Friday, March 26, 2010

Pengajian Akhlak Papisma Terengganu Diteruskan

(Cucu Tok Adam)

Saya sengaja meletakkan tajuk di atas yang sebenarnya adalah perjumpaan bulanan. Ringkasnya dipanggil liqa' bulanan.

Liqa' bulanan Papisma Terengganu cukup menyeronokkan. Ianya selalu ditunggu-tunggu oleh ahli-ahli Papisma Terengganu untuk mendengar pengisian Al-Fadhil Ust. Ismail Dagang yang bersuara lunak itu. Bukan setakat pengisian, ahli-ahli berkumpul untuk bertanya khabar, kenal mengenali, mengeluarkan pendapat dan sebagainya. Boleh bawa anak-anak, bibikpun boleh bawa kalau terpaksa.


Pengajian yang ditumpukan ketika ini ialah berkaitan pembentukan akhlak Islam menggunakan buku 40 Akhlak Yang Mengubah Dunia. Bukankah Rasulullah SAW itu diutuskan untuk memperelokkan akhlak manusia? Akhlak Rasulullah SAW jugalah yang yang berjaya menakluk tanah Arab yang begitu bengis dan jahil dari sifat kemanusiaan. Akhlak baginda yang mulia itu mampu melembutkan manusia bernama Umar Al-Khattab yang ganas itu menjadi manusia terbaik yang memimpin dunia dan membuka Baitul Maqdis buat kali pertama. Akhlak Rasulullah SAW yang mulia itu mampu mencairkan perasaan benci dan dendam manusia-manusia yang sangat benci dengan Islam ketika itu, datang dari jauh untuk membunuh baginda, sehingga seketika itu juga memeluk Islam di tangan baginda. Maka, akhlak-akhlak itulah yang sedang dikaji dan dipelajari semula dalam kita berusaha menjadi doktor dan paramedik yang mampu mengubah sikap negatif umat Islam kepada Allah yang menciptakan, kepada Islam agama yang memberikan kesejahteraan dan kepada Rasulullah SAW yang membawa ajaran itu untuk umat manusia dengan darah dan air mata.

Kami baru sampai kepada akhlak yang ke-5. Ertinya banyak lagi akhlak-akhlak lain yang akan diterokai. Oleh itu, kepada sahabat-sahabat yang istiqamah, tahniah kepada anda semua. Teruslah beristiqamah. Mudah-mudahan apa yang kalian luangkan untuk menuntut Ilmu itu menjadi saham yang besar untuk meraih syurga Allah. Sabda Rasulullah SAW ertinya, "Barangsiapa yang memasuki sesuatu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan mudahkan untuknya jalan ke syurga" (HR Muslim). Kepada mereka yang masih belum diberi kesempatan untuk bersama, selagi umur masih dimiliki, hadirlah bila kalian mempunyai luang masa. Niat kalian untuk menuntut ilmu sudah cukup untuk kalian mendapat satu lorong ke syurga. Niat kalian untuk merapatkan ukhuwah dan bersilaturrahim akan menambahkan lagi pahala dan rahmat di sisi Allah swt.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada tuan rumah, Dr. Razin dan isteri di atas kemudahan yang disediakan. Hanya Allah yang akan membalasi segala keikhlasan kita. Amin...