Thursday, February 3, 2011

Rusuhan Di Mesir - Kegalauan Hati Seorang Ibu

Biro IT
Berikut adalah luahan hati seorang ibu, seorang ahli PAPISMA Terengganu yang anaknya sedang menuntut di bumi Kaherah di mana letaknya rusuhan yang berlaku sejak 28 Januari 2011 yang lalu. Kita sama-sama doakan agar mereka selamat dan semua pelajar Malaysia yang berada di bumi Kinanah itu juga selamat. Amin.

Assalamualaikum.

Mesir terus bergolak. Selama mana Mesir bergolak, selagi itulah hati ini tidak pernah tenang. Walaupun Ummi tetap bersama rakyat Mesir dalam perjuangannya menuntut kebebasan dari cengkaman kezaliman pemerintahan Hosni Mubarak, namun kerisauan dan kebimbangan terhadap keselamatan anak-anak Ummi yang masih berada di sana terus-terusan membadai di lubuk hati yang dalam.

Bermula Jumaat 28 Januari 2011, sudah menjadi kebiasaan waktu hujung minggu ini Ummi peruntukkan masa menunggu dihubungi oleh kedua-dua anakanda Ummi dari Kaherah melalui Yahoo Messenger. Namun puas ditunggu, Yahoo Messenger mereka tetap tak menyala. Naluri seorang ibu, mungkinkah sesuatu yang buruk berlaku di sana? Akhirnya Ummi terlena dalam kebimbangan.

Keesokan harinya barulah Ummi mendapat berita tentang rusuhan besar-besaran yang berlaku di Kaherah selepas solat Jumaat. Tepat sekali dengan masa anak-anak Ummi selalunya ke cyber cafe untuk menghubungi Ummi. Talian internet dan talian telefon disekat rupanya!

Jam 12.30 malam keesokan harinya, barulah Along dapat menghubungi Ummi melalui sms ringkas menceritakan keadaan di sana yang genting. Katanya, keadaan di sana macam perang. Bunyi letupan di mana-mana, polis berkeliaran, kereta kebal memenuhi jalan, kereta terbakar, rumah terbakar, lemparan batu dari perusuh, kedai-kedai semua tutup. Mereka semua di halang keluar untuk keselamatan.

Hari berikutnya, Ummi terima lagi sms dari Along. Katanya kat sana dah kena perintah berkurung. Bekalan makanan pula dah semakin berkurangan. Kedai-kedai dah tak beroperasi.

Petang kelmarin, Along sms lagi. Bekalan makanan hanya bertahan untuk selama 3 hari sahaja lagi. Ustaz-ustaz sedang menunggu keputusan kedutaan untuk membawa balik pelajar ke Malaysia atau ke negara-negara berdekatan. Mohon doa yang berterusan dari Ummi dan Abi.

Serentak itu juga, ustaz yang mengurus menelefon, minta ibubapa bersabar dan terus berdoa untuk keselamatan anak-anak di sana. Urusan dengan kedutaan sedang giat dilaksanakan. Berita terakhir katanya airport pula dibakar. Walau apa carapun, pelajar-pelajar akan cuba dikeluarkan dari sana seberapa segera yang boleh.

Ya Allah...hati ibu mana yang tak kerisauan. Tidurpun termimpikan anak-anak di sana. Sementelahan pula anak-anak Ummi masih di bawah umur. Hanya kata-kata semangat dan doa yang dapat Ummi sampaikan buat mereka.

Mohon doa juga dari pembaca-pembaca blog Ummi untuk keselamatan pelajar-pelajar dan seluruh rakyat Malaysia di sana, disamping kemenangan untuk rakyat Mesir dalam perjuangan mereka menuntut keadilan.

Posting asal boleh dibaca di sini.

No comments: