Thursday, September 30, 2010

Reformasi Fatwa Rokok: Dulu Khilaf Kini Ijma’ - Siri 2.

Filed in Artikel - Makalah on Sep.28, 2010

Kemudaratan Rokok Yang Terselindung, Ulama Dalam Dilema

REALITINYA, orang Islam tidak merokok sehinggalah sekitar tahun 1600 Masihi. Muhammad Syafiq Girbal dalam “al-Mausu’ah al-‘Arabiyyah al-Maisarah” menyebut kemasukan rokok ke negara Islam pada lewat tahun 1000 Hijrah itu pelopori oleh orang-orang Kristian.

Manakala catatan “al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah” menegaskan bahawa orang Arab tidak sekali-kali mengetahui tembakau apalagi rokok. Beliau melukiskan gerakan yang awal membawa tembakau ke negara Turki Uthmaniah ialah orang Inggeris, yang membawanya ke Maghribi ialah Yahudi, kemudian dilanjutkan ke Mesir, Hijaz, India, dan banyak negeri-negeri Islam.

Al-Syeikh al-Akbar Mesir, Jad al-Haq melaporkan rokok mula merebak di negara Arab khususnya Maghribi, Sudan dan Mesir. Tanpa menafikan juga pada waktu itu bermulanya juga penjajahan Portugis di Tanah Melayu dan Belanda di Indonesia.

Saya melihat dua sebab budaya rokok cepat merebak mempengaruhi umat Islam. Pertama kerana kejayaan barat pada kurun ke-17 menerobos pemodenan hidup yang luarbiasa. Kemodenan itu memberikan stail hidup baru kepada dunia sehingga kiblat kepada sistem nilai hidup telah berpusing ke arah barat. Dalam pada itu, umat Islam telah mundur dan hilang kepimpinan dunia dari tangannya. Kemajuan diukur terhadap apa yang dicapai oleh barat. Seseorang dianggap maju seperti menyertai parti, makan dengan garpu, pakai kot, main tenis, hisap cerut dan pakai seluar pendek.

Kedua gelombang imperialisme barat khususnya ke atas bumi umat Islam ialah demi menjayakan cita-cita kapitalis dan projek melonggarkan penghayatan agama Islam. Maka golongan yang menaja dan mendokong penjajahan global ini ialah golongan elit yang memperkudakan kuasa politik. Golongan ini sangat pengaruh, berkuasa dan berpegang kepada ‘matlamat menghalalkan cara’. Mereka mencurahkan modal yang banyak dalam pelaburan perindustrian tembakau.

Walaupun saya tidak mempunyai fakta sejarah untuk memperkukuhkan keterangan itu, namun kenyataan Mike Muller menerusi “Tabacco And The Third World” yang dipindahkan oleh Muhamad Abu Farooq al-Athari boleh dijadikan penunjuk. Mike Muller menyebut “Kesihatan rakyat di negara-negra miskin terpaksa dikorbankan demi untuk menambah kekayaan syarikat-syarikat tembakau. Orang-orang miskin menjadi “Quinea Pigs” kepada tujuh buah syarikat tembakau yang menguasai perniagaan tembakau dunia”.

Kita dapat melihat bagaimana pada peringkat awal rokok diperkenalkan hanya mengaitkan hal-hal kebaikan dan manfaat serta gaya santai orang-orang bangsawan. Kalau terdapat kelemahan dari rokok hanyalah baunya yang kurang segar. Dunia tidak dapat mengesan apa-apa keburukan rokok kurang dari 50 tahun selepasnya.

Muhammad ‘Uthman el-Muhammady menyatakan dalam bahasa Inggeris tembakau pada awalnya dikenali sebagai “tobacco”. Manakala dalam bahasa Latinnya dipanggil “Nicotania tabacum”. Kemudian, pada selepas tahun 1630an namanya menjadi “nocotiana” kerana mengambil sempena nama Jean Nicot yang menjadi duta Francis ke Portugal yang meminta supaya Permaisuri Francis mengambil berat tentangnya kerana dikatakan mempunyai khasiat sebagai ubat.

Di samping itu pengusaha rokok melancarkan promosi hebat yang disokong oleh kajian-kajian sains yang menyokong keistimewaan rokok. Mereka hanya menonjolkan kebaikannya dengan menyembunyikan kemudaratan yang besar. Contohnya mereka memanipulasikan nikotin yang digemburkan sebagai bahan organik semulajadi di dalam batang dan daun tembakau yang sangat bermanfaat untuk kesihatan manusia. Nikotin ini boleh bertindak sebagai perangsang, meningkatkan kecergasan, refleksi, kecerdasan serta daya ingatan.

Walaupun ada fakta-fakta dari pakar perubatan yang membuktikan kemudaratan rokok di samping kesan negatif terhadap sosial dan ekonomi sehingga pada tahun 1604 kerajaan Inggeris mengharamkan rokok dan memusnahkan penanaman tembakau dan kerajaan Rusia menghukumkan hukuman mati atau buang negeri ke Siberia, namun perniagaan rokok tetap diteruskan. Malah mereka melancarkan propaganda bertujuan meragukan kebenaran fakta perubatan bahaya rokok sebagai tidak muktamad dan memerlukan kajian mendalam.
Maka bila ia berkembang dalam negeri-negeri Islam ada golongan yang bependapat ianya ada mempunyai faedah-faedah yang banyak, sehingga ada yang menyatakan bahawa rokok menghadamkan makanan, menghilangkan unsur-unsur racun atau toksin dalam badan, membunuh ulat-ulat dalam usus, menyenangkan keluar lendir badan, memanaskan kepala dan badan, meringankan selsema, menguatkan tumpuan fikiran dan cita-cita, serta menjadikan keluar hampas badan dengan segera. Malah Muhamad Abu Farooq al-Athari mengatakan ada yang mendakwa rokok boleh mendatangkan ilham dan inspirasi, mententeramkan perasaan, menenangkan jiwa, mengurangkan kebosanan akal fikiran dan menjadi ubat.

Mantan al-Syeikh al-Akbar Mesir, Jad al-Haq Ali Jad al-Haq menyebut kesan dari kekeliruan itu ada golongan yang mengambil pandangan daripada ahli-ahli perubatan dan pemikir zamannya, bahawa menghisap rokok itu pada permulaannya mendatangkan beberapa faedah pada badan, sehingga ada yang berterusan menghisap rokok sehingga jadilah selaput pada matanya, berat pada gerak-geri anggota, dan penghadaman pun terganggu. Ada pendapat menyatakan menghisap rokok itu panas, menjadikan kering badan, menimbulkan rasa haus, memudaratkan kalbu dan otak, menimbulkan debaran pada jantung, dan memekatkan darah.
Hakikat yang perlu diketahui bahawa pencapaian sains, teknologi dan usaha penyelidikan umat Islam pada abad itu tersangat naif. Itu belum dikira kebergantungan kita kepada kemajuan sains dan kepakaran barat dalam mendapatkan info baru. Kesimpulannya umat Islam pada zaman itu tidak memiliki kecanggihan sains kecuali mengambil sumber dan pandangan sains dari barat. Maka dalam kedaifan itulah ulama Islam terpaksa berijtihad bagi mengeluarkan hukum rokok berdasarkan sumber umum sahaja tanpa sokongan dari penelitian sains yang menyakinkan.
Seperti yang dimaklumi, efek dari bahaya rokok tidak dapat dilihat dengan cepat atau segera. 4000 jenis racun yang ada dalam asap rokok amat bergantung kepada keaktifan mengambil rokok. Tetapi kerana unsur ketagihan yang dihasilkan nikotin menjadikan rokok sebagai tabiat yang melazimkan perokok sentiasa menghisap rokok. Secara evolusi rokok menjadi “pembunuh senyap”.

Kesan-kesan rokok ini dapat dikesan oleh manusia seawal-awalnya selepas 100 tahun perniagaan rokok didirikan. Hal ini dibuktikan dari catatan penemuan tembakau yang dilaporkan pada 1492, kemudian terus berkembang pada sekitar tahun 1556-1558 ketika mana rokok mula diperkenalkan ke Perancis, Sepanyol dan Portugal sehingga tersebarlah ke seluruh dunia. Selepas 50 tahun rokok diperkenalkan barulah kesan buruknya dapat dilihat sehingga Inggeris, Rusia, Sweden, Denmark, Slovakia, Nimsa dan Majar mewujudkan undang-undang mengharamkan rokok.

Tiada bangkangan dari mana-mana tulisan ilmuan Islam yang sempat saya periksa yang tidak bersetuju akan fatwa rokok mula dicatat dalam kitab-kitab Islam hanyalah selepas 1000 tahun Hijrah. Pada tahap itu ulama mula membincangkan hukumnya dibawah subjek “al-dukhan”, “al-tutun”, “al-tunbak” dan “al-tabagh.”

Suka saya bentangkan secara terperinci pandangan Dr Abd al-Jalil Syalabi ahli badan penyelidikan Islam untuk rujukan kita bersama dalam perbincangan ini. Beliau menyatakan bahawa menghisap rokok tidak ada zaman Nabi s.a.w., juga zaman penyusunan teks fiqh para imam yang terawal, juga ketika munculnya mazhab-mazhab fiqh. Perbuatan merokok hanya muncul lebih kurang dalam kurun ke 16 Masihi.

Justeru, fuqaha mampu melihat tentang hukumnya itu mengikut kadar maklumat yang ada pada mereka. Pada masa mereka itu, dengan tahap teknologi yang seadanya tidak kelihatan secara jelas akan bahayanya merokok itu kepada kehidupan tamadun manusia. Sehubungan itu, tumpuan pandangan ulama sewaktu meneliti hukum rokok adalah lebih banyak tertumpu kepada orang yang menghisap itu sendiri bukan kepada bahan yang dihisap itu dan persekitarannya. Apabila terdapat fakta yang walaupun belum boleh dipertanggungjawabkan menyatakan tidak ada bahaya rokok, maka sudah dipakai untuk membantu memahami rahsia rokok.

Dr Abd al-Jalil Syalabi menambah lagi; sebab itulah pada zaman itu ada ulama yang menganggap rokok sejenis minuman (syarb) yang hukumnya harus pada zatnya. Hukum ini semata-mata dinisbah kepada orang yang menghisapnya sahaja. Manakala hukumnya secara terperinci, mereka tidak bersepakat menurut kedudukan hukum taklifi yang lima di bawah;

• Harus bagi orang yang tidak mendatangkan apa-apa kesan atas hartanya dan kesihatannya, ia seperti kopi dan teh yang diminum.
• Makruh nisbah bagi orang sedikit hartanya, bila harga rokok itu tidak memberi kesan terhadap hartanya bagi keperluan dirinya, keluarga dan orang di bawah tanggungannya serta tidak mendatangkan kesan buruk atas kesihatannya.
• Haram nisbah bagi orang yang fakir yang memerlukan harga rokok itu untuk belanja hidup dan keperluannya, sebagaimana haram untuknya bila ada kesan buruk kepada kesihatannya.
• Sunat bagi orang yang mendapat kecergasan daripada menghisap rokok itu bagi setengah daripada kerja-kerjanya. Kedudukannya seperti kedudukan kopi yang menjadikan orang cergas dan tidak mengantuk.
• Wajib apabila sabit dengan merokok itu dapat menyembuhkan sesuatu penyakit yang dihidapinya. Kedudukan ini sama seperti ubat yang wajib ia gunakan untuk memulihkan kesihatannya.

Inilah beberapa gambaran ijtihad pada tahun 1600 tahun dahulu dalam isu rokok. Hakikatnya perbezaan hukum di atas bukan khilaf semata-mata tetapi gambaran dari kegagalan ulama mendapatkan maklumat sebenar. Al-Syeikh al-Akbar Jad al-Haq menegaskan ulama pada era itu dalam dilema antara kebaikan dan kemudaratan rokok. Hakikatnya mereka hanya melihat kepada zahir perbuatan merokok dari daun tembakau yang mengeluarkan asap. Mereka jahil mengenai kandungan dalam tembakau yang membawa bahaya besar kepada paru-paru dan sistem tubuh badan manusia. Ulama memang pakar dalam soal ilmu agama tetapi mereka tidak memiliki pengetahuan dalam bidang sains.

Sebelum saya menoktahkan perbincangan dalam siri ini, saya menegaskan bahawa isi kandungan siri ini hanya merupakan satu usaha memahamkan kita akan realiti hukum rokok yang difatwakan pada zaman terawal tanpa berjaya disokong fakta sains. Maka hukum tersebut bukan muktamad dan tidak menjadi hujah apabila ada fakta baru yang temui dan diperakukan. Saya harap benar sidang pembaca menantikan siri seterusnya yang insya Allah saya bentangkan hujah ulama silam dan kontemporari.

Wednesday, September 29, 2010

REFORMASI FATWA ROKOK: DULU KHILAF KINI IJMAK

(Biro IT)

Sejajar dengan kapasiti PAPISMA yang memperjuangkan kesihatan secara menyeluruh, maka salah satu perkara yang sentiasa ditentang oleh PAPISMA ialah tabiat merokok. Sudah tentu masalah merokok ini tidak wujud hanya dengan seorang perokok melainkan ianya melibatkan industri rokok, usahawan rokok, peruncit yang menjual rokok, hasil kerajaan yang diperolehi daripada perniagaan rokok dan sebagainya. Oleh itu, sebagai badan NGO, PAPISMA tentunya tidak mempunyai sebarang kuasa melainkan kuasa memberitahu akan keburukan rokok. Sebagai NGO Islam pula, PAPISMA mempunyai keupayaan untuk memberi nasihat akan hukum rokok dan merokok agar disedari oleh masyarakat Islam. Hukum-hukum ini sangat penting ditekankan kerana hanya dengan approach agama dapat memberi kesedaran yang kekal bagi megatasi masalah ini. Mudah-mudahan mereka akan meninggalkan tabiat buruk sebagai perokok.

Untuk beberapa siri keluaran Buletin PAPISMA Terengganu ini, kami akan memaparkan tajuk sekitar merokok yang dibincangkan secara terperinci. Artikel ini telah disumbangkan oleh sahabat kita iaitu Ustaz Mohd Azhar bin Abdullah, Pensyarah KIAS, Nilam Puri, Kelantan. Artikel ini pula diambil dari laman web Al-Fadhil Ustaz Dr. Abdul Basit b. Abdul Rahman. Berikut adalah artikel tersebut:

Reformasi Fatwa Rokok: Dulu Khilaf Kini Ijma’ - Siri 1 Filed in Artikel - Makalah on Jul.30, 2010

REFORMASI FATWA ROKOK: DULU KHILAF KINI IJMAK

Untuk perbincangan. Artikel ini sebanyak 4 siri.

Siri 1 Fikrah Perokok Terumbang-ambing Antara Mistik, Imperalisme dan Kapitalisme

SELAMA 16 KURUN lamanya umat Islam “buta tembakau”. Umat Islam tidak tahu langsung apa itu tembakau, bagaimana pokok, daun dan batangnya serta untuk apa tembakau itu boleh digunakan. Sepanjang tempoh itu umat Islam bersih dari usaha pendapatan penanaman tembakau dan pencemaran asapnya.

Sementara itu, walaupun mereka bebas dari fenonema tembakau tetapi mereka menghadapi zaman kemunduran. Rata-rata kedudukan politik, ekonomi dan sosial umat Islam pada waktu itu berada pada tahap sangat daif; semakin menurun hari demi hari. Mereka hidup dalam kejumudan, kepompong taklid buta, kegelapan politik dan ketidakstabilan sosial. Tetapi, malangnya umat Islam terus lena diulit ilusi kegemilangan Islam lampau.

Manakala masyarakat barat sebaliknya, di mana mereka menemui sentuhan ketamadunan moden. Selepas keperitan dan pengajaran perang Salib yang berlanjutan hampir 200 telah mengalihkan strategi mereka 180 darjah ke arah pembangunan dalaman, penguasaan ekonomi melalui penemuan-penemuan baru. Mereka nekad menerobos sempadan sejarah gelap ke alam pencerahan dan realiti masa depan yang gemilang walaupun terpaksa bermula dari bawah.
Rentetan penemuan demi penemuan dicapai yang membawa kepada penemuan tembakau pada akhir kurun ke-14 menjadikan gelombang penguasaan ekonomi global kian realistik. Sejak itu, dunia Eropah telah berkembang pesat dengan industri tembakau yang diterajui monopoli kapitalis. Masyarakat barat telah diselubungi fenonema ini selama 200 tahun sebelum merebak ke dunia umat Islam.

Penemuan sejarah mencatatkan penemuan awal rokok dari mitos mistik orang-orang asli benua Amerika. Orang Indian ini menghisap rokok untuk mendapatkan asapnya bagi tujuan pemujaan ruh baik dan menghindarkan ruh jahat.

Menurut catatan “Wikipedia” sewaktu Colombus dan kelasinya menemui pulau Bahamas pada tahun 1429, mereka melihat orang-orang Indian yang memegang sesuatu yang bernyala dan mengeluarkan asap di hujungnya. Mereka menghisap benda itu dan menghembuskan asapnya dengan menggunakan alat seperti paip. Mereka meletakkan tembakau di dalam lubang paip dan menyalakannya untuk mendapatkan asap.

Mereka melakukan demikian kerana berpegang kepada kepercayaan interaksi ghaib ruh baik dan ruh jahat. Mereka sentiasa melakukannya sebagai upacara suci bagi mendapatkan pertolongan ruh agong dan dalam situasi yang sama bermohon dijauhi dari ruh yang tidak baik.

Hakikatnya, ruh jahat atau baik yang dimaksudkan oleh orang Indian itu merupakan makhluk halus dari jenis jin. Percaya atau tidak, makhluk halus di dunia ini hanya dua sahaja iaitu malaikat yang diciptakan dari nur dan kedua jin yang dijadikan dari unsur api.

Dr. Salah al-Khalidi dalam “al-Qasas al-Qur’ani” menyatakan bahawa malaikat dan jin merupakan makhluk alam ghaib, iaitu ghaib dari alam nyata manusia sahaja. Manusia tidak melihat mereka dengan mata kasar tetapi mereka hidup dan wujud di sekeliling kita.

Tambahnya lagi, asal-usul jin dari “al-Samum” seperti penjelasan surah al-Hijr, ayat 27, maksudnya; “Dan kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas”. Hakikat “api yang sangat panas” itu disebut dalam al-Quran sebagai “al-Samum”. “al-Samum” pula terbentuk dari “al-Marij” iaitu gabungan dua juzuk api. Pertama; diambil dari satu juzuk yang terakhir dari kepanasan api yang mengeluarkan sinaran api dan kedua, juzuk asap hitam yang dijulang api marak. Intergrasi kedua-dua juzuk inilah diciptakan jin.

Menurut keterangan “Ensiklopedia Islam” golongan malaikat semuanya baik belaka, taat, beriman dan tidak sekali mengganggu manusia, malah mendatangkan rahmat. Manakala golongan jin terbahagi kepada dua; jin beriman dan kedua jin kafir yang disebut juga syaitan dan iblis yang tentunya membuat kacau dan memperdaya manusia dari hidayat Allah. Justeru, mitos mistik orang Indian itu berkait rapat dengan anutan kuasa ghaib yang bertentangan dengan Islam.

Pembakaran seumpama colok dan kemenyan untuk mendapatkan asap sebenarnya mengandungi elemen penyeruan makhluk halus kerana unsur asap sinonim dengan kejadian jin. Dikatakan bahawa jin bukan sahaja makan sisa tulang dan makanan tetapi juga begitu teruja dengan asap.

Sehubungan itu, tidak jauh kebenarannya jika Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus dalam satu ceramahnya berseloroh bahawa orang yang hisap rokok perlu hati-hati kerana asap yang dihasilkan itu mampu menarik minat jin. Katanya; “Jin dijadikan dari asap dan makan dari unsur asap seperti manusia dijadikan dari tanah yang makan dari unsur kejadian tanah. Maka orang yang hisap rokok sebenarnya kawan jin”. Kenyataan ini memberikan signal tersirat apakah pengaruh asap yang menjadi makanan jin ini juga salah satu faktor menyulitkan usaha “menalak tiga” rokok. Keadaan ini membuat perokok begitu liat dan sukar memberikan keikhlasan suci untuk membuang jauh-jauh tabiat rokok.
Namun, saya yakin niat perokok bukan mendampingkan diri dengan jin. Mereka menyalakan rokok semata-mata mendapatkan kenikmatan candu dalam kandungan asap rokok. Dalam cita-cita perokok asap itu adalah kemuncak kelazatan. Tiada rokok tanpa asap. Banyak benda lain yang berasap tapi tidak seindah rokok.

Sebab itu soal hubungan jin, pembaziran duit dan efek racun dalam rokok yang disahkan pakar perubatan mengandungi lebih kurang 4000 racun yang membawa penyakit tahap berbahaya dan maut sehingga laporan Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan 4.9 juta manusia mati setahun akibat rokok merupakan perkara sampingan, malah sesuatu yang tidak dapat dielakkan bagi perokok. Mereka rela apa saja demi rokok!

Suatu perkara sampingan yang perlu disentuh berkaitan asap dalam kesempatan itu juga ialah fatwa Jabatan Mufti Melaka menegaskan jika asap yang dihasilkan samada dari rokok, colok dan kemenyan dalam bentuk perbomohan, penyeruan dan perubatan tradisional dengan maksud mendampingi dan meminta bantuan makhluk ‘ghaib’ adalah bercanggah dengan akidah Islam.

Sejarah kepesatan perusahaan tembakau secara jelas disaksikan apabila ahli korporat besar bernama Rodrigo De Jares merintis perniagaan tembakau, khususnya perusahaan rokok di Cuba. Pada tahun 1556-1558 rokok mula diperkenalkan ke Perancis, Sepanyol dan Portugal sehingga tersebarlah ke seluruh dunia.

Dilaporkan, selepas orang-orang Sepanyol berjaya mempromosikan tembakau ke Eropah, terutama kepada golongan bangsawan British yang menghisap tembakau dengan paip pada waktu rehat telah melonjakan aktiviti penanaman tembakau sebagai komuniti ekonomi negeri-negeri jajahan British yang bermula di Amerika Utara.

Usaha kapitalis melalui selendang imperealis semakin berjaya. Pada tahun 1630-an hasil tembakau memberikan loba besar bagi negeri Virginia. Akibatnya, fenonema tembakau tidak dapat disekat lagi, kian pesat pada abad ke-17.

Serentak dengan itu, pedagang Eropah memperkenalkan tembakau ke seluruh Asia dan Afrika. Kemudian dalam abad ke 19 orang-orang Sepanyol memperkenalkan cerut ke Asia melalui tanah Filipina dan kemudian ke Rusia dan Turki serta tidak terkecuali ke dalam negeri-negeri Islam, terutama tanah jajahan mereka.

Dr. Yusuf al-Qardawi dalam ‘Fatawa Mu’asarah’ dan mantan Syeikh al-Akbar Mesir, Jad al-Haq Ali Jad al-Haq dalam fatwanya mengatakan tembakau dan rokok masuk ke bumi umat Islam lewat ke-11 Hijrah, khususnya di Maghribi, Sudan, kemudian berkembang ke negeri-negeri lain. Ertinya, selama 100 tahun umat Islam tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan tembakau, apatah lagi rokok.

Justeru, aneh sekali umat Islam di negara ini yang masih koma dengan hakikat rokok. Sehingga kini, masih ramai yang menyangka sigaret muncul dari sejarah melayu silam. Mereka merumuskan demikian kerana tembakau yang dilihat begitu sinonim dengan kebudayaan melayu sejak berzaman menggunakan sireh, buah pinang dan daun nipah merupakan salah satu tumbuhan asli tropika yang tumbuh di rantau ini.

Ini satu kekeliruan. En. Mohd Fakri bin Mohd Noor, PRO Lembaga Tembakau Negara, Kota Bharu Kelantan yang telah berkhidmat hampir 20 tahun berkata tembakau bukan tumbuhan asal rantau ini. Tumbuhan tembakau seperti juga getah dibawa masuk ke Tanah Melayu seringi penjajahan Inggeris.

Sumber Lembaga Tembakau Negara melaporkan industri tembakau di Malaysia bermula dengan tembakau cerut yang ditanam secara meluas di Sabah sejak awal abad kesembilan belas, setelah didapati penanamannya berjaya diusahakan pada tahun 1883. Pada satu ketika ianya menarik minat lebih dari lima puluh pengusaha dari Eropah dan mencapai nilai eksport sebanyak RM2 juta pada tahun 1902.

Selepas perang dunia kedua, khususnya di tahun 1959 usaha meningkatkan tanaman tembakau telah dilaksanakan secara serius. Di pertengahan 1970-an pula penanaman tembakau berkembang maju di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Pahang dan lain-lainnya di negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Berdasarkan fakta di atas menunjukkan industri tembakau dan rokok mempunyai hubungan yang erat dengan gerakan penjajahan barat ke atas bumi umat Islam, khususnya Yahudi melalui dasar kapitalisme.

Kegilaan kapatilis yang didalangi oleh golongan elit Yahudi yang mementingkan kekayaan semata-mata mengenepikan soal moral sama sekali. Mereka tidak mempersoalkan langsung keburukan rokok, malah mengeksplotasi dari elemen ketagihan rokok sebagai aset melariskan perniagaan rokok. Adapun penjajahan tidak lebih dari wasilah demi merealisasikan matlamat itu.

Kemunculan rokok hakikatnya membawa malapetaka dan kemusnahan besar kepada dunia samada barat dan timur. Namun kapitalis tidak memperdulikan kesan itu kepada manusia walaupun usaha-usaha pengharaman penanaman tembakau dan rokok dijalankan pemerintah. Mereka sentiasa melancarkan propaganda tentang keistimewaan rokok yang didakwa mampu melancarkan darah, memenangkan tekanan darah, baik untuk usus dan sebagainya.

Menurut fakta buku “Rokok Haram atau Makruh dan Penawar atau Pembunuh” yang ditulis oleh Muhammad Abu Faroq al-Athari menyebut bahawa Raja Inggeris bernama Jims 1 mengambil langkah drastik mengharamkan rokok. Raja ini juga melancarkan operasi besar-besaran memusnahkan tembakau secara habis-habisan serta mengeluarkan satu perintah berupa undang-undang pengharaman rokok pada tahun 1604M.

Kemudaratan rokok jelas menghancurkan generasi manusia sehingga pada tahun 1643M kerajaan Rusia telah meluluskan undang-undang berat di mana sesiapa yang membeli, menjual, mengedar dan menghisap rokok dari tembakau akan dihukum dengan dibuang negeri ke Siberia atau dihukum mati.

Bersambung ke siri ke-2...

Monday, September 27, 2010

Ramah Mesra Aidilfitri 2010 PAPISMA Terengganu Meriah

(Biro IT)

Sebagaimana yang telah dirancang, dengan izin Allah SWT, buat kali ke-3 Majlis Ramah Mesra Aidilfitri berjaya diadakan pada 24/9/2010 bersamaan 15 Syawal 1431H. Kali ini sambutan Aidilfitri ini diadakan di rumah Dr. Roslan / Dr. Zaihan yang terletak di Kg. Durian Mas Manir, Kuala Terengganu yang terletak kira-kira 10 km dari Bandaraya Kuala Terengganu.

Meskipun agak jauh di pedalaman, namun kehadirannya agak membanggakan. Kira-kira 20 keluarga telah hadir untuk memeriahkan majlis ini demi membina ukhuwwah dan menghangatkan tarbiyah PAPISMA Terengganu.

Majlis dimulakan dengan ucapan Pengerusi PAPISMA Terengganu, Dr. Md. Arif b. Ibrahim yang mengalu-alukan kedatangan para hadirin sambil mengumumkan beberapa program yang telah dirancang sehingga akhir tahun 2010 ini. Seterusnya beliau mengedarkan senarai terkini ahli PAPISMA Terengganu bagi disemak dan diperbetulkan sekiranya mempunyai kesilapan atau perubahan.

Dr. Md. Arif (kanan sekali) sedang berucap. Kelihatan dari kiri Dr. Azman (Klinik Pakar Mata Azman), Dr. Wan Mohd. Razin (Timb. Pengerusi PAPISMA Terengganu), ayah kepada seorang tetamu jemputan, Ustaz Alias (suami Dr. Che Faridah) dan Dr. Mohd. Rozi (Anaest HSNZ).

Seterusnya tazkirah telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Dr. Burhanuddin b. Abdullah (Phd UKM) pensyarah UNISZA yang merupakan naqib usrah muslimin PAPISMA Terangganu.

Serius - Ustaz Dr. Burhanuddin sedang menyampaikan tazkirahnya.

Tazkirah kali ini menyentuh tentang bagaimana Allah mentarbiyah manusia beriman melalui Ramadhan dalam 3 fasa. Melalui fasa pentarbiyahan ini sejauh mana kejayaan manusia beriman itu dapat diukur melalui amalan yang dilakukan selepas Ramadhan. Apakah mereka masih mampu meneruskan amalan-amalan sebagaimana bulan Ramadhan seperti tahajjud pada sepertiga akhir malam, membaca dan mengkhatam Al-Quran, sentiasa mengejar ganjaran pahala melalui solat berjemaah setiap waktu... ataupun sebaliknya. Seterusnya beliau mengingatkan agar manusia beriman itu tidak menjadi seperti Yahudi (Ahli Kitab) yang mengaku tahu tetapi tidak beramal dengan apa yang diketahuinya sehingga sanggup menjadi kafir daripada beriman. Sesi tazkirah yang bermula kira-kira pukul 10.00 pagi itu berakhir kira-kira pukul 10.20 pagi.

Tumpuan - kelihatan sebahagian para hadirin yang hadir sedang memberikan tumpuan kepada tazkirah yang sedang disampaikan.

Para tetamu muslimat bersama anak-anak turut memberikan tumpuan kepada tazkirah yang disampaikan.

Sebahagian dari tetamu muslimat yang sempat hadir dalam sesi tazkirah.

Selesai tazkirah, doa dibacakan oleh Al-Fadhil Ustaz Alias sebelum memulakan sesi menjamu selera.

Sedap ni! - Dr. Razin sedang mengambil kek coklat 'banjir'. Di sebelah belakang sana ialah dining room yang menempatkan makanan berat.

Menu makanan kali ini terdiri daripada 'soto jawa', satay ayam, laksa Terengganu kuah putih, cocktail buah mayonis, kek lapis (sumbangan Kak Long Dr. Che Faridah), puding kastad (sumbangan Ustaz Dr. Burhanuddin), puding laici, kek coklat dan kuih muih sebanyak lebih kurang 12 jenis.

"Ni baru pusingan yang ke 4. Ada 3 lagi pusingan ni..." Dr. Mohd. Rozi sedang menikmati hidangan.

Sambil makan sambil beramah mesra... itulah antara aksi Dr. Salman berkopiah bersama Dr. Hazizul Helmy (Bendahari PAPISMA Terengganu) - baju putih berkacamata.

"Makan biar puas hati...bukan selalu..." Imam Syafie kata "Aku makan banyak kerana aku tahu bahawa makanan ini adalah halal dan berkat." Kelihatan suami Dr. Norzila (t-shirt hitam sedang membawa makanan) begitu bersemangat menjamu selera. Kelihatan Dr. Md. Arif, Dr. Wan Razin dan Ust. Dr. Burhanuddin sedang serius berbincang tentang program terdekat.

Terus komited... Dr. Tuan Mohd. Fairuz (Ketua Generasi Muda PAPISMA (GMP) Pusat) masih sempat untuk hadir. Beliau yang baru sahaja seminggu bernikah dan keesokannya akan mengadakan majlis walimah di rumahnya di Kota Bharu.

Tuan rumah, Dr. Roslan (baju ungu) bersama dari kiri Dr. Tuan Mohd. Fairuz, En. Mohd. Redzuan (Universiti Malaysia Terengganu) dan Dr. Hazizul Helmy.

Seronoknya menjamu selera bersama... kelihatan di lensa kamera bahagian muslimat pula Dr. Norhigrayati (Ophthalmologist HSNZ) - kanan, Dr. Che Faridah (tudung putih) dan Dr. Sharifah Azizah (baju coklat belang hitam membelakangkan kamera).

Kak Na (isteri Ust. Dr. Burhanuddin) - tudung hijau, bersama anaknya juga turut sama memeriahkan majlis ini.

Sedapnya satay nii!... dua orang anak PAPISMA ini sedang menikmati hidangan satay. Kelihatan juga Dr. Norzita bt. Taat (tudung coklat) sedang berbual-bual dengan Dr. Norhigrayati sambil menikmati hidangan.

Selesai menjamu selera dan beramah mesra, di bahagian muslimat ada lagi satu program yang tidak dirancang. Program apa agaknya tu ya?

Ohh... rupa-rupanya salah seorang tetamu jemputan ingin berkongsi sesuatu... Iaitu tentang keperluan dapur seorang surirumah yang sibuk seperti doktor(?). Mereka tentunya perlukan alat memasak yang canggih agar dapat menyediakan makanan dengan pantas.

Dr. Norzita bt. Taat, yang bermurah hati berkongsi salah satu resipi masakan dengan menggunakan pressure cooker. Hebat jugak doktor ni kan? Macam-macam boleh ya... Mudah-mudahan ilmu yang dikongsikan dapat memberi manfaat untuk para hadirin dan mendapat ganjaran Allah di akhirat.

Kira-kira pukul 12.30 tengahari rumah Dr. Roslan dan Dr. Zaihan kembali lengang setelah para tetamu balik ke tempat masing-masing untuk mengerjakan solat Jumaat.

Mudah-mudahan majlis yang ringkas ini tetap signifikan dengan meninggalkan kesan yang boleh dijadikan iktibar dan amalan serta mengukuhkan ikatan ukhuwwah bagi memperkasakan persatuan dalam meneruskan misi van visi PAPISMA.

Sunday, September 26, 2010

Tingkatkan Kualiti Diri Ahli PAPISMA

(Biro IT)

(Dipetik dari Kolum Presiden PAPISMA - KPP4)

Tingkatkan Kualiti Diri Ahli PAPISMA

Sahabat-sahabiah yang dihormati dan dikasihi sekalian,
Sempena bulan Syaaban yang mulia ini, hanya tinggal beberapa hari lagi sebelum kita menyambut Ramadhan al-Mubarak, marilah sama-sama kita memerhatikan dan mengambil pengajaran dari 2 peristiwa peperangan yang terkenal dalam sejarah Islam...

1. Perang Badar...yang merupakan peperangan pertama dalam Islam. Tentera Islam yang berjumlah hanya seramai 313 orang telah menentang tentera Musyrikin berjumlah 900-1000 orang yang berakhir dengan kemenangan gilang-gemilang tentera Islam. Peristiwa ini diabadikan dalam Al Quran, mafhumnya: “Dan (Ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu dari 2 angkatan, menjadi untuk (menghadapinya), sedang kamu suka kiranya (angkatan perniagaan) bukan angkatan (perang) yang mempunyai kekuatan itu yang dijadikan kamu (menghadapinya) . Padahal Allah menghendaki untuk menetapkan yang benar (agama Islam) dengan kalimah-kalimahNya dan untuk membinasakan kaum Kafir seluruhnya” (Surah 8:7)

2. Perang Hunain..Peperangan yang disertai oleh seramai 12 000 tentera Islam, 10 000 dari Madinah dan 2 000 dari Mekah, menghadapi Suku Hawazin dan Thaqif. Peristiwa ini diabadikan seperti mafhum FirmanNya: “ Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai para Mukmin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) Peperangan Hunain, iaitu kamu menjadi bongkak kerana ramainya jumlah kamu, maka jumlah yang ramai itu tidak memberi manafaat kepada kamu sedikit pun, dan bumi yang luas ini telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dan bercerai-berai”.(Surah Al Qasas:85)

Peristiwa yang bersejarah itu memberi peringatan kepada kita tentang punca sebenar kepada kekuatan dan kemenangan dalam perjuangan. Jelasnya, bilangan yang ramai tidak semestinya berakhir dengan kemenangan jika tidak melengkapi syarat-syaratnya.

Jika kita boleh mengumpamakan persatuan kita seperti sebuah pasukan tentera, maka kita sudah mempunyai seramai lebih dari 500 tentera... tetapi sejujurnya KolumPresiden ini masih merasa ragu adakah kita akan mampu untuk menghadapi pasukan lawan yang jumlahnya lebihnya besar daripada kita, atau kita akan hanya mampu menghadapi pasukan lawan yang jauh lebih kecil daripada kita atau bahkan lebih teruk daripada itu kita tidak mampu melawan pasukan yang jauh lebih kecil daripada pasukan kita pun..

Sahabat-sahabiah semua,
Marilah kita muhasabah diri, dan marilah kita mengukur baju di badan kita sendiri kerana diri kita sendiri sebenarnya mampu untuk mengukur nilai iman, nilai pengorbanan, nilai komitmen, nilai mujahadah dan lain-lain nilai yang mampu meningkatkan kualiti diri kita sebagai seorang mukmin.

Kuantiti vs Kualiti

Perkara darihal kuantiti dan kualiti ini telah banyak kali diperkatakan... telah banyak juga diberi peringatan oleh sahabat-sahabat kita. Kolum ini memilih untuk meringkaskannya dalam bentuk kitaran yang wajib dipecahkan, dan ianya adalah seperti berikut:

Hangatkan Kedingingan Tarbiyah

Kolum ini ingin menegaskan sekali lagi, supaya semua ahli memberi penekanan kepada usrah dan tarbiyyah demi mencapai matlamat yang kita semua inginkan.

Kolum ini menyeru agar setiap cawangan Papisma di setiap negeri mengambil langkah-langkah seperti berikut:

1. Semua negeri mesti mengemaskini senarai ahli terkini di negeri masing-masing... biarlah lengkap dengan nombor telefon dan email.

2. Meningkatkan ukhuwwah sesama ahli... mesti memperbanyakkan program atau aktiviti mengikut kreativiti untuk merapatkan hubungan sesama ahli di negeri masing-masing.

3. Usrah di semua negeri mestilah lebih diperkasakan... ianya mesti dilakukan secara berkala, mempunyai silibus, dengan dipimpin oleh seorang naqib atau murabbi. Jika berlaku peningkatan ahli baru, mereka juga mesti mengikuti usrah yang boleh dijalankan oleh naqib yang berlainan sesuai dengan tahap mereka.

4. Meningkatkan aktiviti kemasyarakatan, yang boleh dirancang sendiri oleh negeri masing-masing mengikut kreativiti... yang bermatlamatkan menjadikan kesihatan sebagai medium dakwah.

5. Mengikis sifat-sifat mazmumah, sentiasa bersangka baik, bersikap ‘cakna’ antara satu sama lain, membina cara perhubungan yang lebih berkesan antara sesama ahli.

Natijah yang Baik dari Usaha yang Baik

Saya berkeyakinan dengan usaha yang baik dan berterusan yang dilaksanakan, hasil-hasil yang baik insya Allah akan dapat dicapai:

1. Mengurangkan bilangan ahli-ahli PAPISMA yang agak ‘berjauhan’ dari PAPISMA dan aktiviti-aktivitinya.

2. Meningkatkan bilangan ahli yang berkualiti dan komited termasuklah peningkatan yuran tahunan.

3. Menjadikan PAPISMA sebagai wadah perjuangan yang penuh dengan keberkatan dan kasih sayang.

Penutup

Kadang-kadang nostalgia lama menggamit diri, kenangan semasa di kampus sangat segar terasa... betapa rapatnya ukhuwwah, hangatnya tarbiyyah, kentalnya jiwa pengorbanan. ..hati terasa tenang dan senyuman terukir... saya berdoa mudah-mudahan nostalgia itu dapat kita jelmakan kembali, walaupun dalam bentuk dan cara yang berlainan disebabkan keterbatasan waktu dan kesibukan tugasan harian.

Amin..Wassalam.


A.I Ghazali
Presiden Papisma 2010-2012

Sunday, September 12, 2010

Afdal qada hutang' Ramadan sebelum mulakan puasa enam Syawal

Oleh Dr Abdul Basit Abd Rahman
Sumber : Berita Harian, 9hb Oktober 2008

HUKUM puasa sunat enam Syawal adalah sunat. Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal kerana 1 Syawal adalah Aidilfitri dan dilarang berpuasa pada hari itu. Abu Hurairah berkata yang bermaksud: "Nabi SAW melarang puasa pada hari Aidilfitri dan Aidiladha." (Hadis sahih al-Bukhari)

Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib Ramadan. Namun sering kali menjadi perbincangan kalangan ulama bagaimana sewajarnya puasa itu dilaksanakan sama ada secara berturut-turut atau terputus.

Pandangan lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah SAW menganjurkan puasa sunat enam hari ini, Baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya.

Maka puasa enam boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal. Adalah lebih afdal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang bertakwa." (Surah Ali-Imran, ayat 133)

Selain cara melaksanakannya, timbul juga perbincangan apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika mempunyai hutang puasa Ramadan yang belum diqada. Ada dua pendapat ulama dalam masalah ini.

Pendapat pertama, boleh melakukannya berdasarkan dalil bahawa Aisyah pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadan yang perlu diqada hingga ke bulan Syaaban akan datang. Aisyah berkata: "Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadan. Aku tidak mampu mengqadanya kecuali pada bulan Syaaban kerana sibuk (melayani) Rasulullah SAW." (Sahih Muslim)

Ulama yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah SAW, Aisyah tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau mengqada puasa Ramadan pada bulan Syaaban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadan.

Pendapat kedua, tidak boleh melakukannya berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang dikemukakan di awal risalah ini. Hadis itu berbunyi: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun."

Rasulullah SAW mensyaratkan berpuasa Ramadan terlebih dulu, kemudian barulah mengiringinya dengan enam hari dalam bulan Syawal. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadan. Jika ada puasa Ramadan ditinggalkan, ia perlu diqada terlebih dulu barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

Jika diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat) kerana menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan daripada memberi sedekah yang sunat.

Namun, jika seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qada kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadakan sebelum Ramadan tahun berikutnya, maka pendapat pertama boleh diterima berdasarkan apa yang dilakukan Aisyah.

Menurut Imam An-Nawawi, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: "Qada puasa Ramadan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqada adalah secara bertangguh, tidak disyaratkan qada terus apabila boleh melakukannya."

Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: "Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadan, sunat dia mengqadakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qada Ramadan melakukan puasa sunat."

Sementara pendapat menggabungkan puasa qada dan puasa enam dan akan diberi ganjaran kedua-dua pahala dengan puasa yang satu, berlaku khilaf di kalangan ulama, sebahagiannya berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardu lain atau dengan puasa sunat lain. Jika dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardu dan sunat.

Ada kalangan ulama Syafi'iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperoleh apabila seseorang berpuasa qada sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperoleh kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan.

Selepas dikaji, pandangan ulama yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Quran dan al-Sunnah. Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai hamba yang tunduk kepada Allah, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang wajib dengan sunat lebih menunjukkan kesungguhan diri mencari keredaan Tuhannya.

Amalan sunat adalah sebagai penampal kepada kekurangan dalam amalan fardu. Sempurnakan dulu qada beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa depan.

Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib, diharapkan Allah akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat." (Sahih Al-Bukhari)

Tuesday, September 7, 2010

Program Sumbangan Ramadhan Dan SMART Berjaya

Biro IT

Akhirnya Program Sumbangan Ramadhan kali pertama yang dirancang oleh PAPISMA Terengganu telah berjaya diadakan pada 27 Ogos 2010 yang lalu. Kira-kira pukul 2.45 petang saya dan isteri bertolak ke program yang jaraknya kira-kira 8 km dari rumah dengan tidak meletakkan apa-apa harapan akan sambutan dari masyarakat setempat. Maklumlah bulan puasa, pukul 3 petang ni masa yang cukup sedap untuk tidur.

Namun jangkaan saya meleset apabila tiba di tapak program iaitu di Kg. Kubang Panjang KualaTerengganu, masyarakat setempat telah berkumpul dengan begitu ramai seolah-olah ada majlis perkahwinan. Lebih seratus orang telah berkumpul! Akibat 'terkedu' saya terlupa untuk merakamkan peristiwa tersebut. Konvoi 3 kereta Serena milik Pengerusi PAPISMA Terengganu, Timbalan Pengerusi dan saya sendiri telah disambut dengan meriahseperti rombongan pengantin yang baru sampai.

Acara dimulakan dengan Program SMART iaitu pemeriksaan dan saringan kesihatan oleh lebih dari 15 orang pegawai perubatan PAPISMA Terengganu yang berkesempatan meluangkan masa pada hari itu.

Bertungkus lumus... kelihatan Dr. Hazizul Helmy dan Dr. Ahmad Fardi barisan depan, Dr. Tengku dan Dr. Roslan di barisan kedua serta Dr. Md. Arif dan Dr. W. Mohd. Razin di barisan ke tiga yang bertindak selaku perunding kesihatan pada hari itu.

Sebahagian penduduk yang menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan dan saringan kesihatan.

Setia berkhidmat... Kelihatan Dr. Che Faridah (kanan) dan Dr. Hashimah (junior) sedang bertugas.

Sabar menunggu ... sebahagian penduduk perempuan yang menunggu giliran mereka.

Pegawai 'farmasi' baru ... Kak Han (kanan) bertugas di bahagian ubat. Sempena Ramadhan ini SMART PAPISMA membekalkan ubat-ubatan kepada mereka yang memerlukan.

Mantan Presiden PAPISMA Pusat, Dr. Suhazeli (T-Shirt kuning) juga turut hadir dari jauh untuk membantu menjayakan program. Beliau seterusnya telah berkhidmat untuk home visit. Seramai 7 buah rumah sempat dilawati.

Program berhenti berehat seketika untuk menunaikan solat fardu Asar di masjid yang berhampiran. Seterusnya pogram SMART disambung dan berakhir kira-kira pukul 4.30 petang.

Presiden PAPISMA Pusat, Dr. Awisul Islah Hj. Ghazali telah tiba pada kira-kira pukul 5 petang dan majlis sumbangan Ramadhan telah dimulakan. Seramai 50 penduduk miskin telah menerima sumbangan dari PAPISMA Terengganu kali ini yang disampaikan sendiri oleh Presiden PAPISMA Pusat.

"Tuan-tuan dan puan-puan... kita boleh mulalah dok?" Dr. Hazizul Helmy (kiri) selaku Ketua SMART yang baru telah bertindak sebagai Pengerusi Majlis.

Beras dan bahan-bahan masakan yang dikumpul untuk diserahkan kepada fakir dan miskin setempat. Mudah-mudahan akan meringankan sedikit bebanan di bulan Ramadhan ini.

"Doktor-doktor ni tugasnya bukan cucuk orang saja pakcik dan makcik..." Itu antara kata-kata Pengerusi PAPISMA Terengganu, Dr. Md. Arif Ibrahim dalam ucapannya. Kelihatan dari kiri; Dr. Wan Mohd. Razin (Timbalan Pengerusi PAPISMA Terengganu), Dr. Awisul Islah (Presiden PAPISMA Pusat), Dr. Md. Arif, Ust. Maarof (wakil penduduk setempat) dan AJK Program.

"Bagi orang yang kaya, pilihlah untuk menjadi Nabi Sulaiman a.s. ataupun Qarun..." Dr. Awisul Islah, Pengerusi PAPISMA Pusat sedang memberikan ucapan yang penuh isi dan semangat.

"Alhamdulillah.. sumbangan ni dapatlah meringankan bebanan kami." Mungkin itulah yang sedangkan difikirkan oleh makcik-makcik ni, sambil khusyuk memberikan tumpuan kepada ucapan yang disampaikan.

Doktor-doktor PAPISMA yang masih setia menunggu juga mengambil kesempatan mendengar amanat Presiden PAPISMA bagi dijadikan pedoman.

"Kalau boleh kami nak beri yang besar lagi..." Dr. Awisul sedang menyampaikan cenderahati kepada penduduk setempat yang diwakili oleh Ust. Maarof.

"Berat ni makcik... tu ada se lagi nak kena pikul..." Dr. Awisul menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.

"Terimalah bahan makanan ini, duit raya dok agi..." Hehe...

"Owh... berat jugak ni... Terima kasihlah PAPISMA deh..." Syahdu rasa di hati mendengar ucapan para penerima yang sentiasa mengharapkan ihsan dari kita yang berada. Sumbangan berakhir kira-kira pukul 6 petang.

"Kamipun nak bergambar jugak..." Inilah sebahagian petugas muslimat yang terdiri dari doktor-doktor muda. Cari sendiri... Dr. Atikah, Dr. Hashimah (junior), Dr. Aisyah, Dr. Fadilah 1, Dr. Hashimah (senior), Dr. Fauzana, Dr. Fadhilah 2 dan Dr. Rabiatul.

Sambil menunggu berbuka puasa, wakil PAPISMA Terengganu sempat berbual dan berbincang dengan Presiden beberapa aktiviti yang akan dilaksanakan. Dari kiri: Dr. Wan Razin, Dr. Suhazeli, Dr. Awisul dan Dr. Md. Arif.

Lama dan baru - Mantan Presiden dan Presiden PAPISMA Pusat sempat memperagakan pos istimewa untuk tatapan ahli-ahli PAPISMA di seluruh dunia...

Seterusnya, lebih kurang 15 orang wakil PAPISMA Terengganu termasuk muslimin dan muslimat telah berkesempatan untuk meraikan Majlis berbuka Puasa yang diadakan sempena Ramadhan dan Program Sumbangan Ramadhan ini. Majlis diadakan di masjid yang berhampiran.

Tahlil ... Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PAPISMA sedang bertahlil bersama penduduk kampung sebelum berbuka puasa.

Presiden PAPISMA (kanan) dan Mantan Presiden (kiri) juga begitu khusyu' bertahlil.

"Amin Ya Allah! Engkau berilah keberkatan kepada majlis ini. Mudah-mudah sedikit bakti yang kami lakukan ini Engkau terima Ya Allah! Berilah keampunan kepada kami dan lepaskanlah kami dari siksa api neraka-Mu" Dr. Hazizul (kiri) dan Dr. Muhaimin sedang khusyu' mengaminkan doa.

Majlis bersurai sebaik sahaja selesai solat Maghrib berjemaah untuk menunaikan solat Isyak dan Terawih di tempat masing-masing. Presiden PAPISMA telah berkenan untuk menginap di rumah Dr. Roslan pada malam itu.