Monday, February 28, 2011

Pengasingan Kuasa Menurut Kedoktoran

Biro IT

Dari Emel

Ini bukan hal politik tetapi berkaitan fitrah manusia. Meskipun ianya tidak dinafikan boleh dikaitkan dengan politik oleh orang yang sukakan sedemikian. Maklum sajalah, semua perkara ada perkaitannya. Bagi orang politik, apa saja yang ada kaitan dengannya, maka ia dikait-kaitkan. Macamanapun, apabila sesuatu berjalan sesuai dengan fitrah, maka untuk kehidupan manusia, ia akan membawa aman.

Dalam bidang kedoktoran, kita melihat perjalanan tubuh badan manusia penuh dengan keajaiban. Dari yang berbentuk mikro seperti DNA, sel-sel tubuh, enzim-enzim dan sebagainya kepada yang berbentuk makro seperti tangan, kaki, mulut, mata dan sebagainya. Semua itu melibatkan berjuta-juta 'benda' dengan berjuta-juta pula tugas dan fungsinya. Dengan setiap satunya bertugas tanpa sebarang gangguan, ia menghasilkan produk yang cukup menakjubkan iaitu seorang individu yang sihat. Apa terjadi sekiranya tugasnya yang normal diganggu, contohnya seperti darah yang pergerakan normalnya adalah dipam dari jantung ke paru-paru kemudian masuk semula ke jantung seterusnya dipam ke seluruh tubuh badan, tiba-tiba perjalanannya dialihkan melalui pembedahan pintasan iaitu darah yang sepatutnya masuk ke paru-paru, terus pergi ke seluruh tubuh tanpa melalui paru-paru? Seluruh tubuh tetap mendapat aliran darah, tetapi darah sudah tidak mengandungi oksigen dan manusia itu akan mati.

Begitu juga dengan tangan dan kaki. Kaki berfungsi menyokong tubuh kerana kedudukannya telah ditetapkan oleh Allah SWT (fitrah) di bahagian bawah. Walaupun barangkali seseorang itu melatih tangannya sehingga begitu berotot dan kuat, ia tetap tidak berupaya menjalankan tugas kakinya yang tidak perlu dilatih sedemikian rupa. Kalau ia hendak menggunakan tangannya untuk berjalan, berapa lama ia boleh bertahan? Sudah tentu sekejap sahaja kerana fitrahnya tidak sedemikian.

Nah, itulah pentingnya fitrah kejadian yang telah ditentukan dan perlu diikuti.

Doktor melihat dalam urusan pemerintahan begitu juga. Sebagaimana di Malaysia, sistem pemerintahan kita mempunyai tiga badan yang perlu berjalan dengan tugasnya yang tersendiri iaitu Badan Eksekutif (Pentadbiran), Badan Legislatif (Perundangan - penggubalan undang-undang) dan Badan Kehakiman (perlaksanaan undang-undang). Pengasingan ini merupakan satu fitrah bagi pemerintahan. Ianya menjadi faktor penting kestabilan sesebuah negara. Ini juga diamalkan semasa zaman pemerintahan khulafa'urrasyidin. Bagaimana Khalifah Ali b. Abi Thalib r.a. meskipun sebagai seorang Khalifah (Perdana Menteri) tetap juga dihadapkan ke hadapan hakim yang bernama Syuraih atas dakwaan seorang Yahudi berkenaan baju besi. Akhirnya Yahudi itu memeluk Islam kerana keadilan Islam yang memerintah. Tiada siapa dapat terlepas dari undang-undang sekiranya institusi pemerintahan itu sentiasa menjunjung keadilan. Itulah fitrah. Islam sendiri mengiktiraf pengasingan kuasa ini.

Hari ini kita melihat sudah ada percampuran kuasa dalam sistem pemerintahan di Malaysia. Di negeri Perak, Badan Kehakiman telah dipaksa untuk mencampuri urusan Badan Legislatif. Ironinya Badan Kehakiman telah melanggar perlembagaan negeri yang telah termaktub secara jelas. Memang itulah yang akan berlaku. Apabila orang lain mencampuri urusan orang lain, pasti akan ada perlanggaran di sana-sini. Ia telah melanggari fitrah itu sendiri, ia akan membawa penyakit sebagaimana darah tadi, dan dari sudut pemerintahan ia akan membawa kemusnahan yang besar. Begitu juga di negeri Kedah, di negeri Selangor dan lain-lain yang secara terang-terangan percampran kuasa ini telah berlaku.

Ini suatu yang perlu dihentikan. Ia penyakit yang besar. Kalau masalah darah tadi hanya akan membawa penyakit dan membunuh seorang individu saja, namun masalah pemerintahan ini akan membawa penyakit dan membunuh sebuah negeri dan negara.

Seorang doktor tidak boleh menerima perkara ini. Meskipun ia tiada kaitan secara langsung dengan kerjaya seorang doktor, namun seorang doktor dan siapa siapa saja penjawat awam dan profesional lainnya yang sudah tentu memahami masalah ini tidak akan reda membiarkan penyakit ini berterusan kerana ia akan membawa kemusnahan. Seorang doktor yang tugasnya siang dan malam mahu mengembalikan manusia kepada fitrahnya agar kembali sihat, tidak mungkin akan membiarkan fitrah manusia dari sudut lainnya musnah.

Oleh itu kami para doktor dan unit kesihatan keseluruhannya menyeru kepada pihak yang berkenaan agar segera memperbaiki masalah dan kelemahan ini demi untuk kesejahteraan negara Malaysia yang tercinta.

No comments: