Saturday, February 27, 2010

Dr. Md. Arif Ibrahim Pengerusi Baru Papisma Terengganu

(Biro IT)

12 Rabiul Awal 1431H (26 Februari 2010) mencatatkan sejarah bagi Papisma Terengganu apabila berjaya mengadakan Biennial Gathering Meeting (BGM) atau Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan bertepatan dengan tarikh kelahiran Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam (SAW). Tarikh yang berlaku secara kebetulan itu adalah bertepatan dengan usaha Papisma untuk melahirkan satu bentuk "Papisma Baru" dalam usaha memantapkan organisasi Papisma selaras dengan resolusi dalam bengkel brainstorming, The Way Forward baru-baru ini. Mesyuarat Agung yang telah dipengerusikan oleh Pengerusi Tetap, Dr. Md Arif Ibrahim itu cukup meriah dan semangat ukhuwah yang terjalin berjaya mewujudkan semangat baru bagi Papisma Terengganu mendepani cabaran yang semakin hebat.

BGM itu telah dirasmikan oleh Presiden Papisma Pusat, Dr. Suhazeli Abdullah. Beliau menekankan pentingnya Papisma mempelbagaikan aktiviti dalam gerakerjanya dan tidak stereotaip pada khidmat kesihatan sahaja. Ini akan mengelakkan rasa bosan dan dapat mengoptimakan tenaga dan kepakaran yang sedia ada dalam Papisma untuk kepentingan masyarakat. Sebelumnya, beliau mengucapkan tahniah kepada seluruh jawatankuasa lepas dan ahli-ahli yang telah berjaya menganjurkan NICE 2009 yang merupakan satu rekod yang menjadi kebanggaan kepada Papisma Pusat. BGM yang dilaksanakan kali ini juga merupakan satu rekod yang pertama dilaksanakan seumpamanya oleh Papisma Cawangan di Malaysia.

Dalam sesi soal jawab berkenaan laporan aktiviti, Dr. Ahmad Faizal yang mengetuai Lajnah Khidmat Kesihatan telah membentangkan beberapa perkara termasuk analisa SWOT yang dinyatakan sepintas lalu. Beliau juga menekankan perlunya satu format yang tertentu dalam setiap aktiviti Papisma agar setiap aktiviti yang dilakukan kelihatan lebih profesional dan unik.

Seterusnya pemilihan telah diadakan dengan dikendalikan oleh Pengerusi SPR Papisma Terengganu, Dr. Ahmad Wazi Ramli dengan format yang cukup profesional. Ia menyerupai pilihanraya parti politik dan mampu mengelakkan 'bias' dan 'malu mata' dalam pengundian yang dijalankan. Dalam pemilihan kali ini, Pengerusi Papisma terdahulu, Dr. Roslan Yusof telah menarik diri dari bertanding dengan alasan-alasan yang telah diterima oleh Pengerusi SPR. Akhirnya keputusan pemilihan kali ini adalah seperti berikut:

Pengerusi: Dr. Md. Arif b. Ibrahim
Timb. Pengerusi: Dr. Wan Mohd. Razin b. Wan Hassan
Setiausaha : Pn. Siti Nuraini bt. Samwil
Bendahari: Dr. Hazizul Helmy
Pengerusi Tetap: Dr. Roslan b. Yusof

Penolong Setiausaha akan dilantik oleh Setiausaha begitu juga dengan Penolong Bendahari yang akan dilantik oleh Bendahari. 7 AJK, danPemeriksa Kira-Kira akan dipilih dalam mesyuarat pertama yang akan diadakan tidak lama lagi.

Dalam ucapan penangguhan, Pengerusi Papisma yang baru, Dr. Md. Arif Ibrahim telah menekankan akan amanah kepimpinan ini perlu dilaksanakan secara bersama. Keahlian Papisma yang bersifat inklusif ini pula memerlukan gerakerja Papisma dibebaskan dengan ikatan mana-mana pihak. Aktiviti Papisma akan datang ini akan dilakukan mengikut jadual sendiri dan format yang tersendiri, tidak lagi mengikut citarasa penganjur.

Setelah BGM berakhir, semua hadirin telah dijamu dengan jamuan yang disediakan dengan sponsor yang telah dilakukan oleh sebuah syarikat ubat terkenal.