Sunday, August 8, 2010

Gerakan PAPISMA Perlu Suntikan Komitmen Dari Ahli.

(Biro IT)

Setelah sekian lama kita mencari jatidiri sendiri. Setelah sekian kalinya kita mencuba kaedah dan teknik bagi menjenamakan semula (rebranding) PAPISMA. Alhamdulillah, meskipun masih bertatih untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan NGO yang sudahpun established, PAPISMA Terengganu cuba melangkah kehadapan dengan beberapa lagi aktiviti yang telahpun disusun bagi berbakti ke tengah masyarakat setelah 4 siri Kempen 2K secara berturut-turut berjaya diadakan melalui SMART PAPISMA.

PAPISMA mempunyai kekuatan sendiri yang tidak dipunyai oleh mana-mana NGO lain di Malaysia. Bergerak dengan kekuatan dari segi kesihatan dan perubatan sendiripun telah membolehkan PAPISMA terkehadapan kerana strategiknya peranan yang mampu dipikul oleh PAPISMA. Malah, mana-mana sahabat NGO yang mengetahui tentang PAPISMA cukup merasa malu dan segan kepada PAPISMA. Cuma, kelemahan yang perlu ditangani oleh PAPISMA sendiri ialah komitmen ahli yang agak kurang memberangsangkan.

PAPISMA perlukan tenaga yang cukup untuk mengisi slot khidmat kesihatan. PAPISMA perlukan tenaga yang ramai untuk aktiviti SMART dan PAPISMA perlukan sumber kewangan untuk menampung aktiviti kemasyarakatan. Semua ini adalah komitmen yang perlu digembleng bagi menjayakan aktiviti dakwah amar makruf nahi mungkar PAPISMA. Apakah masih ada di kalangan kita yang masih tidak yakin dengan janji Allah bagi orang yang menafkahkan harta dan tenaga pada jalan Allah? Firman Allah yang bernaksud: "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri mereka dan harta mereka dengan (balasan) syurga untuk mereka (disebabkan) mereka berperang di jalan Allah. Maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Yang demikian itu) sebagai janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Qur’an; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu bergembiralah dengan jualbelinya itu dan (yang demikian itu) adalah kemenangan yang besar." (At-Taubah: 111).

Apakah masih ada di kalangan kita yang masih sayangkan harta dan selesa dengan menghitung-hitungnya? Firman Allah yang bermaksud: “Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela, yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitung, dia mengira bahwa hartanya itu dapat mengkekalkannya. Sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Huthamah. Dan tahukah kamu apa Huthamah itu? (Iaitu) api (yang disediakan) Allah yang dinyalakan, yang (membakar) sampai ke hati. Sesungguhnya api itu ditutup rapat atas mereka, (sedang mereka itu) diikat pada tiang-tiang yang panjang.” (Al-Huthomah: 1-9).

Apakah masih ada di kalangan kita yang masih selesa dengan kehidupan senang-lenang bersama keluarga semata-mata? Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya harta-benda kamu dan anak-pinak kamu adalah fitnah, dan Allah, di sisi-Nya ganjaran yang besar". (At-Taghabun:15)

Komitmen Tenaga
Kalaulah kita memberikan komitmen yang istiqamah dari segi tenaga sekali sebulan, kita telahpun ada sekurang-kurangnya 25 tenaga sebulan. Kalau aktiviti SMART kita perlukan 10 tenaga, kita ada lagi 15 tenaga untuk khidmat kesihatan. Kalau khidmat kesihatan perlukan 2 tenaga satu tempat, ertinya kita boleh menyumbang kepada 6 atau 7 tempat sebulan. Tetapi di manakah tenaga-tenaga itu? Yang memberikan komitmen adalah orang yang sama. Doktor-doktor senior. Di mana sebahagian besar ahli PAPISMA terutama yang muda-muda? Apakah mereka kurang berminat untuk menyumbang kerana ianya tidak diwajibkan, tidak ada upah keduniaan, kurang menyeronokkan dan yang seumpamanya? Pengalaman yang dinyatakan oleh person incharge (PIC) ialah SMS tidak berjawab, doktor on-call, doktor balik kampung, doktor kursus dan sebagainya. Ada juga kes-kes terpencil yang suami tidak memberi izin kepada isterinya... masyaAllah...

SMS Tidak Dijawab
Mengapa SMS tidak dijawab? Di manakah akhlak dan tuntutan ukhuwwah selama ini sehingga SMS tidak dijawab? Ada pula yang mempersoalkan apakah wajib menjawab SMS. Sememangnya tidak wajib. Kita ada hak untuk menjawab ataupun tidak tetapi bagaimana dengan tanggungjawab kita sebagai seorang sahabat? Bagaimana perasaan kita bila kita menegur seorang sahabat tetapi dia mendiamkan diri sahaja? Sudah tentulah akan menimbulkan perasaan buruk sangka dan negatif lainnya. Begitulah dengan SMS. Memanglah kita boleh berpura-pura tidak perasan adanya SMS, kita boleh berlakun seolah-olah tak sempat nak jawab, terlupa nak jawab dan sebagainya. Tetapi bukankah Allah itu Maha Melihat dan Maha Mengetahui? Di sinilah syaitan mendapat ruang untuk memainkan peranan jahatnya. Apa salahnya jika kita reply SMS tersebut? Jika kita tidak boleh untuk berkhidmat, reply sahaja "maaf, saya tidak dapat bertugas" atau apa saja ayat yang sesuai. Tentunya PIC akan merasa lega dan senang hati.

On-Call
Adalah tidak munasabah jika on-call setiap minggu hari yang sama. Biasanya slot khidmat kesihatan adalah hari Sabtu sedangkan program SMART PAPISMA adalah hari Jumaat. Mengapa tidak sanggup memberikan nama pada mana-mana minggu yang kita tidak bertugas? Jikapun terpaksa on-call, berilah nama untuk bertugas pada hari-hari yang lain.

Balik Kampung
Perkara yang tidak boleh dielakkan, apa nak buat. Kita lebih mengetahui mana yang lebih aula untuk kita. Allah Maha Mengetahui akan musyaqah kita pada hari tersebut. Tetapi, jika balik kampung atas urusan rutin, mengapa tidak diadjust sahaja? Bukankah kita ada sekurang-kurangnya 4 kali hujung minggu dalam sebulan?

Kursus
Begitu juga dengan kursus yang tidak wajib. Janganlah sampai kerana terlalu ingin meningkatkan kualiti diri sendiri, semua kursus mahu dihadiri sehingga tiada masa untuk melakukan khidmat walaupun sekali sebulan.

Suami Tidak Memberi Izin
Sebagai seorang isteri kewajiban mentaati suami adalah paling utama. Namun, si suami juga perlu faham akan peranan isterinya di dalam masyarakat. Pengorbanan isterinya adalah pengorbanannya juga. Pahala yang akan diperolehi oleh isterinya, insyaAllah akan diperolehinya juga. Bukankah satu kerugian kepada umat mempunyai tenaga profesional yang tidak dapat dimanfaatkan kepada masyarakat?

PAPISMA sememangnya tidak mampu berbuat lebih daripada mempelawa, menjemput dan mengajak sahabat-sahabat untuk turut sama bergerak dan berjuang ke tengah masyarakat. Tidak ada apa yang PAPISMA mampu berikan sebagai balasan kepada kerja-kerja tersebut. Namun Allah itu Maha Kaya. Allah mampu memberikan apa sahaja ganjaran kepada hamba-Nya malah lebih dari apa yang terjangkau oleh mata dan akal fikiran. Itulah keyakinan dan itulah akidah perjuangan kita. Dari Abu Ayyub r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda; sepagi atau sepetang berada di jalan Allah adalah lebih baik daripada apa yang telah diterbitkan dan diterbenamkan oleh matahari (dunia dan seisinya)." (HR Muslim: 3495)

Dengan keterbatasan waktu dan keupayaan, PAPISMA hanya mampu menyediakan ruang untuk berkhidmat dan berdakwah. Mudah-mudahan ruang ini akan mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah sebagai amal jihad kita. Untuk berperang seperti di Palestin kita tidak mampu, apatah lagi berperang seperti para sahabat ajmain. Oleh itu, pergunakanlah medan ini untuk belajar berbakti, berkorban dan berjuang. InsyaAllah ia akan menjadi amal yang besar untuk akhirat kita...

No comments: