Wednesday, September 29, 2010

REFORMASI FATWA ROKOK: DULU KHILAF KINI IJMAK

(Biro IT)

Sejajar dengan kapasiti PAPISMA yang memperjuangkan kesihatan secara menyeluruh, maka salah satu perkara yang sentiasa ditentang oleh PAPISMA ialah tabiat merokok. Sudah tentu masalah merokok ini tidak wujud hanya dengan seorang perokok melainkan ianya melibatkan industri rokok, usahawan rokok, peruncit yang menjual rokok, hasil kerajaan yang diperolehi daripada perniagaan rokok dan sebagainya. Oleh itu, sebagai badan NGO, PAPISMA tentunya tidak mempunyai sebarang kuasa melainkan kuasa memberitahu akan keburukan rokok. Sebagai NGO Islam pula, PAPISMA mempunyai keupayaan untuk memberi nasihat akan hukum rokok dan merokok agar disedari oleh masyarakat Islam. Hukum-hukum ini sangat penting ditekankan kerana hanya dengan approach agama dapat memberi kesedaran yang kekal bagi megatasi masalah ini. Mudah-mudahan mereka akan meninggalkan tabiat buruk sebagai perokok.

Untuk beberapa siri keluaran Buletin PAPISMA Terengganu ini, kami akan memaparkan tajuk sekitar merokok yang dibincangkan secara terperinci. Artikel ini telah disumbangkan oleh sahabat kita iaitu Ustaz Mohd Azhar bin Abdullah, Pensyarah KIAS, Nilam Puri, Kelantan. Artikel ini pula diambil dari laman web Al-Fadhil Ustaz Dr. Abdul Basit b. Abdul Rahman. Berikut adalah artikel tersebut:

Reformasi Fatwa Rokok: Dulu Khilaf Kini Ijma’ - Siri 1 Filed in Artikel - Makalah on Jul.30, 2010

REFORMASI FATWA ROKOK: DULU KHILAF KINI IJMAK

Untuk perbincangan. Artikel ini sebanyak 4 siri.

Siri 1 Fikrah Perokok Terumbang-ambing Antara Mistik, Imperalisme dan Kapitalisme

SELAMA 16 KURUN lamanya umat Islam “buta tembakau”. Umat Islam tidak tahu langsung apa itu tembakau, bagaimana pokok, daun dan batangnya serta untuk apa tembakau itu boleh digunakan. Sepanjang tempoh itu umat Islam bersih dari usaha pendapatan penanaman tembakau dan pencemaran asapnya.

Sementara itu, walaupun mereka bebas dari fenonema tembakau tetapi mereka menghadapi zaman kemunduran. Rata-rata kedudukan politik, ekonomi dan sosial umat Islam pada waktu itu berada pada tahap sangat daif; semakin menurun hari demi hari. Mereka hidup dalam kejumudan, kepompong taklid buta, kegelapan politik dan ketidakstabilan sosial. Tetapi, malangnya umat Islam terus lena diulit ilusi kegemilangan Islam lampau.

Manakala masyarakat barat sebaliknya, di mana mereka menemui sentuhan ketamadunan moden. Selepas keperitan dan pengajaran perang Salib yang berlanjutan hampir 200 telah mengalihkan strategi mereka 180 darjah ke arah pembangunan dalaman, penguasaan ekonomi melalui penemuan-penemuan baru. Mereka nekad menerobos sempadan sejarah gelap ke alam pencerahan dan realiti masa depan yang gemilang walaupun terpaksa bermula dari bawah.
Rentetan penemuan demi penemuan dicapai yang membawa kepada penemuan tembakau pada akhir kurun ke-14 menjadikan gelombang penguasaan ekonomi global kian realistik. Sejak itu, dunia Eropah telah berkembang pesat dengan industri tembakau yang diterajui monopoli kapitalis. Masyarakat barat telah diselubungi fenonema ini selama 200 tahun sebelum merebak ke dunia umat Islam.

Penemuan sejarah mencatatkan penemuan awal rokok dari mitos mistik orang-orang asli benua Amerika. Orang Indian ini menghisap rokok untuk mendapatkan asapnya bagi tujuan pemujaan ruh baik dan menghindarkan ruh jahat.

Menurut catatan “Wikipedia” sewaktu Colombus dan kelasinya menemui pulau Bahamas pada tahun 1429, mereka melihat orang-orang Indian yang memegang sesuatu yang bernyala dan mengeluarkan asap di hujungnya. Mereka menghisap benda itu dan menghembuskan asapnya dengan menggunakan alat seperti paip. Mereka meletakkan tembakau di dalam lubang paip dan menyalakannya untuk mendapatkan asap.

Mereka melakukan demikian kerana berpegang kepada kepercayaan interaksi ghaib ruh baik dan ruh jahat. Mereka sentiasa melakukannya sebagai upacara suci bagi mendapatkan pertolongan ruh agong dan dalam situasi yang sama bermohon dijauhi dari ruh yang tidak baik.

Hakikatnya, ruh jahat atau baik yang dimaksudkan oleh orang Indian itu merupakan makhluk halus dari jenis jin. Percaya atau tidak, makhluk halus di dunia ini hanya dua sahaja iaitu malaikat yang diciptakan dari nur dan kedua jin yang dijadikan dari unsur api.

Dr. Salah al-Khalidi dalam “al-Qasas al-Qur’ani” menyatakan bahawa malaikat dan jin merupakan makhluk alam ghaib, iaitu ghaib dari alam nyata manusia sahaja. Manusia tidak melihat mereka dengan mata kasar tetapi mereka hidup dan wujud di sekeliling kita.

Tambahnya lagi, asal-usul jin dari “al-Samum” seperti penjelasan surah al-Hijr, ayat 27, maksudnya; “Dan kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas”. Hakikat “api yang sangat panas” itu disebut dalam al-Quran sebagai “al-Samum”. “al-Samum” pula terbentuk dari “al-Marij” iaitu gabungan dua juzuk api. Pertama; diambil dari satu juzuk yang terakhir dari kepanasan api yang mengeluarkan sinaran api dan kedua, juzuk asap hitam yang dijulang api marak. Intergrasi kedua-dua juzuk inilah diciptakan jin.

Menurut keterangan “Ensiklopedia Islam” golongan malaikat semuanya baik belaka, taat, beriman dan tidak sekali mengganggu manusia, malah mendatangkan rahmat. Manakala golongan jin terbahagi kepada dua; jin beriman dan kedua jin kafir yang disebut juga syaitan dan iblis yang tentunya membuat kacau dan memperdaya manusia dari hidayat Allah. Justeru, mitos mistik orang Indian itu berkait rapat dengan anutan kuasa ghaib yang bertentangan dengan Islam.

Pembakaran seumpama colok dan kemenyan untuk mendapatkan asap sebenarnya mengandungi elemen penyeruan makhluk halus kerana unsur asap sinonim dengan kejadian jin. Dikatakan bahawa jin bukan sahaja makan sisa tulang dan makanan tetapi juga begitu teruja dengan asap.

Sehubungan itu, tidak jauh kebenarannya jika Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus dalam satu ceramahnya berseloroh bahawa orang yang hisap rokok perlu hati-hati kerana asap yang dihasilkan itu mampu menarik minat jin. Katanya; “Jin dijadikan dari asap dan makan dari unsur asap seperti manusia dijadikan dari tanah yang makan dari unsur kejadian tanah. Maka orang yang hisap rokok sebenarnya kawan jin”. Kenyataan ini memberikan signal tersirat apakah pengaruh asap yang menjadi makanan jin ini juga salah satu faktor menyulitkan usaha “menalak tiga” rokok. Keadaan ini membuat perokok begitu liat dan sukar memberikan keikhlasan suci untuk membuang jauh-jauh tabiat rokok.
Namun, saya yakin niat perokok bukan mendampingkan diri dengan jin. Mereka menyalakan rokok semata-mata mendapatkan kenikmatan candu dalam kandungan asap rokok. Dalam cita-cita perokok asap itu adalah kemuncak kelazatan. Tiada rokok tanpa asap. Banyak benda lain yang berasap tapi tidak seindah rokok.

Sebab itu soal hubungan jin, pembaziran duit dan efek racun dalam rokok yang disahkan pakar perubatan mengandungi lebih kurang 4000 racun yang membawa penyakit tahap berbahaya dan maut sehingga laporan Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan 4.9 juta manusia mati setahun akibat rokok merupakan perkara sampingan, malah sesuatu yang tidak dapat dielakkan bagi perokok. Mereka rela apa saja demi rokok!

Suatu perkara sampingan yang perlu disentuh berkaitan asap dalam kesempatan itu juga ialah fatwa Jabatan Mufti Melaka menegaskan jika asap yang dihasilkan samada dari rokok, colok dan kemenyan dalam bentuk perbomohan, penyeruan dan perubatan tradisional dengan maksud mendampingi dan meminta bantuan makhluk ‘ghaib’ adalah bercanggah dengan akidah Islam.

Sejarah kepesatan perusahaan tembakau secara jelas disaksikan apabila ahli korporat besar bernama Rodrigo De Jares merintis perniagaan tembakau, khususnya perusahaan rokok di Cuba. Pada tahun 1556-1558 rokok mula diperkenalkan ke Perancis, Sepanyol dan Portugal sehingga tersebarlah ke seluruh dunia.

Dilaporkan, selepas orang-orang Sepanyol berjaya mempromosikan tembakau ke Eropah, terutama kepada golongan bangsawan British yang menghisap tembakau dengan paip pada waktu rehat telah melonjakan aktiviti penanaman tembakau sebagai komuniti ekonomi negeri-negeri jajahan British yang bermula di Amerika Utara.

Usaha kapitalis melalui selendang imperealis semakin berjaya. Pada tahun 1630-an hasil tembakau memberikan loba besar bagi negeri Virginia. Akibatnya, fenonema tembakau tidak dapat disekat lagi, kian pesat pada abad ke-17.

Serentak dengan itu, pedagang Eropah memperkenalkan tembakau ke seluruh Asia dan Afrika. Kemudian dalam abad ke 19 orang-orang Sepanyol memperkenalkan cerut ke Asia melalui tanah Filipina dan kemudian ke Rusia dan Turki serta tidak terkecuali ke dalam negeri-negeri Islam, terutama tanah jajahan mereka.

Dr. Yusuf al-Qardawi dalam ‘Fatawa Mu’asarah’ dan mantan Syeikh al-Akbar Mesir, Jad al-Haq Ali Jad al-Haq dalam fatwanya mengatakan tembakau dan rokok masuk ke bumi umat Islam lewat ke-11 Hijrah, khususnya di Maghribi, Sudan, kemudian berkembang ke negeri-negeri lain. Ertinya, selama 100 tahun umat Islam tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan tembakau, apatah lagi rokok.

Justeru, aneh sekali umat Islam di negara ini yang masih koma dengan hakikat rokok. Sehingga kini, masih ramai yang menyangka sigaret muncul dari sejarah melayu silam. Mereka merumuskan demikian kerana tembakau yang dilihat begitu sinonim dengan kebudayaan melayu sejak berzaman menggunakan sireh, buah pinang dan daun nipah merupakan salah satu tumbuhan asli tropika yang tumbuh di rantau ini.

Ini satu kekeliruan. En. Mohd Fakri bin Mohd Noor, PRO Lembaga Tembakau Negara, Kota Bharu Kelantan yang telah berkhidmat hampir 20 tahun berkata tembakau bukan tumbuhan asal rantau ini. Tumbuhan tembakau seperti juga getah dibawa masuk ke Tanah Melayu seringi penjajahan Inggeris.

Sumber Lembaga Tembakau Negara melaporkan industri tembakau di Malaysia bermula dengan tembakau cerut yang ditanam secara meluas di Sabah sejak awal abad kesembilan belas, setelah didapati penanamannya berjaya diusahakan pada tahun 1883. Pada satu ketika ianya menarik minat lebih dari lima puluh pengusaha dari Eropah dan mencapai nilai eksport sebanyak RM2 juta pada tahun 1902.

Selepas perang dunia kedua, khususnya di tahun 1959 usaha meningkatkan tanaman tembakau telah dilaksanakan secara serius. Di pertengahan 1970-an pula penanaman tembakau berkembang maju di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Pahang dan lain-lainnya di negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Berdasarkan fakta di atas menunjukkan industri tembakau dan rokok mempunyai hubungan yang erat dengan gerakan penjajahan barat ke atas bumi umat Islam, khususnya Yahudi melalui dasar kapitalisme.

Kegilaan kapatilis yang didalangi oleh golongan elit Yahudi yang mementingkan kekayaan semata-mata mengenepikan soal moral sama sekali. Mereka tidak mempersoalkan langsung keburukan rokok, malah mengeksplotasi dari elemen ketagihan rokok sebagai aset melariskan perniagaan rokok. Adapun penjajahan tidak lebih dari wasilah demi merealisasikan matlamat itu.

Kemunculan rokok hakikatnya membawa malapetaka dan kemusnahan besar kepada dunia samada barat dan timur. Namun kapitalis tidak memperdulikan kesan itu kepada manusia walaupun usaha-usaha pengharaman penanaman tembakau dan rokok dijalankan pemerintah. Mereka sentiasa melancarkan propaganda tentang keistimewaan rokok yang didakwa mampu melancarkan darah, memenangkan tekanan darah, baik untuk usus dan sebagainya.

Menurut fakta buku “Rokok Haram atau Makruh dan Penawar atau Pembunuh” yang ditulis oleh Muhammad Abu Faroq al-Athari menyebut bahawa Raja Inggeris bernama Jims 1 mengambil langkah drastik mengharamkan rokok. Raja ini juga melancarkan operasi besar-besaran memusnahkan tembakau secara habis-habisan serta mengeluarkan satu perintah berupa undang-undang pengharaman rokok pada tahun 1604M.

Kemudaratan rokok jelas menghancurkan generasi manusia sehingga pada tahun 1643M kerajaan Rusia telah meluluskan undang-undang berat di mana sesiapa yang membeli, menjual, mengedar dan menghisap rokok dari tembakau akan dihukum dengan dibuang negeri ke Siberia atau dihukum mati.

Bersambung ke siri ke-2...

No comments: