakan di dalam Mahkamah Islam dan bukan di khalayak. Apabila, di sebabkan rosaknya system nilai dalam masyarakat, lalu ini dibicarakan terbuka di media dan kahalayak awam, semua individu mestilah memahami semua HAKIM TIDAK BOLEH menghakimi sesuatu isu secara emosi, takut itu dan ini, sakit, sedih, dukcaita, ngantuk, lapar, dahaga dan semua asbab luaran yang menganggu penilaian seorang hakim yang berkelayakan. Nabi memberi amaran :

لا يقضين حكم بين اثنين وهو غضبان

Ertinya : Tidak boleh se0rang hakim memberi keputusan terhadap dua orang ( yang dibicarakan) sedang dia dalam keadaan marah ( terhadap salah seorang atau sebab lain). ( Riwayat Al-Bukhari)

Para ulama sepakat menyatakan hadis di atas bukan hanya TERHAD kepada ‘marah’ tapi merangkumi semua emosi-emosi luaran yang menganggu seperti disebut di atas. (Al-Mabsut, Al-Sarakahsi, 16/78 ; Al-Minhaj wa nihayatul Muhtaj, 8/94 )

Kini malangnya, isu ini seolah dibicarakan di pentas awam, dipenuhi oleh manusia yang tiada kelayakan asas sebagai hakim, sering pula terpukau dengan emosi dan kepentingan masing-masing. Ia amat tidak adil kepada kedua-dua pihak. Justeru, nasihat ikhlas saya, wahai umat Islam jauhilah menentukan pendirian dan meletakkan keyakinan dalam isu berat sebegini, kerana anda tidak punyai basis yang diharuskan Islam untuk berbuat demikian.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Wednesday, May 11, 2011

Sematkan SMART Di Hati!

Assalamualaikum.

Selesai berkonvensyen, terjumpa pula gambar-gambar aktiviti Papisma Terengganu yang dah diniatkan untuk di'post' tapi terbengkalai lantaran terlalu sibuk dengan penyediaan KKP-9. Jom kita dokumentasikan kembali gambar-gambar itu di sini agar kenangannya tak lupuk dek zaman.

Liqa' Bulanan

Naqib tetap untuk liqa' bulanan, Ustaz Ismail Dagang sedang menyampaikan pengisian.

Buku kecil '40 akhlak yang mampu mengubah dunia' menjadi rujukan tetap untuk liqa' bulanan.

Rumah Dr Wan Mohd Razin menjadi lokasi tetap untuk liqa'.

Setiap bulan, mereka yang tidak on-call pasti akan hadir, InsyaAllah.

Antara senior yang sentiasa hadir. Kelihatan di sini Dr Azman (Eye Specialist), Dr Suhazeli (FMS) dan Dr Rozi (Anaest)

Pengerusi Papisma Terengganu, Dr Arif, pasti akan mengambil kesempatan di dalam liqa' ini untuk membuat pengumuman aktiviti atau perbincangan ringkas usai liqa'.

Muslimat dengan agendanya...hehe...

Kepada Allah kita berhajat, kepadaNya kita mohon pertolongan. Solat hajat selesai liqa' bagus dijadikan amalan...

Mujahid-mujahid para pejuang penegak agama Allah...AllahuAkbar!

Terimakasih tuan rumah kerana tak pernah lokek dalam menyediakan jamuan. Semoga segalanya menjadi amalan yang membawa ke syurga...amin.

Usrah Bulanan

Ustaz Bob pula mengambil tempat sebagai naqib muslimin dalam usrah bulanan.

Muslimat pula bernaqibahkan Ustazah Suhaimah dalam usrah bulanan.

Inilah masanya segala permasalahan, segala kekusutan dibincang bersama...

Riadhah Mingguan

Dulu, setiap rabu malam. Terkini setiap Selasa malam. Ini adalah antara aktiviti tetap mingguan yang menjadi 'kegilaan' muslimin...hehe...saja highlight kegilaan tu.

Aik?Orang mudapun sampai terjelir lidah nak lawan golongan veteran?Hahaha....

Gabungan angkatan tua dan angkatan muda....

Hmm...rasa-rasanya yang ini dua-duanya veteran...

Memang sah! Mr Hussin masih steady lagi ni..hehe..

Melawan Dr Razin yang bukan calang-calang...

Ziarah Berkala

Bukan baby Kak Han! Hehehe...ni dah sampai masanya zaman lawat orang bersalin. Zaman sendiri bersalin dah tamat kot.

Seronok habis bebudak ni dapat pegang baby Uncle Salman & Auntie Sumayyah!

Bakal mujahidah...!

Giliran orang jauh pulak bertandang ziarah ke rumah kita. Nampak macam Najib jer?Hehe...Najib nipun kira sebahagian dari Papisma Terengganu juga. Ipar Papisma Terengganulah katakan...

Wah! Ni bukan setakat program ziarah. Ni dah masuk program jelajah...hehe. Presiden Papisma, Dr Awisul bersama Setiausaha Agong Papisma, Dr Rostam dan Pengerusi Papisma Terengganu, Dr Arif di perkarangan rumah Abang Lan & Kak Han.

Mesyuarat Berkala

Lokasi mesyuarat pastinya di Klinik Ummi! Kebetulan Klinik Ummi nipun agak ditengah-tengah kedudukannya untuk semua ahli.

Hari Keluarga Tahunan


Walaupun Hospital Terengganu bukanlah favourite location untuk ahli-ahli Papisma bertumpu di sini, namun Alhamdulillah dengan adanya aktiviti yang pelbagai dan berkala, ramai ahli menonjolkan diri mereka untuk dijemput sama dalam program-program yang diadakan.

Tak sangka juga bila Hari Keluarga Papisma Trg diadakan di BKBR 6 bulan sebelum berlangsungnya KKP-9, kehadiran peserta Papisma Trg sungguh ramai. 1/3 resort kita conquer!

Oleh kerana di Terengganu ni jugalah ramainya terkumpul veteran-veteran Papisma, maka ramailah juga munculnya anak-anak golongan Papisma junior!

Dr Suhazelipun dah pening kepala nak handle! Hahaha...

Anak-anak pelbagai peringkat umur riang berlari...

Muslimat kita...merekalah petugas, merekalah peserta..

SMART Papisma Bersama Masyarakat

SMART? Skuad Medik Amal Rakyat Terengganu...!

Panggilan untuk aktiviti bersama masyarakat cukup laku!

"Doktor mari kappung kita, dok kang tak mboh cek darah..."

Yang terlantar, doktor pulak mari rumah dia...

Bab-bab dengar ceramah ni, peserta muslimat jugalah yang setia mendengar...

Tak cukup di Terengganu, ke Johorpun pasukan SMART terjah! Hehehe...dah tak jadi SMARTlah pulak. Kena tukar jadi SMARJO (Skuad Medik Amal Rakyat Johor...)

Bukan sahaja bersama masyarakat tetapi juga bersama pemimpin...

Semoga SMART akan sentiasa tersemat dihati...