Sunday, July 25, 2010

SMART PAPISMA Menerjah Masyarakat Seberang Takir

(Biro IT)

Alhamdulillah, setelah dua minggu bertungkus-lumus mencari lokasi, menetapkan tarikh dan membuat persiapan, akhirnya SMART PAPISMA berjaya meneruskan siri Kempen 2K ke Seberang Takir dengan kerjasama aktivis masyarakat di situ.

Program SMART PAPISMA kali ini telah diadakan pada 23 Julai 2010, Jumaat, bermula kira-kira pukul 9.00 - 11.45 pagi di hadapan Pasar Teluk Ketapang, Seberang Takir, Kuala Terengganu. Seramai 7 orang sukarelawan PAPISMA telah menginfakkan tenaga dan masa mereka untuk bersama menjayakan program kali ini yang di ketuai oleh Pengerusinya, Dr. Md. Arif Ibrahim.

"Kempen Kesedaran Kesihatan"

Pasar Teluk Ketapang merupakan pasar yang sibuk setiap tibanya hari Jumaat. Pengunjungnya sangat ramai dari serata pelusuk kawasan Seberang Takir dan sekitarnya. Mereka menjadikan hari ini seperti hari keramaian, sejak turun-temurun. Pemilihan tempat ini merupakan idea sukarelawan tempatan bagi mendapatkan jumlah pengunjung yang terbaik dalam menyampaikan mesej Islam yang lengkap termasuk di bidang kesihatan.

Antara aktiviti yang diadakan pada kali ini ialah Ceramah Kesedaran & Kesihatan (2K), saringan darah tinggi, saringan kencing manis, kaunseling kesihatan dan cabutan bertuah. Ceramah yang menggunakan pembesar suara itu dapat didengari di seluruh kawasan pasar dengan pengunjung yang melebihi 2000 orang itu telah berjaya menarik lebih dari 120 orang penduduk tempatan untuk mendapatkan khidmat dari pasukan SMART PAPISMA yang bertugas pada hari itu.

Dr. Roslan sedang memulakan majlis dengan Al-Fatihah dan ucapan aluan ringkas.

Seterusnya wakil masyarakat Seberang Takir yang sangat sinonim dengan aktiviti kemasyarakatan di sini, Ust. Zakaria Dagang menyampaikan ucapan.

Dr. Md. Arif Ibrahim memulakan ceramah 2K dengan penuh semangat dengan menggunakan bantuan audio-visual terkini.

"Remaja Dan Gejala Sosial" Tajuk ceramah 2K yang sangat relevan dengan masalah keruntuhan akhlak remaja masa kini. Masalah besar yang perlu dirawat segera, kerana masalah ini bukan saja meruntuhkan institusi keluarga, malah akan meruntuhkan masyarakat dan negara. PAPISMA datang dengan membawa mesej bahawa hanya Islam yang mampu menanganinya.

Dengan hujah yang kemas, Dr. Md. Arif berjaya membentangkan kajian dan data bagi membuka minda para pengunjung dan pendengar.

Sebahagian pengunjung yang mendengar dengan khusyuk dan penuh minat.

Sambil ceramah diteruskan, pendaftaran terus dibuka bagi memberi peluang kepada seramai mungkin pengunjung mendapatkan pemeriksaan percuma dan kaunseling kesihatan. Kelihatan di seberang jalan sebahagian daripada suasana pasar pagi yang sedang berlangsung.

Sebaik selesai ceramah, para petugas PAPISMA diserbu 'peminat' bagi mendapatkan pemeriksaan percuma. Biarpun tiada ubat, namun kepuasan itu jelas terpancar apabila dapat berjumpa dengan para doktor dan mendapat penjelasan mereka tentang masalah yang mereka hadapi.

Sebahagian suasana yang masih sempat dirakam setelah pengunjung agak surut dan jurugambar yang juga petugas PAPISMA mendapat kesempatan merakamkan suasana manis itu.

Dr. Zaihan (Kak Han) sedang dikerumuni pengunjung yang menunggu giliran mereka.

"Tekanan darah Abang ni agak tinggi ni! Kurangkan masin dalam makanan ye..." Mungkin itulah nasihat yang diberikan oleh Dr. Md. Arif.

"Debor doh belum apa-apa lagi ni makcik. Rileks la makcik deh... Nanti darah jadi tinggi." Dr. Che Faridah (Kak Long) sedang menenangkan seorang pengunjung yang menjalani pemeriksaan.

"Sampai tak sempat nak duduk doktor?" Barangkali itulah yang ditanyakan oleh pengunjung kepada Dr. Nor Higrayati (Kak Acun) Pakar di HSNZ yang turut meringankan tulang menjayakan program SMART PAPISMA kali ini.

"Molek tekanan darah pakcik ni. Pakcik makan apa?" Kadang-kadang doktorpun kena pandai korek rahsia pesakitnya sambil memuji secara tak langsung agar pesakit berasa selesa. Dr. Salman sedang memberi tumpuan memeriksa tekanan darah seorang pengunjung.

"Tak delah bang... saya single lagi.." Mungkin itulah jawapan Dr. Tuan Mohd. Fairuz dengan usikan pengunjungnya. Sekali-sekala si pengunjungpun pandai mengusik doktor ye...

Selesai pemeriksaan kesihatan dijalankan, para petugas PAPISMA telah dijemput ke jamuan makan tengahari di rumah seorang sukarelawan yang telahpun menyediakan makanan untuk mereka semua. Gembira dan sukacitanya mereka dengan kehadiran para petugas dan doktor PAPISMA hanya Allah saja yang tahu. Maklumlah, bukan mudah untuk menerima tetamu seperti hari itu. Mereka tidak melepaskan peluang untuk membuat amal kebajikan. Fastabiqul khairaat...

Sambil menjamu selera sambil berkenal-kenalan. Maklumlah, ada di antara mereka belum pernah bertemu. Meskipun bertemu, belum sempat bertanya khabar dan berkenalan. Itulah kemanisan dalam persaudaraan Islam. Kelihatan dalam kamera dari kiri: Isteri Ust. Zakaria (berkacamata), Pn. Jamaliah (tudung hijau - setiausaha program), Dr. Zaihan (tudung merah jambu), Dr. Che Faridah (tudung putih) dan D. Nor Higrayati (tudung coklat bercorak). Dua orang lagi yang tidak disebut adalah petugas tempatan.


"Alhamdulillah... dapat cenderahati pulak..." Itulah adat bertamu, datangnya disambut, perginya diraikan dengan buah tangan dan doa. Mudah-mudahan pertemuan dan perpisahan kerana Allah itu akan mendapat rahmat dan perlindungan Allah di Mahsyar nanti.

Selesailah sudah program SMART PAPISMA yang ke-4 dengan penuh ceria dan bersejarah. Apa yang penting, PAPISMA ingin menyampaikan kepada masyarakat bahawa Islam itu cara hidup yang lengkap. Ia telah terbukti melalui sejarah dan kajian ilmiah. Tidak kira kajian sosial atau kajian saintifik. Semuanya telah dibuktikan dan telah termaktub di dalam Al-Quran. Segala sabdaan Rasulullah SAW dalam hadis-hadis baginda semuanya benar... tidak tersasar walau sedikitpun. Oleh yang demikian, maka seharusnya seluruh masyarakat, tidak kira kecil ataupun besar, tua ataupun muda, masyarakat kampung ataupun profesional, rakyat ataupun pemerintah perlu melihat dan kembali kepada Islam bagi menyelamatkan generasi akan datang yang kian rosak dimamah gejala mungkar yang kian berleluasa. Telah puas teknik dicari, telah habis tenaga dan pemikiran diperah, telah sekian banyak wang dilaburkan... namun penyakit masyarakat ini tidak mahu surut juga. Maka, jelaslah bahawa Islam tidak lagi boleh dipinggirkan kerana Islam adalah sebenarnya penyelamat umat.

1 comment:

Anonymous said...

Well done, teruskan PAPISMA Terengganu, MOVING FORWARD..